Tuesday, March 22, 2011

Cerpen 2 : SETULUS AISYAH

“Macam aku tak tahu ini semua kau yang punya pasal!” Jerkah Faizal dengan berang. Gema suaranya melantun dari satu dinding ke dinding bangunan sekolah bercat putih itu.

Aisyah terkejut. Kebingungan.

Kelu lidahnya untuk berkata walau sepatah kata untuk membela diri. Terbit rasa gerun di hati melihat Faizal memandangnya dengan mata yang merah menyala. Tidak senang Aisyah berhadapan dengan orang yang terlalu banyak melukakan hatinya itu. Orang yang tidak pernah tahu menghargai usaha dan pengorbanannya selama ini. Semak mata Aisyah memandang keadaan diri Faizal yang tidak tentu rupa itu.

“Kenapa diam?!” jerkah Faizal lagi.

“Memang kau yang buat sebab itulah tak tahu nak jawab apa kan!?” tempelak pelajar lelaki itu lagi.

Norain yang masih berdiri di belakang Aisyah, gelisah melihat kejadian itu. Dia masih cuba bersabar menantikan Aisyah, sahabatnya itu untuk berkata sesuatu. Namun Aisyah tetap sepi. Diam seribu bahasa, membiarkan Faizal menggunakan kesempatan itu untuk meletupkan mesin-gun nya bertubi-tubi. Norain geram.

Mahu saja dia menjawab balas. Tapi dia bimbang Aisyah akan menyesali tindakannya itu. Tadipun dia telah dipesan agar tidak berkata apapun bila berhadapan dengan Faizal. Mungkin sahabatnya itu sudah membaca kemungkinan yang akan berlaku.

Hairan sungguh Norain dengan sikap Aisyah sanggup bersusah payah untuk Faizal, seorang pelajar yang terlalu banyak menimbulkan masalah disiplin di sekolah. Seminggu lalu Aisyah turun naik pejabat sekolah, keluar masuk bilik Pengetua, bertekak panjang dengan Rosman, Ketua Pengawas sekolah mereka.

Norain tahu, itu semua hanyalah untuk dan kerana Faizal. Aisyah seolah-olah seorang peguam yang bertanggungjawab membela Faizal, anak guamnya. Sungguh Norain tidak dapat mengenalpasti motif tindakan temannya itu.

“Kau ni gila ke Syah…dah tak ada kerja lain lagi ke?” pernah suatu hari Norain membantah tindakan sahabatnya itu.

Aisyah hanya mendiamkan dirinya seperti selalu. Dia tetap meneruskan bacaan tanpa mempedulikan kehadiran Norain di hadapannya dalam perpustakaan itu.

“Kau masih lagi nak bela si Faizal tu?” Norain geleng kepala menahan geram.

“Sudahlah Syah, jangan buang masa kau. Sekolah kita ni akan lebih aman kalau dia dibuang tau…” Norain masih tidak berputus asa. Akan dititiknya jua air pujuk ke hati Noraisyah yang sekeras batu gunung itu.

“Syyy…” terdengar amaran dari seorang pustakawan. Norain tersentak lalu senyum sebagai tanda meminta maaf.

“Kau dengar tak apa yang aku cakapkan ni, Aisyah?” geram Norain bila melihat sikap Aisyah yang membatu itu. Segera ditariknya buku yang tekun dibaca Aisyah.

Gadis beruniform biru muda dengan name-tag PK Pengawas yang tersemat kemas di sebelah kiri baju kurungnya itu perlahan mengangkat wajah memandang Norain. Wajah bujur sirih itu tenang sekali, setenang reaksinya menghadapi keletah sahabat di depannya itu. Dia tersenyum, sekadar menambah geram di hati Norain yang manis berkacamata.

“Norain… kenapa ni? Kenapa marah sangat dengan Faizal tu? Rasa Sya, sejahat dia belum pernah lagi Sya dengar dia pukul pelajar perempuan. Dia ada ganggu Ain ke?” ujarnya tenang dan perlahan .

“Sya…cubalah faham maksud aku ni! Faizal tu budak jahat, jahat tahu tak!” bentak Norain lagi.

“Jahat?” Aisyah bertanya lagi, bersahaja. Masih kekal dengan senyum yang tersungging di bibir.

“Sebab semua orang kata dia jahatlah, Sya buat begini. Sya tahu dia tak jahat dan Sya akan usaha untuk buat semua orang tahu yang dia sebenarnya tak jahat! It is just a matter of time, we’ll see…” ujarnya lagi sebelum berlalu meninggalkan Norain yang terhenyak dipukul jawapan itu.

Aisyah tekad. Niat dihatinya cuma satu. Dia perlu berusaha menghalang Pihak Lembaga Disiplin Sekolah daripada menggantung atau membuang Faizal dari sekolah. Jika keadaan itu terjadi Faizal akan menjadi semakin parah. Apatah lagi peperiksaaan SPM semakin hampir.

Namun Aisyah tahu semua itu tidak mudah untuk dicapai. Segala usaha itu menuntut pengorbanan dan pengertian yang lebih dari sekadar menyelamatkan masa depan seorang pelajar. Dan Aisyah mengerti, malah juga sanggup mempertaruhkan apa jua yang dimilikinya biarpun jawatan dan reputasinya di dalam Lembaga Disiplin menjadi sandaran.

“Saya amat berharap cikgu-cikgu dapat menimbangkan semula keputusan disiplin Faizal Ariffin.” Aisyah cuba memberanikan diri mengemukakan rayuan tersebut dalam sebuah mesyuarat khas disiplin.

Terbeliak biji mata Rosman. Panas telinganya mendengar saranan Aisyah yang seolah-olah mencabar kewibawaannya sebagai seorang Ketua Pengawas. Berpenat lelah dia berusaha mencari dan mengumpul bukti untuk segala kesalahan Faizal dengan harapan trouble-maker itu akan disingkirkan dari sekolah.

Namun kini, setelah segala tindak tanduk Faizal yang menyalahi peraturan sekolah berjaya dirungkainya ke hadapan yang berkuasa, Faizal mendapat pembelaan. Aisyah, penolongnya sendiri menentang usahanya mengembalikan imej sekolah mereka.

“Ini tidak mungkin cikgu! Cikgu-cikgu sendiri dah lihat rekod disiplin Faizal. Saya rasa cikgu-cikgu pun tentu tak akan bertoleransi dengan pelajar seperti ini!” Rosman bersuara keras melahirkan rasa tidak puas hatinya.

Aisyah tenang di tempat duduknya. Memang dia telah menduga dari awal usulan dan tindakannya pasti akan mendapat tentangan.

Tuan Haji Mustafa, Pengetua sekolah memandang ke setiap wajah guru-guru di depannya. Cuba mencari idea penyelesaian yang tenang dan bijaksana. Pengetua yang akan bersara pada penggal yang akan datang itu kelihatan sedikit gusar dan bimbang kerana dua orang kuat pelaksana disiplin sekolah yang sepatutnya bersatu kini telah bercanggah pendapat dalam kes disiplin Faizal. Hati kecilnya seolah menyebelahi tindakan Aisyah, meskipun dia masih belum pasti mengapa.

“Jangan pandang seseorang hanya pada zahirnya sahaja saudara Rosman…” Aisyah menekan suaranya tanpa mengangkat wajah.

“Saya yakin awak tidak tahu apa-apapun tentang Faizal Bin Ariffin ini..”

“Saya tidak perlu tahu kerana apa yang seharusnya diketahui telah pun kita semua ketahui!” Rosman pantas memotong kata-kata Aisyah. Kedua-duanya saling berpandangan dengan renungan berbara.

Saat itu Aisyah dapat merasakan aura kebenciannya tatkala memandang wajah Rosman. Namun Aisyah tahu dia tidak harus membenarkan kebencian yang meluap di hatinya menggagalkan usaha murninya. Kebencian hanya dapat dikalahkan dengan kasih sayang dan Aisyah tahu bagaimana untuk mengaplikasi dan merealisasikanya.

“Cikgu-cikgu semua pun tahu siapa Faizal sebelum ini. Siapa yang mengembalikan zaman kegemilangan sukan sekolah kita setelah bertahun-tahun dipandang lekeh oleh sekolah-sekolah lain. Siapa yang membawa kita menjadi juara bahas dalam negeri kita? Atau perlukah saya bariskan semula rekod beliau…”

“You are wasting time for that!” Rosman cepat mencemuh sinis meskipun Aisyah masih belum menyudahkan kata-katanya.

Aisyah ketawa kecil sekadar menyembunyikan api marahnya yang begitu meluap. “No, I’m not…”

“Berapa lama awak bersusah payah untuk merekodkan kesalahan disiplinnya? Saya tak perlu nyatakan kerana awak sendiri tahu, tapi ketahuilah bahawa saya cuma mengambil beberapa minit sahaja untuk membariskan kecemerlangannya yang pernah dikongsi kebanggaannya oleh kita semua.”

Pengetua dan guru-guru hanya menekur, mendengar dan memikirkan pro dan kontra debat serta hujah dua orang pelajar mereka itu.

“Tolonglah cikgu…dia anak bangsa kita. Dia seperti anak cikgu-cikgu juga...” Aisyah memandang redup ke setiap wajah guru yang hadir dalam mesyuarat itu. Menekuni setiap satu wajah dengan harapan yang menggunung dalam hati. Seolah harapan peguam bela ketika mengutarakan ujah penutup untuk memenangi hati dan sokongan pihak juri.

“Saya percaya tidak ada orang yang mahu jadi jahat, mahu dibenci. Begitu juga Faizal. Yang salah perlu kita betulkan cikgu. Dan untuk membetulkan kita perlu tahu sebabnya bagi mencari kaedah pembetulan. Yang keras tak akan lentur dengan kekerasan cikgu…berilah saya peluang untuk membawa dia kembali menjadi dirinya yang sebenar.” Aisyah telan liur. Tekaknya panas. Mungkin menahan hiba dan airmata.

“Percayalah saya…dia tidak mahu jadi begitu, dia cuma terpesong hala. Kita harus tunjuk dan pujuk dia untuk berpatah.” Aisyah tidak terdaya lagi untuk menahan sebak yang menggunung di dalam hatinya. Namun dia berusaha untuk tidak kelihatan begitu lemah. Dia perlu kuat untuk Faizal.



“Betul kau buat macam tu Sya?” Norain mendesak dengan rasa ingin tahu ketika mereka berkemas untuk pulang setelah loceng tamat kelas hari itu berdering.

“Buat apa…?”

“Sya, apa untungnya kau buat begitu. Kau nak jadi Ketua Pengawas ke?’

“Ain! Sekiranya Ain di tempat Faizal pun Sya akan lakukan yang serupa. Tahu kenapa? Kerana sahabat adalah saudara bagi Sya. Sya tak perlu duduk di kerusi Rosman kerana being myself, I’m more popular than him because of this case, right? Just who is he? Head of Prefect je, bukannya Prime Minister pun…”

Norain terpaku kehilangan kata-kata. Namun di sebalik keteguhan pendiriannya, hanya Aisyah sahaja yang tahu bahawa dirinya kian buntu. Tidak tahu tindakan apa lagi yang harus diambilnya. Dua bulan telah berlalu sejak rayuannya dalam mesyuarat disiplin diajukan dan mendapat sokongan.

Dia sudah berjanji akan membawa pulang Faizal yang dulu tetapi Aisyah merasakan janji itu seakan tidak mungkin tertunai. Janji yang tidak tertunai itu akan menyebabkan dia kehilangan apa yang sepatutnya dimiliki dan terus dimiliknya.

Faizal seolah-olah cuba menunjukkan pemberontakan maha hebatnya bila dia kerap ditahan kerana melanggar peraturan. Malah Faizal seolah-olah sengaja melakukannya untuk disingkirkan dari sekolah itu.

Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Faizal akan tetap ditariknya ke jalan yang benar. Faizal terlalu dikenalinya. Mereka membesar bersama, sudah seperti abang dan adik. Malah Faizal dahulu adalah role-modelnya, inspirasi setiap kejayaannya.

Namun malangnya sejak pertengkaran hebat yang berlaku di antara ibu bapanya sehinggalah mereka berpisah, Faizal berubah. Dia menjadi keras, kasar malah pendendam. Kerana itulah Aisyah tidak sanggup menyalahkan Faizal semata-mata. Dia memahami konflik yang melanda sahabatnya itu. Cuma dia sedar yang menanggung lebih hebat tekanannya dari yang memandang.

Berjalan di sepanjang koridor tingkat dua bangunan akademik, fikiran Aisyah ligat memikirkan Faizal. Hujan renyai lewat petang itu menambahkan lagi kekusutan di hatinya. Di angkat tangan kanannya untuk melihat waktu.

“Allah…tertinggal pula,” keluh hati kecil bila menyedari jam tangannya tiada.

Dia bergegas berpatah semula ke kelasnya di hujung bangunan. Aisyah menolak daun pintu kelas dengan agak kasar. Demi terbuka sahaja pintu itu, Aisyah terpempan dengan pemandangan di depannya. Faizal dengan lagak gangsternya bersilang kaki di atas meja, menghembuskan asap rokok yang seolah-olah sengaja dilakukan untuk menyakitkan hatinya.

Aisyah sebak. Hiba. Dadanya sebak umpama parit sekolah yang penuh dengan air hujan yang turun sejak sejam tadi. Ditenungnya pelajar lelaki yang masih dalam uniform sekolah itu dengan pandangan yang memohon pengertian. Biarpun cuba disembunyikan, seraut wajah Aisyah jelas terpancar seribu garis kehampaan. Aisyah begitu kecewa kerana usahanya tidak membuahkan sebarang hasil. Kecewa kerana semua orang akan menang menuding jari pada sahabatnya itu sebagai seorang yang jahat.

“Jai..” Aisyah memanggil dengan nama yang biasa mereka gunakan sewaktu kecil dulu. Sememangnya antara mereka sudah kehilangan bicara sejak lama dulu bila Faizal mengelak diri darinya.

“Ada lagi? Sya nak try satu boleh?” Masih juga dia cuba menggunakan perkataan-perkataan yang biasa mereka gunakan sewaktu kecil dulu.

Faizal tersentak apabila kata-kata yang terlafaz itu menyusup masuk ke dalam telinganya. Selangkah demi selangkah Aisyah menabahkan diri menghampiri Faizal yang cuma terpaku. Dia dapat merasakan kelainan bila mendepani Faizal ketika itu. Tidak seperti mendepani Faizal yang dulu.

Perlahan-lahan Aisyah mengeluarkan buku nota kecil dari dalam begnya. “3 Jun, keluar sekolah jam 11.35 pagi tanpa kebenaran melalui pagar larangan. 6 Jun, menyimpan rokok dan majalah lucah dalam beg sekolah, 13 dan 15 Jun. terlibat dalam pergaduhan di dalam kawasan sekolah…”

“Tak perlu baca, saya tahu sebab saya yang buat. Bagi ajelah pada Lembaga Disiplin awak tu! Agaknya diorang belum tahu. Nanti boleh dapat anugerah Pengawas Contoh Tahunan!”

Aisyah masih juga tidak angkat kepala. Dia tersenyum sendiri memandang catatan-catatan kesalahan Faizal yang masih tidak sempat dibacakan kesemuanya di depan Faizal. eraya Aisyah menghambur tawa. Ketawa dan terus ketawa sekadar menghindari sebak yang kian mengunjungi kamar hatinya. Dia tidak akan menangis di depan Faizal. Tidak akan sekali-kali.

“Awak tak mahu lakukan semua itu kan? Saya tahu awak sengaja buat semua tu, tapi kenapa? Awak nak ibu bapa awak tahu perasaan awak dengan cara inikah? There’s lot more to do to make them come back to you Jai. But destroying your ownself is totally not the …”

“Shut up!” bentak Faizal

"Just shut up! You know nothing and you are not going to say anything about this. You do and go your own way and I do mine, as I wish! Kau jangan nak involve dalam hidup aku!” Faizal tangkas memotong kata-kata yang ditutur lembut oleh Aisyah dengan nada yang keras.

Aisyah tersentak. Hatinya sudah meratap di dalam dada. “Saya tahu awak tidak mahu melakukan ini semua, saya tahu. Saya tahu awak tak jahat sebagaimana yang ingin awak tunjukkan. Betul kan? Jika saya silap, katakanlah sekarang. Katakanlah sekarang bahawa saya telah membuat kesilapan besar kerana menganggap awak boleh berubah meskipun semua warga sekolah ini memandang awak sebagai…” Aisyah kian sebak. Dia ragu akan kekuatannya untuk meneruskan bicara.

“Katakanlah Jai... ketawakan saya sekarang sebelum orang lain menghina dan mentertawakan kesilapan saya.”

Aisyah segera bangun dan beredar meninggalkan Faizal kerana kolam matanya sudah tidak mampu untuk menahan air jernih. Di muka pintu, Aisyah berhenti dan berkata perlahan dengan nada yang menggambarkan betapa ketabahannya sudah ditindas oleh putus asa.

“Ya, as you wish…and you may do as you wish. Awak boleh tipu semua orang tapi awak tak boleh tipu hati awak. And one thing to remember brother, this sister of yours has already involved, too much involved.”

Ketika Aisyah melangkah berat sambil menyeka airmata, Faizal perlahan-lahan menoleh memandang kesan-kesan langkah seorang sahabat yang pernah berkongsi suka-dukanya. Faizal menelan kepahitan perasaan dengan payah.

Dia tahu Aisyah ikhlas kepadanya. Cuma apa yang dilaluinya kebelakangan ini terlalu sukar untuk diterima. Faizal tidak mampu meluahkan rasa tidak puas hatinya kepada kedua ibu bapa yang melahirkan tetapi tidak pernah mengambil kira untuk mendidik dan membesarkan. Sudah tahapnya kini dia tidak tertahan lagi.

Selama ini dia menjadi seorang anak yang baik, murid yang cemerlang, namun dia tidak sampai ke mana. Tidak ada kepuasan dalam hidupnya. Tidak ada perhatian yang diperolehnya.
Dan kini? Ya, kini semua menoleh ke arahnya. Ibu dan ayahnya juga.
Biar mereka rasa…hati kecilnya berbisik.


Esoknya, Aisyah ke sekolah dengan lesu. Dia lebih banyak berdiam diri. Kesedihan dan kekecewaan kerana kegagalan merubah Faizal lebih menyiksa hatinya dari keperitan perjuangannya membela sahabatnya itu.

“Mungkin ini adalah masanya aku harus redha….” bisik hati kecilnya yang telah diselimuti gebar kecewa.

Melangkah ke pejabat sekolah diiringi sahabatnya, Norain, airmata Aisyah terus menitis. Kali ini dia tidak menyekanya lagi. Dia tidak mahu berpura-pura lagi. Walaupun tidak pada orang lain, dia sebenarnya tidak mahu berpura dengan dirinya sendiri. Memang dia sedih, kesal, hampa dan kecewa. Segalanya itu akan dibuang melalui deraian airmatanya. Dia tidak perlu menyimpan semua itu lagi.

“Sya…jangan buat begini. Kau akan kalah juga Sya. Dia tak mungkin berubah!” termengah-mengah Rosman menyaingi langkah Aisyah.

Bersungguh-sungguh benar dia untuk mengubah pendirian Aisyah. Diikutnya rentak langkah Aisyah yang semakin laju itu. Geram benar dia dengan sikap Aisyah yang acuh tidak acuh saja pada dirinya itu.

“Kau tahu tak betapa susahnya aku dan pengawas lain membuktikan kesalahannya. Kau sedap-sedap rasa je bela dia. Sha, aku tahulah kau ada affair dengan dia…”

Langkah Aisyah terhenti sambil renungannya serentak menjamah wajah Rosman yang terkulat-kulat gusar kerana menyesali ucapannya tadi. “I didn’t mean it. But you ..

“Shh... tolonglah...” pinta Aisyah dalam tunduknya.

“Saya tahu apa yang saya lakukan dan saya sedia menerima apa saja risikonya. You have nothing to loose!” Aisyah menekan suara. Bergelora rasa benci dan marah dalam hati bercampur baur menjadi suatu rasa yang tidak tertafsir.

Norain yang menyaksikan ketegangan itu dapat merasakan bahang kemarahan dan kekecewaan Aisyah. Rosman cuba melonggarkan ikatan tali lehernya sambil melepaskan keluhan berat akibat kedegilan Aisyah.


“Kenapa diam!” Jerkahan Faizal serta merta mencantas lamunan Norain. Dia perlahan-lahan beristighfar dalam hati kerana fikirannya begitu jauh meninggalkan situasi tegang antara Aisyah dan Faizal ketika itu.

Norain lihat Aisyah hanya menundukkan wajah. Norain tahu betapa hancur hati sahabatnya itu. Biarpun tidak berani menoleh ke wajah Aisyah yang menunduk itu, namun dia tahu kolam matanya ketika itu pasti sedang sarat menakung air jernih yang berkaca.

Dia amat mengenali Aisyah. Biarpun sahabatnya itu seorang yang cekal dan tabah, degil dan tegas namun perempuan tetap mempunyai sekeping hati seorang perempuan. Perempuan dan airmata sudah sinonim laksana lagu dan irama.

“Puaslah hati kau kan sebab berjaya singkirkan aku. Banggalah tu bila team kau dipuji semua orang sebab berjaya bersihkan imej sekolah. This is my friend heh…kawan konon…k awanlah tu…” begitu tajam sindiran Faizal menusuk hati Norain, apatah lagi hati luka Aisyah.

“Sya!” Norain berteriak memanggil Aisyah yang berlari meninggalkan mereka. Norain nampak Aisyah menyeka airmatanya. Norain tahu Aisyah sedang menangis.

‘Faizal!” Jerit Norain sekuat hatinya. Menahan marah sejak tadi. “Kau ni kan memang bukan manusia!”

Menyirap darah merahnya naik ke kepala. Terlalu lama benar dia menahan api kemarahannya, membiarkan saja Faizal mencemuh sahabatnya dengan pelbagai tuduhan dan sindirian yang menyakitkan. Berombak dadanya menahan rasa marah.

“Sia-sia saja usaha Aisyah untuk kau selama ini. Tak guna segala susah payahnya membela kau selama ini kerana kau ni memang manusia yang tak tahu mengenang budi.”

Norain masih cuba mengawal sebaknya. Dia masih mahu meluahkan apa yang terbuku di hatinya kepada Faizal.

“Kau nak tahu siapa kawan kau kan!?” Norain pantas melepaskan tumbukannya ke bahu Faizal.
”Nak tahu!? Kalau kau nak tahu siapa kawan, itulah kawan kau yang sejati. Mempertahankan maruah dan hak kau biarpun semua orang di sekelilingnya, malah aku sendiri menentang hebat!”
“Dia lebihkan kau dari aku! Dia terima sindiran, hinaan dan cabaran hanya kerana dia ikhlas untuk membela kau, saudaranya. Membela orang yang tidak ada pertalian darah pun dengannya!” Bertubi-tubi Norain melepaskan semua butir kata yang selama ini ditahan dalam dadanya. Hari ini semuanya akan terhambur keluar.

“Tapi kau tak tahu kan? Sebab apa kau tak tahu? Sebab kau tak pernah nak ambil tahu Jai…” Norain tidak berdaya lagi menahan tangisnya. Esakannya semakin deras.

Faizal hanya terpaku mendengar kata-kata Norain. Malah dia semakin terpaku melihat esakan Norain. Terpaku dipukul kata-kata gadis itu. Terhentak dengan pukulan kata penuh bermakna yang semakin menguak pintu kamar kesedarannya.

“Dia kata dia kenal kau. She said you never want to go this way! Dan kerana engkaulah dia masih mahu tinggal seorang diri di sini meskipun keluarganya pujuk dia untuk ikut mereka ke Australia dulu. Kau dah lupa ke semua tu?” Norain masih meratapi penyesalannya.

You may go and do as you wish but she’s too involved. She’s at the loosing side Jai more than you are. Dia yakin begitu mengenali kau hingga sanggup mempertaruhkan haknya. Now, because of your arrogance… no, it is because of your stupidity, she has to go. She’s going Jai… taking with her kekalahan yang akan diketawakan semua orang selamanya. Kasihan Aisyah, dia benar-benar yakin dia adalah seorang sahabat yang mengenali hati sahabatnya.”

Tanpa mempedulikan jawapan yang bakal dilahirkan oleh lelaki di hadapannya itu, Norain nekad beredar tidak menoleh lagi. Sebagaimana nekadnya Aisyah ketika sahabatnya itu meletakkan surat perletakkan jawatan serta surat pertukaran sekolah.

Biarpun hatinya seribu kali ingin meminta Faizal ke lapangan terbang esok untuk menghalang pemergian Aisyah, namun dia akur kiranya rahsia pemergiannya itu adalah sesungguhnya permintaan Aisyah.

Faizal masih terpaku di situ. Kata-kata Norain masih berputar-putar di minda separuh sedarnya itu. Butakah aku, tanya hatinya. Faizal perlahan-lahan menyesali segala yang telah berlaku.

Untuk satu hari yang baru dalam hidupnya, biarpun melangkah dengan azam dan imej baru namun Faizal tetap ditemani hampa kerana seorang sahabat yang telah berkorban untuknya tiada untuk mengukir senyum dengan perubahannya. Faizal merenung sayu ke tempat duduk yang kosong. Sekosong hatinya yang telah kehilangan seorang teman setulus Aisyah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

PAGEVIEWS