Wednesday, May 18, 2011

MENUNGGU DAISY HATI - 1

SATU

Petang itu dia turun lagi ke Surfer’s Paradise Beach.

Tidak seperti semalam, petang itu dia turun dari bilik penginapannya di Hilton Surfers Paradise dengan jeans biru gelap Levis dan t-shirt putih Denim yang telah dia rapikan sejak keluar dari bilik hotelnya tadi. Lebih kemas dan lebih tampak segak berbanding Bermuda yang disarungnya semalam. Juga kelmarin.

Sun-glass yang memang tidak pernah lekang dari melindunginya sepasang matanya itu juga tetap menemani seperti selalu. Kawan-kawannya dulu selalu perli dia. Ben selalu kata dia pakai Prada dan Ray-Ban itu untuk membolehkannya check-on ladies. Namun hanya Nick yang lebih rapat dengannya itu sahaja tahu mengapa kaca mata mata hitamnya itu jarang dia tanggalkan ketika berada di luar.

Nick betul. Dia selalu guna kaca mata hitam kerana dia lebih suka anak matanya itu duduk diam-diam di tempatnya. Mengapa? Kerana kalau dia tidak guna kaca matanya, ramai gadis akan ikut dia. They loved his deep, dark navy blue eyes.

Walaupun ada rasa bangga bila dikagumi dan digilai ramai gadis kerana warna anak matanya yang susah hendak diukur di atas penanda aras biru, coklat dan hitam itu dikatakan sangat mempersonakan, namun sejujurnya dia lemas. Rimas kerana setiap detik menjadi bahan singgahan pandangan.

Untuk jalan selamat, dia akan gunakan kaca mata hitamnya hampir sepanjang masa. Kalau bukan kerana sun-glassnya itu, kaca matanya juga ala-ala tinted. Jadi apa sangatlah bezanya kalau dia pakai sun-glass ataupun kaca mata rabunnya itu kan?

Darryl Adrian melangkah perlahan menyelusuri kaki jalan. Kedua-dua belah tangan diselukkan ke dalam poket depan jeansnya. Gaya santai pelancong yang menikmati panorama Gold Coast petang yang nyaman.

Sesekali mata melirik nakal ke arah bangunan 29 tingkat Hotel Grand Chancellor atau dulunya dikenali sebagai Marriot Courtyard yang tersergam tinggi berlatarbelakangkan langit yang begitu ria birunya. Ia hanya terletak dalam jarak lebih kurang 150 meter sahaja dari tempat dia berdiri saat itu.

Sesekali juga sepasang matanya yang dilindungi kaca mata hitam itu meliar. Mencari-cari di persekitaran. Manusia-manusia pelbagai warna kulit berjalan di sana-sini. Ada yang berjalan dengan hanya berseluar pendek atau seluar paras lutut. Ada juga yang memakai wind-breaker dengan hanya menyandang bacpac.

Hmm... hari itu cahaya mentari tersenyum dalam tiupan hawa yang dingin.

Memandang panorama itu, dia tersenyum sendiri. Memang Gold Coast tidak pernah lengang dengan pelancong asing. Tidak terkecuali juga pelancong tempatan. Apatah lagi tempat yang dinamakan Surfers Paradise ini merupakan nadi yang menghidupkan Gold Coast. Tempat ini syurga bagi mereka yang suka bergurau dengan ombak laut biru Gold Coast.

Sempat sahaja dia membelek dan meneliti secara tidak langsung setiap wajah yang dia pandang itu. Bujur, lonjong, bulat, kecil, besar. Warna pun pelbagai. Kuning, merah, putih, coklat, kelabu, malah hitam pun ada. Hatinya memilih dan menapis dengan berkata ’Nah, bukan itu! Bukan ini juga!’.

Apa sebenarnya yang dia sedang cari ni!?

Lalu langkahnya turun ke atas pasir pantai. Memijak pasir pantai halus nan putih dengan kasut sehingga meninggalkan beberapa jejak bertapak di atasnya. Kedua belah tangannya masih diselukkan sebahagiannya ke dalam poket jeans. Pandangan ditala lurus ke arah lautan yang kebiruan. Begitu berkaca.

Bila gulungan ombak menderu tinggi, ia kelihatan memutih di puncak laut. Sesekali nampak begitu ngeri bila beberapa kelibat manusia yang sedang meluncur di dada air itu ditolak ombak begitu keras lalu hilang seketika dari pandangan.

Ramai pelancong tahu kalau Gold Coast adalah destinasi terbaik untuk kaki surfers sedunia. Di sini gelombang ombak lautnya adalah antara yang terbaik dan lebih konsisten berbanding destinasi air yang lain. Bukan sekadar laut dan gelombangnya, tempat ini memiliki banyak lagi daya tarikan pelancongan yang terbaik di dunia. Orang kata superb!

Di lensa matanya Darryl melihat beberapa orang surfers kelihatan sedang melakukan pelbagai gaya di puncak gulungan air laut yang begitu ganas. Darryl juga biasa surfing. Malah ia adalah hobi yang paling Darryl gemari kerana dia amat mencintai sebuah rasa yang menekal dalam diri bila mencabar gulungan ombak itu.

Tiap kali memasuki ruang bawah di dalam gulungan ombak, dia akan menjerit sekuat hati. Semua rasa yang tidak mahu dia simpan lagi di dalam hati akan dibuang ke dalam vakum itu. Jeritan yang dilantun keluar dari rongga dadanya itu mencerminkan sebuah kepuasan yang tidak ada perkataan mampu untuk menggambarkannya.

Bila lerengan gulungan ombak yang tampak ganas itu menolak dia naik semula ke puncak ombak yang hampir membolehkan dia mencecah kaki awan biru, Darryl akan melepaskan nafas sepuas-puasnya. Nafas lega. Nafas puas.

Yeeha! I won! Yeeha! Yeah I won, I won!

Dan tubuhnya yang sasa itu tidak langsung terasa akan dinginnya air laut. Wonderful! Sangat hebat!

Namun saat itu, bukan memori berada dalam gulungan ombak yang cuba dia imbas. Bukan juga untuk menikmati panorama ombak laut yang bergulung dan menderu. Juga bukan untuk melihat aksi pantai yang panas dengan pelbagai karenah kaki surfers.

Apa yang sedang dia cari adalah seri raut wajah ala-ala kacukan. Sepasang matanya terus meliar di setiap sudut lapang pantai yang terbentang. Mencari seseorang itu. Aduhai, siapakah gerangan insan itu yang telah mencuit hatinya? Lalu telah dia pinjamkan hatinya semalam kepada seseorang itu yang belum dia kenali.

Aduh, Darryl... sungguh murahnya hatimu meminjamkan satu-satunya hati yang engkau ada untuk seluruh hayatmu ini kepada seseorang yang tidak pun kau kenali?

Tidak apalah. Demi seseorang yang telahpun berjaya menyentuh hati ini hingga jadi berwarna-warni, semuapun dia rela untuk meminjamkannya. Sekurang-kurangnya sehingga hari ini bila dia akan mencari peluang untuk meminta hatinya kembali dari yang seseorang itu.

Aduhai, mengapa hingga tika ini wajah itu sukar untuk dia usaikan dari lensa pandangan hati? Terbayang-bayang. Ya, gadis itu yang dia temui di gigi air biru yang berkaca bila dipanah sinar mentari langit.

Tidak mungkin dapat Darryl lupakan seraut wajah itu. Masakan dia mampu untuk melupakan seraut wajah itu yang telah membawa pergi hatinya. Hingga dia rela meminjamkan hatinya walau gadis itu tidak pun meminta. Tak apalah, kalau aku tidak bisa melangkah di sisimu, izinkanlah hatiku menemani buat pengganti diri.

Di mata Darryl, wajah itu bersinar saat merenung biru laut yang hujungnya seperti bertemu dengan hujung kaki langit. Lalu kebiruan itu bersatu dengan awan memutih yang indah menebar di dada langit. Sama berkaca dengan permukaan air laut Gold Coast.

Angel?

Aduhai, alangkah indah hidup ini kalau benar yang dia temui semalam dan kelmarin itu seorang bidadari. Kalau benarlah itu, maka syurga dunia itu mungkin juga sebuah hakikat. Ya. Dia masih ingat wajah bidadari itu. Yang semalam dia jumpa di pantai ini.

Tetapi Darryl masih mampu untuk rasional. Ini dunia, bukan syurga. Sesungguhnya dia masih belum memijak lantai syurga. Sehingga saat itu, biarpun dia tahu syurga itu indah, tempat abadi insan terpilih, tetapi dia masih mahu berpijak di bumi ini. Lagipun dia masih insan jahil yang belum layak mendapat anugerah Tuhan itu.

Mengapa pula dia tolak keindahan hakiki itu? Jawapannya satu sahaja. Dia tahu jantungnya masih berdegup. Sedar dua telapak kakinya masih berpijak di atas landai bumi yang sama ketika dia dilahirkan dua puluh satu tahun lalu.

Lebih daripada itu, di bumi inilah telah ditemuinya seseorang itu. Terdorong jiwa untuk mencari dan mengenali bidadari bumi itu. Ah, Darryl! Dia bukan bidadari. Dia hanyalah seorang gadis. Lalu hatinya pun mentertawa luapan hasrat.

Ya, seorang gadis. Seorang pelancong? Dari mana?

Pada dirinya sendiri juga tidak mampu untuk dijelaskan mengapa langkahnya ke pantai petang itu terlalu mendesak raga. Yang dia tahu, dirinya kuat ditarik dan digamit. Hatinya dipanggil-panggil. Diseru sesuatu...

Sejak petang semalam dia begitu. Laksana terpukau akan sesuatu. Sudahnya sepanjang malam tadi Darryl tidak mampu melelapkan mata. Setiap kali mata cuba dipejam, seraut wajah itu hadir memandang ke dalam matanya. Matanya akan pantas terbuka. Hendak pandang wajah itu lagi. Tidak puas menatap wajah itu di pantai semalam dan kelmarin.

Berbaring di atas katil empuk dalam pelukan penghawa dingin yang sejuk sampai ke tulang sum-sum itupun masih tubuhnya tidak rasakan kedinginan itu. Kerana apa? Kerana hatinya memang sudah terbeku sejak terpandang seraut wajah itu petang semalam.

Sudahnya dia terkebil-kebil memandang siling bilik hotel mewah yang didiaminya di Hilton Surfers Paradise Residences itu. Terkenangkan bangunan The Grand Chancellor Hotel di mana dia lihat gadis itu menghilang di dalamnya. Tahulah Darryl kalau bidadari itu pastinya beristirehat di sana. Tidak jauh dari tempat dia juga sedang beristirehat dengan lamunan indah ini.

Tidak mampu memejam matanya lena. Di mana-manapun kelihatan wajah itu yang terpampang begitu terang dan jelas di atasnya. Langsung dia menghabiskan lebih banyak waktunya sepanjang malam itu di balkoni biliknya.

Mendiami salah sebuah bilik hotel di Orchid Tower yang mencuar tingginya melampaui Pantai Surfers Paradise memberikan Darryl sebuah panorama pandangan laut dan seluruh kawasan yang bergemerlapan dengan cahaya lampu yang menakjubkan.

Begitupun, panorama menakjubkan itu tidak mampu membendung gelora hatinya untuk menunggu hari siang dan bertemu lagi dengan seseorang yang sudah kemas takhtanya di dalam carta jiwa.

Memujuk sabar dengan menikmati asap rokok, sebatang demi sebatang sehingga suria pagi tersenyum kepadanya. Bila pagi sudah siang, tidak sabar pula dia menunggu petang. Ah... manusia memang sentiasa ada kemahuannya...

Pasir pantai yang halus masih membentukkan tapak kasut bila kakinya terus mengorak langkah satu demi satu. Perlahan, seiring tindakan sang mata yang merusuh dalam pencarian. Mencari. Masih belum jumpa. Gusar dan resah berebut-rebut mengasak dada.

Mungkin juga gadis itu tidak ada di pantai petang ini. Entah-entah sudah terbang pulang ke negaranya. Sekeping hati lelakinya diintai kecewa. Setelah beberapa ketika diterpa hampa, sesusuk tubuh kelihatan di kejauhan. Bulat matanya. Lalu senyuman pun terpancar dan berseri.

Segera dia tanggalkan kaca mata. Mahu pandang lagi. Biar betul-betul. Untuk memberi lebih keyakinan kepada diri sendiri. Padahal hatinya sudah pun memastikan itulah gadis yang dia sedang tunggu. Sedang dia cari. Sah!

Langkahnya sedikit pantas menyusur pasir pantai Surfer’s Paradise. Terus tuju ke gigi air yang berbuih putih berkejar-kejaran dengan ombak dan desir angin pantai. Di mana gadis itu sedang berdiri dengan kaki seluarnya dilipat ke paras bawah sedikit dari lutut. Terserlah betisnya yang putih kuning.

Rambut hitam separas bahu itu mengibar-ngibar ditiup angin pantai petang Gold Coast yang dingin. Mengalunkan keharuman yang meresap ke dalam sanubari Darryl. Melangkah lagi agar jarak mereka lebih dekat. Biar seperti petang semalam.

Ya, petang semalam dia berdiri benar-benar di sebelah gadis itu. Dalam jarak lima enam kaki. Yang membolehkannya untuk menghidu keharuman yang dibawakan oleh gadis itu. Dan hari ini dia masih mampu untuk menghidu wangian yang serupa.

Yakinlah dia bahawa memang itulah gadisnya yang sama. Kerana haruman yang baru sahaja dia menghidunya itu sudah sebati dalam jiwa. Tidak seperti bau pasir pantai atau bau air laut yang dingin dan masin. Bau-bauan itu semua sudah sebati dengan deria baunya.

Bukankah dia membesar di Australia? Di Sydney. Bersekolah pun di sini. Cuma ketika melanjutkan pengajian di peringkat tinggi, Daddy hantar dia ke USA. Walaupun tidak pernah ada keinginan untuk menjejak kaki ke USA, namun tetap dia akur dengan kemahuan Daddy.

Tidak tega untuk menghampakan Daddy yang begitu menyayanginya. Yang tidak pernah gagal memenuhi segala keperluan dan kehendaknya. Tidak pernah Daddy minta apa-apa sebagai balasan untuk itu. Tentu sahaja. Mana ada ibubapa mahu bayaran membesarkan anak-anak kan...

Dari teringatkan Daddy, pantas sahaja fikirannya beralih kepada perkara fokus yang membebankan fikirnya sejak dua tiga hari ini. Ya, semalam dia lihat gadis itu untuk kali yang kedua.

Ah, rasa kagumnya terhadap gadis itu pasti sahaja bertepuk sebelah tangan. Gadis yang berkulit putih kuning, tinggi lampai dan berhidung tinggi dengan raut bujur itu bagai tenggelam dalam gulungan ombak.

Langsung tidak endah akan dirinya yang selalu orang kata kacak ini. Dan sekarang Darryl ragu-ragu. Sungguhkah dia kacak bangat? Kalau sungguh begitu mengapa gadis itu tidak menolehpun ke arahnya? Atau gadis itu buta? Heh!

Tiada penjelasan yang mampu dia bariskan mengapa sang hati begitu pantas tertawan dengan seraut wajah itu. Padahal mengenalinya juga dia masih belum. Sebab itu dia turun lagi ke pantai petang itu. Mahu lihat lagi sepasang anak mata yang berwarna coklat itu.

Ah, dia memang pasti sepasang anak mata itu berwarna coklat pekat. Sudah begitu dia tekuni setiap liku wajah itu semalam. Malah dalam keasyikan dia merenung, tiba-tiba gadis itu berpaling. Tepat ke arahnya.

Oh, pasti gadis itu tidak buta. Kerana selayang senyum itu terus lekat di dada kasih. Hatinya berdetak kencang. Apakah gadis itu sedar dirinya sedang dia diperhatikan? Mungkin...

Atau mungkinkah gadis itu punya gerak hati yang serupa dengannya? Harap-harap begitulah... Oh Darryl, tolonglah jangan jadi terlebih perasaan...

Ataukah hanya suatu kebetulan? Seperti kebetulan dia menemui seraut wajah itu di gigi air pada suatu petang yang indah itu. Mungkin...

Benarkah ia hanya satu kebetulan, bila hanya wajah itu dalam begitu ramai yang lain tidak mampu dia usir dari ruang mata? Mengapa hatinya memberi jawapan tidak? Ah, hati lebih mendominasi perasaan dari yang sebaliknya... begitulah selalu.

Bukankah sekeping hati yang manusia miliki ini punya suatu keajaiban? Hati yang pertama kali menerima setiap pesanan yang disampaikan oleh setiap anggota. Bila sang mata melihat suatu pesona, ia pasti tertawan. Ya, itulah jawapannya. Pesona. Lalu hatipun terpasung. Tidak berganjak.

Love at first sight? Yang itu, Darryl belum benar yakin. Sejujurnya dia sudah banyak memandang. Setiap kali mata memandang, hati pasti tertawan. Apakah itu dikira cinta pandang pertama, kedua atau seterusnya?

Ah, tidak apalah... walau berapa kali pun dia memandang dan tertawan, ia tidak pernah sama dengan pesona ini. Tidak sama dengan raut ini yang julung kalinya dia pandang lalu memanah tepat ke dalam raga. Paling penting, cintanya tidak buta. Ya, kalau dia buta, masakan dia dapat melihat panahan rasa dalam raganya itu kan?

Saat gadis itu berpaling dan memandang tepat ke arahnya, dia terus kehilangan degup jantung. Renungan yang bersatu buat dia terpanar kaku. Diri terasa melayang-layang. Umpama mimpi dalam mimpi. Perasaan aneh tertulis baris demi baris dalam lembar hati. Malangnya tidak mampu dia menafsirkan.

Oh my God! Renungan sepasang mata coklat itu benar-benar jatuh dalam tingkat hatinya yang paling dalam.

Into the lowest basement.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

PAGEVIEWS