Dia sudah hampir selesai menggosok uniform bila telefon bimbitnya melagukan nada dering. Farah yang sedang berbaring santai di atas katil Adriana sambil menonton drama Filipina menghulurkan telefon bimbit itu padanya.
“Dear...”Farah meleretkan suaranya sambil buat mimik wajah mengajuk gaya temannya itu. Secara langsung memberitahu bahawa Navin yang menelefon.
Ketawa dia lantas mencampakkan sehelai baju ke arah Farah. Tidak sempat dielak lalu jatuh menutupi kepalanya.
“Hello dear…”
Farah ketawa terkikik-kikik mendengar nada manja temannya itu. Adriana letak jari telunjuk di bibirnya. Shh... jangan bising, pintanya secara tidak langsung.
“Iye dear… I tengah iron baju,” dia mendengar suara Navin di hujung talian.
“Haah, I keje malam. You nak pergi keje dah?”
“Hmm... iyelah dear. Tapi I tak sihat ni,” suara Navin kedengaran serak.
“Dah agak dah... dengar suara you pun I tahu you tak sihat dear. You selsema iye?”
“Hmm… selsema I getting worse lah dear. Apa yang I nak buat ni? Kepala I pun pening semacam je,” suara Navin kedengaran lemah.
“Ku petik bintang-bintang, biarpun banyak halangan. Rela tempuhi segalanya, pening-pening pun aku kena pergi kerja…” Navin kemudian bernyanyi dengan suara yang tenggelam timbul itu.
Irama dari lagu Ku Petik Bintang-Bintang yang sedang Navin nyanyikan itu menyungging senyum di bibir Adriana. Navin memang suka dan pandai menyanyi. Tidak ubah macam songbird. Hampir kesemua lagu Melayu dia tahu. Itulah yang membuatkan hatinya cair dengan pemuda yang berkulit gelap itu.
Macam Alleycats!
“Nyanyi pulak dia. Ni sakit betul ke sakit main-main?”
Giliran Navin pula tertawa di hujung talian sana. Seketika kemudian terdengar dia mengaduh halus.
“Tak payah pergi kerjalah. Ambil MC, rehat je kat rumah,” saran Adriana dengan segaris kebimbangan yang menjalari sekeping hatinya.
Sejak awal perkenalan, Navin memang sering tidak sihat. Demam, selsema dan batuk sudah menjadi perkara biasa dalam kehidupan pemuda itu. Malah Adriana sudah biasa mendengar aduan kekasihnya itu. Dalam seminggu cuma dua tiga hari saja Navin sihat.
“Tak bolehlah dear, I kena pergi kerja juga. Bulan lepas kilang dah under-production. Bulan ni pun kitorang belum meet target. I kena standby,takut machines rosak ke apa. We can’t afford to speed up without full capacity kalau mesin rosaklah dear…”
“Takkan lah tak ada manusia lain dalam kilang tu yang boleh ganti you dear?” protes Adriana.
“You ni dear, lagi mau tanya. Kan I sorang je supervisor kat sana. Yang lain semua dah cabut, tak tahan sengsara. Kan I dah pernah cerita dengan you dulu? ”
Herotkan bibirnya, “Yelah tu. You je yang sanggup kena buli, kena dera macam tu. Kerja macam nak gila, pay pun tak berpada. Cari kerja lainlah dear ooi… cari yang dekat-dekat sini. Senang nak jumpa I, pun senang nak balik jumpa you punya amma, thamby dan sedara you semua.”
“You perli I ke dear?” suara rajuk Navin kedengaran sangat dibuat-buat.
Terguling-guling Farah di atas katil mendengar kata-kata Adriana itu. Tiba-tiba…
“Adoi!” terdengar suara Farah mengaduh panjang.
“Padan muka!” Adriana mencebik mesra sambil menjelirkan lidahnya.
“Hah! You padankan muka I, dear?”
Berdecit, “Ish. bukan you lah dear. Ni hah, padan dengan muka Farah. Dia dapat balasan sampai terjatuh katil.”
“Farah? Dapat balasan....?”
“Hmm… ya, balasan sebab langgar daulat I!” dia mengiakan sambil beria mengangguk-anggukkan kepalanya sambil mencebik Farah yang sudah terkekeh ketawa menunjukkan buku lima yang sudah dikepal. Eleh, konon... Adriana ketawa.
“Dear?” panggil Navin lagi dengan nada nakalnya.
“Hmm…”
“Boleh tolong I?” nada Navin ada sedikit tawa yang cuba disembunyikan di hujungnya.
“Hmm… nak suruh kejut you lagi ke dear?” telah Adriana.
“Tak, kata kat Farah I say padan muka juga kat dia.”
“You ni dear…” ternyata tekaannya meleset. Adriana tersengih memandang temannya yang masih mengaduh kesakitan itu.
“Dik Na…”
“Hmm…”
Farah membetulkan rambutnya yang usai. Dia memanjat naik semula ke atas katil. Sakit badannya kerana tergolek ke lantai simen bilik Adriana yang hanya dihampar tikar getah berwarna hijau muda itu.
Lenguh urat dan otot perutnya menggelakkan Adriana tadi. Senak pula terasa saat itu. Dilihatnya gadis itu sudah selesai menggosok uniform. Dia tahu Adriana bertugas shift malam hari ini.
Tadi Farah sudah mendengar pesan Adriana kepada Navin. Jangan ambil panadol katanya. Adriana hanya menyuruh Navin mencampurkan separuh gelas air suam dengan air Hundred Plus lalu diminum.
Kalau larat, panaskan air dan rendamkan kaki dalam besen bila air dah suam sedikit. Memang itu yang Adriana pesankan kepada Navin tadi. Sejak dia belajar ilmu perubatan dan setelah tahu tentang saintifik ubat, Adriana sedaya upaya cuba untuk meminimakan pengambilan dadah-dadah yang baik itu.Friendly drugs...
Panadol tidak elok kalau diamalkan selalu. Terutamanya bagi orang perempuan. Nanti bila sudah terlalu bergantung dengan panadol, kekuatan diri untuk bergelut dengan sesuatu penyakit sudah tidak ada lagi. Bukan setakat panadol sahaja, malah semua ubat-ubatan berasaskan dadah pasti ada kesan jangka panjangnya nanti.
“Kenapa kau suka dengan si Navin tu? Dah tak ada orang Melayu ke nak buat cowok?” Farah mula bertanya. Mulutnya diherotkan sedikit, tanda kehairanan. Matanya pula disepetkan hingga keningnya itu bisa bercantum.
“Apasal, tak boleh?” keningnya terangkat sebelah.
“Bukan le tak boleh. Kau tahu tak, aku kan kalau jalan ke sana sini, bila ternampak je couple Malay and Indian kan, immediately teringatkan engkau. Kawan-kawan kita yang lain pun sama juga.”
“Ha, kau pun tengok sendiri kan? Apa yang peliknya akucouple dengan si Navin tu. Bukanlah kami ni je couple Malay-Indian pertama dalam sejarah bumi bulat ni,” katanya sambil mengerling Farah yang sudah menjulingkan matanya itu.
“Lagipun… ini Malaysia lah. Kita hidup berbilang bangsa. Majmuk…” Adriana mengulang ayat yang pernah diucapkan oleh Navin padanya awal perkenalan mereka dulu.
Farah terangguk-angguk meskipun matanya masih dijulingkan. Mulutnya diherotkan lagi. Kali ini ke kiri dan ke kanan, berkali-kali. Sedang berfikir gayanya.
“Tapi yang herannya kan... mak ayah kau tak marah pulak ye?” Farah bertanya hairan.
“Nak marah apanya, bukan diorang tahu pun…”
“Hah?” Farah terperanjat. “Habis tak ada sesiapalah dalam family yang tahu kau couple dengan budak India tu?”
“Eh, kau kalau tak refer dia as budak India, boleh tak?” Adriana kerutkan kening konon marah.
Terlopong Farah disergah begitu. Apahal pulak? Bukan memang si Navin tu berbangsa India ke? Farah bertanya pelik dalam hatinya.
“Kak Ni seorang je yang tahu…” balas Adriana kemudiannya dengan perlahan.
“Dia tak marah ke?”
“Kak Ni open, dia rational.”
Usai menanggalkan plug seterika dan melipat kain tebal sebagai alas untuk dia menggosok baju tadi, Adriana angkat uniform yang sudah kemas bergosok itu lalu digantung di dalam almari.
Usai tugas itu dia masuk pula ke dalam bilik air dengan membawa sebuah baldi yang penuh dengan pakaian-pakaian kotor. Sudah seminggu dia tidak membasuh pakaian. Sepanjang minggu ini tugasnya di wad terlalu melelahkan. Masa yang terluang hanya terbatas untuk merehatkan tubuh badannya yang penat dan lesu.
Sebab itu hari cuti adalah kesempatan terbaik yang tidak akan Adriana persiakan. Pakaian-pakaian kotor itu harus dibasuhnya hari itu juga. Tidak sanggup lagi dia memandang baldi itu. Sudah hampir muntah menampung pakaian-pakaian kotor yang berlambak itu.
Diletakkannya baldi di bawah pili yang telah dibukanya. Air jernih yang sejuk mengalir memenuhi perut baldi. Lalu dia ambil satu penutup penuh cecair pencuci dan dituangkan ke atas timbunan pakaian kotor yang sudah mula ditenggelami air. Berbuih ditimpa air pili.
Biarpun di rumah, dia punya pembantu yang melakukan semua kerja-kerja untuknya, namun hasil didikan arwah Umi tidak pernah gagal. Dahulu dia dan Kak Ni sangat gembira melakukan kerja-kerja rumah bersama arwah Umi dan Bibik pada setiap kesempatan dan waktu yang terluang.
Kata Arwah Umi, orang perempuan harus ada kesenian sebagai seorang wanita. Kerja-kerja rumah sudah sebati dalam kehidupan wanita. Walaupun bukan untuk diperhambakan oleh bebanan kerja rumah, tetapi cukuplah sekadar tahu dan mampu melaksanakannya untuk kepentingan dan keperluan diri sendiri.
Sebab itulah dia tidak kekok melakukan kerja-kerja mengemas, mencuci, membasuh dan mengelap di bilik asramanya. Biarpun kerja-kerja itu dilakukannya sebulan sekali. Memanglah lebih mudah kalau dia lakukan hari-hari, tetapi batasan waktu menafikan keinginannya.
Setelah selesai, dia kembali ke ruang biliknya. Farah masih asyik menonton. Kali ini cerita China pula nampaknya. Sambil itu mulutnya tidak henti mengunyah pear yang baru Kak Ni hantarkan semalam.
“Kau cuti ke hari ni?” soal Adriana sambil mengelap tangan basahnya dengan tuala Good Morning yang tergantung di atas penyidai baju di dinding. Farah yang masih berbaring dia pandang sekilas sebelum duduk di depan almari bajunya.
Dia mahu kemaskan susunan pakaian di dalam almari baju itu. Adik-adik kecil pun sepanjang minggu ini tidak sempat dia lipat. Main campak saja ke dalamnya. Hendak mencari yang mana satu untuk dipakai pun sudah terpaksa menyelongkar ke sana sini.
Farah hanya mengangguk sebagai jawapan kepada pertanyaan itu. Matanya masih menonton televisyen bersaiz 24” milik Adriana di atas kaunter, jauh ke tepi dinding. Di sebelahnya pula ada Hi-Fi besar yang berjenama mewah.
Pendek kata, bilik asrama Adriana ini lengkap hampir serba serbi. Peti sejuk mini pun ada. Almaklumlah anak hartawan lagi jutawan yang bertuah badan, emas di tangan. Nasib baik mesin basuh saja yang belum ada.
Farah selalu berleter tentang keadaan bilik Adriana yang sudah terlalu sendat dengan pelbagai barang itu. Walaupun begitu tetap juga Farah suka menjadikan bilik itu sebagai sarang keduanya.
“Tak keluar dengan Fandi ke?”
“Dia kerja…”
Adriana tarik nafas. Tangannya yang basah dilap dengan sehelai tuala kecil. Lalu dia melabuh sila untuk melipat basuhan seminggu lalu yang masih terperosok di hujung katil. Sambil itu dia memerhati Farah sesekali dengan hujung mata.
Zahirnya Farah memang nampak sihat dan ceria.Namun tidak ramai yang tahu Farah sedang menderita kerana mengidap ketumbuhan di otak. Itu adalah kerana Farah tidak pernah menunjukkan kesakitannya. Farah sentiasa happy go lucky. Memikirkan Farah akhirnya menghalakan kenangan terhadap arwah Umi.
Kasihan Farah. Kerap kali gadis itu pengsan secara tiba-tiba. Tak ada ribut mahupun taufan. Dan kala sakitnya datang, hanya Adriana tempat Farah mengadu. Menurut doktor yang merawat Farah, gadis itu hanya menunggu masa. Ketumbuhannya sudah di tahap kritikal.
Aduh, bagaimanakah perasaan orang yang sudah tahu akan untung nasibnya? Yang sudah tahu saat kematiannya? Adriana tidak mampu membayangkan. Ngeri! Sedang dia yang hanya melihat dan sekadar berkongsi rasa pun sudah terasa azab di dalam perasaan.
Adriana kagum dengan ketabahan Farah. Tidak pernah sekalipun dia melihat teman baiknya itu bermuram di depannya mahupun di depan kawan-kawan yang lain. Tawanya tetap meriah. Senyumnya masih manis bermadu. Silap-silap haribulan madu yang asli pun boleh kalah manisnya dengan senyuman Farah itu.
Persis arwah Umi dulu. Tidak pernah jemu dan bosan meladeni keletah dia, Kak Ni mahupun abang Feysal sejak kecil. Hatinya tersayat hiba bila mengenangkan mungkin dalam masa-masa arwah Umi meladeni kerenah mereka, saat itu arwah Umi sedang menderita kesakitan.
Aduhai… dadanya berombak.Ya Allah, cucurilah rahmat-Mu ke atas roh Umi… Adriana memanjatkan doa di dalam hati.
Dan yang paling Adriana terharu, Fandi masih setia di sisi Farah. Pemuda itu tidak pernah kesal dengan suratan yang menimpa tunangnya itu. Fandi memang seorang yang lelaki dan tunang yang memiliki sekeping hati yang begitu ikhlas dan budiman. Adriana nampak ketulusan kasih sayang pemuda itu pada Farah.
Cuma Farah sahaja yang kadang kala terlalu memanjakan diri. Over-acting and demanding. Meminta itu dan ini. Menyuruh begitu dan begini kepada tunangnya itu. Mungkin juga kerana dia tahu hayatnya tidak lama. Justeru itu Farah ingin mengecapi segala kebahagian yang mampu dia nikmati dalam jangka waktu terbatas yang tidak terjangkakan ini.
Tetapi siapa mampu untuk mengetahui realiti yang bakal dilalui? Sungguhpun doktor sudah begitu pasrah dan berterus terang tentang kemungkinan jangka hayat yang Farah miliki, namun mampukah itu semua mengatasi suratan dan kehendak yang Esa?
Tanpa sedar, Adriana sedang tersenyum sendirian. Siapa kata pemuda Melayu tidak ada yang baik?Ada. Cuma baginya pemuda Melayu tidak pandai menunjukkan sifat dan sikap budiman mereka. Pemuda Melayu bagi Adriana lebih ego.
Macam… errr... ah, macam Dr. Firas, fikirnya tiba-tiba.
Ya, Dr. Firas adalah lambang pemuda Melayu yang kurang memiliki sifat terpuji. Kalau hendak dikatakan langsung tidak memiliki sifat-sifat terpuji tidak sampai pula hatinya. Lagipun semua manusia ini diciptakan Allah lengkap baik dan buruknya.
Mungkin memang ada sebahagian diri lelaki itu yang baik. Tetapi dia dengan hati prasangkanya tidak bisa lagi melihat bahagian yang tersembunyi itu. Pun Adriana tidak peduli.
Bukankah orang kata, rupa adalah lambang peribadi insan? Bukanlah sekadar ketampanan ala-ala Chinese look dalam wajah doktor lelaki itu yang boleh membuat Adriana respect kepadanya.
Tetapi penzahiran sikap yang terlalu sarkastik dan tidak punya pertimbangan rasional itu, membuatkan Adriana melabelkan Dr. Firas sebagai salah satu faktor penyumbang kepada perlambangan bahawa pemuda Melayu memang angkuh.
Tidak seperti kekasih gelapnya. Biarpun Navin bukan seorang Melayu, bukan seorang yang beragama Islam, namun sikap dan sifat yang ada pada diri Navin masih terpuji.
Sekurang-kurangnya pada mata hatinya Navin memiliki sikap yang disenangi oleh setiap wanita. Tidak kisahlah apa tanggapan dan pandangan orang lain terhadap mereka. Mulut mereka suka hati merekalah. Orang kata kubur masing-masing. Dosa pahala pun sendiri-sendiri punya.
Tetapi apakah dirinya turut berdosa jika hubungannya dengan Navin itu menjadi penyebab orang lain mendapat dosa kerana mengumpat mereka? Hmm... tidak mengapalah, dia sudah memaafkan in advance kalau mereka memang mau mengutuk dia dan Navin.
Namun ketulusan yang ditunjukkan oleh Fandi sedikit sebanyak mengubati persepsi negatifnya. Ya, mungkin dia silap. Mungkin masih ada pemuda Melayu yang sejati di luar sana.
Betul juga… bukankah abangku juga seorang pemuda Melayu yang sejati diri?
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.