Monday, May 16, 2011

MAAFKAN CINTAKU -3

“Kau pergi Pedu nanti tak?” soal Black saat bertemu untuk sesi teh tarik mereka petang itu.

Memang sekali dua dalam seminggu mereka akan minum petang bersama di restoran Mamak ini bila berkesempatan. Lagipun pejabat Black, rakan sekelasnya di kolej itu terletak di dalam bangunan yang bersebelahan.

Alah, walau bangunan pejabat mereka bersebelahan pun, bukan selalu juga mereka bertemu muka. Kalau bukan dia yang out-station, Black pulak yang selalu ke luar negara. Bila masing-masing duduk di pejabat dan rasa kepala dah berat benar, teh tarik bila diminum bersama akan mengusir lelah. Pun boleh juga borak-borak hal lelaki luar dan dalam. Heh. dengan Black, Azif boleh bercerita segala benda kerana Black amanah orangnya. Sejak dulu. Ya, sejak zaman dedulu itu…

Bila Azif masih berteleku, Black mengukir senyum. Sepertinya sudah mampu membaca gelora dalam hati lelaki itu. “Awat? Dah tak reti nak fikir dah? Pecah kapla?” tanya Black sambil senyum.

Azif ketawa pendek. Memusing-musingkan gelas teh tarik yang sudah tinggal suku. Lengan kemeja sudah dilipat ke siku. Santai sajalah, bukan hendak masuk pejabat lagipun. Sekejap lagi akan mereka order pula gelas kedua. Selalunya begitulah.

“Tak payah fikir banyak Zif. Kau buat mana yang kau rasa betul je sudah.”

Heh Black ni, kalau bercakap selalu saja hit target walau dia bukan tahupun perkara yang sebenar. Black ini kalau diasah bakat luarbiasanya itu ada potensi jadi pewaris Nujum Pak Belalang. 

“Apa yang betul… aku pun dah tak tahu. Tak pernah tahu pun.”

“Jihan tak nak pergi?”

“Entah, lain macam je perempuan. Sakit kepala aku dibuatnya.”

“Kenapa dia tak nak pergi?

Azif tegakkan badannya lalu menyandar ke dada kerusi. Kotak Dunhill yang ada di tengah meja dia capai. Diketuk-ketuk sekali dua ke muka meja lalu dibuka penutupnya. Sebatang rokok dia capai. Malas hendak Azif jawab soalan itu. Kalau dia kata tidak tahu jawapannya, macam tidak logic. Kalaupun Azif rasa dia tahu jawapannya, entahlah…

“Adelia dah balik?” soal Black sambil menerima huluran sebatang rokok dari Azif. 

Pandangan mata mereka bertembung seketika dan pada hujung soalan itu Azif larikan pandangannya. Satu lagi soalan Black yang Azif tidak tahu hendak jawab apa . Adelia dah balik? Entah, bagaimana mungkin dia tahu. Sudah lima tahun perempuan itu hilang tanpa khabar berita. 

Zaman ini bukan setakat telefon wireless saja yang ada. Internet, facebook, WAYN dan macam-macam. Bukan sesusah nak hantar telegram macam zaman dulu. Adelia tinggalkan dia tergapai-gapai tak sampai langit, tak jejak bumi. 

Tapi perempuan itu macam hendak kata kolot sudah belajar sampai over-sea. Kerja pun kat ¬over-sea juga. Tapi langsung tak nampak batang hidung dekat Facebook atau WAYN. Ke ada lagi teknologi yang Adelia guna tapi dia tidak tahu?

Hendak dia tanyakan pada Jihan, taubat dia tidak mahu lagi. Mahu naik pejabat Kadhi kalau dia sebut nama itu di depan Jihan. Walaupun dia tidak mampu entertain Jihan di waktu malam, tapi tidaklah sampai hendak runtuhkan masjid yang telah susah payah dia bina. RM9000 serba satu tu… lagipun abah dengan emak akan bunuh dia kalau suka-suka hati dia hendak ceraikan Jihan.

“Dia dah balik ke?” alih-alih dia pula yang menyoal Black sampai lelaki itu tersenyum lebar hingga hujung sana dan hujung sini sudah hampir mencecah telinga.

“Dua minggu lepas aku ada jumpa dia.”

Automatik Azif angkat muka. Muka Black yang masih manis dengan senyuman the most eligible bachelor itu dia tenung dalam-dalam. Aduhai, bergejolak rasa ingin tahu Azif kala itu. Jumpa Adelia? Kat mana? Apa dia cakap? Ada tak dia tanya pasal aku?

Macam-macam hendak dia tanya dengan Black, tapi terasa segan pula saat itu. Takut Black akan kata dia sudah duduk sendeng dalam hidup. Selama lima tahun inipun hanya beberapa kali sahaja nama Adelia menjadi subjek perbualan mereka. Tapi perbualan atas subjek Adelia untuk beberapa kali itu terlalu mendalam dan sukar untuk dia lupakan selagi hayat.

“Aku jumpa dia masa aku pi audit branch kat Swiss. Sihat je nampaknya dia, makin cantik pulak. Dia dah bertudung tau. Alhamdulillah kan, duduk kat negara orang putih pulak baru dia bertudung.” 

Black tenung Azif yang memandangnya tidak berkedip. Dalam hatinya ada belas untuk sahabatnya itu. Dia tahu apa yang sebenarnya ada dalam kisah Azif dan Adel. Dulu dia selalu usik dua manusia itu dengan panggilan laki-bini Azdel. Tapi panggilan itu hanya dia seorang yang guna. Pun dia guna di antara mereka bertiga sahaja. Orang lain tidak pernah tahu pun, hatta Jihan sekalipun. Tak tahulah kalau Adelia pernah cerita dengan kawan belangkasnya itu.

“Dia geng aku, the most eligible and available lagi,” kata Black lagi sambil menyalakan api pencucuh ke mulut. Sejak tadi dipegang tak dibakar-bakar lagi. Malah rokok di antara jari Azif itupun masih begitu.

“Kami tak sempat nak borak panjang pun. Sekadar tanya-tanya khabar macam tu je…”

Okay, pernyataan paling sopan Black untuk beritahu Azif yang Adelia tidak sebut tentang dia. Adelia memang tidak tanya satupun tentang Azif. Sudah lupakah Adelia padanya, pada mereka?. Takkanlah tentang Jihan pun tidak Adelia tanyakan? Baiknya Black berkata begitu untuk menenangkan hatinya, untuk melindungi maruah dan egonya. Dan Adelia? Sampai hati…

“Jihan macam mana?”

Azif menghela keluh lalu menurut langkah Black tadi menyalakan api di mulut rokok. Kala gusar begitu, rokok menjadi penenang sementara. Paling-paling tidak, beberapa perkara boleh dia lupakan.

“Korang ni okay ke tak?”

Azif angguk. Habis hendak buat apa lagi? Takkan hendak menagis meraung depan Black. Black! Kau rasa aku ni impotent ke? Nak mampus!? Yang satu ini saja dia belum buka depan Black. Satu lagi ialah perasaannya pada Adel selepas dia hentak jabat tangan Kadhi lima tahun lepas. Lain semua share…

“Kalau okay takkan sampai nak pergi reunion yang julung-julung ni pun dah confuse satu alam? Bukan kita semua ni dapat jumpa hari-hari pun. Si Anis tu dah lama migrate, Adelia pun kerja luar Malaysia gaya tak nak balik-balik. Entah-entah nampak je single tapi dah steady dengan mat saleh. ”

Azin telan liur. Apa dia sedang fikir beberapa saat tadi selepas Black kata begitu? Hish, mulut jahat Black ni, janganlah masin hendaknya? Azif…?

Dalam konflik hati begitu sempat juga Azif menjawab, “Itulah jugak yang aku cakap dekat dia. Tapi entahlah… tak faham aku hati perut manusia spesies perempuan ni. Mak aku tak adalah kompleks sangat macam ni.”

“Itu mak kau. Manusia perempuan yang kau kata kompleks tu bini kau dengan kekasih hati kau.”

Amboi, lancangnya Black sampai Azif terpana seketika. Sudah lama sebutan kekasih hati itu tidak ada dalam lembar hidupnya sejak dia putuskan Farah Jihan adalah insan terpilih yang diratukan sebagai isterinya. 

“Kenapa kau kahwin dengan Jihan dulu?” tiba-tiba meletus soalan itu dari mulut Black. Memang sudah lama sebenarnya dia ingin tanyakan tentang hal itu pada Azif. Malah bila dia tahu Azif pilih Jihan jadi bini lima tahun dulu, Black terus jadi bisu seminggu. Sampai majlis akad nikah Azif dengan Jihan pun, bisunya tak sembuh-sembuh juga. 

Tambah lagi seminggu bisunya bila dia lihat wajah Adelia di sisi Jihan yang manis anggun dalam pakaian pengantin berwarna biru turquoise. Dan terus bisu sampai genap satu bulan bila Adelia kata, “Black, what you saw was a memory. What you see now is the reality. Please, for me… don’t ask. If you are my friend, our friend…”

Memanglah, sejak Adelia katakan itu padanya lima tahun dulu Black terus belajar menerima dan memahami ketentuan Tuhan bahawa jodoh Azif adalah dengan Jihan. Tapi sukar untuk terus memadam baris-baris soalan yang telah menjadi kanser dalam kotak tanya Black. 

Tak logik! Tak logik! Bukan dia tidak tahu Azif tu angau sebenua dengan Adel tapi alih-alih Azif kahwin dengan Farah Jihan! Betul ke? Sampai sekarang perkataan tak logik yang dia labelkan kepada perkahwinan Azif-Jihan itu dia sorok dalam kotak hati. Sebab Adelia sudah minta dia lakukan begitu. 

Black ni nampak saja brutal tapi dia pun jejaka yang ada taman bunga dalam hati. Sebab itu dia respect permintaan Adelia. Cuma dari dulu sampai sekarang tidak ada makhluk perempuan yang tahu taman bunga itu. Sebab itu sampai sekarang Black masih tunggu puteri gunung yang akan nampak bunga-bunga dalam tamannya itu.

“Kau tak pernah tanyapun dulu?” hambar saja nada tanya Azif tanpa memandang Black. Terus menghayati dan menikmati rokok nan sebatang.

“Kau pun tak pernah cerita…’

“Kenapa kau tak pernah tanya kenapa aku bukan dengan Adel, Black?”

"Kalau aku tanya sekarang?"

Black telan liur sambil membetulkan duduknya. Biar lebih tegak agar udara yang dihembus dan dihela lebih teratur. Biar kepalanya juga lebih betul kali ini. Saat memandang wajah Adelia lima tahun dulu dalam majlis Azif dan Jihan, ada sesuatu yang berlegar dalam kepala Black. Memang soalan itulah yang teringin dia cari jawapannya.

Kenapa pula tiba-tiba Azif nikah dengan Jihan? Bukankah Azif Fahmi dan Adelia Hana yang sudah lebih empat puluh kali dia panggil laki-bini itu sepatutnya bersatu? Bukankah selalu orang kata, cakap lebih empat puluh kali akan jadi doa. Dan doa yang baik bukankah akan selalu dimakbulkan?

“Jodoh…”

“Rasanya tak sama tone dengan Adelia dulu…”

Azif segera panggung muka. Matanya yang dalam itu dia luruskan memandang Black yang sedang merenungnya dengan riak tersembuyi suatu tujuan. Apa motif Black?

“What? What tone?”

“Dulu, Adelia kata kalau aku kawan dia, kawan kau… aku tak akan tanya. Jangan tanya. Kenapa? Kenapa aku tak boleh tanya?”

Kata-kata Black yang terlalu jujur itu buat Azif telan liur dengan payah. Betulkah? Betulkah Adelia pernah berkata begitu dengan Black? Bila?

“After your wedding, aku terjumpa dia walaupun aku rasa dia macam lari-lari dari aku. For seconds, we looked at each other but I couldn’t find any words then. She looked at me for minutes after minutes. I saw her eyes wet Zif. What was going on… aku nak tahu sangat. Tapi aku respect permintaan Adel, even on her last day kat airport tu pun dia still said the same, walaupun sebenarnya aku sendiri pun tak terkeluar suara nak tanya.”

Ah, kenapa semakin banyak pulak misteri yang keluar dari mulut Black? Renungan lurus Azif semakin tajam menujah bebola mata Black yang hitam. Terlalu banyak perkataan yang terbaris dalam kepala tapi mengapa tidak ada satupun yang mampu dia keluarkan? Black seolah tahu lebih banyak tentang apa yang terjadi dalam hidupnya dan Adelia lebih dari apa yang dia tahu.

“Aku minta maaf…” Black tundukkan muka. Tidak sanggup hendak bertentang dua pasang mata dengan lelaki itu. Dia tahu Azif pasti terkejut dengan satu demi satu kenyataan dan soalan yang keluar dari mulutnya.

“Memang aku tahu Adel pergi mana dulu. Tapi Adel sendiri yang minta aku untuk tak bagi tau kau Zif. I have made a promise, and I can’t break it. Tapi kau pun tak pernah tanya langsung pasal Adelia lepas kau kahwin. Aku fikir memang itu yang korang mahukan, so what can I do more?”

Mata Azif sudah bergenang air. Dia dongakkan mukanya segera agar airmata itu tertahan di situ dahulu. Malu kalau Black lihat airmatanya itu. Dia lelaki! Dia pemain bola sepak paling handal di kolej dan sampai sekarang pun dia masih boleh beraksi dengan baik di atas padang. 

Dia adalah lelaki paling happy-go-lucky yang pernah ada dalam dunia. Malah dia tidak pernah menangis seumur usianya hingga ke hari itu. Malah bila detik Adel membuang dirinya pun dia tidak menangis. Hish, takkan nak menangis sekarang ni? Lelaki boleh menangis ke? 

Aduhai Azif, kau tu bukannya Superman, kau juga bisa nangis… kan ada lirik lagu begitu?

“Kalau kau rasa nak menangis dan tak mahu aku tengok kau, aku boleh blah dulu.”

Cepat-cepat Azif gelengkan kepalanya. Berserta itu setitis dua airmatanya terus gugur dan cepat-cepat dia seka.

“Please, aku nak tahu semuanya Black… kau dah banyak sembunyikan dari aku tentang hidup aku dan hidup Adelia. Aku rasa kau lebih tahu segalanya berbanding kami. Betulkan Black?”

Black mengangguk-anggukkan kepalanya beberapa kali. Sungguh dia mampu menyelam perasaan Azif saat itu. Perasaan yang sudah dia alami lebih dulu dari Azif. Cuma Azif sahaja yang tidak mampu memahaminya kerana Azif sudah mabuk dalam dunia Adelianya.

“Insya-Allah aku akan cuba bagi apa yang kau mahu. Tapi kau harus bagi tahu aku dulu. What was exactly happen? Kenapa kau kahwin dengan Jihan?”

Ya, kenapa dia kahwin dengan Jihan?

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

PAGEVIEWS