PROLOG
23 tahun lalu - Malaysia
Hamdan juga Ina, tersenyum sendiri di hujung talian masing-masing. Bibir Hamdan berbunga senyum simpul. Sedang Ina pula tersenyum sendiri berteman sebuah rasa. Tetapi masing-masing saling tidak tahu apakah yang sedang melanda diri mereka.
“Terima kasih ya Ina…”
“Kenapa pulak nak berterima kasih dengan Ina..?”
Lagi Hamdan tersenyum. Menyerlahkah lekuk lesung pipit di pipi lelakinya. Dia suka dengar suara Ina yang sangat lunak. Walaupun tidaklah bernada manja, masih jua lembut sampai terus simpuh dalam hatinya.
“Saya rasa bertuah sangat sebab Ina sudi terima saya…”
Untuk seketika itu Ina tidak mampu menutur kata. Apa harus dia katakan? Hamdan sudah memiliki persepsi itu. Sekurang-kurangnya apa yang telah dia paksakan dalam watak ini membuahkan hasil. Buktinya Hamdan benar-benar percaya dirinya telah diterima. Hamdan fikir huluran kasihnya itu telah Ina sambut dengan sepenuh hati.
Benarkah itu?
“Ina?” panggilnya bila Malina masih diam di hujung sana.
“Hmm.. ya?” seka airmata yang jatuh setitis di pipi.
Mujur sahaja mereka hanya berbual di talian waktu itu. Kalau tidak tentu Hamdan akan tertanya-tanya mengapa ada airmata. Suara mencermin senyum dalam hati, sebaliknya airmata mengapakah masih gugur?
Sebenarnya bukan mudah untuk menyembunyi luka. Walau sakitnya masih mampu diselindungkan tetapi parut itu kekal dan berdarah bila tergores. Dan Malina pasti mudah mengalirkan airmata bila pedih itu kadang terasa.
Hamdan yang sedang duduk di atas bonet keretanya di tepi lebuh raya yang pekat gelapnya itu menarik nafas. Sesekali dia garu kepala bila Malina masih membisu di hujung talian.
“Ina?” dia panggil lagi. “Are you okay?” terasa tidak sedap dalam hati.
Lalu Malina pun memaksa tawa walau tidak mungkin dilihat Hamdan, “I am okaylah…”
“Ina dah mengantuk ye?”
Terhambur ketawa mereka serentak. Bayangkan sahaja waktu itu sudah lewat jam 3 pagi. Mereka memulakan bicara di talian itu seawal jam 9 malam sebelumnya. Aduh, apa sudah jadi dengan diri mereka dan waktu?
Hendak dikatakan bercinta, Hamdan berasa malu sendiri. Gadis itu baru dia dekati seminggu lalu. Itupun atas desakan Reza, sepupu Malina sendiri. Reza suruh dia tackle sepupunya itu. Reza kata Malina seorang gadis yang baik. Sesuai dengan dirinya yang Reza kata juga seorang lelaki budiman. Lelaki yang sukar ditemui di dalam zaman ini.
Heh… baikkah dirinya? Entahlah… mana boleh dia masuk bakul angkat sendiri. Terpulanglah kepada pandangan dan pendapat orang lain terhadapnya. Kalau orang kata dia baik, betullah agaknya. Tetapi kalau orang kata dia jahat, hah itu dia harus fikir puluhan kali kerana dia belum pernah melakukan sebarang kesalahan. Rekod jenayah jauh sekali!
“Ina dah nak tidur ke ni?” soalnya sekali lagi bila Malina masih membisu. Entah-entah sudah tertidur dengan telefon bimbit di telinga.
“Belum lagi…” Tidak sampai hati pula dia hendak menamatkan perbualan itu. Kalau hendak ditamatkan pun biarlah lelaki itu yang melakukannya sendiri. Enggan menyinggung perasaan Hamdan.
Lelaki itu sangat baik orangnya. Terlalu baik sehingga dia berasa serba tidak kena. Kekok. Hanya Reza yang selalu berkata kalau dia beri peluang kepada dirinya sendiri dan juga Hamdan, mereka pasti bahagia.
Ya kah? Bagaimana pula Reza boleh membaca takdir itu? Siapa Reza untuk menentukan samada kehadiran Hamdan lebih tepat atau tidak menjadi calon suaminya untuk memberi sinar baru dalam hidupnya yang suram?
“Tak apalah, esok bukan hari kerja pun. Ceritalah lagi…”
Mendengar lembutnya bicara tenang itu buat Hamdan terus senyum lebar. Hati lelakinya berbunga bahagia. “Saya rasa seronok sangat dapat berbual dengan Ina macam ni…”
“Ya, kenapa?”
“Err… Ina lain. Tak sama macam kawan-kawan saya yang lain tu…”
“Yalah tu, apa pulak yang tak sama?”
Tertawa lagi. Malu pula hendak dia beritahu akan hal itu kepada Malina. Akan percayakah gadis itu kalau diberitahu dia tidak pernah ada teman wanita seperti gadis yang sedang berbual di talian dengannya itu? Teman wanita, seorang anak dara.
“Saya tak pernah ada girl...” masih ragu dan malu. “Saya tak pernah ada girlfriend macam Ina…”
Dipujuk tawa agar memperdengarkan nada, “Hish, awak ni…”
Kalau girlfriend dia dulu tak macam aku, habis macam apa? Tak ada kaki, tangan atau kepala? Makhluk asing ke?
“Betul Ina… saya pun tak tahulah apa badi diri saya ni. Memanglah ada perempuan yang suka dengan saya. Tapi...”
“Hmm… awak tu yang memilih agaknya?” telah Malina diiring tawa singkat.
“Eh, tak adalah…” sangkalnya cepat. Takut Malina bersalah sangka.
“Dah tu?”
Macam mana hendak dia kata pada Malina bahawa dia tidak mampu untuk menerima perempuan-perempuan itu menjadi teman istimewa. Jauh sekali untuk diambil menjadi isteri.
“Perempuan-perempuan yang suka kat saya selama ni semuanya isteri orang… mak janda pun ada…”
Hah? Kejujuran pengakuan lelaki itu buat Malina langsung tertawa halus. Panjang. Tercuit hatinya dengan pengakuan Hamdan yang bernada keanak-anakan itu.
“Awak ni biar betul…?” ujarnya bagai tidak percaya di hujung tawanya yang mereda. Setitis airmata yang jatuh lagi itu dia seka. Ketawa sampai menangis?
“Ina…” panggil Hamdan perlahan.
“Ya?”
“Err… sungguh ke ni Ina boleh terima saya?”
Tarik nafas. Terbit kasihan pada lelaki itu. Sejak seminggu ini telah banyak yang Hamdan lakukan untuknya. Setiap petang lelaki itu tunggu dia di bawah bangunan pejabatnya. Kemudian Hamdan akan hantar dia pulang ke rumah.
Walaupun kedudukan kawasan rumah mereka bertentangan hala, utara selatan. Biar bagaimana sesakpun jalan ke rumahnya pada waktu begitu, Hamdan rela. Mungkin berdua-duaan di dalam kereta di tengah kesesakan lalulintas begitu membahagiakan Hamdan.
Dirinya sendiri? Bukan Malina hendak kata dia kekok sangat sepanjang bersama Hamdan. Cuma bila dia harus menerima jalinan hubungan yang ada expectation dari seseorang yang begitu asing, dia jadi kelu dan bisu.
Tidak seperti bersama... ah, dia tidak mahu ingat lagi akan lelaki itu. Itu sudah jadi sejarah. Yang pergi tidak akan kembali lagi. Cukup-cukuplah sudah dengan tangkai hati yang terkulai patah.
Dia tahu keadaan dirinya kini membuatkan semua insan yang menyayanginya pilu. Sedar seluruh keluarganya termasuk Reza mahu melihat dia kembali bahagia. Malina tahu mereka mahu dia melupakan semua kenangan lalu itu. Mereka mahu dia bina hidup baru. Tetapi mata yang melihat tidak akan sama dengan bahu yang memikul dan hati yang merasa.
Tidakkah mereka tahu hatinya ini luka? Tidakkah mereka tahu hati ini begitu remuk dan redam? Lelaki yang sudah rasmi menjadi tunangannya itu amat dia kasih sepenuh hati. Malangnya yang dikasihi itulah mengkhianati cinta dan kepercayaannya.
Kenapa ini semua harus terjadi kepada dirinya? Tidakkah lelaki itu tahu dialah cinta pertama bagi Malina? Akan diberi segala yang dia pada kepada lelaki itu. Itu janji kasihnya. Tetapi bukan dengan cara itu!
Dan akibatnya adalah sebuah tragedi. Tunangnya telah terkorban di tangannya! Terkorban dalam pergelutan mereka. Ketika dia meronta untuk melepaskan diri, tanpa niat dia telah tertolak lelaki yang sedang mabuk itu jatuh dari apartment tunangnya itu. Lalu ia menjadi trauma maha dahsyat dalam hidupnya.
Hamdan pula? Keluhannya terlepas. Kasihan lelaki itu begitu bersungguh-sungguh untuk memenangi hatinya. Apakah ini yang telah ditakdirkan Tuhan dalam hidup ini?
Mungkinkah benar kata pepatah, kalau hendak berteman hidup biarlah mencari dia yang mencintai kita, bukan kita yang mencintai dia? Baiklah kalau begitu. Dia akan beri segala rasa dalam hati ini untuk lelaki itu. Hanya untuk Hamdan.
“Kalau awak ikhlas…” telan liur. Wajahnya merona di dalam kesamaran cahaya lampu tidur.
“Betul?” ketara ada seri dalam nada itu. Yang pasti Malina tidak akan nampak betapa Hamdan sedang memejam rapat matanya sambil menengadah wajah ke langit biar dikucup bayu malam dengan sebelah telapak meraup wajah.
“Alhamdulillah. Akhirnya saya temui juga cinta…” ujarnya begitu perlahan dan syahdu sambil mencabut wayar dari bateri keretanya itu. Berbual begitu lama dan panjang sehingga habis bateri telefon bimbitnya.
“Saya selalu terfikir kalau-kalau saya memang dah ditakdirkan Tuhan untuk bersendirian dalam hidup ni sampai mati,” katanya lagi beriring tawa yang gementar.
Ketulusan kata Hamdan benar-benar buat hati Malina tersentuh. Tidak akan ada yang berkurang jika dia ikhlaskan hatinya untuk memberi bahagia kepada Hamdan yang begitu mendambakan seri hidup. Mungkin dia sendiri akan temui bahagianya di dalam penyerahan itu.
“Harap-harap betullah kali ni…” Hamdan melompat turun dari bonet kereta.
“Kalau dengan Ina pun saya kecewa, saya tak nak cari lain lagi. Kalau Ina kecewakan saya, saya nak lari pergi Indonesia!” guraunya.
Ketawa, “Yelah tu! Apa yang awak nak buat kat sana? Ada orang tunggu ke kat sana? Atau nak pergi merajuk jauh?”
“Dahnya, di sinipun saya bukan ada sesiapa. Saya hidup sebatang kara. Mak bapak pun dah lama tak ada...” ada nada hiba yang ditahan-tahan pada suara Hamdan.
Di hujung sana Malina terkedu seketika. Hati dipagut sedikit belas dan keharuan. Lelaki itu sudah dia kenali seadanya melalui Reza. Betul atau tidak cerita versi Reza, dia tidak dapat mempastikannya. Namun apa yang pasti saat ini setiap intonasi dan susun bicara Hamdan yang begitu merendah diri.
“Sekarang hidup saya seperti hampir terisi. Kalau betul Ina sudi terima saya, tak tahu macam mana nak gambarkan perasaan saya ini. Saya…”
Aku nak lompat tinggi-tinggi sampai dunia gergasi! Itu laungan hatinya yang dia telan dalam-dalam. Malu untuk mengakui apa yang sejujurnya ada dalam hati. Malinalah nadi harapan dalam hidupnya kini.
“Sekarang…” nadanya rendah. “Saya rasa happy sebab… sebab, ada Ina.” Nada lelakinya ria. Namun masih kedengaran malu-malu.
Bicara yang begitu penuh dengan rasa dan bernada bahagia itu buat Malina terus melukis senyum. Ada sejalur tenang dalam hati. Beginikah perasaannya bila hati dipalit kepuasan kerana memberi bahagia kepada insan lain dengan ikhlas?
“Sejujurnya saya sudah terfikir... kalau Ina tak sudi menerima saya, rasanya saya hendak bawa diri ke tempat orang. Berkebun ke, bela lembu ke…”
Serentak tercetus tawa mereka dengan spontan. Biar betul dia ni…
“Daripada awak merantau membawa kononnya rajuk awak tu ke Indonesia, lebih baiklah awak tempat yang lebih cantik. Swiss ke, Itali ke...” seloroh Malina.
Mujur selorohnya itu disambut serangkai tawa oleh Hamdan.
“Tempat macam tu tak sesuai untuk pergi merajuk. Tempat-tempat cantik yang sejuk begitu tak seronok pergi seorang. Kalau ke sana... hmm... saya nak pergi dengan Ina, honey-moon?”
Dalam hatinya Hamdan mengutuk diri sendiri. Begitu beraninya menutur sedemikian bicara terhadap seorang gadis yang belum dia kenali sepenuhnya kesediaan menerima dirinya.
Bila tiada sebarang bunyi sahutan dari hujung talian sana, Hamdan diasak seribu malu. Sebenarnya Hamdan tidak tahu bahawa dalam hati seorang gadis itu sedang luhurnya memasang niat.
Kali ini cintanya akan dia serahkan seluruhnya kepada lelaki itu. Untuk Hamdan. Ikhlas dan reda. Selama-lamanya kalau ada izin-Nya. Bukan kerana honeymoon yang dijanjikan Hamdan itu.
Telan liur, “Err... kalau saya tanya sesuatu pada Ina, boleh?”
“Apa dia?”
“Ina suka bunga apa ya?” berdetup-detap dalam hati menunggu jawapan. Janganlah hendaknya tersasar strategi ini.
Hmm... bibir Malina sudah berbunga senyum. “Hmm... daisy kot?”
Terkesima. “Daisy?” Hamdan agak terkejut dengan jawapan itu meskipun ada segalur kelegaan.
“Kenapa? Tak boleh ke suka dengan daisy?”
“Eh, bukan begitu... tak sangka pulak Ina suka daisy...”
“Kenapa pulak tak sangka? Mesti awak ingat Ina suka bunga ros ya?”
Tertawa perlahan, “Tak juga... kebetulan saya pun sukakan daisy. Tak sangka citarasa kita sama...”
Ya ke? Terdetik sangsi itu dalam hati Malina. Orang lelaki ada yang suka bunga juga ke?
“Ina tak percaya?”
Senyap. Tiada jawapan yang mampu dia fikirkan. Sebaliknya soalan pula yanng terucap di bibir, “Macam mana pulak awak boleh sukakan bunga daisy? Daisy kan tak cantik dan wangi macam bunga-bunga lain?” Entah betul entah tidak lelaki ini kenal dengan bunga daisy...
“Habis tu, kenapa Ina pun sukakan daisy?” usik Hamdan pula. Langsung dia tertawa.
Lalu cepat pula Hamdan menuturkan sebaris kata-kata, “Walau tak secantik dan tak seharum mawar pun tak mengapa, asalkan ia mendamaikan hati orang-orang yang menyenanginya...”
Aduhai... begitu damainya terasa hati.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.