Wednesday, March 23, 2011

SELAMAT TINGGAL KEKASIH GELAPKU (12)

Jam digital di tepi meja tulisnya sudah menunjukkan angka 1.45 pagi. Melodi hujan awal pagi masih kedengaran. Iramanya lunak menimpa bumbung rumah. Lunak bergendang dengan tanah basah dan lopak yang bertakung.

Hujan itu turun dari petang tadi lagi. Sehingga sekarang pun masih belum ada tanda-tanda untuk mengundur diri. Orang tua-tua kata hujan renyai malam lambat berhenti. Entahlah…

Di depan sana, televisyen sedang bersuara sendiri. Tiada siapapun yang menontonnya. Pendukung-pendukung watak dalam CSI: Miami sedang beraksi di kaca televisyen LCDnya melalui siaran 701. H.

Firas hanya menontonnya sekejap-sekejap. Sekejap-sekejap lagi pula menyambung bacaan yang masih belum berganti mukasurat sejak sejam yang lalu. Tidak tahu di mana mula tanda bacanya.

Hakikatnya, minda Firas tidak fokus. Biarpun dia peminat terlampau siri Crime Scene Investigation dan juga ulat kepada segala jenis buku, namun fokusnya saat ini berpaksi kepada satu subjek yang lain.

Nafasnya dia tarik dalam-dalam. Kemudian melepaskannya perlahan. Tarik, lepas... tarik, lepas.... Penyaman udara yang kemas melekap di dinding bilik bercat putih itu dikerling. Kedinginan yang menjalari tubuh mula terasa menggigit belulang.

Tadi, meskipun di luar hujan lebat, dia masih merasa bahang. Lalu dia menekan remote pada suhu 18 darjah. Memangpun suhu dan cuaca dunia sudah menjadi semakin pelik.

Dia masih ingat ketika belajar sains dalam tingkatan tiga di sekolahnya dulu. Guru Sainsnya waktu itu seorang guru China. Cikgu Phua namanya. Bibirnya seraya menggaris senyuman. Kembali membayangkan lelaki China yang besar dan tinggi itu. Sekali pandang macam Hulk Hoganbangsa China, versi Malaysia.

Dulu Cikgu Phua kata aktiviti industri yang mengeluarkan asap dan habuk serta aktiviti pembakaran akan membahayakan dunia. Bagaimana? Itulah soalan yang ditujukan kepada Cikgu Phua.

“Apabila sudah telampau banyak aktiviti pembakalan dan pencemalan udala dali aktiviti industli, lama-kelamaan ia akan mentipiskan lapisan ojon bumi. Lama-kelamaan lapisan ojon akan sudah tidak ada lagi. Pada masa itu, sinalan ultla-violet akan menembusi bumi kita tanpa ada tapisan lagi. Masa itu cuaca akan jadi sangat panas.”

Terus mengulum senyum panjang. Dahulu, di zaman persekolahan mereka menggunakan bahasa melayu sebagai medium perantaraan. Sekarang pelajar-pelajar sekolah rendah belajar sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris.

Cikgu Phua walaupun sudah berbelas tahun mengajar di Sekolah Kebangsaan, tetapi lidahnya masih tidak boleh menyebut dengan fasih beberapa perkataan melayu terutamanya ejaan yang melibatkan huruf r, t dan imbuhan.

Perkataan menipiskan disebut oleh Chikgu Phua sebagai mentipiskan. Paling dia dan rakan-rakan sekelas tidak boleh tahan gelak bila mendengar bunyi Cikgu Phua menyebut ozon. Ia akan jadi sebutan o-jon.

Cikgu Phua pun bukan tidak tahu mereka mentertawakannya. Sebaliknya Cikgu Phua sendiripun tidak pernah marah. Dia tidak pernah pun mencuba untuk mengubah atau memperbaiki sebutannya.

Semakin dia buat-buat adalah. Malah Cikgu Phua akan turut ketawa bersama mereka. Menjadikan suasana kelas dan pembelajaran begitu menyeronokkan. Segala yang diajar oleh Cikgu Phua mudah sahaja untuk mereka ingat. Walaupun sesudah dimuntahkan di atas kertas peperiksaan.

Memang betullah kata Cikgu Phua. Zaman ini lapisan ozon sudah menipis. Hingga begitu terasa keringnya bahang mentari yang menggigit kulit. Aduhai, apatah nanti di padang Mahsyar? Firas insaf.

Butangoff pada remote penyaman udara ditekan. Kedinginan itu terasa sudah mencengkam sum-sum. Matanya kemudian berkalih lagi ke arah televisyen. Siaran CSI : Miami masih belum tamat. Buku di tangan juga belum beralih halaman.

Ada sesuatu yang mengganggu di fikiran. Sejak tadi cuba dinafikannya. Malah dia telah berusaha keras mengusir lintasan seraut wajah itu. Digantikannya pula dengan wajah Cikgu Phua yang sudah berbelas tahun terbenam dalam lipatan masa dan usianya.

Ah, Cikgu Phua dan cerita ’ojon’nya yang kini menjadi realiti itu sekadar satu escapism. Satu penafian. Sebetulnya Firas sedang cuba membohongi diri. Berbohong mengenang Cikgu Phua. Sedangkan yang menjelma di dalam hatinya, perasaannya, akalnya dan di dalam sepasang korneanya adalah...

Firas menutup buku di tangannya dengan keras. Tanpa niat. Tanpa sedar. Wajah tenang Horatio dia cemburui kala itu. Kenapa pula harus aku cemburu? Hatinya mendengus. Bukankah Horatio itu memang semulajadinya, atau memang sudah wataknya tenang sahaja biarpun sedang menyelesaikan kes yang berbahaya.

Sedangkan dirinya saat itu, biarpun bertopengkan wajah tenang, namun hatinya yang di dalam balutan kulit dan belulang itu bergelodak. Lemas dan sesak dalam limpahan darah dan air dalam badannya yang sedang berperang.

Apakah sebenarnya yang sedang bergolak dalam dirinya itu? Dia sendiri tidak pasti. Mahupun memahami. Firas merasakan dirinya sedang lemas dalam sesuatu. Terasa dirinya yang sebenar di dalam jasadnya itu meronta-ronta minta dilepaskan dari suatu suasana.

Keluhannya berat. Badannya disandar keras ke empuk kerusi ¬study.Mengapa semakin dia cuba melupakan, semakin itu pula ia datang mendera? Ya, hidupnya kini terdera oleh suatu perasaan aneh. Perasaan yang berbaur terhadap seorang gadis.

Ya, gadis itu.

Dan kini seraut wajah redup dan lembut gadis itu yang menjelma di mata hatinya seketika tadi diusir oleh lintasan seraut wajah lain yang kini merobek diri. Firas mengertap bibir.

No! I should not give in to this feeling! Never!



Pintu biliknya terkuak. Tegak lehernya tatkala mendengar bunyi daun pintu yang berkeriut.Tersenyum memandang abah yang seketika kemudian menjengah di muka pintu.

“Bah?” tegurnya.

Abah sudah masuk ke dalam bilik dengan dua gelas mug yang kelihatannya masih mengeluarkan asap. Dari aroma yang terhidu, Firas tahu abah membawakannya satu mug kopi panas.

“Lah, kenapa abah belum tidur ni?” Firas bertanya sewaktu bangun menyambut mug dari tangan abah.

Lelaki tua berusia lewat enam puluhan itu duduk di atas kerusi malas yang memang selalu terletak di tepi jendela yang terbuka itu. Kerusi itu dipusingkannya perlahan dengan kudrat tuanya agar mengadap ke luar. Biar nampak dada malam yang hitam itu. Pun biar dia dapat merasa bayu malam yang dingin dek hujan yang masih turun.

“Tak boleh tidur. Sejuk sangat, tu buat kopi…” balas abah sambil meniup-niup air kopi panas.

“Kalau abah nak minum kopi kan boleh suruh Firas buatkan je?”

Firas bangun sambil membawa bersama mug kopinya. Dia tarik sebuah kerusi lalu diletakkan di sebelah abahnya. Dua beranak itu sama-sama mengadah pandang ke luar. Ke dada malam yang pekat.

Sesekali air hujan tertepis masuk. Tempias. Firas cepat pandang abahnya yang leka menghirup kopi hitam dari dalam mug.

“Abah tak boleh kena angin macam ni,” larangnya dalam nada menasihati.

Abah tidak menjawab.

“Bah?”

“Alah, kalau tak kena angin ni pun, abah memang sakit juga…”

Alasan abah sudah selalu dia dengar begitu. Kalau tidak disebabkan apa-apapun, abah kata dia memang sudah pun sakit. Firas tarik nafas. Memang abahnya begitu. Tidak boleh dilarang dan dinasihati lagi. Lebih-lebih lagi kebelakangan ini.

Kalau dia berkeras juga nanti abah akan beralih topik. Akan mula bercakap tentang hidup yang tersia dan kematian yang akan pasti. Dan Firas memang tidak mahu abah bercakap tentang semua itu lagi. Tentang perkara-perkara yang bisa membuat hati dan kepalanya bengkak. Biarlah, kalau abah suka duduk di situ dan dicium dingin hujan malam. Dia tidak akan tegah lagi.

Kalau abah sakit lagi nanti, dia akan beri ubatnya. Begitulah seadanya. Penyakit abah kalau diikutkan tiada ubat yang mampu membantunya lagi. Semua ubat pun tidak lagi memberi sebarang tindak balas yang memberangsangkan.

Tetapi tak apalah. Bukankah dia seorang doktor? Sekarang banyak ubat-ubatan dan teknologi termoden untuk merawat penyakit. Dia akan rawat abah sedaya upayanya. Seadanya. Dengan izin-Nya.

“Firas…”

Dia menoleh ke sisi bila mendengar abah memanggil namanya.

“Ya bah?”

“Awak ni sampai bila nak membujang?”

Hatinya berdetak. Nampaknya abah sudah dapat soalan baru untuk kertas peperiksaan ini. Abah sudah mula bertanya soalan yang berkaitan dengan dirinya pula. Selalunya abah akan bertanya tentang tugasnya di hospital. Tentang pesakit dan penyakit, tentang dunia dan alam sekitar.

Selalunya abah akan ajak dia berbual tentang isu-isu semasa yang dia dapat idea dari berita yang dia tonton. Tetapi saat itu abah bertanya satu soalan paling baru. Ada perubahan silibus nampaknya.

Senyap. Firas bawa diri menzahirkan reaksi bersahaja dalam kebisuannya. Tetapi kelewatan Firas membalas tanya itu membuatkan abah bersandar dan terus berkata sesuatu yang menyimbah hiba dalam hati lelakinya.

“Abah ni entah sampai bila dapat temankan awak Firas. Carilah seorang gadis yang baik, yang dapat temankan awak, jaga awak sampai hari tua nanti…” nasihat abah dalam nada yang terlalu dalam menyirat makna.

Entah bagaimana harus dia sahut atau sambut kata-kata abahnya itu juga tidak Firas tahu. Topik baru itu sebenarnya tidak pernah dia suka. Umurnya sudah jejak angka tiga puluhan. Walaupun jumlahnya nampak banyak, namun Firas yakin masih terlalu awal untuk dia berfikir ke arah itu.

Pun rasanya tidak ada keperluan untuk memikirkan semua itu. Nikah kahwin. Hidup berteman dan sebagainya kalau ikut istilah abah. Firas cuma tidak mahu peristiwa pahit yang pernah terjadi dalam hidupnya dan abah dulu berulang lagi.

“Jangan buang rasa kasih dan sayang dari hati awak…”

Untuk sedetik itu Firas jadi terpanar. Abah sudah dan sedang membaca gerak hatinya. Benarlah orang tua itu sudah banyak asam garam dalam kehidupan mereka. Garam kasar lagi tu!

“Kita hidup ni berpasangan, Firas. Semua makhluk dan kejadian di muka bumi ini ada pasangannya. Ada sebabnya Tuhan jadikan begitu,” abah bertutur lembut.

Bukan dia mahu menafikan. Cuma Firas tidak mahu layan sangat sentimen abah itu, “Abah, dah lewat sangat ni. Esok…”

Abah geleng kepala, “Abah tidak pernah salahkan dia. Tidak pernah…”

Kata-kata abah itu hanya membuat hati Firas tambah mengeras. Mengapa abah harus bincangkan lagi semua ini? Tidakkah abah tahu bagaimana dia telah menjalani usianya dengan percubaan yang begitu keras melupakan segalanya itu?

“Semua yang terjadi ada sebabnya yang kita tak nampak.”

Diam sambil memejam matanya. Menghela nafas perlahan-lahan. Betullah tu. Firas tidak pernah menafikannya pun. Semua makhluk dan kejadian memang telah Allah ciptakan berpasangan.

Terisi di antaranya sifat saling memerlukan dan melengkapi. Dan bila sesuatu itu saling perlu-memerlukan dan lengkap-melengkapi, pastilah harus hadir sebuah perasaan berkehendak dengan penuh kasih dan sayang.

Tidak perlu disebut tentang Romeo Juliet atau Taj Mahal. Semua itu cinta dunia. Sekeras-keras hati Firas, dia masih meyakini kasih yang abadi. Seperti abadi dan luhurnya cinta Adam bersama Hawa. Satu-satunya cerita cinta paling kudus yang dia percaya dalam kewujudan hidup ini. Cinta syurga. Dan Firas yakin tidak pernah akan wujud cinta paling suci begitu di maya pada ini.

Tetapi bukanlah bermakna Firas langsung tidak percayakan kasih sayang atau cinta itu sendiri. Cuma dia tidak mahu pengulangan memori pahit itu mencalarkan lagi kehidupan yang telah dia bentuk kini. Firas tetap juga percaya segala yang pernah berlaku dalam hidupnya dan abah ada sebabnya. Walaupun sebab itu tidak pernah mampu untuk dia terima. Hatinya tidak pernah nampak sebarang kebaikan di dalam sebab itu.

Dia cuma tahu rasa kepingin untuk mengetahui siapakah wanita yang melahirkan dirinya membuatkan Firas semakin benci kepada makhluk itu. Dia benci kepada semua perempuan dalam dunia ini. Bagi Firas, kehadiran wanita dalam hidup ini hanya akan membawa sengsara. Bukankah orang putih selalu kata ‘no woman no cries’?. Wanita itu yang melahirkan dia juga adalah seorang wanita yang sangat kejam. Tega meninggalkan dia dan abah terkontang-kanting di ambang keyakinan hidup.

Jangankan sekeping gambar, kalau dia perah minda ini pun belum tentu dia mampun untuk mengingati seraut wajah itu. Umurnya baru dua-tiga tahun saat wanita itu pergi. Setidaknya itulah yang diceritakan abah sekali dulu. Pertama dan terakhir. Tiada lagi cerita selepas itu.

Seperkara yang dia tidak akan boleh lupa ialah bilamana hari wanita itu pergi menjadi hari terakhir abah bercakap tentang perkara itu di saat dia sudah cukup mengerti akan kehidupan.

Tidak, abah tidak pernah menanamkan rasa benci dan sesal ini dalam hati Firas. Abah tidak pernah mengajar Firas hidup di dalam dendam sebegini. Tetapi setiap kali abah bercerita tentang wanita itu, tentang cinta, tentang kasih atau sayang, rasa yang cuba dia sembunyi dan nafikan itu menjadi sebuah hakikat.

Yang dia tahu dan ingat, hakikat itu yang telah merubah hatinya jadi beku. Dan dia benci makhluk yang bernama perempuan! Sehingga saat ini. Dan saat ini pula abah cuba membuka pintu itu yang masih teguh berkunci.

“Jangan kerana dia, awak tutup hati untuk kasih dan sayang,” abah pandang jauh ke langit yang terbentang. Hitam.

“Jangan lupa Firas, kasih sayang itu sudah lama wujud. Kita ni manusia wujud kerana kasih sayang yang Allah berikan kepada Adam dan Hawa,” abah bersuara lagi. Perlahan.

Kenapa Firas enggan mengakui kebersungguhan maksud dalam kata-kata abah itu? Atau mungkin kerana Firas malu untuk mengakui kebenaran itu. Ataupun mungkin Firas malu kalau abah memang sebenarnya sudah mampu membaca tahap rontaan hatinya untuk mencair? Dan abah tahu dia hanya perlukan sedikit cahaya untuk berjalan di tanah yang terang?

“Awak lahir pun, kerana kasih sayang. Kasih sayang yang pernah ada antara abah dengan dia. Apapun yang telah berlaku tidak akan mengubah hakikah bahawa dia tetap wanita yang telah mengandungkan dan melahirkan awak. Dia tetap ibu awak Firas,” ujar abah agak lemah di hujung bicaranya sebelum menyedut udara yang masuk dari bukaan jendela agar helaan nafasnya sedikit regang.

Batuknya kedengaran sekali dua. Keras. Tangannya meraba dan menggosok-gosok dada. Kulit muka abah yang putih berubah merah. Mungkin menahan kesakitan yang mencengkam dalam rusuk dada yang semakin dimamah usia.

“Berubahlah nak…” abah sudah seperti merayu pula.

Nafasnya abah hela lagi dengan begitu payah. Masih juga jemarinya mengurut dada. Seperkara yang tidak berubah hanyalah buangan pandangnya yang masih tertancap di dada malam.

“Sekurang-kurangnya untuk abah yang entah esok lusa dah nak balik. Kalau boleh abah nak balik dengan aman, dengan kasih sayang… hanya dengan kasih sayanglah yang dapat menjadikan pemergian setiap insan itu terlalu manis dan mudah buat dirinya dan orang-orang yang dia tinggalkan.”

Abah tunduk saat menyudahkan kata-kata sememangnya sudah dia tahu. Firas masih belum mampu bersuara. Hatta air kopi yang pekat hitamnya di dalam mug juga tidak tertelan. Sejuk bersama hatinya yang dingin.

Ish, abah ni… cakap seperti sasterawan negara pulak…

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

PAGEVIEWS