Monday, May 16, 2011

MAAFKAN CINTAKU - 1

Beg pakaian yang masih terbentang di atas katil itu ditenung sahaja. Kosong. Pintu almari pakaian juga masih terbuka. Matanya terus memandang silih berganti ke arah beg dan pakaian-pakaian yang bergantungan dalam almari bajunya. Masih tidak pasti apa yang harus dia lakukan.

Kalau sekadar memillih pakaian yang hendak dibawa untuk percutian merangkap pertemuan rakan-rakan sekelas kolej di Pedu nanti bukanlah masalah yang besar. Dia bukan seorang yang stylish pun. Kalau ke Pedu, cukuplah sekadar menyediakan kasut sukan, track-bottom atau jeans dan T-Shirt. T-shirt nanti akan dia bawa yang berlengan panjang dan pendek. Lagipun, acara di sana nanti lebih santai. Hari Keluarga Kelas Gempaque. 

Masalah yang memberat dalam kepalanya sekarang adalah untuk memutuskan samada dia akan turut serta dalam pertemuan itu nanti. Ah, Adel… kenapa baru sekarang harus kau fikirkan soal hendak pergi atau tidak? Sudah tidak ada gunanya lagi. Namanya sudah tersenarai dalam kehadiran gathering itu nanti. Apa pula kata kawan-kawan kalau dia batalkan kehadirannya di saat-saat akhir?

Semalam, Jihan telah menelefonnya ketika dia sedang menghadiri mesyuarat syarikat di Kuala Lumpu. Alahai, Farah Jihan… setelah sekian lama, wanita itu menelefonnya buat kali pertama. Kalau tidak salah ingatannya, panggilan semalam itu adalah yang pertama sejak Jihan dan Azif mendirikan rumahtangga lima tahun lalu.
Adelia raup wajah bujurnya. Pandangannya jatuh lagi ke dalam almari pakaian. Hendak pergi atau tidak? Tanya hatinya berkali-kali. Lagi dan lagi.

“Will you be joining us in Pedu?”

Adelia masih ingat pertanyaan pertama yang keluar dari corong telefon bimbitnya. Dari mulut wanita itu. Hish, perempuan ni, kalau ye pun excited sangat hendak ber’re-union’, takkanlah terlupa langsung hendak beri salam! Terbantut rianya mendengar suara Jihan setelah bertahun sepi.

Memang kalau dilihat pada logika, tidak ada yang salahnya dengan pertanyaan itu. Cuma bagi Adelia yang sudah lama mengenali wanita itu sejak zaman kuliah, dia mampu mengesan motif yang tersembunyi dalam nada itu. Sepertinya Jihan tidak merestui kehadirannya.

“Yeah, insya-Allah. Kau dengan Azif ikut tak?” tapi Adelia masih mampu untuk terus bersikap biasa.

Jihan mengambil sedikit waktu untuk menjawab. Seolah sedang berfikir. “Entahlah... aku ni sebenarnya kalau nak diikutkan, tak sempat nak ikut. Aku busylah… tapi tulah, si Azif tu yang beria-ia sangat nak pergi.”

Kenapa nada Jihan tidak mesra. Kenapa Adelia rasa Jihan tidak gembira dengan pertemuan mereka yang julung-julung kalinya itu nanti? Adelia tidak tahu hendak cakap apa lagi. Walau bagaimanapaun dia cuba berfikiran positif, hati kecilnya terasa luka juga. Betul, nada Jihan seperti tidak punya keghairahannya untuk bertemu semula dengan rakan-rakan sekelas mereka yang hanya seramai sembilan orang itu sahaja. 

Atau, apakah dirinya yang Jihan enggan ketemu? 

“Jadi, kau confirm pergilah ni?” tanya Jihan lagi. Kalau Jihan ada di hadapannya sekarang tentu dia nampak seribu kerut di dahi Jihan. Riak tidak suka dia pergi. Adel.. jangan buat prasangka negatif, tak baik. Adelia akur dengan teguran hati. 

“Insya-Allah...” suara Adelia perlahan sahaja. 

Segaris rasa terkilan menjalur di dalam hatinya dengan sikap Jihan. Dulu di kolej mereka merupakan sahabat yang paling akrab. Ke mana-mana pun berdua. Buat apapun mesti berdua. Macam belangkas. Tetapi dalam talian yang pertama kali sejak tujuh tahun itu, Jihan langsung tidak kedengaran mesra.

Kemesraan dan kehangatan yang Adelia hulurkan seperti tidak bersambut. Jihan kedengaran begitu dingin di talian. Jangankan hendak bercakap panjang melepas rindu, khabarnya pun sedikit tidak Jihan tanyakan. 

Dan dia pula tidak sempat hendak bertanya satu dua soalan. Hanya Jihan yang bertanya dan dia menjawabnya. Kemudian Jihan kata dia harus sambung tugasnya semula. Hai… sibuk benarkah Jihan hingga tidak sudi berbual sedikit waktu dengannya, teman rapatnya yang baru sahaja balik ke tanah tumpah darah ibunda ini? 

Adelia mengeluh panjang. Takkanlah Jihan masih marah padanya? Atau tak mungkin Jihan masih meragui dan mencemburui dirinya? Semua itu sudah lama lepas dari masa mereka. Dan Adelia juga sudah lama menjauhkan dirinya demi Jihan dan Azif.

Azif sudah jadi suami Jihan. Kalau tidak salah hitungan Adelia, pasangan itu sudah berkahwin hampir lima atau enam tahun kini. Tamat pengajian, mereka semua bekerja. Rasanya setahun dua selepas itu Jihan dan Azif terus mengikat tali pertunangan. Tetapi tidak lama, hanya sebulan. Kemudian mereka mendirikan rumahtangga. Macam tidak sabar-sabar hendak jadi suami-isteri. Adelia tidak kisah… kalau dah sampai seru nak berumah-tangga, Alhamdulillah.

Hubungan yang disimpul oleh Azif dan Jihan itu, Adelia restu setulusnya. Dia turut bahagia melihat senyuman yang begitu mekar menghiasi raut Jihan di hari persandingan mereka. Rasanya tidak akan ada orang yang lebih memahami betapa dalamnya cinta Jihan untuk Azif selain dirinya. Hanya Adelia yang tahu sejak detik pertama Jihan meminati lelaki itu. Ah, Jihan.. akhirnya impian sahabatnya itu dimakbulkan Tuhan. 

Dan Azif? Jihan turut gembira kerana Azif telah menemui wanita yang tepat untuk hidupnya. 

Bukankah kita harus pilih orang yang mencintai kita berbanding kita yang mencintai orang itu? Sekurang-kurangnya Jihan ada rasa yang terlalu dalam buat Azif. Dan Adelia tahu Jihan akan menjadi kekasih yang paling setia untuk Azif. Dan Azif, hidupnya tentu akan penuh dengan kasih sayang Jihan yang bertaman bunga itu.
Adelia?
Dia tumpang gembira. Tiada kebahagian yang lebih daripada itu. Betulkah Del? Adelia tersenyum sendiri bila mendengar hatinya menyoal diri. Ah, sudahlah… sekurang-kurangnya dia masih hidup tenang sehingga saat itu. Dan dia bahagia dengan kehidupannya ini. 

Kalau adapun yang kurang tentang hidupnya hanyalah kerana Adelia masih seorang yang single and available. Tapi dia tidak pernah kisah. Lagipun Adelia bukan ada siapa-siapa yang akan risaukan dirinya walaupun dia jadi andartu sekalipun. 

Lainlah seperti teman-temannya yang selalu bercerita tentang mak-mak mereka yang sudah riuh berleter bila anak dara mereka tidak kahwin-kahwin. Alahai, padahal umur pun waktu itu baru 25 tahun. Dan dia sekarang sudah jejak angka 32 tahun. Kalaupun dia masih belum berkahwin pada usia ini, apa masalahnya? Hasil usaha dalam kareernya membolehkan Adelia memiliki apa yang dia impikan selama ini. Dia ada rumah sendiri, kereta sendiri, sedikit pelaburan dalam bentuk aset tetap sebagai bekal tua dan simpanan yang tidak pernah luak. 

Dan semua itu dia capai dan perolehi sendiri. Tanpa sesiapapun. Malah tanpa lelaki. Siapa kata perempuan tidak boleh bahagia tanpa lelaki? Orang putih pun kata women don’t need men to be happy.

Atau apakah statusnya itu yang menyebabkan Jihan dingin kepadanya? Jihan tidak suka padanya kerana dirinya masih single? Masih belum berpunya. Jihan takut kalau dia akan menggugat rumahtangganya dengan Azif? Kalau begitu wajarlah Jihan tidak senang dengan kepulangannya ke tanah air kali ini.

Ah, Jihan... mengapa harus dia berfikir begitu?

Kalau dia sendiri yang mahukan Azif, Adelia tidak akan pernah membiarkan mereka bersatu sejak dulu. Tidakkah Jihan mengerti akan hal itu? 

Adelia sudah menapak ke muka pintu almari bajunya. Tangannya perlahan mencapai sehelai baju yang tergantung. Dia belek baju itu seketika lalu di campak perlahan ke atas katil. Lalu dia pilih lagi baju kedua. Dan ketiga. Dan seterusnya.

Kemudian dia duduk semula di atas katil itu. Ya, dia akan pergi  juga ke gathering itu. Dia mahu jumpa Black, Amril, Mila, Zul, Hadi, Anis, Jihan dan… Azif. Adelia ukir senyum di bibir. Tapi dia sendiri tahu senyumannya itu terlalu hambar. 

Aku pergi untuk bertemu teman-teman lamaku, itu sahaja yang ada dalam niatku... Adel pujuk hatinya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

PAGEVIEWS