Wednesday, March 23, 2011

Cerpen 5 : SEPUTIH KASIH KEMBOJA

Dia.

Ya, dia perempuan cekal dan tabah yang pernah aku kenali semenjak persahabatan kami terjalin seawal usia lima belas tahun dahulu. Ketika remaja, dia adalah temanku yang paling pintar, periang dan manja. Pun jua dia adalah seorang perempuan yang tegas dan degil. Sering sahaja mencabar kesabaranku. Pernah juga mencabar kelelakianku.

Hmm… pasti ada tawa dan airmata kalau mengenang saat-saat manis, masam dan pahit yang pernah aku lalui dengannya dulu. Walau apapun yang pernah dilakukannya, dia tetap seorang sahabat yang paling baik buat diriku.

Ketika keputusan peperiksaan SPM diumumkan, takdir masih menulis keizinan untuk kami meneruskan persahabatan. Kami diterima meneruskan pengajian di universiti yang sama. Benar, dia seorang perempuan dan aku lelaki, namun antara kami adalah sahabat paling ideal seperti yang diperkatakan semua kawan-kawan. Saling memahami dan sentiasa sinonim dalam pemikiran.

“Susah benar nak contact you sekarang ni Ana.” Aku merungut ketika menghubunginya melalui telefon bimbitku pada suatu hari. Di hujung talian aku mendengar suara halusnya ketawa mesra. Masih macam dulu, sentiasa riang.

“Sibuklah sekarang… ada apa hal ni? Nak jemput Ana basuh pinggan ke?”

Senang benar hatiku mendengar intonasi suaranya yang begitu ceria dan tenang. Pun masih macam dulu, suka mengusikku.

“Nak basuh pinggan buat apa, orang sekarang pakai catering aje. Lagipun takkan you nak basuh pinggan dengan baju pengantin?” giliranku pula menyakat.

Masa berjeda. Aku tahu si dia sedang tersenyum tanpa suara di hujung talian sana.

“Cik Profesor ni sebenarnya dah lupa sahabat…” aku kembali bersuara perlahan bila kebisuan hadir beberapa ketika. Aku tahu usik balasku sebentar tadi menyentuh sesuatu. Seperti yang pernah dikatakan oleh seorang kawan karib kami dulu bahawa antara kami sebenarnya “Kuch Kuch Ho Ta Hai”.

Itupun gara-gara filem Hindustan lakonan Shah Rukh Khan dan Kajol yang seolah-olah memperbesar-besarkan cerita kami. Sengaja aku memilih nada rajuk untuk memancing bicara dari gadis itu. Bimbang pula kiranya dia akan tersentuh hati.

“Wahai Tuan Doktor, Cik Profesor kat sini bukan lupa. Cuma... tak ingat.”

Aku juga tersenyum mendengar kata-katanya itu. Kalau dahulu bila dia mengungkapkan kata-kata yang sengaja dilafaz untuk mencetuskan kemarahanku, pasti akan kutarik hujung rambutnya hingga dia mengaduh kesakitan.

“Tak apa... nantilah bila Im jumpa Ana nanti…” aku mengugut mesra. Kami kembali ketawa.

Keakraban persahabatan remaja dibawa ke usia dewasa. Cuma masa menjadi faktor utama yang menjarakkan kemesraan kami. Hambatan tugas kadang kala memesongkan ingatan antara satu sama lain.

Namun kerana usia persahabatan yang begitu tua, diwarnai pula dengan keikhlasan, mendesak kami merindui sesama sendiri. Sekurang-kurangnya aku tahu aku memang merindui dia.

Dia..?

Sejujurnya aku memang kurang pasti. Tapi kalau aku amat-amati hati ini, aku bagaikan pasti dia juga merinduiku. Bukankah antara kami berdua wujudnya sentuhan hati dan fikiran yang sama.
Aku tahu benar, malah mampu untuk merasakannya. Kerana desakan rindu inilah yang memberi aku kekuatan untuk berkejar ke universitinya semata-mata untuk menariknya keluar menikmati makanan tengahari bersama-sama.

“Hey, Im… you ni biar betul!”

Dia tergamam bila aku terburu-buru menyerbu ke biliknya dan tanpa sebarang kata terus menariknya keluar.

“Im… Ana tengah kerja ni!” tegasnya lagi bila aku menolaknya masuk ke dalam Honda Hijau Metalic ku.

“Tak peduli…dah seminggu Im tak kacau Ana kan?” balasku bersahaja tanpa mengendahkan riak wajahnya .

Adakalanya aku juga merasakan keanehan dalam perhubungan ini. Kami terlalu rapat dan mesra. Tetapi sekadar sahabat. Namun orang di sekeliling yang melihat keakraban kami pasti menyangka kedua kami adalah pasangan kekasih. Sering juga kewarasan fikiran dipintas keinginan lelakiku.

Benar aku sayangkan dia sebagai seorang sahabat. Tetapi dalam masa yang sama aku ingin dia menjadi milikku sahaja. Di kala keinginan itu datang, aku bertanya kepada diriku sendiri apakah ini keinginan semulajadi seorang lelaki terhadap seorang perempuan. Aku ingin dia meratui takhta hatiku yang masih kosong ini sebagai seorang wanita yang istimewa, bukan sekadar seorang sahabat.




Petang itu sekali lagi untuk entah keberapa kalinya aku dengan rasa terpaksanya duduk menekur di sofa ruang tamu rumah mendengar kuliah dari emak dan ayahku. Agendanya tetap sama iaitu bila lagi aku akan menerima seorang perempuan bergelar isteri di dalam hidupku.

“Belum masanya mak, ayah. Saya belum bersedia.”

Dalih klise itu aku tuturkan perlahan tanpa memandang ke wajah-wajah tua di hadapan yang memandangku penuh harapan. Dari hujung mata ku lihat reaksi wajah emak yang seolah kecewa dengan jawapanku. Jawapan yang sama untuk soalan mereka yang lepas-lepas.

“Lagi-lagi itu juga jawapannya. Sementara emak ni masih dapat melihat, eloklah dicepatkan. Esok-esok, mata ni dah tak dapat melihat dengan terang, dah tak ada gunanya Imran…” sayu benar suara emak ku dengar.

Tapi ia tetap tidak mencairkan pendirianku. Aku tahu benar emak memang pandai berpsikologi. Wajah tuanya yang tenang itu ku tenung sejenak. Timbul juga rasa kasihan dengan permintaan mereka. Tetapi apakan daya, pintu hatiku masih belum terbuka.

“Bukan apa mak... ayah. Saya sebenarnya takut dengan hal nikah kahwin ni. Serik rasanya bila dengar Amril anak Pak Long tu ha... baru dua bulan naik pelamin dah turun naik pejabat tok kadi pulak. Kawan-kawan saya pun ramai yang macam tu…” aku cuba mencipta dialog baru. Harap-harap menjadi.

“Kau dah tilik ke nasib kau tu Imran? Bukan semua orang yang berumah tangga tu tak kekal nak oii..” emak lantas bangun dan membawa kain jahitan lalu menghilang ke dalam bilik.

Ku lihat ayahku hanya tersenyum memandangku. “Kan dah merajuk emak kau tu,” usiknya.

Begitulah perempuan, tak kira yang muda atau tua. Silap sikit merajuk, salah banyak menangis. Tapi Suzanna tidak begitu. Selama kami bersahabat, aku tidak pernah berpeluang untuk mengejeknya kerana menangis atau merajuk.

Mungkin perempuan itu tidak pernah tahu bagaimana untuk merajuk. Atau aku yang tidak bertuah kerana tidak pernah melihat bagaimana rupanya ketika menangis. Kadang kala aku bertanya apakah warna air matanya sejernih air mata ibuku juga.

Dia perempuan unik. Walau manjanya kadang-kadang terlampau melucukan tetapi tidak pernah sampai menyakitkan hatiku. Dia tahu bila dia harus mempamerkan sikap manja dan tegasnya. Malah aku merasakan tidak pernah ada kesunyian dan kedukaan dalam hubungan kami.

Hari-hari yang ku lalui bersama Suzanna penuh dengan keceriaan warna bebunga yang mewangi. Setiap kali bertemu pasti ada sahaja yang akan diperkatakan sehingga ada masanya kami berebut-rebut untuk bercerita. Setiap yang kami lakukan bersama pasti meninggalkan memori yang tidak akan terpadam dari ruang kenangan.

“Hmm…” ayah sengaja menguatkan dehemnya hingga aku tersedar dari lamunan. “Apa yang direnungkan tu Im..?”

Aku tersipu dan melarikan wajah bila menyedari ayah memerhatikan gelagatku.

“Tak usahlah berahsia dengan ayah, Imran. Ayah ni dah tua, dah berpuluh ribu peket garam mak kau guna dalam masakan. Kata orang tu apa...sekilas ikan di air dah tahu betina jantannya?”

“Jantan betinanya,” usikku membetulkan kata-kata ayah. Kami saling bertukar senyum. Asap dari kepala paipnya berkepul-kepul menyesakkan dadaku.




Masa yang berlalu membawa pelbagai episod cerita dalam hidup kami berdua. Memang antara kami selama ini tidak pernah berahsia, namun kali ini aku merasakan rahsia yang ku simpan ini terlalu sukar untuk ku kongsi bersamanya. Aku lebih rela memendam sendiri perasaan ini hingga sampai waktunya aku perolehi kekuatan untuk meluahkannya.

“Eh, kenapa diam saja ni. Makanlah, kali ni Ana belanja.” Ujarnya yang rancak menyudu makanan ke mulut comelnya.

Aku maniskan wajah dan berusaha menyuap nasi goreng kampung istimewa yang kian sejuk itu. Hatiku mendesak untuk meluahkan sesuatu yang aku sendiri tidak pasti. Namun fikiran tegas menahan keinginan hati. Walau perut di dalam sebenarnya memang lapar, namun kerunsingan memadamkan selera.

“Im, malam minggu ni datang rumah Ana ye,” ujarnya lembut. Aku bulatkan mata memandangnya sebagai ganti pertanyaan yang seharusnya diucapkan oleh mulutku yang penuh.

“Ayah sakit?” aku sedikit risau bila mengenangkan ayahnya yang sering sakit. Memang ada niat di hati untuk mengunjungi kawan baik ayahku itu sewaktu mereka berkhidmat sebagai tentera dulu, namun aku agak terbeban dengan kesibukan tugas di klinik kebelakangan ini.

“Tak...ayah sihat, alhamdulillah.”

“Dah tu?” Entah mengapa hatiku yang di dalam berdebar. Jantungku berdegup kencang, sekencang angin malam kelmarin yang begitu dingin menyusup ke tulang sum-sum.

“Majlis pertunangan Ana… kami buat simple je.”

Dan sudu serta garpu yang tadinya kejap di tangan kanan dan kiriku seolah tidak terasa lagi dalam genggaman. Aku cuba mencari degup jantungku yang tadinya begitu kencang. Apa yang sedang berlaku?

“Im?”

Aku lantas tersedar bila mendengar suara manjanya menutur namaku. Aku berusaha mengukir senyum di bibirku yang ku rasa semakin dingin membeku.

“Siapa yang malang tu?” Kagum dengan kemampuanku yang masih boleh menuturkan sebaris usikan meskipun tuhan sahaja yang tahu perasaan ku ketika itu.

Suzanna mencubit lengan kananku, menjeling sambil ketawa. “Sebab itulah Ana minta Im datang nanti. Ana mahu Im lihat dan berjumpa dengan lelaki pertama yang paling Ana kasihi dalam hidup Ana ni.” Mengapa dia kelihatan begitu bahagia sedang aku berhempas pulas mengekalkan senyuman di bibir ini?

Pertemuan hari itu benar-benar menginggalkan kesan padaku. Aku sendiri tidak pasti apakah perasaan sebenarku ketika itu. Apakah benar aku ikhlas berkongsi gembira atau cemburukah aku bila dia mengungkapkan kebahagiaannya? Mungkinkah juga aku kecewa? Namun yang semakin pasti, aku terasa diriku makin tersingkir. Terpinggir. Apa yang semakin ketara kini adalah perasaanku terhadapnya kian berubah.

“Tidak! Itu tidak mungkin berlaku, tidak akan berlaku!” seringkali hati menjerit, menafikan sekeras-kerasnya kata naluri lelakiku. Kekalutan yang ku hadapi itu segera ku tenangkan. Persahabatan dengan Suzanna banyak mengajar aku untuk mengendalikan masalah diri dan emosi.

Serta-merta kisah sepuluh tahun lalu menerpa kotak ingatanku. Ini bukan kali pertama aku mengetahui dia mempunyai teman lelaki istimewa. Sewaktu kami berusia 17 tahun dulu, dia pernah mempunyai seorang teman lelaki. Tetapi ketika itu aku sedikitpun tidak menaruh perasaan cemburu. Bahkan ia menjadi modal utamaku untuk menggunakan kelemahan itu bagi mendapatkan sesuatu darinya.

Aku masih ingat lagi ketika aku berhari raya ke rumahnya dan berbual rancak dengan ibu bapanya di ruang tamu. Baru sahaja aku akan tersebut perkataan boyfriend, Suzanna yang kebetulan lalu di hadapanku pantas merebahkan dirinya ke atasku berpura-pura pengsan. Namun aku tahu benar itu hanyalah sekadar lakonan si gadis cilik itu.

Ketika ayah dan ibunya bergegas ke dapur untuk mengambil air dan tuala serta barangkali perkakasan perubatan, dia segera bangun dan mencekak leher baju melayuku. “Berani kau Imran! Aku kerjakan kau nanti!” ugutnya dalam tawa yang tersekat-sekat.

Aku menekup mulutku agar tawaku tidak kedengaran sambil sebelah tanganku cuba melonggarkan tangannya yang terlalu kuat mencekak hingga aku sukar bernafas. Segera aku mengisyaratkan dia agar bertenang sambil menunjukkan ke arah dapur. Pantas sahaja dia merebahkan dirinya kembali bila orang tuanya keluar dari dapur. Tatkala ibunya mengelap wajahnya dengan tuala basah aku memalingkan wajahku ke arah lain, menahan rasa geli hati.

“Pak Cik, Mak Cik... cikgu PBSM kami pesan jika seseorang tu pengsan, mesti dibukakan bajunya agar angin masuk.” Aku sengaja mengusik nakal.

Malangnya wanita muda itu percaya pada usikanku lantas jari-jemarinya segera membuka butang-butang kecil di baju anak perempuan tunggalnya itu tanpa mempedulikan kehadiranku.
Mendengarkan kata-kataku itu, Suzanna bingkas bangun dari ribaan ibunya dan membaling sofa ke arahku.

“Jahat!” dia menjerit kecil bila aku berjaya menangkis serangan itu.




Jarum jam sudah menunjukkan pukul 7.35 malam. Aku masih berbaring malas di atas katilku sambil merenung kipas yang ligat berputar di siling. Aku berperang dengan perasaan sendiri. Hati kecilku sunguh-sungguh tidak merelakan kehadiranku di majlisnya, namun seperti ada suatu suara yang mendesak rasa. Dengan langkah malas aku bangun menuju ke bilik mandi.

Selesai membersihkan diri seadanya, aku terus mengenakan kemeja putih lengan panjang, hadiah pemberian Suzanna untuk hari lahir ku yang baru lalu.

Sampai saja di pekarangan rumahnya, kakiku seolah memberat. Apatah lagi melihat kemeriahan suasana yang seakan menghiris tangkai hatiku. Ku lihat dia menyonsongku dari kejauhan.

“Lambat…” masih juga terserlah nada dan gaya keanakannya biarpun tidak lama lagi akan bergelar seorang isteri dan pastinya juga akan menjadi ibu.

“Ana punye ke?” Kotak hadiah di tanganku dirangkulnya.

“Rasanya taklah... Im pun lupa hadiah ni untuk siapa sebenarnya?” aku sengaja mengusik.

Dengan senyum yang masih membunga, dia menarik tanganku ke dalam rumahnya yang berhias indah itu. Semua jemputan menoleh ke arahku. Rupa-rupanya dia menanti kehadiranku.

“Imran!” ayahnya memeluk mesra bahuku. Aku sungguh terharu. Hatiku berdetik soalan mengapa bapa sebaik ini tidak ditakdirkan menjadi milikku dengan memperisterikan puteri tunggalnya itu. Aku cuba menabahkan hati yang semakin sayu. Ku cari Suzanna untuk menunjang kekuatan namun dia tiada di sisi.

“Im... ini Arman” sepasang mataku pantas mempotret seraut wajah yang sedang tersenyum mesra ke arahku.

Wajah tampan dan tenang milik sesusuk tubuh seorang lelaki yang berdiri kemas di sisi Suzanna mencuri segala perkataan yang seharusnya ku ucapkan. Jujur ku katakan dia seorang lelaki yang berhak memiliki kasih Suzanna.

“Imran...” ku sambut huluran tangannya.

“Saya tahu… malah saya dah lama kenal dengan En. Imran, maaf… Doktor Imran,” tutur katanya begitu memeranjatkan diriku. Segera wajah Suzanna ku dakap dalam renungan, mencari bantuan ketabahan kerana aku merasakan kelainan ombak yang sedang melanda hatiku ketika itu.

Bagai mengerti akan kehairananku, Arman ketawa kecil lantas berkata, “Suzanna selalu cerita mengenai Doktor …”

“Jangan… panggil Imran saja.”

Hairan pula aku dengan kemesraan yang masih boleh ku pamerkan terhadap lelaki ini. Tidakkah aku sepatutnya merasa cemburu padanya kerana telah merampas sebutir mutiara berharga yang aku miliki?

Menyedari majlis itu tidak akan berakhir hingga ke suatu waktu, aku paksa kekuatan untuk memohon izin mengundur diri. Sepasang kekasih yang diraikan pada malam itu pastinya berdukacita dengan pengunduran awalku. Suzanna mengiringi aku hingga ke pekarangan rumahnya. Baru sahaja aku membuka pintu kereta, degup jantungku seolah berhenti bila dia memegang tanganku.

Kedinginan menjalar ke sekujur tubuhku dengan sentuhannya itu. Ini bukan lah pertama kali, tetapi sentuhannya kali ini seolah merentap segala sarafku. Sentuhan yang sama sekali telah berbeza aromanya. Sentuhan yang selama ini ku harap dari seorang wanita yang paling ku kasihi di dalam diari cintaku.

Aku menoleh mencari wajahnya dalam kesamaran cahaya bulan dan lampu jalan. Dia memandangku sayu. “Bye…” aku memaksa senyum biar di hati terasa bagai telah terhempas ke batu.



S
emenjak hari pertunangannya, aku sengaja menjauhkan dengan membenamkan diri dalam tugas-tugas yang selama ini boleh ku ketepikan untuk bersamanya. Aku sedar dia bukan lagi sahabat mutlakku.

Dia kini adalah tunangan orang. Tidak manis jika aku masih mendampinginya seperti dahulu. Aku tahu penyepianku dapat dirasakan oleh Suzanna. Sering saja panggilannya ke klinik aku elakkan. Malah panggilannya ke telefon bimbitku hanya ku hantar ke kotak pesanan.

Tidak ku nafikan aku terlalui merinduinya. Namun ku gagahi jua hati ini agar kerinduan itu tidak melemahkan pendirianku. Sesekali bila rindu datang menyapa, aku pandu kereta ke universitinya. Tiap kali itu juga hatiku yang luka semakin berdarah bila dari jauh ku lihat Arman telah sedia menanti. Aku halang diriku dari menyertai mereka, cukuplah sekadar memandang dari kejauhan.

Menyedari kerunsingan ini bisa saja menjadikan aku gila, ku bawa diriku jauh ke kampung bapa saudaraku. Kehadiranku disambut dengan penuh gembira oleh paksu dan maksu ku.
Ketenangan senja di desa ini amat indah. Dengan bunyi deburan ombak, rumah-rumah nelayan serta perahu tua memberikan panorama indah bagi seorang pelukis untuk diabadikan ke dalam sebuah lukisan warna.

Namun aku bukan seorang pelukis. Segala keindahan ini hanya mampu ku pahatkan ke dalam hati sebagaimana perasaanku yang kemas di dada, tidak pernah ku luahkan kepada Suzanna, satu-satunya perempuan yang ingin ku miliki dalam hidup ini.

Mentari senja kian melabuhkan tirai malamnya. Pantai kian kosong tanpa riuh nelayan dan kanak-kanak yang sudah beransur pulang ke kediaman masing-masing. Yang kelihatan hanyalah perahu-perahu yang dilambung ombak dan yang kedengaran hanyalah desiran angin malam, juga hembusan nafasku yang kecewa.

“Eh, Im! Pancing Ana dah kena!” dia menjerit kegirangan. Dilambai-lambaikan tangannya kepadaku. Segera ku letakkan pancingku lalu berlari meniti batu-batu sungai menuju ke arahnya.

“Ye ke?” termengah-mengah aku mendapatkan Suzanna. Aku tarik tali pancing dari tangannya. Terasa berat namun aku tidak berjaya menariknya.

“Eh beratnya! Ikan apa yang Ana dapat ni. Ikan jaws ke?”

Wajah comel itu memandangku dengan riak tidak percaya. Pancing di tanganku ditariknya. “Ikan apa ni berat sangat ?” Dia pula bersungut perlahan .

“Ana ni bengaplah! Kalau dah ditarik tu tak mahu naik juga maknanya pancing tu tersangkut!” aku ketawa.

Dia pandang aku, “Dah tahu pancing tu tersangkut, apa pasal tak tolong lepaskan? Cepatlah tejun!” jeritnya meningkah deru air.

“Eh, buat apa Im nak terjun pulak? Ana terjunlah sendiri,” usikku lagi. Ku lihat wajahnya kemerahan, barangkali menahan geram dengan gurauan nakalku itu.

“Betul tak mahu tolong? Okey, Ana terjun tapi Ana tak tahu berenang. Kalau jadi apa-apa nanti kirim salam ajelah pada emak dan ayah ye. Lagi satu…tak payahlah Im nak salahkan diri sendiri pulak nanti. Ana dah maafkan Im! Dunia akhirat! Hutang yang lima puluh sen tahun lepas tu pun kira halal!”

Terkejut besar aku mendengar ucapannya itu. Barangkali jika aku terlewat walau sesaat pun merentap tangannya, dia pasti telah terjun mengotakan kata-katanya. Nanti satu hal pula untuk aku membela diri di depan orang tua kami. Ketika ku rentap tangannya itupun kakinya telah tergelincir dan hampir jatuh. Tercungap-cungap aku menarik Suzanna naik ke tebing.

“Takut…” gilirannya pula mentertawakanku.

“Gemuk! Berat tahu tak!” aku cuba menyembunyikan debar hatiku melalui usikan yang sengaja ku bunyikan marah.

Dia ketawa lagi.

“Apa khabar orang Terengganu?” emak bertanya sebaik sahaja aku melabuh punggung ke sofa empuk.

“Alhamdulillah baik je mak, mereka berkirim salam. Tu ada Mak Su kirim sikit buah tangan untuk emak dan ayah.” Ujarku sambil melirik ke arah telefon di atas meja bulat di hujung dinding.

“Hmm... tak ada orang cari saya mak?”

Emak yang sibuk membuka bungkusan kiriman Mak Su mendongak ke arahku sebentar, “Ana ada telefon beberapa kali. Dia minta mak suruh kau telefon dia semula bila balik,”

Perlahan ku rebah kepala ke atas sofa. Letih benar rasanya memandu seharian. Kuala Lumpur dengan Terengganu bukannya dekat seperti rumahku dengan rumah Suzana yang hanya berselang taman perumahan sahaja.

“Dah lama dia tak ke mari. Dulu rajin juga dia datang, memasak dan makan bersama kita.” Emak bersuara lagi. Dari hujung mata ku sedar emak mengerling ke arahku.

“Im dengan Ana ni kenapa? Bergaduh? Hish…macam budak kecil,” ayah melipat suratkhabar di tangannya sambil menanggalkan cermin mata.

“Tak adalah ayah, mak. Dia sekarang bukan macam dulu lagi. Mak dan ayah pun tahu dia sekarang dah jadi tunang orangkan, tak baiklah selalu bertandang ke rumah kawan lelaki.” aku terasa suara itu terlalu perlahan, malah aku sendiri tidak pasti kiranya ayah dan emakku mampu mendengarnya.




Terduduk aku tidak terkata bila menerima berita kemalangan Arman. Tanpa berlengah aku bergegas ke UMMC. Di luar bilik pembedahan aku dapat melihat ibubapa Arman yang baru ku kenali di malam pertunangan mereka, menanti dengan wajah yang muram dan bimbang.

Airmata masih bergenang di kelopak mata. Membekas. Hatiku begitu terhiris tatkala melihat Suzanna bersandar di pintu bilik pembedahan. Tidak menangis dan tidak juga kelihatan resah. Dia tetap tenang seperti selalu. Seperti Suzanna yang seadanya. Kakiku bagaikan terpaku di lantai. Aku seolah lumpuh untuk meneruskan langkah mendapatkannya.

Ketika jari-jemarinya menolak rambut lurus panjang yang menutupi separuh wajah, dia terpandangku yang masih terpaku di posisiku. Dua pasang mata bertembung seketika. Betapa aku terlalu ingin melihat dia berlari ke dalam dakapanku dan menangis agar aku berpeluang memecahkan kebuntuanku dengan memujuknya. Tetapi Suzanna tetap di posisinya. Cuma sinar mata yang redup itu menikam sanubari lelakiku. Dia terlalu istimewa untuk diduga oleh takdir begini.

Kolam mata terasa memberat. Serta-merta aku berpaling, beredar dengan langkah yang aku tahu terlalu laju menuju keluar hospital. Tidak sanggup untuk terus menghadapi renungan dari sinar matanya yang bening itu. Aku tahu apa yang bermain di fikirannya. Aku tahu perasaan dan hatinya. Arman terlalu kritikal. Begitulah perkembangan yang aku perolehi sebelum ke bilik pembedahan tadi.

Sebaik sahaja pintu kereta ku kuak, terasa tanganku dipegang seseorang. Hatiku bergetar, “Suzanna…” bisikku tanpa menoleh. Kudongak kepala menahan airmata yang meronta-ronta minta dilepaskan.

“Imran ke mana selama ni?”

“Bagaimana Arman?”

“Ana tanya Im ke mana selama ni?” suaranya bergetar. Aku tahu dia sedang menahan marah.

Aku melepaskan keluhan kecil, sukar untuk memperolehi alasan di saat-saat kecemasan yang mendesak begini. Ku pusing tubuh memandangnya sambil menghempas pintu kereta perlahan lalu bersandar lemah di badan kereta.

Soalannya tadi masih ku biar sepi tanpa jawapan. Biarpun tanpa kekuatan yang cukup, aku balas renungannya. “Sekadar mencari ketenangan…”

“Untuk?” bertubi dia mengaju tanya biar aku belum menyudahkan kata.

Angin malam bertiup tenang. Malangnya hati ini tidak setenang itu. Aku dikocak dilema yang begitu menyesakkan nafas. “Kenapa ye, Ana rasa Im seperti berubah kebelakangan ini? Dan Ana macam dapat rasa ianya berpunca daripada pertunangan Ana. Betulkan? Atau sekiranya Ana tersilap…” Suzanna menggantung bicara, menambah debar dalam hatiku.

“Imran, jujurlah dengan Ana! Jujurlah seperti you used to be…”

Aku memeluk tubuh dengan lebih erat menahan kesejukan malam. Tapi aku tahu bukan sejuk malam yang menjadi penyebab, tetapi kerana hatiku yang semakin membeku.

“I always have the thought that we know each other very well. I always think that I have a brother, the best in the world who I can rely on. Who could offer me shoulder to cry on, but..

Nadanya sayu dan aku sepatutnya tersentuh dengan kata-kata itu. Tetapi entah mengapa sebaliknya berlaku di dalam diriku. Bara di hati semakin panas dan kian menyala. Apakah aku hanya layak dianggap abang oleh setiap perempuan? Apatah lagi oleh seorang perempuan yang terlalu ingin aku miliki. Ingin saja aku luahkan larva kemarahan ini, tapi syukur kepada Yang Esa, aku masih rasional.

“Tak apalah kiranya Im masih belum cukup memahami Ana. Tapi I know you knew I that I’m alone…now…and from the minute you stayed away. I am alone in…facing…” aku tahu dia menarik nafas, “…menghadapi takdir dan memohon doa untuk orang yang Ana kasihi dalam hidup ini, untuk dia yang sedang bergelut dengan takdir hidup matinya.”

Aku pejam mata rapat-rapat menahan rontaan hati dan perasaan.

“Dan meskipun dia adalah lelaki yang paling Ana kasihi dalam hidup, Ana rasa Ana masih berhak memiliki kasih sayang Im juga kan? Atau sekurang-kurangnya tempat Ana bersandar untuk menghadapi keadaan ini…betul kan? Tapi …” Aku lihat Suzanna menyeka airmata. Aku benar-benar terharu. Bagaimana dan di mana hendak ku letak hatiku ini melihat kehibaannya itu

“Tapi… satu-satunya lelaki yang Ana kenali dan kasihi sepanjang usia ini rupanya tidak memahami. Malah dia tidak hadirpun tika Ana benar-benar memerlukan dia. Setiap saat Ana fikir apakah dan di manakah silapnya…t api Ana tak ada jawapan…c uma Im sahaja...” dia tidak meneruskan kata-katanya.

Dan bila semakin ku rapatkan pejaman mata, terasa ada air suam yang mengalir di pipi lelakiku.

Takdir tuhan sudah tertulis, tidak akan ada pindaan ataupun pembetulan ke atasnya jua. Lelaki yang dicintai oleh sahabatku dengan sepenuh hatinya itu telah dipanggil Illahi. Dan aku melihat betapa tenangnya dia menerima ketentuan itu.

“Arman dah tak ada Ana…” bakal ibu mertua Suzanna mengusap rambut panjangnya dengan penuh hiba. Namun Suzanna hanya tersenyum biarpun ku tahu senyuman itu menyembunyikan keremukan sekeping hati seorang perempuan. Setiap hati siapa pun jua yang menghadapi keadaan seumpama itu.

Ku ekori dia sepanjang hari pengurusan membawa pulang jenazah Arman dari hospital. Aku tetap setia menemaninya sebagaimana setianya dia menemani sekujur tubuh dingin lelaki yang pernah dan masih bertakhta di hatinya itu.

Aku ikuti bacaan talkin di pusara Arman dengan penuh keinsafan betapa mati itu tidak mengenal usia dan sebab. Meninggalkan segala milik dan kepunyaan di dunia. Meninggalkan segala yang tersayang biarpun pemergian itu terlalu pedih untuk diterima. Selesai saja pembacaan talkin, hadirin melangkah perlahan-lahan meninggalkan pusara.

Ketika aku toleh kembali ke arah pusara yang masih merah itu, hatiku berkecai bagaikan cermin kaca yang terhempas ke batu. Di situ buat pertama kalinya ku lihat dia menangis. Benar. Pertama kali dalam hidupku mengenalinya. Dia menangis. Menangis dan menangis. Tidak dapat aku tahankan hati milikku ini untuk menyedari kehancuran hati seorang perempuan itu.

Terlalu cintakah dia kepada lelaki itu? Bagaimana untuk aku mengembalikan seri hidupnya? Aku menangis dalam hati piluku. Aku masih di posisi. Tidak mampu untuk melangkah apatah lagi memikirkan sebarang tindakan untuk menenangkan gadis ini.

“Ana relakan pemergiannya.” Aku tersentak bila tiba-tiba suara itu menyapa kesunyianku.

“Dah tak ada apa yang tinggal lagi untuk Ana. Cinta Ana dah pergi, cuma yang tinggal hanyalah kasih kiranya ada…” dia tidak meneruskan kata-kata.

Hanya mata yang bertemu dan hati yang berbicara. Namun aku terlalu memanjatkan doa dan harapan agar akulah insan yang paling tepat mentafsir maksud itu.

Seketika ku alihkan pandanganku ke arah timbunan tanah yang masih belum bernisan. Hatiku berjanji padanya yang di sana. Janji yang terpateri di jiwa luhur untuk sebuah kasih yang sejati.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

PAGEVIEWS