Showing posts sorted by relevance for query Yang bersinar. Sort by date Show all posts
Showing posts sorted by relevance for query Yang bersinar. Sort by date Show all posts

Wednesday, May 18, 2011

MENUNGGU DAISY HATI - 1

SATU

Petang itu dia turun lagi ke Surfer’s Paradise Beach.

Tidak seperti semalam, petang itu dia turun dari bilik penginapannya di Hilton Surfers Paradise dengan jeans biru gelap Levis dan t-shirt putih Denim yang telah dia rapikan sejak keluar dari bilik hotelnya tadi. Lebih kemas dan lebih tampak segak berbanding Bermuda yang disarungnya semalam. Juga kelmarin.

Sun-glass yang memang tidak pernah lekang dari melindunginya sepasang matanya itu juga tetap menemani seperti selalu. Kawan-kawannya dulu selalu perli dia. Ben selalu kata dia pakai Prada dan Ray-Ban itu untuk membolehkannya check-on ladies. Namun hanya Nick yang lebih rapat dengannya itu sahaja tahu mengapa kaca mata mata hitamnya itu jarang dia tanggalkan ketika berada di luar.

Nick betul. Dia selalu guna kaca mata hitam kerana dia lebih suka anak matanya itu duduk diam-diam di tempatnya. Mengapa? Kerana kalau dia tidak guna kaca matanya, ramai gadis akan ikut dia. They loved his deep, dark navy blue eyes.

Walaupun ada rasa bangga bila dikagumi dan digilai ramai gadis kerana warna anak matanya yang susah hendak diukur di atas penanda aras biru, coklat dan hitam itu dikatakan sangat mempersonakan, namun sejujurnya dia lemas. Rimas kerana setiap detik menjadi bahan singgahan pandangan.

Untuk jalan selamat, dia akan gunakan kaca mata hitamnya hampir sepanjang masa. Kalau bukan kerana sun-glassnya itu, kaca matanya juga ala-ala tinted. Jadi apa sangatlah bezanya kalau dia pakai sun-glass ataupun kaca mata rabunnya itu kan?

Darryl Adrian melangkah perlahan menyelusuri kaki jalan. Kedua-dua belah tangan diselukkan ke dalam poket depan jeansnya. Gaya santai pelancong yang menikmati panorama Gold Coast petang yang nyaman.

Sesekali mata melirik nakal ke arah bangunan 29 tingkat Hotel Grand Chancellor atau dulunya dikenali sebagai Marriot Courtyard yang tersergam tinggi berlatarbelakangkan langit yang begitu ria birunya. Ia hanya terletak dalam jarak lebih kurang 150 meter sahaja dari tempat dia berdiri saat itu.

Sesekali juga sepasang matanya yang dilindungi kaca mata hitam itu meliar. Mencari-cari di persekitaran. Manusia-manusia pelbagai warna kulit berjalan di sana-sini. Ada yang berjalan dengan hanya berseluar pendek atau seluar paras lutut. Ada juga yang memakai wind-breaker dengan hanya menyandang bacpac.

Hmm... hari itu cahaya mentari tersenyum dalam tiupan hawa yang dingin.

Memandang panorama itu, dia tersenyum sendiri. Memang Gold Coast tidak pernah lengang dengan pelancong asing. Tidak terkecuali juga pelancong tempatan. Apatah lagi tempat yang dinamakan Surfers Paradise ini merupakan nadi yang menghidupkan Gold Coast. Tempat ini syurga bagi mereka yang suka bergurau dengan ombak laut biru Gold Coast.

Sempat sahaja dia membelek dan meneliti secara tidak langsung setiap wajah yang dia pandang itu. Bujur, lonjong, bulat, kecil, besar. Warna pun pelbagai. Kuning, merah, putih, coklat, kelabu, malah hitam pun ada. Hatinya memilih dan menapis dengan berkata ’Nah, bukan itu! Bukan ini juga!’.

Apa sebenarnya yang dia sedang cari ni!?

Lalu langkahnya turun ke atas pasir pantai. Memijak pasir pantai halus nan putih dengan kasut sehingga meninggalkan beberapa jejak bertapak di atasnya. Kedua belah tangannya masih diselukkan sebahagiannya ke dalam poket jeans. Pandangan ditala lurus ke arah lautan yang kebiruan. Begitu berkaca.

Bila gulungan ombak menderu tinggi, ia kelihatan memutih di puncak laut. Sesekali nampak begitu ngeri bila beberapa kelibat manusia yang sedang meluncur di dada air itu ditolak ombak begitu keras lalu hilang seketika dari pandangan.

Ramai pelancong tahu kalau Gold Coast adalah destinasi terbaik untuk kaki surfers sedunia. Di sini gelombang ombak lautnya adalah antara yang terbaik dan lebih konsisten berbanding destinasi air yang lain. Bukan sekadar laut dan gelombangnya, tempat ini memiliki banyak lagi daya tarikan pelancongan yang terbaik di dunia. Orang kata superb!

Di lensa matanya Darryl melihat beberapa orang surfers kelihatan sedang melakukan pelbagai gaya di puncak gulungan air laut yang begitu ganas. Darryl juga biasa surfing. Malah ia adalah hobi yang paling Darryl gemari kerana dia amat mencintai sebuah rasa yang menekal dalam diri bila mencabar gulungan ombak itu.

Tiap kali memasuki ruang bawah di dalam gulungan ombak, dia akan menjerit sekuat hati. Semua rasa yang tidak mahu dia simpan lagi di dalam hati akan dibuang ke dalam vakum itu. Jeritan yang dilantun keluar dari rongga dadanya itu mencerminkan sebuah kepuasan yang tidak ada perkataan mampu untuk menggambarkannya.

Bila lerengan gulungan ombak yang tampak ganas itu menolak dia naik semula ke puncak ombak yang hampir membolehkan dia mencecah kaki awan biru, Darryl akan melepaskan nafas sepuas-puasnya. Nafas lega. Nafas puas.

Yeeha! I won! Yeeha! Yeah I won, I won!

Dan tubuhnya yang sasa itu tidak langsung terasa akan dinginnya air laut. Wonderful! Sangat hebat!

Namun saat itu, bukan memori berada dalam gulungan ombak yang cuba dia imbas. Bukan juga untuk menikmati panorama ombak laut yang bergulung dan menderu. Juga bukan untuk melihat aksi pantai yang panas dengan pelbagai karenah kaki surfers.

Apa yang sedang dia cari adalah seri raut wajah ala-ala kacukan. Sepasang matanya terus meliar di setiap sudut lapang pantai yang terbentang. Mencari seseorang itu. Aduhai, siapakah gerangan insan itu yang telah mencuit hatinya? Lalu telah dia pinjamkan hatinya semalam kepada seseorang itu yang belum dia kenali.

Aduh, Darryl... sungguh murahnya hatimu meminjamkan satu-satunya hati yang engkau ada untuk seluruh hayatmu ini kepada seseorang yang tidak pun kau kenali?

Tidak apalah. Demi seseorang yang telahpun berjaya menyentuh hati ini hingga jadi berwarna-warni, semuapun dia rela untuk meminjamkannya. Sekurang-kurangnya sehingga hari ini bila dia akan mencari peluang untuk meminta hatinya kembali dari yang seseorang itu.

Aduhai, mengapa hingga tika ini wajah itu sukar untuk dia usaikan dari lensa pandangan hati? Terbayang-bayang. Ya, gadis itu yang dia temui di gigi air biru yang berkaca bila dipanah sinar mentari langit.

Tidak mungkin dapat Darryl lupakan seraut wajah itu. Masakan dia mampu untuk melupakan seraut wajah itu yang telah membawa pergi hatinya. Hingga dia rela meminjamkan hatinya walau gadis itu tidak pun meminta. Tak apalah, kalau aku tidak bisa melangkah di sisimu, izinkanlah hatiku menemani buat pengganti diri.

Di mata Darryl, wajah itu bersinar saat merenung biru laut yang hujungnya seperti bertemu dengan hujung kaki langit. Lalu kebiruan itu bersatu dengan awan memutih yang indah menebar di dada langit. Sama berkaca dengan permukaan air laut Gold Coast.

Angel?

Aduhai, alangkah indah hidup ini kalau benar yang dia temui semalam dan kelmarin itu seorang bidadari. Kalau benarlah itu, maka syurga dunia itu mungkin juga sebuah hakikat. Ya. Dia masih ingat wajah bidadari itu. Yang semalam dia jumpa di pantai ini.

Tetapi Darryl masih mampu untuk rasional. Ini dunia, bukan syurga. Sesungguhnya dia masih belum memijak lantai syurga. Sehingga saat itu, biarpun dia tahu syurga itu indah, tempat abadi insan terpilih, tetapi dia masih mahu berpijak di bumi ini. Lagipun dia masih insan jahil yang belum layak mendapat anugerah Tuhan itu.

Mengapa pula dia tolak keindahan hakiki itu? Jawapannya satu sahaja. Dia tahu jantungnya masih berdegup. Sedar dua telapak kakinya masih berpijak di atas landai bumi yang sama ketika dia dilahirkan dua puluh satu tahun lalu.

Lebih daripada itu, di bumi inilah telah ditemuinya seseorang itu. Terdorong jiwa untuk mencari dan mengenali bidadari bumi itu. Ah, Darryl! Dia bukan bidadari. Dia hanyalah seorang gadis. Lalu hatinya pun mentertawa luapan hasrat.

Ya, seorang gadis. Seorang pelancong? Dari mana?

Pada dirinya sendiri juga tidak mampu untuk dijelaskan mengapa langkahnya ke pantai petang itu terlalu mendesak raga. Yang dia tahu, dirinya kuat ditarik dan digamit. Hatinya dipanggil-panggil. Diseru sesuatu...

Sejak petang semalam dia begitu. Laksana terpukau akan sesuatu. Sudahnya sepanjang malam tadi Darryl tidak mampu melelapkan mata. Setiap kali mata cuba dipejam, seraut wajah itu hadir memandang ke dalam matanya. Matanya akan pantas terbuka. Hendak pandang wajah itu lagi. Tidak puas menatap wajah itu di pantai semalam dan kelmarin.

Berbaring di atas katil empuk dalam pelukan penghawa dingin yang sejuk sampai ke tulang sum-sum itupun masih tubuhnya tidak rasakan kedinginan itu. Kerana apa? Kerana hatinya memang sudah terbeku sejak terpandang seraut wajah itu petang semalam.

Sudahnya dia terkebil-kebil memandang siling bilik hotel mewah yang didiaminya di Hilton Surfers Paradise Residences itu. Terkenangkan bangunan The Grand Chancellor Hotel di mana dia lihat gadis itu menghilang di dalamnya. Tahulah Darryl kalau bidadari itu pastinya beristirehat di sana. Tidak jauh dari tempat dia juga sedang beristirehat dengan lamunan indah ini.

Tidak mampu memejam matanya lena. Di mana-manapun kelihatan wajah itu yang terpampang begitu terang dan jelas di atasnya. Langsung dia menghabiskan lebih banyak waktunya sepanjang malam itu di balkoni biliknya.

Mendiami salah sebuah bilik hotel di Orchid Tower yang mencuar tingginya melampaui Pantai Surfers Paradise memberikan Darryl sebuah panorama pandangan laut dan seluruh kawasan yang bergemerlapan dengan cahaya lampu yang menakjubkan.

Begitupun, panorama menakjubkan itu tidak mampu membendung gelora hatinya untuk menunggu hari siang dan bertemu lagi dengan seseorang yang sudah kemas takhtanya di dalam carta jiwa.

Memujuk sabar dengan menikmati asap rokok, sebatang demi sebatang sehingga suria pagi tersenyum kepadanya. Bila pagi sudah siang, tidak sabar pula dia menunggu petang. Ah... manusia memang sentiasa ada kemahuannya...

Pasir pantai yang halus masih membentukkan tapak kasut bila kakinya terus mengorak langkah satu demi satu. Perlahan, seiring tindakan sang mata yang merusuh dalam pencarian. Mencari. Masih belum jumpa. Gusar dan resah berebut-rebut mengasak dada.

Mungkin juga gadis itu tidak ada di pantai petang ini. Entah-entah sudah terbang pulang ke negaranya. Sekeping hati lelakinya diintai kecewa. Setelah beberapa ketika diterpa hampa, sesusuk tubuh kelihatan di kejauhan. Bulat matanya. Lalu senyuman pun terpancar dan berseri.

Segera dia tanggalkan kaca mata. Mahu pandang lagi. Biar betul-betul. Untuk memberi lebih keyakinan kepada diri sendiri. Padahal hatinya sudah pun memastikan itulah gadis yang dia sedang tunggu. Sedang dia cari. Sah!

Langkahnya sedikit pantas menyusur pasir pantai Surfer’s Paradise. Terus tuju ke gigi air yang berbuih putih berkejar-kejaran dengan ombak dan desir angin pantai. Di mana gadis itu sedang berdiri dengan kaki seluarnya dilipat ke paras bawah sedikit dari lutut. Terserlah betisnya yang putih kuning.

Rambut hitam separas bahu itu mengibar-ngibar ditiup angin pantai petang Gold Coast yang dingin. Mengalunkan keharuman yang meresap ke dalam sanubari Darryl. Melangkah lagi agar jarak mereka lebih dekat. Biar seperti petang semalam.

Ya, petang semalam dia berdiri benar-benar di sebelah gadis itu. Dalam jarak lima enam kaki. Yang membolehkannya untuk menghidu keharuman yang dibawakan oleh gadis itu. Dan hari ini dia masih mampu untuk menghidu wangian yang serupa.

Yakinlah dia bahawa memang itulah gadisnya yang sama. Kerana haruman yang baru sahaja dia menghidunya itu sudah sebati dalam jiwa. Tidak seperti bau pasir pantai atau bau air laut yang dingin dan masin. Bau-bauan itu semua sudah sebati dengan deria baunya.

Bukankah dia membesar di Australia? Di Sydney. Bersekolah pun di sini. Cuma ketika melanjutkan pengajian di peringkat tinggi, Daddy hantar dia ke USA. Walaupun tidak pernah ada keinginan untuk menjejak kaki ke USA, namun tetap dia akur dengan kemahuan Daddy.

Tidak tega untuk menghampakan Daddy yang begitu menyayanginya. Yang tidak pernah gagal memenuhi segala keperluan dan kehendaknya. Tidak pernah Daddy minta apa-apa sebagai balasan untuk itu. Tentu sahaja. Mana ada ibubapa mahu bayaran membesarkan anak-anak kan...

Dari teringatkan Daddy, pantas sahaja fikirannya beralih kepada perkara fokus yang membebankan fikirnya sejak dua tiga hari ini. Ya, semalam dia lihat gadis itu untuk kali yang kedua.

Ah, rasa kagumnya terhadap gadis itu pasti sahaja bertepuk sebelah tangan. Gadis yang berkulit putih kuning, tinggi lampai dan berhidung tinggi dengan raut bujur itu bagai tenggelam dalam gulungan ombak.

Langsung tidak endah akan dirinya yang selalu orang kata kacak ini. Dan sekarang Darryl ragu-ragu. Sungguhkah dia kacak bangat? Kalau sungguh begitu mengapa gadis itu tidak menolehpun ke arahnya? Atau gadis itu buta? Heh!

Tiada penjelasan yang mampu dia bariskan mengapa sang hati begitu pantas tertawan dengan seraut wajah itu. Padahal mengenalinya juga dia masih belum. Sebab itu dia turun lagi ke pantai petang itu. Mahu lihat lagi sepasang anak mata yang berwarna coklat itu.

Ah, dia memang pasti sepasang anak mata itu berwarna coklat pekat. Sudah begitu dia tekuni setiap liku wajah itu semalam. Malah dalam keasyikan dia merenung, tiba-tiba gadis itu berpaling. Tepat ke arahnya.

Oh, pasti gadis itu tidak buta. Kerana selayang senyum itu terus lekat di dada kasih. Hatinya berdetak kencang. Apakah gadis itu sedar dirinya sedang dia diperhatikan? Mungkin...

Atau mungkinkah gadis itu punya gerak hati yang serupa dengannya? Harap-harap begitulah... Oh Darryl, tolonglah jangan jadi terlebih perasaan...

Ataukah hanya suatu kebetulan? Seperti kebetulan dia menemui seraut wajah itu di gigi air pada suatu petang yang indah itu. Mungkin...

Benarkah ia hanya satu kebetulan, bila hanya wajah itu dalam begitu ramai yang lain tidak mampu dia usir dari ruang mata? Mengapa hatinya memberi jawapan tidak? Ah, hati lebih mendominasi perasaan dari yang sebaliknya... begitulah selalu.

Bukankah sekeping hati yang manusia miliki ini punya suatu keajaiban? Hati yang pertama kali menerima setiap pesanan yang disampaikan oleh setiap anggota. Bila sang mata melihat suatu pesona, ia pasti tertawan. Ya, itulah jawapannya. Pesona. Lalu hatipun terpasung. Tidak berganjak.

Love at first sight? Yang itu, Darryl belum benar yakin. Sejujurnya dia sudah banyak memandang. Setiap kali mata memandang, hati pasti tertawan. Apakah itu dikira cinta pandang pertama, kedua atau seterusnya?

Ah, tidak apalah... walau berapa kali pun dia memandang dan tertawan, ia tidak pernah sama dengan pesona ini. Tidak sama dengan raut ini yang julung kalinya dia pandang lalu memanah tepat ke dalam raga. Paling penting, cintanya tidak buta. Ya, kalau dia buta, masakan dia dapat melihat panahan rasa dalam raganya itu kan?

Saat gadis itu berpaling dan memandang tepat ke arahnya, dia terus kehilangan degup jantung. Renungan yang bersatu buat dia terpanar kaku. Diri terasa melayang-layang. Umpama mimpi dalam mimpi. Perasaan aneh tertulis baris demi baris dalam lembar hati. Malangnya tidak mampu dia menafsirkan.

Oh my God! Renungan sepasang mata coklat itu benar-benar jatuh dalam tingkat hatinya yang paling dalam.

Into the lowest basement.

Wednesday, March 23, 2011

YOU'RE MEANT FOR ME (i)

BAB SATU


Wajahnya yang basah dek peluh, dia lap dengan tuala biru yang tadi dia letak di atas palang besi. Dia melepas nafas saat terduduk di atas simen padang futsal. Kakinya dia lunjurkan dengan kedua-dua tapak tangan menupang di belakang.

Gelagat kawan-kawannya yang masih ligat mengejar dan merebut bola di tengah padang dia perhati sahaja. Peluh yang masih berjejeran di wajah sesekali dia seka lagi. Man Blonde dan Ipin nampaknya sedang berebut bola. Dia gelak sahaja bila mendengar mereka menjerit, mengarah itu dan ini sesama sendiri.

“Nash! Cepatlah!” laung Man Blonde sambil melambainya.

Dia hanya sengih. Geleng kepala. Botol mineral yang terbaring di tepi beg dia capai. Airnya hanya tinggal suku botol sahaja. Cukuplah. Dengan lafaz bismillah dalam hatinya mulutnya terus menggogok air. Terasa nyaman di kerongkongnya yang kering.

“Weh, mainlah!” Man Blond sudah membongkok di depannya. Termengah-mengah.

Dalam usia yang makin menghampiri gerbang empat puluhan ini, kesemua mereka nampak cepat pancit. Tidak lagi seperti waktu remaja dulu ketika di Victoria Institution. Dia pun yang dulunya memang kaki bola, hanya boleh bertahan dalam dua game. Sekarang dia surrender sementara melepaskan lelah.

“Nash!” panggil Man Blonde lagi yang perutnya agak barai itu.

Dia gelak lagi. Tangannya dilambaikan tanda belum mahu menyambung permainan kerana mulutnya masih menghabiskan sisa-sisa air mineral yang ada.

“Mainlah dulu. Aku rehat kejap,” ujarnya saat melempar botol mineral yang sudah kosong itu ke dalam mulut tong sampah yang terbuka lima enam kaki dari tempat dia duduk.

Tepat masuk ke dalamnya. Memamng dia tidak pernah miss. Bukankah dia pemain rugby dan soccer yang tidak pernah menghampakan team mereka dulu. Selalu menugguli kejuaraan.

“Alah, tak rugged lah macam ni,” Man Blonde pula melabuh punggung di sebelahnya. Memangku lutut lalu dipeluk dengan kedua tangan juga.

“Dah tua-tua ni nak rugged apa nye?”

Man Blonde tergelak.

“Eh Nash… jangan macam tu. Sapa kata kita dah tua?”

Nazrul Amin turut gelak dengan soalan temannya itu. Namun dia tidak menjawab. Matanya terus dibuang ke tengah gelanggang. Melihat gelagat Ipin cuba tackle bola dari kaki Mursyid.

“Kita baru nak masuk angka tiga lapan. Sweet lagi tu. Lagipun apa nak risau. Bukan orang putih kata, life begins at fourty ke? Hah, ada dua tahun lagi to start our real life kan?”

“Banyaklah kau!”

Nafas mengahnya sudah hampir tenang. T-Shirtnya yang melekit di badan dek peluh itu dia tanggalkan lalu di letak ke tepi. Tuala tadi dia lapkan pula ke seluruh badannya yang kurus itu. Beg kecil yang tadi terdampar di tepi dinding dia capai. Lalu sehelai T-Shirt pagoda yang putih bersih dia keluarkan seraya disarung ke tubuhnya.

“Eh, takkan nak balik kot?” soal Man Blonde tatkala melihat Nazrul seperti mengemaskan barang-barangnya.

“Relakslah dulu. Kita pekena teh tarik lepas ni ke?”

Nazrul mengeluarkan telefon bimbit dari kocek track bottom. Dia tekan butang untuk menyalakan screen telefon bimbit yang sudah hitam.

“Lewat sangat lah,” dalihnya. Pun memang hari sudah terlalu lewat. Sudah hampir 12 tengah malam.

“Aik, takkan dah rindu kat bini kot?” Ipin menghampiri dengan ketawa.

Wajah Ipin yang bulat kemerahan itu dia pandang sahaja. Ipin duduk mencangkung di depannya dan Man Blonde. Dihukurkan tangannya untuk meminta botol minuman di tangan Man Blonde.

“Dah tu, kalau aku tak rindu kat bini aku, nak rindu kat sapa pulak? Kang aku rindu kat bini kau, hah mahu ada yang kena penggal,” Nazrul membalas selamba.

Mereka terkekeh lagi. Biasalah. Gurau-gurau lelaki. Tak membawa ke mana pun. Lagi pula mereka bukan baru sehari dua berkawan. Sejak umur tiga belas tahun lagi. Sejak dari asrama yayasan sampai ke Victoria Institution. Pun sampai ke ITM dulu.

Pendek kata mereka sudah seperti isi dengan kuku. Usik-usik bahasa mereka sudah lali benar.
“Aku chow dulu lah,” dia sudah mula bingkas.

“Lusa, badminton nak?” saran Ipin sambil turut bangun.

Nazrul tepuk punggungnya dari habuk simen lantai. Beg di lantai dia capai lalu di galas ke belakang bahu. Sambil meraup rambutnya, dia berfikir. Lusa, hari Khamis. Cuba berfikir-fikir aktiviti yang seharusnya dia tangani di rumah.

“Tengoklah dulu. Aku confirm nanti.” Itu sahaja balasannya untuk menyenangkan hati kawan-kawannya itu.

“Alah, jadilah. Tak bestlah kalau kau tak ada,” Man Blonde tepuk bahunya perlahan.

Nazrul sengih saja. Langkahnya diatur pergi.





Garaj rumahnya masih kosong. Dia toleh memandang jam di dashboard kereta. Sudah 1.15 pagi. Belum balik lagi nampaknya perempuan itu. Nazrul hanya mengeluh lalu memarkir kereta di tepi pohon mangga puteri di luar pagar rumah teres dua tingkatnya itu.

Lampu-lampu rumahnya sudah gelap. Pasti Mega sudah tidur dengan budak-budak. Enjin kereta masih belum dia matikan. Belakangnya dia sandarkan ke kusyen pemandu dahulu. Hatinya sedikit ralat. Pagi tadi dia sudah tinggalkan nota di atas meja solek Efa. Dia sudah tinggalkan pesan kepada Efa. Dia mahu Efa ada di rumah seleewat-lewatnya jam lapan malam.

Tetapi seperti selalu, kata-katanya tidak pernah membawa sebarang erti pun kepada Efa. Seperti mana dirinya yang tidak pernah mendapat tempat sewajarnya sebagai khalifah di dalam rumah itu. Nazrul mendengus berat.

Dia matikan enjin kereta Toyota merah itu lalu keluar dari perutnya. Pohon mangga puteri yang setingginya berdiri itu sedang berbuah lebat. Nampaknya baja yang diberikan oleh Shidah sebulan lepas benar-benar mujarab.

Dia perhati satu persatu balutan buah mangga itu. Takut-takut ada yang sudah tertanggal. Matanya terpandang dua tiga biji buah mangga puteri yang sebesar tapak tangan Fifi itu terdampar di atas tanah.

Nazrul mencangkung lalu mengutipnya. Pasti angkara sepakan bola anak-anak jiran lagi. Bukan dia tidak mahu menegur. Namun malas untuk mengyinggung perasaan orang lain. Sepatutnya sebagai warga taman perumahan itu, masing-masing harus peka terhadap sensitivity kejiranan.

Takkanlah tega dibiarkan sahaja anak-anak bermain, menyepak bola sampai pecah pasu bungan jiran. Sampai buah-buah mangganya yang baru hendak masak itu tergolek di tanah. Pun si Lani, isteri jiran di depan rumahnya yang memang terkenal dengan mulut lepas itu pun sudah pernah bersuara.

Habis pasu-pasunya sumbing. Paling teruk minggu lepas, badan Perdana yang dia parkir di luar pagar rumah kemek gara-gara ditebas raket badminton anak jiran. Kalau ibu bapa budak-budak itu sendiri yang masih tidak mahu ambil pusing, apa lagi yang dia harus buat. Dia bukan jenis orang yang suka menyinggung hati kawan-kawan mahupun jiran.

Nazrul berdiri lalu menyalakan rokok. Bersinar cahaya api di mulut rokok dalam kegelapan malam yang hanya bersuluh bulan, bintang dan lampu jalan yang tinggi. Suasana sudah sunyi benar. Pasti jiran-jirannya semua sedang lena diulit mimpi. Pun besok hari Rabu. Hari bekerja. Hari sekolah. Masing-masing harus bangun awal.

Dan dia? Dia masih berdiri di luar rumah. Memandang rumahnya yang dua tingkat itu dengan hati yang sayu. Memikirkan kehidupannya yang tidak pernah indah seperti kehidupan lelaki lain.

Saban malam beginilah dia. Kalau tidak bermain futsal, dia akan ke gelanggang badminton dengan bosnya. Tetapi malam Khamis dan Jumaat biasanya dia akan ikut kelas al-quran dan fardhu ain di masjid.

Hujung minggu pula, kalau bosan sudah melebihi tahap melampau dia akan turun ke kolam. Mengubat hati dengan bicara ikan-ikan jenahak, siakal dan bawal yang selalu jinak di mata kailnya.

Keluhannya terlepas saat rokok nan sebatang itu sudah hampir sampai di penghujungnya. Berat benar hatinya untuk masuk ke dalam. Pasti Fifi dan Nana sudah lena dalam dakapan Mega. Terbit keharuan dan penyesalan dalam hatinya mengenangkan zuriatnya yang dua orang itu. Kasihan Fifi dan Nana. Hidup tidak seperti anak-anak orang lain yang bahagia dalam dakapan ibu dan ayah mereka.

Fifi, anak perempuannya yang sulung itu akan mencecah usia lima tahun dua tiga bulan lagi. Nana pula sudah genap usianya tiga tahun bulan April lepas. Kedua-dua anaknya itu kini lebih banyak dia lepaskan kepada Mega. Pembantu rumah berbangsa Indonesia yang sudah hampir dua tiga tahun bekerja dengan mereka.

Efa tidak pernah menghiraukan mereka. Kalau sekadar dirinya sebagai suami yang tidak dihiraukan, mungkin dia boleh bertoleransi. Memang dia sentiasa memaafkan. Kalau tidak masakan sudah enam tahun lebih mereka berumah tangga.

Nazrul bukan lelaki kejam yang sewenangnya menjatuhkan hukuman. Bukan suami yang cerewet dan minta perhatian yang macam-macam. Tetapi perlakuan Efa sudah melebihi tahap sabarnya.

Efa langsung tidak pernah berminat untuk menjadi isteri dan ibu yang mithali. Kalau hendak dikatakan itu memang gaya hidup wanita berkarier, Nazrul seolah tidak mampu menerimanya. Rasanya semua isteri-isteri di taman perumahan mereka itu pun wanita berkarier. Bukan calang-calang karier.

Guru, pensyarah, pengurus, malah tauke butik pun ada, Tetapi tidaklah sampai jadi seperti Efa yang tidak pernah nampak batang hidungnya di rumah. Yang tidak kenal siang dan malam. Yang sudah tidak tahu hukum dan hakam.

Tidakkah Efa sedar Fifi dan Nana masih kecil. Di usia beginilah mereka harus dididik dan dibentuk agar terpelihara sahsiah yang murni. Kalau sekadar makan pakai mereka Mega yang uruskan, mungkin dia masih boleh lelapkan mata.

Tetapi kalau setiap masa Efa tidak pernah ada waktu yang terluang untuk dirinya dan anak-anak, bagaimana dia harus kuat untuk bersabar. Sekarang ini pun, keluarganya sudah mula bersuara. Emak juga sudah mula bersuara. Itu yang Nazrin tidak boleh tahan.

Efa harus dia betulkan. Efa harus dia sedarkan. Letak duduk Efa adalah sebagai seorang ibu. Seorang isteri. Tempat Efa seharusnya lebih banyak di rumah. Di sisinya. Di samping anak-anak.

Keluhannya dilepas berat.






Cerpen 6 : SENJA YANG PERGI

Senja ini aku datang lagi. Datang menunaikan satu kemestian sebagai kewajiban yang terpikul atas bahu tanggungjawabku. Tanggungjawab seorang anak terhadap ayah kandungnya. Hakikatnya akulah satu-satunya permata hati ayahku.

Hari ini, seperti hari-hari yang berlalu sebelumnya, aku tetap setia dan tidak pernah ada rasa jemu menemani Papa menikmati keindahan alam ciptaan Yang Maha Besar. Petang ini, berbekalkan ketenangan dan kepasrahan terus tabah menolak kerusi roda Papa, menyusur panjangnya pantai. Halusnya pasir pantai masih membekas tapak kakiku dan roda kerusi Papa tatkala kami perlahan-lahan dan lambat-lambat melaluinya.

Beginilah rutinku, tiap petang menghabiskan waktu senja demi menunaikan permintaan Papa. Walau aku sering terlewat untuk menyempurnakan solat Maghrib, tapi aku redha. Tuhan sahajalah yang Maha Mengerti. Ampunilah hamba-hamba Mu ini Ya Tuhanku…

Aku hanya ingin menyempurnakan keinginan dan hasrat seorang ayah yang tidak berupaya. Jika cara ini dapat mempamerkan kepada Papa bahawa cinta dan kasih sayangku tidak berbelah bagi, lalu aku harus bersyukur kerana cara ini seribu kali lebih mudah untuk ku usahakan.

Papa adalah segala-galanya untuku dan seluruh hidupku setelah Mama pergi menginggalkan Papa dan diriku ketika aku masih terlalu kecil. Papalah Papa dan Mama. Papalah tempat aku mengadu dan bermanja. Setiap pengorbanan , kasih sayang dan kata-kata yang diungkapkan kepada tidak mungkin terbalas.

Memadailah dengan cara ini, menemaninya saban petang, bersama berkongsi pelayarannya meredah dunianya saban senja untuk aku meyakinkan diriku sendiri bahawa aku masih mampu melalukan yang terbaik dalam hidupku untuk seorang Papa. Untuk menyatakan secara simboliknya betapa aku, puteri tunggalnya ini amat menyayangi dirinya walau apa jua keadaannya sekalipun.

Aku dapat menyelami perasaan Papa. Aku fahami betapa berertinya panorama senja ini padanya. Papa suka pada warna senja. Melihat metari yang perlahan-lahan berlabuh di tabir senja itu, Papa akan tersenyum senang. Malah, deburan ombak yang diiringi riuh beburung yang terbang berkumpulan pulang ke sarang adalah lagu hidup yang menghiburkan dan mendamaikan hati Papaku.

“Papa bersyukur… Papa bertuah memiliki anak sepertimu, sayang. Allah itu Maha Adil dan Pengasih…dikurniakan-Nya seorang puteri untuk menemani sisa hidup Papa…” pertuturan yang terlalu perlahan dan tersekat-sekat itu merentap tangkai hatiku.

Airmataku menitis di pipi. Aku tunduk merenung wajah Papa yang duduk di atas kerusi rodanya. Jari-jemari Papa yang dingin ku pegang kemas di dalam genggamanku. Ku kucup jemari yang sudah dimamah usia itu yang selama ini menatangku penuh kasih sayang.

Papa melepaskan sebuah keluhan maha berat. Pandangan dari sepasang mata tuanya di lempar jauh ke tengah samudera.

“Papa…?” panggilku perlahan tatkala ku lihat Papa bagai tenggelam ke dasar perasaannya.

“Mamamu tidak kasihan pada Papa… dia pergi terlalu awal… meninggalkan Papa seorang diri melalui kehidupan…”

“Semua itu takdir Allah, Pa..”

“Takdir…?” Papa menyebut perlahan.

“Takdir itu Papa cipta sendiri, Safi…”

Aku mengerti akan maksud kata-kata Papa itu. Aku sudah menjiwai penderitaan lahir dan batin yang Papa alami. Papa selalu mengatakan kamatian Mama adalah kesilapannya. Satu kesilapan maha besar yang tidak mampu di lupakan oleh Papa. Malah penyesalan itu semakin menyiksakan diri Papa sejak hari pertama Papa tidak boleh berjalan lagi akibat kemalangan beberapa bulan lalu.

Justeru itulah aku juga tahu dan amat mengerti mengapa kiranya hanya waktu sesingkat senja ini sahaja Papa memperoleh ketenangan. Bebas dari belenggu penyesalan yang melingkari hidupnya selama ini. Penyesalan akibat kematian Mamaku yang tercinta.

“Safi…”

“Ya Papa…”

“Safi tak jemukah menemani Papa begini tiap hari?” suara Papa perlahan, seolah menzahirkan kecewa dari lubuk hati. Sanubari seorang anak sepertiku terasa ditusuk hiba.

“Safi sayang pada Papa. Papa adalah segalanya dalam hidup Safi Pa…Safi akan buat apa saja untuk Papa Safi seorang ni…” aku seka airmata.

Aku berhenti menolak kerusi roda Papa. Wajah lesu itu ku tatap. Selimut di bahu Papa yang sedikit jatuh ku betulkan letaknya. Papa tidak bersuara lagi. Kesunyian melewati waktu. Aku tahu Papa masih tidak dapat melupakan peristiwa yang membawa titik hitam dalam hidup kami sekeluarga. Jauh sekali dari memaafkan dirinya.

Semuanya berlaku ketika aku menyambut ulang tahun kelahiranku yang ketiga. Suatu senja… Papa dan Mama membawaku ke halaman banglo berhampiran laut kepunyaan arwah datuk, ayah kepada arwah Mamaku. Kediaman sepi yang aku huni bersama Papa kini.

Gelak tawaku, menurut Papa begitu menghiburkan hati mereka. Orang tuaku itu saling berkejaran merebutkan aku yang didukung Papa. Ketika sampai di tepi tebing, Mama berjaya memaut lengan Papa. Tanpa sengaja Papa tertepis pautan Mama, dan….

Raungan Papa serta tangisanku tidak mampu lagi menyelamatkan Mama yang jatuh di atas batu-batu keras laut lalu terhumban ke dalam samudera yang berombak ganas.

Sejak itu aku dibesarkan oleh seorang bapa yang telah kehilangan separuh jiwa dan semangatnya. Seorang bapa yang hidup dalam penyesalan yang sarat membenam dada.

Mama, isteri tercinta dan wanita inspirasi. Mamaku telah pergi buat selamanya. Namun Papa tidak pernah mampu menerima hakikat bahawa kematian Mama adalah suatu takdir yang sudah tertulis di Loh Mahfuz. Papa tetap menyalahkan dirinya sendiri. Papa kata Mama mati kerananya. Di tangannya.

Lamunanku terputus bila Papa tiba-tiba berusaha untuk bangun dari kerusi rodanya. “Papa, jangan. Papa belum cukup kuat,” aku melarang lembut.

Papa ketawa kecil lalu berkata, “Belum cukup kuat? Memang Papa tak akan menjadi seperti dulu lagi Safi…”

Aku berdebar-debar melihat kesungguhannya, “Papa, jangan.” Bantahku. Suaraku agak keras berbaur cemas.

“Papa, janganlah buat Safi bimbang. Esok, matahari tetap akan bersinar dengan izin-Nya dan Insya-Allah Papa masih tetap akan dapat melihatnya. Dan Safi pun akan tetap menemani Papa di sini.” Aku memujuk pula.

Aku tahu hati Papa sedang dilanda gelora. Aku tahu apa yang sedang mencemaskan Papa. Papa takut kepada senja yang makin lewat itu. Papa seolah enggan senja melabuh tirainya lalu memberi laluan untuk sang malam menggantikan tugasnya.

Lalu Papa pun menyuarakan kebimbangannya. “Papa takut kiranya Papa tak dapat lagi melihat senja esok,” suaranya sayu. Airmataku menitis lagi. Laju. Lalu menitik ke dahi tua Papaku.

Bukankah sudah ku katakan tadi… aku tahu apa yang Papa takuti. Aku dapat merasakan debaran di hati Papa.

“Safi menangis nak?”

Mungkin sendu yang cuba aku tahan ini tidak mampu disembunyikan. Atau mungkin kerana Papa adalah orang yang membawa aku ke dunia maya ini dengan darah dan dagingnya, mampu mendengar esak yang sedang meraja di dalam hati.Seperti juga aku mampu merasakan gelombang debaran di hati Papa.

“Papa, Safi sayangkan Papa. Safi tak ada lagi sesiapa dalam hidup ni. Papa kena tabah untuk Safi. Papa jangan cakap macam tu lagi…”

“Papa tahu…Papa pun sayangkan Safi lebih dari segalanya yang Papa ada di dunia ini nak…” Papa letakkan tangan kirinya menindih tangan kanan di atas perutnya. “Malam tadi Papa bermimpi. Mamamu datang melambai Papa, Safi…”

Entah mengapa hati ini kian berdebar. Dadaku berombak deras. Airmata masih juga tidak mahu berhenti mengalir ke pipi. Oh Tuhan, alamat apakah yang cuba Kau sampaikan ke dalam naluriku ini Ya Allah?...

“Pa, sampai hatikah Papa nak tinggalkan Safi seorang diri dalam dunia ni ?...”

Papa kini hanya menundukan wajahnya menatap kedua tangan yang saling bertindih di atas perutnya. Tidak lagi bersuara. Aku makin hiba.

Ya Allah, inikah masanya…? Inikah masanya untuk aku hidup sebatang kara di atas bumi Mu ini Ya Tuhanku…?

“Papa tahu…” tiba-tiba Papa bersuara perlahan, “Papa tak sanggup juga berpisah denganmu nak… tapi Mamamu keseorangan di sana. Dah lama sangat Mamamu berseorangan…”

“Safi… Papa sejuk nak…” adu Papa. Segera ku betulkan selimut tebal di bahunya. Papa menggigil perlahan.

“Kita balik dulu ya Pa… tak baik lama-lama kat sisi nanti kena angin malam, kan Doktor kata…”

“Tidak!” Papa pantas memintas bicaraku. “Papa nak duduk di sini lama sikit. Manalah tahu kalau-kalau esok…” Papa senyap, tidak menyambung kata-katanya itu. Namun aku telah cukup dewasa untuk memahami situasi.

“Pa, Pa benar-benar nak temankan Mama…?” suaraku bergetar.

Terluah juga pertanyaan itu dari dada yang sarat dengan sebak. Aku sedar Allah Maha Berkuasa ke atas segala-galanya. Sungguh memanglah benar manusia merancang tetapi Tuhan jualah pemutus segala penentuan. Soal jodoh, maut, pertemuan, perpisahan, ajal dan maut adalah ketentuan-Nya, Allah yang Esa.

Dengan keyakinan yang masih tertanam kukuh dalam benteng imanku, gelora di hatiku kembali tenang. Aku harus redha dengan apa sahaja kemungkinan yang bakal menimpaku. Kalau itu sudah kehendak-Nya, apalah dayaku insan biasa untuk memindanya.

“Safi…”

“Saya Pa…” Kedua belah bahu Papa ku pegang perlahan, dengan semua kasih sayang yang ada dalam diriku. Biar ia menyelinap masuk ke dalam tubuh Papa. Biar kasih sayang seorang anak ini akan bisa mengurangkan penderitaan dan kesakitan yang menjalar di dalam tubuh tua Papaku yang tidak berdaya ini. Biarpun sedikit…

“Safi dah besar nak… Safi dah boleh jada diri sendiri kan…” suara Papa bagai tidak keluar. Namun aku masih mampu untuk mendengarnya.

“Safi janji teruskan hidup ya nak… sebaik mungkin…”

Apa yang harus aku balas? Aku telan airmata. Takut kiranya jika dibiarkan terus mengalir ke pipi ini akan bersatu dengan air laut yang biru. Bolehkah itu menjadi reality? Airmata bersatu dengan birunya air laut…

“Papa rasa mengantuk Safi…”

“Tidurlah Papa…” betapa berat aku melafazkan kata-kata itu. Tidur? Atau melepaskan Papa pergi?

Ya Illahi Rabbi, tawakalku hanya pada-Mu, hati kecilku berdetik.

“Tidurlah Pa, Safi akan tetap temankan Papa di sini,” aku usap rambut di dahi Papa. Papa tersenyum senang. Tenang sekali dirinya dalam senyuman itu. Namun kedinginan tubuhnya bagi merentap kekuatan batiniahku.

Biarlah Papa tidur. Aku tidak mahu sesiapapun mengganggu saat-saat indah ini. Biarpun apa yang akan terjadi, akan aku hadapi dengan segala kekuatan dan ketabahan yang dibekalkan Papa ke dalam diriku selama ini.

“Pa…?”

“Hmm…”

“Jangan lupa, sebelum tidur baca apa…?”

Papa tidak menyahut pertanyaanku. Ada debaran mengetuk daun pintu di kamar hatiku namun syukur benteng iman masih kukuh menahan debur rasa.

Perlahan-lahan aku melangkah, mendepani Papa. Lalu aku duduk bersimpuh di atas pasir pantai yang halus dan putih. Wajahnya kian tenang ku lihat dalam kesamaran senja. Nafas Papa lambat-lambat tapi teratur. Mata Papa perlahan-lahan terpejam rapat.

Andai apa yang aku rasakan ini akan menjadi kenyataan…

Aneh, airmataku tidak menitis lagi. Tidak pula aku sedar sejak bila airmata itu tidak lagi mengalir di pipi. Aku mencari rasa di dalam dada. Cemas? Takut?

Ke mana semua rasa itu? Tiada. Yang ada hanyalah keredhaan dan kerelaan. Semuanya aku hadapi dengan ketenangan. Aku ikhlas. Biarlah Papa pergi mencari kekasihnya. Menemui kekasihnya. Allah yang satu… dan juga Mamaku…

Senja merangkak pergi. Sebentar lagi malam gelap yang disuluh cahaya bintang di dadanya pasti hadir mengganti senja. Papa tidur nyenyak sekali.

Tidurlah Papaku…
Safi akan temankan Papa tidur di sini, di senja terakhir kita bersama…
Ya Allah, peliharalah Papaku di alam barunya,
temukanlah dia dengan Mamaku yang dicintainya.
Ya Allah, ampunilah segala dosa Papa dan Mama ku,
kasihanilah mereka Ya Allah
sebagaimana mereka mengasihi di waktu kecil hingga besarku.



April 1990





Saturday, November 19, 2011

Apa yang bersinar tu?

Malam tadi Majlis Penyampaian Hadiah dan Konvokesyen bagi anak-anak PASTI. Walaupun Babang tidak dapat apa-apa hadiah (kerana dia dapat no. 9, lebih baik jugalah dari yang lepas kan nombor satu-satu tu), tapi kami pergi juga kerana dia ada persembahan.

Satu minggu ini asyiklah practice lagu, 'this is the way I brush my teeth, I brush my teeth, I brush my teeth, this is the way I...' and bla-bla-bla. Kami juga excited training sama dengan dia.

Waktu siapkan dia, saya bertanya, "Betul ke kena pakai baju Melayu ni? Takkan nak nyanyi lagu this is the way dengan baju melayu kot?" Hish, typical mind of mine yang kena ubah. Apa salah dengan baju melayu nak nyanyi lagu tu pun kan...?

Di majlis, kami duduk di barisan hadapan. Nak tengok Babang dan kawan-kawan sekelasnya nyanyi lagu tu. Tiba pada persembahan Kelas 6, mereka menyanyi lagu this is the way I... aik?

Kami berpandangan sambil tergelak besar. Bila sampai turn Babang dan kelasnya buat persembahan rupanya mereka nyanyi lagu '1 pokok kelapa, 2 itik berenang, 3 mulut ternganga, 4 mendayung sampan, 5 ikan buntal, 6 ubat nyamuk, 7 cangkul petani, 8 cermin mata, 9 pokok pelik, 10 pokok kelapa, kalau kita pandai, ibu ayah gembira!'

Cit! Budak ini memanglah... yang dia beria-ia nyanyi lagu persembahan orang lain pulak... bertuah!

Masa nak balik saya tanya, "Abang tak rasa ke nak belajar lebih pandai lagi nanti dapat hadiah macam kawan-kawan tu? Belajarlah baik-baik Bang... kalau dapat nombor 1 sampai 3, nanti dapat hadiah..." (hailah Ummi, tak baguslah suruh anak belajar hanya kerana hadiah. Lain kali tukar ayat!)

Tapi dengan wajah innocent, sambil memegang tangan saya Babang dongak memandang ke atas dan bertanya, "Ummi, apa yang bersinar kat atas tu?"

Saya dongak juga dan jawab, "Oh, itu stars. Bintang..."

"Ohh....stars ke. Ummi, Abang terasa macam nak beli stars yang bersinar tu lah, tapi ia terlalu jauh di atas sana..."

Gulp! 

Semua rasa menyerbu. Nak gelak sebab cara dia buat ayat boleh tolong saya edit manuskrip.

Geli hati kerana kalau dicerna kata-katanya, ia ibarat memberitahu dia pun bukan tak mahu dapat nombor yang baik, tapi belum ada rezeki lagi...

Dan kalau pendek akal Umminya ni, nak marah je lah rasa sebab Babang sudah pandai alih topik!!!!!!!!

Yang penting semoga hidupmu akan bersinar di dunia dan akhirat duhai anakku...

Wednesday, March 23, 2011

SELAMAT TINGGAL KEKASIH GELAPKU (9)

“Kenapa?”Adriana pantas bertanya.

“Kenapa Mama dan Papa tak suka kasi Dik Na jadi jururawat? Kenapa Dik Na tak boleh jadi jururawat, Mama?”

Adriana terhenyak di dalam empuk sofa mewah di ruang tamu. Bola matanya besar. Bantahan Mama terlalu mengecewakan Adriana. Mama langsung tidak pernah sudi mendengar hujah bela diri dia.

Mama selalu jadi pendakwaraya merangkap hakim yang membuat keputusan. Tidak pernah mahu memberi peluang untuk dia melakukan sesuatu dengan mudah. Dengan berkat dan restu.

Memang selalu begitu. No is no, and green will never be yellow. Itulah prinsip diktator Mama yang sering sahaja diprotes oleh Adriana. Mama tidak pernah memberi peluang untuk anak-anak meluahkan apa yang mereka fikir dan rasa.

Apa yang Mama tahu dia sudah merancang itu-ini dan begitu-begini untuk anak-anak gadis kembarnya. Paling tragis ialah bila Mama merasakansetiap perancangan dan pilihannya adalah yang terbaik untuk kesemua anak-anaknya tanpa memikirkan perasaan mereka.

Oh Mama, fahamilah hati dan perasaan kami…

“Apa salahnya Dik Na bercita-cita nak jadi jururawat? Kenapa Mama marah sangat Dik Na nak jadi jururawat? Itukan pekerjaan yang mulia juga?”

“Mama nak kamu jadi Doktor! Doktor Dik Na, doktor! Kamu faham bahasa ke tidak?” tempikan Syarifah Adirahana bergema.

“Mama, apa bezanya doktor dan jururawat? Kan sama-sama dalam bidang perubatan? Pun kerjanya sama, merawat dan menyembuhkan orang? Apa bezanya Ma?” Adriana masih degil untuk mempertahankan kemahuan dan cita-citanya.

“Apa bezanya?”

Syarifah Adirahana berdiri mendepani anak perempuan bongsunya itu dengan wajahnya yang merah. Mengulang pertanyaan sang anak dengan nada yang terlalu sinis.

“Eh Adriana!” mata mata sudah merah menyala dengan api marahnya.

“Tak pernah ada dalam keturunan kita yang menjadi jururawat tau. Lihat sepupu-sepupu kamu semua tu! Doktor, lawyer, engineer, lecturer, semuanya professional. Paling tidak businessman, kamu tahu?”

Hish, inilah yang dinamakan sejarah berulang agaknya. Tak pun filem Ibu Mertuaku sedang ditayangkan semula dalam versi teater moden. Adriana tidak mampu membayangkan watak Ibu Mertuaku yang kejam itu dilakonkan semula oleh Mama. Tetapi ini memang bukan lakonan semula.

This is real!

“Ma, itu rezeki masing-masing. Cita-cita dan minat setiap orang kan tak sama Ma? I just wanted to be a nurse. You know I always wanted to be one. Even doctors could not work alone without nurse Ma, Pa…”

Papanya, Tuan Syed Al-Malik Faizal hanya duduk di hujung sofa. Membisu seribu bahasa. Seperti selalu enggan masuk campur dalam perang periuk belanga seperti itu. Itu yang amat mengecewakan Adriana.

Namun begitu Adriana tidak tega juga untuk menyalahkan Papa. Seperti juga Papa, mereka sudah masak benar dengan perangai Puan Syarifah Adirahana itu. Sudah lebih dua puluh lima tahun tidur sekatil, makan semeja bersama.

Biarpun pada namanya mereka bersuami-isteri, namun status yang termeteri itu hanya terletak di atas sehelai sijil nikah sahaja. Status yang tidak pernah memberikan sebarang hak kepadanya secara realiti.

Tidak pernah ada permuafakatan atau persepakatan antara mereka seperti yang sepatutnya bagi sepasang teman hidup. Kalau putih pada Syarifah Adirahana, putihlah segalanya. Tidak akan ada yang hitam walau setitik warna. Kalau pun dah nyata memang hitam, akan ada sahaja yang dinafikan oleh perempuan itu.

Logika isterinya susah untuk didebatkan. Biarpun dia ikut campur, belum tentu pendapatnya akan diiktiraf oleh si isteri. Pun Tuan Syed malas untuk bertekak suami isteri di hadapan anak-anak.

Biarlah dia dikatakan tidak mahu masuk campur daripada diherdik dan dilawan isteri. Dia masih punya baki ego sebagai seorang lelaki, suami dan bapa. Dia enggan anak-anak melihat bagaimana sikap Mama mereka terhadapnya.

Adriani juga hanya mematung. Tidak berani menyebelahi sesiapa, tidak Mamanya dan tidak juga Adriana. Tidak punya kekuatan itu untuk menyokong adik kembarnya. Biarpun hatinya memberontak untuk membela.

“Ma, nak jadi nurse pun bukan senang…”

Suaranya, Adriana perlahankan. Sedar Mamanya sedang menduduki tahap maksima kerusi keberangan. Yang panas bisa meletup jika bertemu dengan api. Mungkin sedikit pendekatan psikologi boleh melembutkan hati Mama.

“Kalau orang lain belajar, Dik Na pun kena belajar juga,” katanya sambil merenung lurus wajah Mama yang tegang.

“I have to struggle for two years plus with those very thick books, medical books. It won’t be that easy to be a nurse. A professional nurse Ma. I need to pass with flying colours all the examination papers to get my diploma. Ini tentang hidup mati orang, bukan boleh tangkap muat je belajar...” Wajah Mama yang kemerahan dia tenung dengan riak memohon pengertian.

“Nowadays, nursing is not the same. Please Ma, kalau orang lain ada typical mind on this profession Dik Na tak kisah. But you are my mother. My very educated mother,”dia telan liur bila riak wajah Mama masih tegang.

“How could you be the same?” tanyanya dalam nada bisikan yang kecewa.

“Adriana!” Mama memang tidak pernah mahu memanggilnya dengan lembut. Buat jantung semua orang mahu luruh saja dengan jerkahannya itu.

“Don’t you ever dare to say those words to my face!Apa kamu ingat Mama tak tahu semua tu?” herdik Syarifah Adirahana dengan mata yang membulat.

“Ma, tolonglah… Dik Na tak nak jadi doktor. Kak Ni nanti pun akan jadi doktor juga. Biarlah Dik Na nak jadi jururawat. Restuilah cita-cita Dik Na, Mama…” dia sudah mula menangis.

Bingkas dia bangkit dari duduk. Melangkah setapak dua lalu jatuh melutut di hujung kaki Mamanya. Berdoa dan mengharap permintaannya itu diperkenankan dan direstui.

Namun Syarifah Adirahana hanya berdiri dengan tangan bersilang di dada yang berombak keras. Turun naik dengan begitu laju, menahan geram dan marah pada Adriana. Anak kembarnya yang seorang ini memang jauh berbeza dari saudara kembarnya Adriani.

Sejak kecil lagi perbezaan itu sudah terlihat. Si kakak lebih lembut berbanding si adik yang lebih agresif. Adriani lebih mudah mendengar dan menurut kata. Namun seorang lagi yang bernama Adriana itu, sering sahaja mempertikaikan sesuatu perkara.

Namun perbezaan itulah yang menjadikan mereka kembar seiras yang paling memahami. Mereka saling memberi dan menerima. Sekeras-keras Adriana, dia tetap beralah dan berlembut dengan airmata si kakak kembarnya.

“Mama, tak ada salahnya menjadi jururawat Ma. Jururawat pun kerja halal juga , membantu dan merawat orang yang perlukan bantuan kan Ma…”

“Iye, membasuh sisa najis dan kekotoran orang…” sinis Pn. Syarifah Adirahana mencebik.

“Ma…”

“Sudah!” tempikan Syarifah Adirahana memancung usaha Adriana untuk terus menitikkan air ke hati Mamanya yang sekeras batu gunung itu.

“Dengar sini Adriana. Kalau kamu berkeras juga nak jadi jururawat, ikut kamu sajalah. Terpulang! Tapi ingat, apa-apa hal berlaku jangan cari Mama.”

Mata Syarifah Adirahana kemerahan memandang tajam wajah anaknya itu. Diketap bibirnya menahan amarah. Geram sungguh hatia dengan kedegilan anak yang seorang ini. Dari kecil, orang kata A dia kata B. Orang kata putih, dia kata hitam. Orang kata betul, dia kata salah.

Namun sebagai seorang ibu, Syarifah Adirahana tidak menafikan anaknya itu mewarisi sifatnya. Bersungguh apabila menginginkan sesuatu. Yang salah padanya tetap salah biarpun orang sekeliling mengatakannya betul.

Memang Adriana teguh pendiriannya. Keras bertempat, lembut bermasa. Sensitifnya kadang-kadang bagai terlindung dek kesungguhannya. Si kakak lebih cenderung bersikap seperti Papanya, Syed Al-Malik Faizal.

Sebagaimana sikap dan sifat suaminya itu, Syarifah Adirahana tahu Adriani lebih lembut hati, menurut apa yang ditetapkan tanpa sedikitpun ada rasa untuk memprotes atau membantah.

Namun jauh di sudut hati keibuannya itu, dia sedar kembar itu adalah anak-anaknya. Darah dagingnya. Yang dibawa ke sana ke mari di dalam rahimnya selama sembilan bulan sepuluh hari.

Biarpun pedih hatinya dengan kedegilan Adriana, namun diri sendiri turut terhiris luka dengan perkataan yang dilafazkan terhadap anaknya itu.


Malamnya, rajuk Adriani masih panjang kerana dimarahi Mama petang tadi. Hatinya masih pedih mengenangkan setiap patah kata dan bait ayat Mama. Airmatanya masih tidak sudi untuk berhenti dari mengalir di pipi. Suam yang menambahkan kehangatan dalam hatinya yang sedang panas itu.

“Tapi ingat, apa-apa hal jangan cari mama.”

Amaran Mama masih terngiang-ngiang di daun telinganya. Berulang kali bergema dalam pendengaran. Sampai hati Mama berkata seperti itu. Betapa tega Mama memutuskan untuk tidak lagi mahu membantu dan mengambil berat tentang dirinya lagi.

Hatinya membantah sendiri. Memang selama ini dia tidak pernah mengadu apa-apa kepada Mama. Sejak kecil, keperluannya hanya diuruskan oleh pembantu rumah. Makan, minum, pakai hatta perkara menandatangani kad laporan kemajuan sekolah pun dilakukan oleh pembantu rumah.

Dulu, semasa abang sulungnya masih ada dapatlah juga dia menumpang kasih dan manja. Mengadu segala macam hal, itu dan ini. Namun apabila abangnya menyambung pengajian di luar negara, dia kembali berdikari. Si Bibik itulah yang menenaminya dari kecil hingga dewasa.

Rasanya Bibik sudah bersama mereka hampir seusia dirinya. Bibik hanya pulang ke Sumatera dua tahun sekali. Usia Bibik sekarang rasanya sudah menjangkau empat puluh tahun. Mungkin lebih.

Biarpun Mama seorang wanita yang terlalu cerewet namun Bibik masih mampu bertahan bekerja dengan keluarga mereka. Bibik merupakan pembantu rumah Mama yang ketujuh dan kekal hingga ke hari ini. Syukur.

Bintang-bintang yang bertaburan di dada langit malam dipandang tembus oleh Adriana. Teringat kepada Yoo Jin dalam cerita Korea, Winter Sonata. Cerita kegemarannya itu sewaktu dia kecil dulu. Sudah tidak terkira banyak kalinya dia mengulang tonton VCD cerita itu.

Dan bintang Polaris… hanya menambah rindunya pada Navin.

“Dik Na…”

Segera dia berpaling. Wajah Papanya mengisi ruang penglihatan. Tuan Syed Al-Malik Faizal naik ke atas buaian lalu duduk di besi buai berhadapan dengan anaknya itu.

“Pa…” suara Adriana tenggelam dalam sebak. Wajahnya menunduk.

Tuan Syed Al-Malik Faizal mengerti akan kesuraman yang memendungi hati anak gadisnya itu. "Papa faham...”

“Papa faham?” hati Adriana berbunga. Seolah ada putik-putik harapan yang bakal berbunga.

Papanya tunduk dan berkata. “Tapi Mama kan tak setuju…”

“Papa tolonglah pujuk Mama. Please Pa…”

Geleng kepala walau tanpa relanya.Keluhan Syed Al-Malik Faizal kedengaran panjang dan berat. Dengan reaksi begitu sahaja sudah cukup untuk buat Adriana mengerti. Tidak perlu dijelaskan dengan baris-baris perkataan. Dia sudah amat mengerti dan memahami. Tiada harapan lagi untuknya meraih restu Mama terhadap cita-cita dan minatnya itu.

Persoalan demi persoalan bermain di benak. Apakah dia harus melupakan sahaja hasratnya itu? Melupakan saja minatnya untuk menjadi seorang jururawat? Lalu menuruti sahaja jalan yang telah dibentangkan oleh kedua orang tuanya itu Jalan yang ditunjukkan oleh Mama.

“Mama hanya nak yang terbaik untuk kamu.”

Adriana menelan airmatanya mendengar pembelaan Papa. Bukan dia tidak tahu selama ini hanya Mama yang membuat keputusan di dalam keluarga. Menentukan dari A sehingga ke Z. Papa selalunya hanya menurut. Macam Kak Ni juga.

Bukan dia tidak tahu bahawa mematuhi kata ibubapa adalah wajib bagi setiap anak. Bak kata Kak Ni, menderhaka kepada dua orang tua itu berdosa. Jatuh dalam kategori dosa-dosa besar.

Tetapi apakah dia berdosa dan menjadi anak yang derhaka kiranya dia hanya mempertahan dan memperjuangkan hasrat dan cita-citanya untuk menjadi seorang jururawat? Bukannya dia bercita-cita hendak menjadi kepala Komander Israel pun!

“Mama dan Papa sayang pada kamu semua...” perlahan sahaja bicara Papa.

Bunyi tarikan nafas Papa menambah keharuan di hati Adriana. Betapa beratnya sebuah rasa yang Papa pendam selama ini.

“Papa cuma minta Dik Na fikirkan semula. Kalau boleh Papa tak mahu keluarga kita ni berpecah belah lagi. Bergaduh sini sana lagi. Cukuplah apa yang dah terjadi. Kita hanya ada sesama kita, keluarga kita pun bukannya besar mana.”

Nada suara Papa begitu menyebakkan dada. Demi Tuhan, dia tidak pernahterniat untuk melukakan hati Mama dan Papa dengan ketegasannya itu.

Selama inipun dia memang selalu harus memilih jalannya sendiri. Sejak kecil dia telah pun membuat setiap pilihannya sendiri. Mama dan Papa terlalu sibuk untuk sama-sama membantu serta berkongsi pendapat mahupun pilihan dalam hidupnya dulu.

Tetapi kenapa pula kini, setelah dia terbiasa membuat keputusan untuk diri sendiri, Mama harus turut campur tangan untuk memutuskan jalan yang harus dia lalui?

Bukan dia mahu menafikan hak Mama sebagai ibu kandung ke atas dirinya. Namun dia juga tidak mampu menghindar rasa terkilan dengan sikap keras ibu kandungnya itu. Mama langsung tidak memberi peluang untuk dia membuktikan keupayaannya.

Tetapi apa lagi yang harus dan mampu dia lakukan saat itu? Hanyalah sekadar sebuah anggukan sebagai jawapan kepada bicara Papa itu. Meskipun dia sendiri meragui keikhlasannya, namun cukuplah jika ia mampu melegakan hati orang tua itu.

Walaupun Papa tidak pernah berdiri atas kakinya sebagai khalifah di dalam keluarga, Adriana masih tetap memperuntukkan rasa hormat itu buat Papa. Tidak pernah ada pengurangan sedikitpun di dalam peruntukannya itu. Papa adalah orang kedua yang wajib dia hormati, tiga kali selepas Mama. Sungguh dia tahu itu.

Bintang yang bersinar begitu tinggi itu terus direnung sayu dan pilu biarpun Papanya sudah lama masuk ke dalam perut banglo yang tersergam itu. Hatinya yang di dalam berkira-kira. Apakah nanti dia akan memperolehi kebahagian dan kejayaan dalam bidang yang diceburinya itu biarpun tanpa restu daripada kedua orang tuanya?

Apakah Allah akan merestui hasrat di hatinya itu? Bukankah redha dan restu Allah itu bergantung kepada redha dan restu orang tua? Kalau Mamanya sudah marah, apakah mungkin Allah juga akan murka dengannya?

Airmatanya menitis di sebuah persimpangan perasaan.

SELAMAT TINGGAL KEKASIH GELAPKU (11)

“Dear…”

Coleslaw di dalam pinggannya hanya dia kuis-kuis. Bosan begitu, dia meratakan pula sos tomato yang merah di atas paha ayam yang gemuk itu. Ada sahaja yang dia mainkan dalam pinggannya.

Entah apa sudah jadi pada seleranya hari itu. Selalunya dia bersemangat bila meratah daging ayam McD kegemarannya. Tapi hari itu seleranya terbantut bila nama Firas tiba-tiba terlintas di benak. Saat-saat inilah pula lembaga itu melintas di fikiran. Spoil mood saja, cemuh Adriana di dalam hati.

“Hmm…” Navin sedang mengunyah potato wedges.

“Dear, you dengarlah cerita I ni…”

“Ceritalah, selama ni ada ke I pernah tak dengar cerita you tu dear oi…” ujar Navin sambil menuangkan sos cili ke atas BigMacnya pula. Sengaja dia meniru nada percakapan Adriana.

Mendengarkan lenggok nada Navin itu, Adriana mengerling. Dia tahu Navin memang suka menyakat. Setiap patah kata dan tingkahnya pasti menjadi bahan untuk Navin menyakatnya kembali.

“Ada seorang doktor kat wad I tu kan, alamak sikit punya berlagak dear. Menyampah I. Tiap-tiap kali pun nak cari gaduh dengan I dear, sampai I rasa malas nak pergi kerja dah kalau time shift dia,” adunya dengan nada dan mimik wajah yang geram.

Kalau dibandingkan Firas dengan Navin, pastinya perbezaan mereka bukan sekadar putih dan hitam. Tetapi laksana warna merah dan biru. Seorang penyayang, seorang lagi membuatnya haru biru. Seorang matang, seorang lagi ego macam badak sumbu!

Pun setiap kali membuat perbandingan, dia tentu sahaja membezakan ciri-ciri fizikal sebagai simbol peribadi keduanya sebagaimana artikel yang pernah dibacanya dulu. Lagi-lagi artikel itu juga yang menjadi rujukannya.

Kalau dari paras Navin yang berwajah bujur, bertelinga panjang, berhidung sederhana mancung serta matanya cerah bercahaya, kekasihnya itu disifatkan seorang kekasih yang penyayang. Betul! Betul! Betul! Memang itulah juga hakikatnya.

Namun bila melihat rupa paras doktor yang dikatakan kacak dengan kulitnya yang cerah dan tingginya yang mempersona itu, Adriana akan membelek bahagian yang lain pula. Mencari modal lain untuk kritikan.

Wajah Firas yang berbentuk agak bulat dan sedikit tajam ke dagunya menggambarkan kombinasi sifat yang pandai merancang dan juga mengeksploitasi orang lain. Mungkin itulah agaknya bahagian baik yang tersembunyi dalam diri doktor itu.

Like I care... Adriana cebik dalam hati.

Namun mulut Firas yang kecil sama seperti mulut Navin. Tandanya kedua-dua lelaki itu berkongsi hati yang baik. Pandai menghormati perasaan orang lain. Firas? Baik hati? Menghormati perasaan orang lain? Oh tidak... tentu ada ralat dalam teori itu. Adriana masih mahu menyangkal.

Jawapan yang tepat ialah Firas memang tidak pandai menghormati perasaan orang lain. Terutama sekali perasaannya. Mungkin satu pembedahan plastik diperlukan ke atas lelaki itu. Biar wajahnya akan terus mencerminkan peribadinya itu.

Firas sepatutnya memiliki mulut besar. Baru sesuai dengan sifat yang peramah tetapi suka mencari masalah. Fikir Adriana dalam hati yang membahang geram.

Seketika kemudian Adriana tersedar dariapada hasutan hati. Cepat-cepat dia beristighfar. Sedar sebagaimana manusia biasa, dia tidak berhak mempertikai dan memperkecilkan setiap kejadian Allah Yang Maha Besar.

Allah menjadikan semua makhluk dengan keunikan dan sifat tersendiri. Adalah tujuan setiap ciptaan-Nya itu di muka bumi ini. Untuk keseimbangan ekologi? Adriana sengih dalam hati.

Kalau Firas itu dicipta untuk keseimbangan ekologi, rasanya baik diberi makan pada buaya saja kot? Entah-entah buaya pun tidak selera hendak datang dekat dengan Firas itu. Apatah lagi nak dijadikan darah daging dek buaya...

“Aik, sampai hari-hari gaduh ni, apa kes? Ada hari ini dalam sejarah ke dengan dia?”

“Eh, hari ini dalam sejarah apa bendanya? Sebelum ni kenal pun tak dengan mamat tu. Entah datang dari planet mana, pelik semacam. Asyik nak marah I je kerja dia. Berlagak sangat macam dia sorang je yang pandai...”

“Tulah pasal, mesti ada benda hari ini dalam sejarah tu... kalau tak kenapa muka you sorang je yang dia menyampah dear...”

Ternaik sedikit hujung kening kanan Adriana mendengar kata-kata Navin itu. Navin ni kadang-kadang bila bercakap, kalau tidak kena dengan mood boleh sakit hati dibuatnya. Cakap tidak pernah guna penapis! Gerutunya dalam hati.

Navin tertawa kemudian beralah, “Kenapa you kata dia berlagak dear? Tak baik you buruk-burukkan orang tau, Tuhan marah. You buruk-burukkan dia, samalah macam you burukkan ciptaan Tuhan kan…”

Segera dialuruskan pandangannya ke wajah Navin yang sedang membuka mulut luas-luas, sedia untuk menelan BigMac yang dipegangnya. Sos cili menitis sedikit ketika dia menggigit burger itu. Penuh selera sungguh Navin mengunyah burger sambil mengerling wajah mencuka gadis itu.

Geram sungguh Adriana mendengar bicara itu. Begitulah Navin. Positif saja pemikirannya. Semua perkara baik saja di dalam hidup ini. Tidak pernah sekalipun cuba untuk memikirkan bahawa sesekali menjangkakan yang negatif juga penting untuk keseimbangan.

Keseimbangan lagi?  Yalah, keseimbangan ekologi!

“Lah, betul apa I cakap ni,” dia tenung wajah Navin dengan geram.

“Apa faedah pun kalau I saja-saja nak buruk-burukkan dia? Buat sakit kerongkong I adalah. Dia tu yang berlagak sangat, buat kerja pun kadang-kadang tak betul, entah betul dia lulus medic entah tidak,” daging ayam di dalam pinggannya ditujah dengan garpu, melampiaskan rasa geram dalam hati.

“I tegur sikit, melenting. I betulkan sikit, dia mengamuk. Dia cakap apa tau dear? Eh, I tahulah, tak payah you pulak yang nak ajar I. You ingat I ni siapa?” wajah Adriana serius ketika mengulang kata-kata dan nada Firas.


“Ceh!”

“Dah memangnya lah. Yang you nak pergi ajar dia tu kenapa pulak dear… dia tu kan doktor?” Navin tersenyum tipis.

“Oh, dia doktor. I ni siapalah ye? Jururawat je. You ni kan dear, selalu nak bela orang lain tau!” Adriana memuncungkan mulutnya sambil mencubit-cubit drumstick di pinggan.

Navin ketawa kerana dugaannya tepat sekali. Adriana pasti muncung dengan jawapannya itu. Sudah kenal sangat.

“Tak adalah, maksud I… dia tu kandoktor.He should know better what, everything regarding medication and treatment.”

“Aduhlah, you ni kan dear.Memanglah betul dia tu doktor. Tapi doktor pun manusia juga kan, kadang-kadang tersilaplah terlupalah... kan tanggungjawab I untuk tolong dia, nasihatkan dia ke tunjukkan dia ke, salah? Habis nak biarj e patient tu mati depan mata I kalau dia tersilap cucuk ke apa? Salah bagi ubat apa bagai?”

“Hish ye ke? Biar betul dear....? Isk isk isk…” Navin tergeleng-geleng persis orang sedang beratip. Masih dengan tujuan untuk mengusik.

“You kerja kat hospital mana ni dear? Nanti I bagi tahu semua orang tak payah pi hospital you...” dia menyakat lagi.

Adriana sudah membuntangkan matanya dan belum pun sempat dia hendak memprotes, Navin sudah mendahulukan usikannya lagi.“Tapi kan dear, I rasa jangankan dia, I pun kalau kerja dengan you mesti jadi tunggang langgang lagi dahsyat agaknya,” dia kemudian tertawa besar.

Memang dia suka mengusik Adriana agar muka masam itu kembali bersinar dengan senyuman manis yang menenangkan hatinya. Biar sebulat dan semanis orang-orang kuning Digi yang merata-rata tu.

“Hah? Kenapa pulak? Younak salahkah I pulak ke?” Adriana sudah membuntangkan matanya

“Tak adalah... I rasa dia bukannya cuai ke tak tahu ke tu. I rasalah kan dear…” Navin buat muka pelik sambil menyandarkan belakangnya ke dada kerusi sebelum buat muka serius dan menyambung katanya, “dia tu gelabah kot… ya lah, ada nurse peringkat Miss World sebelah, tak boleh tahan jiwa dia tu agaknya dear.”

Sepantas kilat Adriana ketuk jari-jari Navin dengan sudunya sambil mengelipkan mata berkali-kali dengan laju.

Navin ketawa berdekah melihat wajah Adriana yang merona kemerahan. Konon segan dipuji begitu, padahal suka.

“I tak kisahlah kalau setakat dia nak admiredengan girlfriend I yang cantik ni. Tapi lebih-lebih, no way!” Navin ketawa lagi sambil mengerling Adriana yang tersengih-sengih menyuap potato wages ke mulutnya.

“You ni kan dear!Takada maknanya nak lebih-lebih.I ni menyampah sangat kalau tengok muka dia. Handsome je boleh harap, tapi attitude negatif!” gumam Adriana sambil menunjukkan ibu jari dan telunjuknya yang dibentukkan menjadi kosong.

Seperti selalu Navin akan tertawa dengan cerita dan telatah Adriana. Lucu.

“Ketawa pulak! Betul dear, nantikan siapa yang kahwin dengan mamat tu kan, sure malang gila kan dear? Percayalah cakap I ni…” dia terangguk-angguk sendiri.

“Jangan dear… you kutuk-kutuk dia, besok you terjatuh cinta dengan dia baru you tahu. Hah, baru dengan Isekalitahu sama jadinya nanti. Tak pasal-pasalI pulak yang joint Alleycats nampaknya, menangis berlagu…”

Wajah nakal Navin dia jeling. “I dear?” jari telunjuknya diarah ke puncak hidung mancungnya itu.

“I jatuh cinta kat mamat bodoh sombong tu? Tak ada maknanya… nak jadi kekasih ge-lap pun tak layak! Malanglah siapa yang hendakkan dia tu!” dia tekankan perkataan gelap itu.

Besar tawa Navin dengan kritikan gadis itu. Adriana kalau sudah kutuk orang tidak ingat dunia langsung. “Tapi kan dear, I rasa you pun dah jadi perempuan malang?” bibir Navin herot kiri kanan.

“Hah?”

“Yelah, you tak perasan ke dear?Bila kita jalan berdua kan, ramai yang toleh sampai boleh pusing 360 darjah. Diorang kata apa tau dear?Alahai minah ni... sikit punya cun, tapi buta colour…” Navin tahan senyum.

“Apasal pulak? I tak pandai match baju ke dear?”

Navin kunyah lagi BigMac perlahan-lahan. Kembung kedua-dua belah pipinya. Senyuman yang manis tersungging di bibir tipisnya tatkala roti dan daging yang sudah lumat dikunyah turun ke perut. Wajah Adriana direnungnya seketika.

Lurus tiang eletrik betullah Minah sorang ni… hatinya mengikik.

“Ye lah, you punya dear ni pun bukan ke sikit punya gelap? Tak handsome pulak tu. I pun kekadang pelik bin hairan jugak, macam manalah you boleh sayang kat I ni dear…”

“Whatever!” bengang. Baru faham motif kata-kata pemuda itu.

Navin masih tersenyum dan masih ingin terus mengusik, “Dear, you tak menyesal ke berboyfriendkan I ni? Kalau Dr. Firas tu, okaylah kot. Doktor, handsome lagi pulak tu. Tak tahan...”

Adriana diam sambil menggumam bibirnya. Kadang-kadang walaupun nada Navin seperti berjenaka, masih juga Adriana dapat menghidu rasa rendah diri pemuda kesayangannya itu.

“Dear, berapa kali I nak cakap dengan you?Jangan pedulikan apa orang lain kata...” protesnya dengan nada sedikit marah.

“Eh, habis kalau I tak pedulikan apa orang kata, I nak pedulikan siapa pulak yang kata?Kucing kata? Ke nak tunggu Wira I tu yang berkata-kata? Macam kereta Knight Rider zaman dululah pulak, ” Navin masih ingin terus menggiat.

“Dear...!” Adriana mula mengertap bibir, tanda-tanda awal petir nak berdentum.

Navin tersenyum, “Hah! I tahu! I dengar je lah Avatar kata apa ek. Boleh?”

Tidak terkata Adriana jadinya. Navin memang tidak pernah jemu mengusik dia. Biarpun sesuatu isu itu sememangnya menghiris hati mereka berdua. Selalu saja Navin akan berjenaka seolah-olah isu itu tidak terkesan di dinding hatinya.

Wajah Navin yang kembali tekun menghadap hidangannya itu direnung seketika. Ada satu rasa dalam hatinya. Entah mengapa dia belas benar bila memandang wajah Navin. Ada sesuatu pada wajah itu yang membuat hatinya tidak tertafsir akan perasaannya sendiri.

“Dear, I do not love you neither because you are handsome nor you are black. You are handsome to me because I love you, and nothing else matter.”

Navin panggung wajah dan membalas renungannya. Renungan Navin itu membuatkan Adriana semakin sebak. Cepat-cepat dia mengubah nada dan mimik wajahnya. Paha ayam itu dicucuk dengan garpu lalu dibawa ke depan mukanya.

“Gelap pun gelaplah. Asalkan hati I suka. I bahagia apa, dengan you dear… kan ayam kan? Kan, kan, kan?”

Terbahak-bahak Navin tertawa. Tetapi ada sedikit air yang bergenang di tubir matanya. Adriana memang selalu buat dia ketawa sampai keluar airmata.

Adriana senyum lagi. Dia bahagia melihat Navin ketawa. Kemudian wajah Firas melintas pula. Ah, geramnya! Spoiler! Paha ayam di depannya mukanya itu direnung geram. Nampak serupa benar dengan lelaki itu.

Perlahan-lahan dia mengambil paha ayam itu lalu diangkat ke depan mukanya. Hmm… nanti kau… aku makan kau! Mulutnya herot-herot memandang ayam itu.

“Asal you jangan jadi macam doktor sombong tu, sudahlah. Kalau tidak…” Adriana pandang Navin dan paha ayam itu silih berganti dengan mimik wajah geramnya.

“Nampak ni? Hah, ini si doktor sombong tu, sekali I…” terus digigitnya daging pada paha ayam itu berkali-kali. Seolah sedang melampiaskan rasa hatinya.

“Hah, puas hati I, dear…” mulutnya comot.

Navin tertawa berdekah-dekah lagi.

Wednesday, November 23, 2011

Selamat Tinggal Kekasih Gelapku (16)

Penyata-penyata bil Maxis tercampak ke atas meja kaca di tengah-tengah ruang tamu. Ke depan batang hidungnya yang mancung. Namun sedikit tersasar ke hujung meja. Hampir sahaja jatuh ke atas permaidani yang terhampar.

Tangan kurus Adriana perlahan-lahan mengambil bil-bil itu yang sudah terdampar itu. Cuba dibacanya angka-angka di kotak ‘amount due’. RM834.50, RM907.80, 955.32… eh, menggeletar juga jemarinya. Bentuk graf yang meningkat.

Tidak sanggup melihat bil-bil yang seterusnya kerana dia sudah dapat mengagak angkanya. Dalam beraninya, Adriana masih akan ketar jika berbuat kesalahan. Dan Adriana akui, dia memang bersalah dalam hal ini.
Benarlah kata pepatah, berani kerana benar, takut kerana salah…

“Awak cuba bagi Mama lima alasan kenapa bil telefon Adriana ni banyak macam ni?” Syarifah Adirahana tidak memandang Adriana. Sebaliknya dia memerangkap Adriani. Anaknya yang seorang ini mudah dilentur.

Hah! Lima? Berkerut dahi Adriani yang sudah mula merenik peluh halus itu saat mendengar guruh di dalam suara Mama. Banyak tu... bolehkah dia menjawabnya?

“Kak Ni… Kak Ni...” tergagap-gagap Adriani bila disoal seperti itu. Wajahnya sahaja sudah memutih. Pucat disergah Mama.

“Kak Ni apa?!” herdik Mama.

“Kak Ni tak tahu?” Syarifah Adirahana meledak bagai gunung berapi yang meletuskan larva sulung.

“Macam mana Kak Ni boleh tak tahu? Atau Kak Ni pura-pura tak tahu?” gertak Syarifah Adirahana dengan suara sedikit keras.

Adriani tertunduk memandang hujung jemari kakinya yang juga sudah dijangkiti putih pucat dek ketakutan. Adriana perasan akan keadaan itu. Terbit pula rasa kasihan di dalam hatinya melihat Adriani. Memang kakaknya itu terlalu tunduk dan takut dengan Mama mereka.

Dulu Abang pun begitu. Tetapi akhirnya dalam diam-diam, berani juga kahwin dengan gadis pilihan hatinya. Nekad dengan pilihannya itu biarpun Mama bertempik laksana guruh di musim tengkujuh.

Abang sulungnya itu, Syed Arman Feysal rela dan redha dibuang dari keluarga dan keturunan Syed Syarifah sekaliannya. Sanggup bersusah di atas dua belah kakinya sendiri. Tidak terkilan biarpun Mama dengan serta-merta menggugurkan namanya dari wasiat pengagihan hartanya yang melaut, menggunung dan berkepuk itu. Marah betul Mama!

Abang teguh dengan pendiriannya. Sekalipun, Siti Sarah bukan pilihan Mama. Biarpun Siti Sarah adalah pilihannya yang tidak direstui oleh keluarga Syed Syarifahnya, abang tetap nekad dengan kepercayaan dan keyakinan yang kental di dalam jiwanya.

Hanya dia yang hadir di majlis pernikahan serba sederhana abang sulungnya itu dulu. Kak Ni tidak ikut walaupun Adriana tahu Kak Ni menangis dalam hati. Dia takut dan bimbang untuk mengikut Adriana ke majlis Abang Feysal.

Kalau Mama tahu habislah… katanya dulu. Tapi Adriana tidak peduli. Hatinya sama keras atau kurang sedikit kerasnya berbanding hati abangnya, Syed Arman Feysal.


“Sampai hati Mama dan Papa tak mahu datang. Adriani pun…” luah Feysal perlahan usai majlis pernikahan malam itu di rumah keluarga kak Siti Sarah.

Hati Adriana sayu. Namun dia tidak mahu menunjukkan kesayuan itu kepada Abang. Lantas dia mempamer wajah cerianya sambil mereka alasan bagi pihak kembarnya.

“Kak Ni nak ikut tapi Mama dan Papa ada di rumah. Dia tak dapat cari alasan. Dik Na memang dari hostel, tak kisahlah kalau Mama bagi ke tak..”

Feysal cuma mengangguk lesu. Nafasnya ditarik panjang. Pandangan matanya menembusi dinding rumah. Mungkin merenung masa depan yang bakal dilaluinya mulai detik itu.

Setelah bergelar suami, kini abang akan memikul tanggungjawab yang lebih berat. Tidak lagi sekadar menjadi khalifah kepada dirinya sendiri. Tetapi juga menjadi khalifah kepada isteri tercinta serta bakal keluarga yang akan dibinanya.

Abang harus berdikari kerana tidak akan ada satu sen pun bantuan yang akan dihulurkan oleh Mama dan Papa lagi. Itulah natijahnya jika ingkar dengan kehendak dan kemahuan Syarifah Adirahana.

“Sekarang abang dah tak ada sesiapa. Abang sekarang hidup sebatang kara…” luah Feysal perlahan. Sayu.
“Abang kan dah ada Kak Sarah sekarang, Dik Na pun kan ada?” nadanya ceria sekadar menggembirakan hati abangnya itu.

Kakak iparnya, Siti Sarah yang setia di sisi abangnya itu kelihatan manis dan jelita bertudung serta berbaju kurung warna peach. Sedondon dengan suaminya. Dalam hatinya, Adriana berkata-kata sendiri.

Apalah salahnya dengan Kak Siti Sarah ini? Orangnya malah cantik juga. Pada pandangan mata hati Adriana, Kak Siti Sarah lebih cantik dari Syarifah Alis Aneesa, anak Mak cik Syarifah Amnah, yang menjadi pilihan hati Mama untuk abang dulu.

Namun dia tahu rupa paras bukanlah ukuran sebenar yang membuatkan hati abang terpaut pada wanita itu. Pastinya ada lebih banyak perkara yang baik lagi indah pada Kak Siti Sarah yang telah mencuri hati abangnya itu.

Lagipun orang kata kecantikan itu adalah isu yang subjektif. The beauty is in the eyes of the beholder kan? Suka hati dialah...

Pun rasanya kalau that beauty is in the eyes of abangnya itu, dia setuju jugalah. Samalah juga dengan ‘the beauty in her eyes’ juga. Adriana renung Siti Sarah. Riak wajah kakak iparnya itu lebih tenang dan lembut. Selembut tutur dan tingkahnya.

Hendak dikatakan tidak punya kelulusan, Kak Siti Sarah ada PhD dalam Business Admin. Kalau hendak dipersoalkan kerjayanya, Kak Siti Sarah merupakan seorang pensyarah di UiTM. Di kampus induk di Shah Alam. Sama seperti abang Feysal juga. Eloklah dari kerjayanya sebagai jururawat yang selalu Mama pandang rendah sangat-sangat itu.

Hendak dipersoalkan asal usulnya?Keluarga Kak Siti Sarah tidak dinafikan memang orang-orang yang berperibadi semuanya. Seharusnya Mama dan Papa yang merasa segan kalau peribadi mereka yang dijadikan ukuran.

Kita hidup di muka bumi Tuhan ini seharusnya sentiasa bersikap hamba. Merendah diri. Tapi baginya Mama sudah menjadi manusia yang taksub dengan duniawi. Dan Papa... Papa masih belum punya kekuatan seorang khalifah untuk membimbing keluarga mereka.

Adriana jadi malu tiba-tiba. Siapalah Mama dan Papa mereka kalau dibandingkan dengan orang tua kak Siti Sarah itu. Ayahnya merupakan Imam di kawasan tempat tinggalnya. Seorang yang berilmu agama dan selayaknya dihormati.

Ibunya pula seorang bekas guru agama. Kini ibu mertua abang itu mengajar tajwid dan taranum kepada budak-budak dan orang dewasa di kawasan itu. Ibu bapanya orang baik-baik. Kak Siti Sarah juga merupakan anak perempuan tunggal. Yang bongsu. Satu-satu saudara lelakinya, adalah Koordinator Pelajar yang kini sedang berada di UAE.

Jadi, Adriana tidak mampu untuk mencari dan mencerna apa lagi salah atau kurangnya Kak Siti Sarah untuk menjadi menantu keluarga mereka di mata Mama? Mungkin salahnya, Kak Siti Sarah adalah Siti Sarah. Bukannya Syarifah Siti Sarah.

Yang paling Adriana kesali adalah sikap berkecuali Papa yang tidak pernah berubah. Papa pun tidak pernah mahu bersuara dalam hal ini. Malah semuanya Papa serahkan pada keputusan Mama.

Papa diam sahaja saat Mama membuang anak sulungnya itu. Namun masih juga Adriana tahu Papa menangis dalam hati lelakinya. Kasihan Papa...

“Apa dah jadi dengan kamu ni, Adriana?!”

Hush semangat! Adriana urut dada. Serta-merta wajah Abang Fesal, Kak Siti Sarah dan majlis nikah terpelanting keluar dari ruang matanya.

Tempikan lantang Mama bergemuruh dalam dada Adriana. Wajah Mamanya juga sudah berona kemerahan. Tetapi semakin Mama panas, semakin pula Adriana terbakar.

Adriana sudah tidak gentar lagi. Cuma dia tidak rasa hendak melayan Mamanya tika itu. Tanpa kata, dia hanya melangkah pantas menaiki anak-anak tangga menuju ke biliknya.

Jeritan Mamanya semakin hilang dari pendengaran. Pun memang dia tidak mahu ambil peduli. Apa nak jadi, jadilah. Mama marahpun, takkan sampai tergamak menyakitinya? Membunuhnya.

Aku kan anak dia? Lagipun takkanlah Mama sanggup nak bunuh anak dia ni? Mama pasti takut dengan penjara...

Ah Mama... mana bisa hidup susah rasanya.



“Itulah Dik Na...”

Mulut Adriana sudah mula muncung saat mendengar ulang kata-kata itu.

“Kan Kak Ni dah pesan banyak kali jangan bergayut lama-lama sangat. Tengok tu bil telefon dah melambung, tengok pulak macam mana Mama melenting tadi,” leter kembarnya itu sewaktu mereka berbaring di atas katil masing-masing.

“Tak nak percaya tau cakap orang...”

Mata Kak Ni masih merah. Bekas menangis tadi. Sedu dari esakannya pun masih kedengaran sekali sekala. Adriana muncung. Leteran Mama tadi masih berbekas di cupingnya.

Adriana buat pekak sahaja. Bukan dia tidak mahu dengar. Tetapi dia sudah bosan mendengarnya. Tidak perlu lagi Kak Ni ulang. Setiap patah perkataan yang terbit dari mulut Mamanya yang laksana bertih digoreng itu memang sudah sebati melekat dalam ruang kokleanya.

”Itupun nasib baik mama belum tahu pasal si Navin tu... kalau tidak tak tahulah apa nak jadi dengan dunia ni... tolonglah Dik Na...”

Muncung lagi. Malas hendak dia layan ratapan dan rintihan kembarnya itu. Kak Ni pun sama macam Mama juga, tidak pernah mahu faham akan hati dan perasaannya!

“Lagipun apa bendalah yang awak bualkan dengan si Navin tu sampai berjam-jam? Tak ingat ke awak tu nak bekerja ke nak rehat ke nak buat apa-apa benda lain ke?”

Masih juga Adriana senyapkan dirinya. Langsung tidak ada hati hendak bertikam lidah dengan Kak Ni. Penat menelan butir-butir leteran Mamanya tadi pun masih belum reda. Takkanlah hendak tambah lagi sebakul bebelan Kak Ni pula? Aduh, antara siksaan-siksaan dunia yang buat dia sengsara.

Kadang-kadang Adriana rasa kembarnya sedikit sebanyak mewarisi mulut becok Mamanya. Eloklah tu, esok-esok di hari tuanya ada juga orang yang boleh jadi ‘Mama’ kepadanya bila Mama sudah tidak ada lagi.
Ish! Adriana? Apa pula sampai ke situ fikirnya... getus hatinya sendiri.

“Dik Na! Dengar tak apa Kak Ni kata ni?” Adriani menggoncang bahunya. Tapi Adriana tetap mahu membatukan diri.

“Dengar…” lambat kemudian dia membalas juga. Sepatah. Lalu menarik selimut menutupi tubuhnya hingga separas dada.

Adriana toleh ke penghawa dingin. “Sejuknya, Kak Ni pasang suhu berapa ni?” dia mengomel.

Adriani geleng kepala lalu melangkah mendapatkan remote penghawa dingin yang dilekatkan ke dinding. Dia mengurangkan suhu penghawa dingin itu. Rasa hairan terbit di hatinya.

Tidak pernah-pernah pula manusia itu mengadu sejuk. Biasanya suhu takat beku kutubpun dia masih boleh berpeluh-peluh. Waktu tengah dinasihatkan itu pulalah datang angin sejuknya.

Sengajalah tu, macamlah kita ni tak faham dengan perangai dia… Adriani mengomel di dalam hati.

“Lagi satu yang Kak Ni hairan. Asyik awak je yang telefon dia, si Navin tu tak ada handphone ke?”

“Ada…” jawabnya. Sepatah juga.

“Dah tu, kenapa dia tak nak pakai handphone dia untuk telefon awak?”

“Dia guna prepaid. Kesianlah kat dia kalau nak suruh dia yang telefon selalu…”

Adriana baring mengiring di atas katil. Sengaja. Supaya dia dapat membelakangi kembarnya yang masih berminat untuk berleter itu. Kalau boleh dia tidak mahu memandang muka Kak Ni. Takut kak Ni korek semua rahsianya. Tak macholah kalau Kak Ni tahu semua rahsianya itu.

“Tahu kasihan kat orang lain? Habis, kat keluarga sendiri tak kesian?” tempelak Adriani.

Navin bukan orang lainlah... protes Adriana dalam hati. Kan dia akan jadi adik ipar Kak Ni. Akan jadi menantu Mama dan Papa? Akan juga menjadi sebahagian daripada keluarga ini.

“Kak Ni pun sama macam Mama, kedekut…”

“Eh, bukan kedekut tau… berjimat. Tahu ke tidak yang membazir tu pekerjaan syaitan?”

“Membazir apa pulaknya?” protes Adriana sambil mengerling wajah Adriani dengan hujung matanya.

“Dik Na cuma call Navin, borak-borak. Kak Ni tau tak kerja Dik Na ni penat sangat, sakit tau otak ni. Bila dapat berbual dengan dia hilanglah sikit sengsara Dik Na ni…”

“Macam tak ada orang lain yang awak boleh berbual dalam dunia ni. Macamlah awak tu tak ada keluarga?” tukas Adriani.

Tergelak kecil dalam selimut. Sinis bunyinya, “Keluarga?”

“Siapa?” soalnya lagi.

Lalu Adriana bingkas bangun. Pandang muka Kak Ni sedikit waktu. Hatinya sudah mula terbakar. Sikit lagi kalau Kak Ni masih mahu meneruskan provokasi ini, pasti hatinya akan rentung. Tengoklah kalau tak percaya...

“Cuba Kak Ni bagi tau kat Dik Na sikit. Manusia mana dalam rumah ni yang ada masa nak entertain Dik Na ni?”

Kembarnya itu seraya terdiam mendengar semburannya.

“Mama?” Adriana dekatkan wajahnya ke wajah Adriani yang terkedu.“Papa?” dia tarik kembali wajahnya lalu duduk tegak.

“Heh, lebih baik diorang duduk dengan Tun Tan Sri, Datuk Nenek, Toh Moh Meh ntah apa-apa, Tuan Syed Syarifah diorang tu. Ada gak faedahnya kan…” Adriana terus mengomel.

“Bibik?” lehernya dia panjangkan seolah Bibik ada di ambang pintu bilik mereka.

“Daripada dia melayan Dik Na, baiklah dia masak ke, mengemas ke, membasuh ke, menyiram pokok bunga ke. Petik buah limau kasturi kat belakang tu ke buat sambal belacan. Kalau tak nanti dikatakan dia makan gaji buta pulak,” kata Adriana panjang dan sinis.

“Kak Ni?” Dia tenung muka kakak kembarnya dalam-dalam. Kembang-kempis hidungnya menahan geram dengan sikap lurus bendul perempuan yang serupa wajah dengannya itu.

“Lagilah… Kak Ni lebih suka tengok buku-buku Kak Ni tu daripada tengok muka Dik Na ni hah. Pun nak tengok buat apa, ye tak? Sebijik macam rupa Kak Ni juga. Tak ada maknanya…” Dia dengar Adriani tertawa perlahan.

“Orang cakap betul-betul, dia ketawa…” Adriana kerling tajam.

Terpaksa Adriani hentikan tawa, “Tak adalah, Dik Na ni kalau bercakap macam M16.”

“Sekarang orang dah tak pakai M16 lah Kak Ni. Ada banyak lagi senjata canggih dalam dunia ni. Senjata yang tak berupa senjata pun dah banyak. Tak ada M16-M16 lagi dah tau!” wajah Adriani dia kerling.

“Itulah, baca jelah buku-buku perubatan awak tu. Sampai apa jadi kat dunia pun tak tau…” kata Adriana dengan geram.

“Dah, melalut pula dia. Kak Ni nak pesan ni, awak tu perempuan. Janganlah asyik awak je yang memberi. Esok kalau dia dah terbiasa menerima je, payah…”

Adriani menghela nafas. Demi Tuhan dia tidak berniat untuk menghalang perhubungan adiknya dengan pemuda India yang bernama Navin itu. Cuma perasaannya menjadi tidak enak tiap kali memikirkan bahana jika Mama dapat menghidu percintaan dua dunia itu.

“Dia kan lelaki… kalau nak seribu daya. Kalau dia rindu kat Dik Na, biarlah dia yang telefon. Masa ni lah pun nak tengok keikhlasan hati orang lelaki. Jangan sebab dia tahu Dik Na ni anak orang berada, dia nak ambil kesempatan pula…”

Adriana tarik selimut, kali ini terus melepasi hujung kepalanya. Enggan mendengar Kak Ni berceloteh yang bukan-bukan tentang kekasih hatinya itu. Bukanlah dia hendak mendabik dada. Tetapi sehingga saat itu dia lebih tahu hati budi Navin.

Lagipun bukan salah Kak Ni kalau prejudisnya itu mengambil sedikit ruang. Kak Ni pun belum lagi mengenali Navin sepenuhnya. Oleh itu apa sahaja dakwaan dan prasangka Kak Ni terhadap Navin adalah tidak relevan sama sekali.

Apapun, Adriana masih rasional. Tidak ada gunanya dia bertegang urat semata-mata untuk mempertahankan perkara yang dia sendiri tahu tidak akan memberi apa-apa makna kepada ahli keluarganya itu.

Pucuk pangkalnya setiap ahli keluarganya itu pastinya tidak akan rela dan tidak pernah akan mengizinkan perhubungannya dengan Navin. Adriana tahu sangat patah-patah kata yang akan diungkapkan oleh Mamanya.

Tidak. Titik. Fullstop! No! Never! Jangan harap!

Matanya sudah separuh terpejam. Dia tidak sabar menanti suria esok. Dia berdoa agar mentari bersinar dan memutar hari dengan cepat. Tidak sabar untuk ketemu lagi kekasih hati yang dirindui.

PAGEVIEWS