“Kak Ni…”
Cepat-cepat digenggamnya tangan yang dingin itu bila Adriani sedang berusaha membuka mata. Sejak tadi dia tidak berganjak dari sisi katil itu. Langsung tidak lepas memerhatikan wajah Adriani yang masih belum sedarkan diri sejak tadi.
Risau hati Adriana bukan kepalang. Lama juga Adriani pengsan. Sudah bermangkuk-mangkuk air sejuk Bibik bawakan untuk diletakkan ke atas dahi Kak Ni. Sudah jadi macam menjaga orang demam pula.
Rasa-rasa Adriana, mahu saja setengah jam Kak Ni pengsan. Atau Kak Ni jamak sekali dengan tidur? Hatinya cuba berlawak. Payah Adriani mencuba untuk bangun. Dan pantas pula Adriana membetulkan kedudukan bantal di kepala kembarnya itu. Dia membantu Kak Ni bersandar perlahan-lahan di kepala katil.
“Kenapa ni…?” soal Adriani dengan suara yang hampir tidak keluar sambil memegang dahi dan kemudian belakang kepalanya.
Kepalanya masih terasa berpinar. Ada dua tiga butir bintang yang masih mengelilingi kepalanya itu. Saki baki kepeningan masih terasa.
“Kak Ni pengsan,” jawab Adriana perlahan. Acuh tidak acuh sahaja sambil meletakkan kain basah yang diambil dari atas dahi Adriana tadi ke dalam mangkuk berisi air lalu mangkuk itu dia tolak ke tengah meja sisi.
Sudah lali dengan keadaan seperti itu. Pengsan, pengsan, pengsan sahajalah yang Kak Ni tahu untuk menyelamatkan suasana.Carmoflage!Adriana hanya duduk di birai katil sambil membilang jari-jemarinya yang menari ballet di riba.
“Hah, pengsan?” Adriani bertanya seolah tidak percaya apa yang telah berlaku ke atas dirinya sendiri.
“Yalah, pengsan disergah mama. Kak Ni pun, takkan takutnya sampai begitu sekali?Lemah semangat betullah Kak Ni ni…” Adriana beralih laku. Memicit-micit kaki Adriani. Tidak lagi peduli dengan tarian ballet jemarinya tadi.
Pada ketika itu Adriani hanya membisu. Sesekali memicit kepala. Masih terasa lagi sebal di kepalanya itu. Pasti dia rebah dan kepalanya mendarat di mana-mana tadi. Buktinya, nah ada sedikit rasa bengkak di kepala. Sakit pula tu.
“Kak Ni stress ye study medic? Break lah dulu Kak Ni. Rehatkan otak. Pergi bercuti ke?” tanya Adriana polos. Seolah tiada ribut taufanpun yang sedang melanda rumah mereka tadi.
Sepasang matanya mengerling wajah Adriani yang masih nampak termangu-mangu dengan kerutan di muka. Sakit agaknya kepala Kak Ni, fikirnya. Sebenarnya dia mahu meminta maaf. Masalahitu timbul disebabkan dirinya juga. Dan Kak Ni pula yang menjadi mangsa geram Mama. Terbit rasa bersalahnya terhadap Kak Ni.
“Hmm, stress study ye juga. Stress sebab Dik Na punya hal pun ye juga. Aduh, tak sanggup lagi Kak Ni dengar mama jerit-jerit macam tu pada Kak Ni. Boleh masuk Hospital Bahagia tau…”
“Sorry…” balas Adriana perlahan. Dia tundukkan kepala dan wajahnya. Rasa bersalah sangat kerana telah melibatkan kakak kembarnya itu ke dalam konflik antara dirinya dan Mama.
“Dik Na masih nak kawan lagi ke dengan Navin tu?” soal Adriani dengan pandangan sayu.
Terus memicit kaki Adriani, dia tidak pandangpun wajah kembarnya itu, “Kami bukan sekadar kawan lagi Kak Ni, kami dah rancang nak kahwin pun.”
“Loh, apa kamu fikir kahwin tu sepertinya menonton TV? Senang banget?” Adriani bertanya dengan pantas. Suaranya sedikit kuat. Terperanjat agaknya dengan azam Adriana yang membara itu.
Segera Adriana memanggung wajah bila mendengar sebaris ayat itu. Kak Ni cakap apa tadi? Buat lawak ke? Dia mahu tergelak dengan riak pandangan Adriani kepadanya namun dia terus membalas seloroh itu, “Loh, gue fikirin gue di Indon… sedang ketemu Dyan Sastrowidoyo!”
Cepat sahaja tangan Adriani menampar manja bahu adik kembarnya itu. Mereka sama-sama ketawa. Tetapi kedua-dua hati itu terasa pedih benar. “Ketawa...” gumamnya beserta jelingan.
“Yelah, yang Kak Ni pergi cakap slang Bibik tu apasal?” Adriana muncung.
Tiba-tiba idea Doraemonnya terbit, “Hah..!”
“Apa pulak lagi?” tanya Adriani sedikit terperanjat dengan reaksi adiknya itu. Langsung tangannya meraba-raba benjol di kepalanya. Masih terasa sakit. Bimbang pula kalau ada haematuma pula nanti. Errr… darah beku.
“Ke Kak Ni ada boyfriend Indonesia? Hah, I got you!”
Adriana terlompat di atas katil, di sisi kembarnya itu. Wajahnya kemerahan, gembira dengan teori yang tiba-tiba terbit di minda nakalnya.
“Jangan nak lari topik ya Sharifah Adriana Fidzriah!” Adriani memberi jelingan. Amaran awal.
Alamak, kalau Kak Ni dah sebut nama separuh penuh tu tandanya dia betul-betul marah. Serius punya marah! Adriana tersengih sahaja.“Bukannya nak lari…” dia memuncung lalu duduk kembali di birai katil.
“Dik Na, cubalah fikir masak-masak. Semua ni tak masuk akallah dik…” kata Adriani hampir memujuk rayu.
“Kak Ni janganlah risau... Dik Na akan cuba pujuk juga Mama tu…”
“You knew the fact. Kill them die, they will never-never-never and ever allow you to marry that Indian guy,” kata Adriani lagi sambil menghela nafas. Berat. Bagaimanalah hendak dinasihati kembarnya yang seorang ini?
“Janganlah Kak Ni risau, tahulah Dik Na debate dengan Mama. Mix-blood ni kan perkara biasa. Takkanlah Mama tak suka kalau dapat generasi yang berdarah campuran. Nanti dapat cucu rupa Pan-Asian. Malay plus Arabic plus Indian. Genius lagi...”
Adriana hanya tersengih-sengih. Kedengarannya seperti adik mat jenin yang mewarisi perangai abangnya suka berangan. Walhal dalam hatinya sudah utuh dengan satu keyakinan. Adriani pun pasti tidak akan tahu betapa hati Adriana tersiat dengan setiap patah kata yang dia sendiri lafazkan itu.
Saat itu dia boleh cakap apa sahaja yang dia mahu. Boleh sebut tentang apa sahaja yang terlintas di fikiran. Tetapi kesedaran bahawa semua itu tidak pernah akan memberi sebarang makna, terlalu menyakitkan.
Bukan Adriana tidak tahu. Jalan yang terbentang buatnya dan Navin tidak akan pernah mudah. Kalau sukarpun dia masih boleh bersyukur. Akan dia usahakan juga untuk mengharungi ranjau yang penuh onak dan duri itu.
Cuma apabila dia memikirkan kemungkinan bagi perhubungannya dengan Navin terlalu mustahil untuk direalisasikan, nafasnya sesak. Bagaimana harus dia menyakinkan Papa, terutamanya Mama bahawa semua ini ketentuan Tuhan?
Segala perasaan yang dia ada untuk Navin tidak semata-mata berlandaskan cinta. Dan dia amat yakin Navin juga begitu. Entah mengapa wajah belas Navin terlalu meruntun hatinya saat itu.
Sepanjang hayat ini dia hanya mahu hidup bersama Navin. Dan pasti juga sampai syurga. Adriana ingin beri segala kegembiraan dan kebahagiaan kepada Navin. Memikul tanggungjawab dan beban yang sama. Kerana dia juga berharap Navin mampu memberikan itu semua kepada dirinya. Dengan tulus.
“Dik Na, wake up!” kata Adriani sedikit kuat.
“You are Sharifah Adriana Fidzriah Binti Syed Al-Malik Faizal Bin Syed Al-Jufri Kamaruzaman Bin Syed Al-Amin entah apa ntah lagi. Keturunan kita tak ada majmuk!” tengking Adriani. Geram dengan sikap buat toya Adriana itu.
“Then, I’ll break the Syed Guinness Record. Lagipun Navin memang dan niat nak convert. Dia sanggup peluk Islam, Kak Ni…”
Sejenak Adriani terkesima dengan mulut sedikit terbuka bila hasrat adiknya yang tekad itu dizahirkan lagi dengan bicara yang baru sahaja terluah itu. Hati kalau sudah sayang semuanya akan nampak indah sahaja. Langsung tidak nampak hari mendatang yang penuh dengan cabaran dan dugaan.
Bagaimana harus dia bentangkan di hadapan Adriani bahawa liku kehidupan yang hendak dia tempuhi itu tidak mudah diharungi sekadar dengan kasih dan cinta. Ini soal agama! Soal akhirat!
Sukar untuk dia percaya kalau Adriana sudah dibutakan oleh dakyah pemuda India itu. Adriana seorang yang sangat bijak! Tidak mungkin dia sanggup menggadai agama dan kepercayaan hanya demi seorang lelaki asing.
Hatinya menjadi bertambah bimbang apabila memikirkan bagaimana banyak gadis-gadis Islam dimurtadkan oleh pemuda-pemuda asing ini. Mulanya mereka akan memerangkap Muslimah ke dalam jerat percintaan, kemudian mempengaruhi fikiran dan jiwa sehingga tidak lagi melihat sinar Islam.
Sudah banyak kes yang berlaku di Malaysia ini. Kalau buka Internet, pasti akan ada cerita-cerita yang dihantar ke dalam e-mail. Cuma kes sebegitu tidak diceritakan secara formal dan besar-besaran dalam media. Kalau tidak, mahu jadi sentimen pula nanti. Jadi isu keselamatan dalam negera pula.
Sejuk seram Adriani apabila mengingatkan semua perkara buruk itu. Anak-anak gadis yang sanggup menderhaka pada ibubapa dan bertukar agama semata-mata ingin mengahwini lelaki asing. Lelaki bukan Islam.
Murtad. Adriana? Adiknya? Kembarnya itu?Nauuzubillah…
“Apa niat dia untuk convert?” terlafaz pertanyaan itu secara tiba-tiba. Bulu romanya sudah separuh berdiri.
“Apalah Kak Ni tanya lagi… kan Dik Na kata kami dah plan nak kahwin…” Adriana semakin bingung.
“Kalau setakat nak kahwin dengan awak yang buatkan dia memeluk Islam, baik tak usah. Nak memeluk Islam harus dengan niat dan hati yang ikhlas tau Dik Na!” terjegil sepasang matanya menyeluruhi wajah sugul Adriana.
“Kalau tidak esok lusa akan mendatangkan masalah. Nanti bertambah menjadi dosa!” menggigil Adriani melafazkan kata-kata itu.
“Kalau niat masuk Islam dah tak betul macam mana jalannya nak lurus nanti? Kalau esok-esok dia jadi macam umang-umang, macam mana? Kulit je label Islam tapi amalan? Hampeh! Dah beranak-pinak tapi tak nampak juga nilai keislaman pada diri dia secara sempurna, macam mana? Berdosa kita Dik Na...”
“Alah, jangan cakap dia. Orang yang original Islam tu pun belum tentu sempurna Islamnya...” sinis Adriana membalas peringatan yang cuba dibayangkan oleh kakak kembarnya itu.
Panjang istighfar Adriani. Memanglah tidak salah apa yang diperkatakan oleh Adriana itu. Benar bukan semua insan yang dilahirkan Islam itu mampu menghayati dan mengamalkan ajaran sebenar. Masih ramai yang Islam mereka hanya di atas surat beranak sahaja. Tetapi itu bukan isu yang harus mereka debatkan saat ini.
Ditatapnya wajah Adriana dalam-dalam. Dia tidak mahu berkasar dengan kembarnya itu. Adriana memang tidak boleh dilentur dengan kekerasan. Sebak Adriani sudah mula sampai ke kepalanya. Segala kemungkinan satu demi satu membayang di ruang matanya.
“Bukan itu je yang Kak Ni risau Dik Na...”
Kata-kata Adriani yang perlahan dan sayu itu pantas menarik pandangannya Adriana. Wajah Adriani yang sugul itu dia tenung. “Kenapa Kak Ni?”
“Mama bukan setakat tak suka Navin sebab dia orang India je. Awak pun tahu kan, memang dah jadi syarat dalam keluarga kita ni... mana ada ahli keluarga kita ni yang boleh kahwin dengan orang luar.”
“Iya, Dik Na tahulah hal tu...” Adriana sudah mula tunjuk riak bosannya.
“Tapi... hish, arrange-marriage ni style zaman dulu-dulu Kak Ni. Mama tu kan moden, elegan lagi... takkan nak ikut budaya tu juga kot?” dia merengus perlahan sambil memaling pandang.
“Zaman dulu apa bendanya? Yang kes abang Feysal tu awak dah lupa ke?”
Bila nama Feysal muncul di tengah-tengah bicara, serta-merta keduanya menjadi senyap sunyi. Ada pilu yang menusuk dalam dua keping hati itu saat nama seorang abang yang terlalu mereka rindukan disebut lagi saat ini.
Mata Adriana sudah mula terasa hangat. Silap haribulan akan bertakung pula air jernih itu. Cepat-cepat dia menyeka mata. Fikirnya Adriana tidak nampak. Namun Adriani lebih peka mengesan perubahan emosi adiknya kerana airmatanya juga bar sahaja diseka di pipi.
“Mama tak akan pernah izinkan kita cari orang luar untuk jadi teman hidup kita...” perlahan nada Adriani berkata sambil merenung wajah kembarnya yang sudah merudum muram.
Setelah selesa dengan helaan nafasnya, Adriani melangut ke siling sambil menyambung bicara yang sungguh perit untuk didengari, “Lagipun Mama sebenarnya dah ada pilihan dia sendiri untuk kita berdua.”
Tersentak Adriana mendengar kata-kata itu. Peristiwa Abang Syed Arman Feysal nampaknya tidak langsung menitikkan kesan ke atas hati Mama yang sekeras batu gunung itu.
Mengapalah pemikiran orang tuanya begitu tipikal? Adriana sukar untuk mempercayai Mama yang begitu elegant dan sophisticated itu mendiskriminasikan suatu jalinan hubungan masyarakat dan budaya yang luas. Sungguh dia kesal. Dan bertambah kesal kerana kembarnya itu menjadi kak turut paling setia.
“Oh, sebab tu lah Kak Ni tak pernah kisah nak cari teman sendiri? Kak Ni dah tahu Mama dah uruskan segala-galanya untuk kita. Macam mana Kak Ni boleh ikut saja telunjuk Mama?” dia bertanya sinis.
“Kak Ni pun sama, lembik macam Papa…”
Pangg!!
Satu tamparan hinggap di pipi Adriana. Berjalur lima jari. Berbekas merah di pipi. Aduhai, Adriani sendiri tidak terduga akan tindakannya itu. Begitu spontan. Menggigil sekujur tubuhnya yang kaku. Selama hidupnya dia tidak pernah menyakiti kembarnya itu. Malah tidak pernah bergaduh pun dari sejak kecil.
Bermula dari telapak tangannya yang pijar, seluruh tubuhnya terus menggeletar hebat saat melihat Adriana menitiskan airmata. Dipekup mulutnya agar esakan tidak lepas. Hiba hatinya kerana dicerca sedemikian rupa oleh kembarnya sendiri. Itulah juga pertama kali dalam hidupnya dia mengasari kembarnya itu.
“Kak Ni…” rintih Adriana yang turut menangis. Tapak tangan kanannya dipekapkan ke pipi yang sudah berbekas merah itu.
“Sampai hati Kak Ni…”
Terhenggut–henggut bahu Adriani menahan tangis. Matanya sudah kabur untuk memandang si adik. Tangannya ligat menyeka mata dan muka yang basah.
“Sebelum Mama atau Papa buat begitu pada Dik Na, biarlah Kak Ni yang tampar. Bukannya Dik Na tak tahu Mama tak akan tolerate dalam soal-soal begini. Abang Feysal dah tinggalkan jejak yang sukar untuk kita dik…” suara Adriana bergetar dalam sedu sedan yang tertahan.
“Kak Ni tak mahu jadi anak derhaka, dan Kak Ni tak sanggup tengok adik Kak Ni jadi anak derhaka!” laung Adriani dalam sedu sedannya dengan tangan yang menggoncang tubuh Adriana. Dadanya sudah bergemuruh dengan banjiran airmata.
Adriana mematung diri membiarkan kakak kembarnya itu melepaskan perasaannya. Goncangan Adriana sedikitpun tidak meluruhkan airmata yang sedang bergenang dalam hati.
Lalu perlahan dia leraikan pegangan Adriani yang kian lemah. Adriani segera bingkas. Hatinya lebih pedih dari sakit tamparan Adriani. Semua halangan dan penolakan ini menjadikan hatinya bertambah kental.
“Dik Na tak akan ikut kata Mama! Biar apa pun yang akan terjadi…” ucapnya penuh azam.
Cepat Adriani panggung kepala bila mendengar bicara yang membara itu. Airmatanya luruh lagi. Oh Tuhan....
“Apa yang Dik Na nak buat? Apa yang boleh kita buat dik....? Kak Ni sendiri dengar Mama dan Papa berbincang minggu lepas bila uncle Syed Ullah dengan aunty ShayMe datang rumah kita. Dua bulan lagi Kak Ni akan ditunangkan dengan Syed Budriz Ally. Dik Na pula dengan Syed Muzaffar Asyraf tu. Pertunangan kita akan diadakan serentak dik... Inilah hakikatnya, kita tak boleh melawan takdir kita.”
“Ini bukan takdir!” tukasnya dengan mata bergenang menikam renungan sendu kakak kembarnya. Dalam hatinya menggigil dengan segala perasaan yang bergalur dalam dada. Sampai hati Mama...
Terduduk dia kembali di birai katil menekup muka dengan helaan nafas yang begitu keras dan berat. Kini segalanya akan menjadi semakin sukar. Kembarnya sendiri sudah goyah menyokongnya. Tiada sesiapapun yang akan menyokongnya. Saat-saat begini dia begitu memerlukan abang Feysal.
Aduhai… apa yang harus aku lakukan?
Malam itu juga dia memandu Honda Getz pulang ke asramanya dengan pipi yang pijar. Kemerahan bekas tamparan Adriani. Jeritan dan teriakan Mama sudah tidak dipedulikannya. Dia menangis. Kecewanya merusuh di dalam dada.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.