Wednesday, March 23, 2011

SELAMAT TINGGAL KEKASIH GELAPKU (IV)

Happy Anniversary Dear...

Hari itu kalau dihitung secara sambutan hari lahir, pastinya sama seperti dua batang lilin di tengah kek. Pun untuk itu, dia sudah beli sebiji kek yang kecil sahaja saiznya. Kek berperisa strawberry. Toppingnya berwarna merah jambu dan berbentuk hati.

Hish, sebijik macam Kak Ni lah pula aku ni... fikirnya. Adriana, bila tiba bab-bab cinta ni kadang-kadang boleh jadi berbunga-bunga juga. Kalau dah namanya perempuan kan...?Abaikanlah sahaja. Berbalik kepada acara bersejarah hari itu.

Ya… hari itu genaplah dua tahun hubungan ataukalau boleh dia panggil jalinan kasihnya dengan Navindran a/l Appu Narayan. Seorang jejaka yang memang berketurunan India berasal dari Raub Pahang. Adriana panggung wajah memerhatikan lagi kek kecil itu yang dia beli di Kedai Kek Maria petang tadi.

Sama seperti tahun lepas. Tahun lepas pun dia beli kek di Kedai Kek Maria juga. Bezanya tahun lepas, cuma ada sebatang lilin di tengah kek. Dan kek itu pula perisa Mocha, kegemaran pemuda itu. Bezanya lagi, tahun lepas mereka meraikannya berdua.

Tetapi tahun ini...

Nafasnya dihela perlahan. Tahun dan hari ini dia hanya menyambut anniversary mereka seorang diri. Anniversary? Bukanlah ulang tahun perkahwinan pun, cuma ulang tahun perkenalan dan perhubungan mereka seadanya.

Navin tidak dapat turun ke KL hari ini untuk meraikan ulang tahun mereka bersama. Navin kata dia dipanggil untuk bertugas menggantikan teman sekerjanya yang tiba-tiba harus mengambil cuti. Emergency leave lah tu.
Macam on–call lah pulak. Eloklah, dia kan jururawat, maka Navinlah yang jadi doktornya kalau diibaratkan. Ada sedikit riak kecewa dan hampa di wajahnya saat mengenangkan Navin tiada bersama.

Tetapi pantas sahaja bibirnya berbunga senyum bila mendengar bunyi telefon bimbitnya. Ada mesej masuk. Pasti dari Navin. Dia segera mengambil telefon bimbit Blackberry itu. Hmm... betullah, memang mesej dari Navinnya.

Hi dear...
Sorry, could not make it as planned...
Imagine me and you, I do
I think about you day and night...
Happy anniversary dear...

Senyumannya masih berwarna di bibir. Dengan membaca mesej itu saja sudah cukup untuk menjadi penawar gundahnya. Dia panggil Navindran, sebagai Navin sahaja. Navin... ya, nama yang mula-mula diperkenalkan di dalam laman sembang dulu. Adriana masih tersenyum lebar sambil memandang lilin di tengah kek itu.

Navin memang berasal dari Raub, Pahang. Dilahirkan, dibesarkan dan bersekolah di sana. Satu negeri dengan penyanyi tersohor yang dia kagumi, Siti Nurhaliza. Ops, Dato’ Siti Nurhaliza sekarang. Jejaka India yang berusia hampir 28 tahun itu seorang yang kurus, dan tinggi. Orang putih kata tall and slender. Sama seperti fizikal Adriana juga.

Rambut Navin hitam dan halus lurus. Bukan ikal seperti kebiasaan pemuda berbangsa India yang lain. Wajahnya pula bujur dengan hidung kurus yang terpatuk tinggi. Wajah itujuga sama dengan foto yang Navin kirim ke e-mailnya. Pengenalan yang jujur.

Foto yang membuatkan dia tidak mampu tidur malam sewaktu awal perkenalan dulu. Bukan kerana ketampanannya. Tetapi kerana Adriana sukar untuk percaya. Sehinggalah mereka bertemu untuk kali pertama. Barulah dia mampu menerima hakikat bahawa semua yang dia lihat pada foto itu adalah benar belaka.

Raut wajahnya, rambutnya, kulitnya, fizikalnya, hidungnya... semua real. Hidung Navin sama seperti hidung Adriana yang mancung itu. Sekali pandang, Navin tidak ubah seperti pelakon Hindi yang berkulit agak gelap. Hitam-hitam si tampok manggis, biarpun hitam, akan sentiasa di pandang manis. Kalau hati dah suka, semua indah belaka...

Hmm… hero-hero pujaan hatinya si Sunil Shetty dan Shah Rukh Khan pun sebenarnya berkulit gelap juga. Selama ini dia memangobsess dengan bintang filem Bollywood dan Mollywood. Kemaruk sakan.

Penat mengikik dalam hati, dia kemudian tersenyum sendirian mengenang sang arjuna hatinya yang seorang itu. Agaknya minatnya kepada filem-filem Tamil dan Hindustan menjadi badi di dalam hidupnya. Sekonyong Adriana terkenangkan gurauan nakalnya dengan Kak Ni tentang kekasih gelap. Adriana sengih panjang.

Nah, penangannya dia kini mempunyai teman lelaki istimewa berbangsa India. Pun, Navin bukanlah teman lelaki Indianya yang pertama. Navin adalah yang ke…. Hmmm... Adriana kerut kening, cuba mengingati dan membilang. Nantilah, dia belum dapat mengingatinya saat itu.

Seraut wajah Navin itu memang tidak pernah jemu dia tatap. Bukan sekadar hitam si tampok manggis. Namun wajah bujur milik Navin lebih menyerlahkan keperibadian lelaki itu. Keperibadian seorang lelaki yang mempunyai falsafah dalam hidupnya. Juga keperibadian seorang insan yang bertimbangrasa.

Begitulah yang difahaminya melalui pembacaan dalam satu artikel bertajuk Mengenal Peribadi Menerusi Paras Rupa yang disiarkan dalam sebuah majalah tempatan kegemarannya. Majalah Remaja. Satu lagi majalah yang setiap bulan wajib dilanggani selain majalah CLEO.

Kalau dialih pandang pula ke arah sepasang telinga Navin yang sedikit besar itu, ia menyerlahkan maksud keperibadian yang baik, memiliki perasaan simpati dan berpotensi untuk berjaya dalam hidup. Berbeza dengan dirinya yang memiliki sepasang telinga yang sedikit kecil. Sensitif. Bukan dia tidak tahu, dirinya memang seorang yang sensitif, kadang-kadang teramat sensitif. Kak Ni pernah kata dia over!

Lagi? Lagi, kekasihnya itu kalau berjalan akan menunduk. Adriana sudah tahu benar. Kalau menurut artikel itu, Navin ini merupakan seorang yang mudah kasihan terhadap orang. Juga seorang yang bertanggung jawab atas susah senang orang lain.

Dia hembus api lilin yang meliuk lintuk. Yeh, selamat ulang tahun perkenalan yang kedua buat Adriana dan Navin, ucapnya sendiri. Dia tidak mahu makan kek itu bersendirian. Nanti dia akan agih-agihkan kepada teman-teman. Pun tidak banyak mana. Kek sekecil itu, setakat untuk dua tiga temannya sahaja sudah habis.
Kawan-kawannya bukankah kembar dinasours?

Bibirnya masih berbunga senyum bila bangun dari tidur awal subuh tadi. Perasaannya terbang melayang-layang. Sejak tadi Adriana membelek parasnya di depan cermin. Tubuhnya sudah kemas dibalut uniform berwarna hijau muda. Uniform rasmi untuk kakitangan PPRM.

Minda Adriana pula masih menyelak helaian majalah. Malam tadi dia tertidur sambil mengenangkan Navin. Pagi itu juga dia masih teringatkan pemuda itu. Ini yang orang kata hidupku dan matiku hanya untukmu.

Hish! Cepat-cepat dia beristighfar. Walaupun kawan-kawan kata dia sudah mabuk cinta, asyik dan kemaruk merindui Navin tapi Adriana masih ingat tinggi dan rendah langit. Sesungguhnya hidupku dan matiku hanya untuk Allah. Bukankah itu yang sering dibaca oleh orang Islam, wajib dalam solat?

Adriana senyum lagi. Sambil itu dia cuba mengingati kembali baris-baris artikel yang pernah dibacanya itu. Dia suka membandingkan kajian peribadi itu dengan Navin. Kalau warna kulit, Navin lebih gelap berbanding dirinya. Perbezaan itu kalau dilihat pada pandangan umum, memang ketara. Walaupun nampak iras-iras tahi cicak tetapi Navin tidaklah segelap pemuda India lain.

Aduhai, kekasih gelapku… apapun, aku tetap sayang kepadamu. Selalu sayang kepadamu…

Memang dia sangat mengasihi pemuda itu. Navin secara peribadi yang dikenalinya selama ini adalah seorang lelaki yang sangat lembut, baik pada sikap, perbuatan mahupun tutur katanya. Pemurah dan romantik. Navin adalah penghibur duka laranya. Penawar keletihan zahir dan batinnya. Yang sentiasa di sisi dan di dalam hati setiap saat dia memerlukan seseorang sebagai teman. Malah serasa Adriana, Papa dan Mama pun tidak pernah sedekat Navin di dalam hatinya.

Papa dan Mama tidak pernah punya waktu terluang untuknya seperti yang diperuntukkan Navin untuk dirinya. Kini ruang-ruang sepinya sudah semakin terisi. Hampir penuh. Malah Adriana tidak lagi merungut akan ketidakprihatinan kedua orang tuanya. Dia redha sahaja.Apatah lagi bia dia sudah punya Navin kini…

Aduhai, benarlah seperti yang ditelahnya. Lagipun, penulisan fakta tidak akan terbit tanpa asas yang kukuh. Pasti saja si penulis sudah bertahun menjalankan penyelidikan dan pemerhatian menyeluruh dari segala aspek.

Dia kerut kening tatkala memandang biasan tubuhnya di kaca cermin. Sebatang tubuh miliknya itu kini memang semakin berisi. Pipinya juga sudah menggebu. Semakin menyerlahkan kulitnya yang putih melepak itu.

Apabila dia tersenyum, warna kulit pipinya itu akan bertukar menjadi kelopak mawar yang berwarna pink. Lalu si dua beradik yang comel itu pun hadir di kedua-dua belah pipinya. Semakin menyerlahkan raut manis di wajah Adriana.

Hmm… mana taknya, bahagia dimanjakan kekasih tersayang. Tambahan lagi bila setiap detik dirinya sentiasa disayangi dan didampingi.

Navin, Navin…

Di mana hendak dicari kekasih yang begitu sempurna di mata hatinya. Memiliki segala kriteria lelaki idaman yang diimpikannya selalu. Keterlaluanlah dia kalau hendak dikatakan Navin itu terlalu sempurna. Biarpun Navin tidak seratus peratus sempurna, pada Adriana, pemuda itu memiliki keistimewaan seorang lelaki yang belum pernah lagi dia temui dalam diri lelaki-lelaki yang pernah dikenalinya sebelum ini.

Lamunan paginya dikejutkan oleh bunyi telefon bimbitnya yang lantang berkumandang. Tidak jadi dia hendak mencalit gincu ke bibir. Sebaliknya dia melangkah setapak dua ke katil, mencapai telefon kecil itu yang terperosok di bawah perut Teddy Bear.

Hello dear…” suara di hujung talian menyapa.

Adriana senyum lagi. Senyuman adalah petua terbaik untuk awet muda, dia selalu mengingatkan dirinya sendiri. Dia ingin selalu kelihatan muda. Wajahnya yang memang semulajadi keanak-anakan itu akan selalu kelihatan ceria. Girlish-lookkata kebanyakan orang yang memandangnya. Sudah pastinya sukar untuk kelihatan dimamah usia. Pun dirinya memang forever young. Bukankah orang kata kalau hati sentiasa gembira, wajah pun akan sentiasa mempamer ceria?

Hih hih… dia tertawa lagi di dalam hati.

Hello dear…” balas Adriana manja.

Dia lantas duduk di birai katil yang masih belum dikemas. Basuhan kering yang telah dia angkat dari ampaian semalam memenuhi hampir segenap ruang katil bujang itu. Dua biji bantal tidur dan sebiji bantal golek tercampak di sana sini.

Kalau di rumah, bolehlah Bibik tolong kemaskan. Tapi takkanlah dia hendak angkut Bibik sampai ke asrama tempat kerjanya kot? Melampaulah dia kalau begitu!

“Dear tak kerja ke? Iye? Mengantuklah ni ye?” Adriana bertanya manja ala-ala ibu muda bercakap dengan baby berusia setahun satu bulan.

“Haah, I mengantuk. Dear, you nak pergi kerja dah iye?” Navin membalas di hujung talian.

“Hmm… I tengah siap-siap lah ni? Dear, you dah makan ke belum?”

“Belumlah dear. I penat sangat ni…” suara Navin yang kedengaran letih sudah cukup memberikan gambaran sebenar pada Adriana.

Dia tahu Navin pasti mengantuk kerana bekerja shift malam kelmarin dan semalam. Sudahlah kerjanya di bahagian pengeluaran kilang itu selalu sahaja sibuk.

“Hish, janganlah macam tu dear. Nanti kalau you sakit, I juga susah tau,” Adriana memuncungkan sedikit bibirnya. Macamlah Navin boleh melihatnya dari hujung talian sana.

Lainlah kalau mereka berhubung secara Video Call. Bukan mereka tidak pernah berhubung melalui media itu, tetapi Navin tidak suka. Walaupun sudah puas Adriana kata dia perlu untuk melihat wajah Navin, tetap juga pemuda itu melarang. Bil handphone yang melambung itu selalu dijadikan alasan.

Pun dia akan kalah dengan kata pujuk Navin. I am always in your heart kan dear...? Itulah kata Navin selalu. Betullah tu.

“Alah, apa susah? Girlfriend I ni kan ke nurse, senanglah I tiap kali sakit ada orang boleh rawat,” usik Navin.
Adriana tersengih-sengih sendiri.

“Dear…” Navin memanggil dengan nada manja.

“Iye dear...?”

“Kek semalam dah habis ke?”
“Dah...”

“You makan sorang?”

Adriana tersengih sambil memandang hujung jemari kakinya. “Yelah...”

“Alah, sampai hati tak tinggalkan untuk I sikit...”

Mereka berdua ketawa serentak.

“Dear...”

“Ya?”

“Sorry ya...”

“It’s okay, nanti bila-bila kita celebrate ya...”

Masa berjeda.

“Dear..?.”

“Ya...?”

“Boleh tolong I tak?”

“Tolong apa dear?”

“I nak tidurlah. Mengantuk sangat ni. Nanti pukul 4 lebih you tolong kejutkan I boleh tak?”

“Amboi, lamanya nak tidur?” terlepas tawa pendek Adriana. Lucu dengan keletah teman lelakinya itu.

“Apanya yang lama dear? Sekarang pun dah pukul 12,” balas Navin degan suara yang kedengaran malas. Sedang menggeliat. Melegakan tulang belulang kurusnya yang lenguh.

“Iyelah… tapi pukul empat lebih tu dah lepas waktu zuhur. You tak nak sembahyang ke dear oi?”

Spontan Navin terkikik-kikik ketawa di hujung talian.

“Apa pula yang you ketawa ni dear?”

“Tak de apa...” jawabnya bersahaja tetapi tawanya masih kedengaran biarpun sudah perlahan iramanya.

“Sebenarnya I baru baca mukasurat satu buku panduan solat tu lah dear. I mana tahu macam mana nak solat lagi. Alah... tunggulah I habis baca buku dulu iye? Lepas tu I buat praktikal, hah barulah boleh solat betul. Kalau tak nanti solat tu tak cantik, Tuhan marah tau,” Navin mengusik lagi.

“You ni kan dear! Dah setengah tahun I bagi you buku tu, baru mukasurat satu? Dear, you ni membaca ke mengeja?” bebel Adriana persis gaya Mama meleterinya.

Tertawa lagi Navin di hujung talian.

“Dahlah dear, I mengantuk ni. Petang nanti Michael ajak I pergi main bola. You pun nak pergi kerja kan dear? Kan, kan, kan dear?”

“Tengok tu! You ni kan selalu macam ni tau dear. Ada je alasan. Yelah pergilah tidur. Nanti I kejut you pukul 3.45, OK?”

“Hmm… sayang dear I ni. Love you.”

“Love you too dear.”

Dalam geramnya, Adriana senyum lagi. Senyum, senyum, senyum. Senyumnya tidak pernah lekang di bibir sejak mengenali Navin. Indahnya taman kehidupan yang berbunga cinta berwarna-warni seperti ini. Subur dibajai kasih sayang yang tulus mulus dan…

Hmm... bunyi ayat-ayat yang terakhir itu mengingatkan dia kepada tajuk filem Blockbuster Tamil beberapa tahun dulu yang amat menjadi kegemarannya. Thullata Munullum Tullum. Ha, kan lebih kurang je dengan bunyi tulus dan mulus tu.

“Senyum seindah suria, yang membawa cahaya. Senyumlah dari hati, duniaku berseri,” Adriana menyanyi-nyanyi kegirangan sambil mengenakan tudung putih di kepala.

“Eh minah!” sergah suatu suara. Serentak dengan itu kepala Farah kelihatan terjenguk di sebalik pintu yang sedikit terbuka itu.

“La, tak siap lagi? Cepatlah Dik Na ooi! Dah pukul berapa ni? Nak makan lagi, nak solat lagi, itu lagi, ini lagi!” bebel Farah, teman baiknya itu.

Adriana bergegas ke sana sini. Mengambil kunci bilik, melemparkan telefon bimbitnya ke dalam beg sandang di atas katil. Tepat masuk ke dalam perut beg itu. Kemudian pantas pula mematikan suis utama lampu dan kipas dinding. Lalu dia melompat ke depan pintu setelah menyauk beg sandangnya.

“Siap!”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

PAGEVIEWS