Wednesday, March 23, 2011

Cerpen 1 : MEMORI DI PERHENTIAN

Kring!!!!!!

Yes!

Nazrin menjerit girang namun bunyinya bergema di gaung hati. Sekilas jam di tangan dikerling. 1.30 petang. Loceng masih berdering sebagai tanda tamatnya waktu persekolahan hari itu,

Enggan bertangguh lagi, Nazrin pantas menarik beg lalu mengaut dua, tiga buah buku teks tingkatan enam atas yang telah disusunnya sejak lima minit yang lalu. Hati kecilnya masih bersorak girang mendengar bunyi loceng yang nyaring berdering. Memang detik itu terlalu dinantikan.

Tanpa mempedulikan rakan-rakan sekelasnya yang lain, Nazrin terus berlari keluar dari kelas, menyusur koridor bangunan tiga tingkat itu. Tangannya sesekali menolak pelajar-pelajar yang menghalang laluannya.

Sudah tidak terkira bilangannya bila dia harus meringankan mulut menutur ucapan maaf setiap kali terlanggar beberapa orang pelajar yang berada di sepanjang koridor.

“Eh, buta ke?” marah seorang pelajar perempuan bermini telekung putih apabila Nazrin tertolaknya ke tepi dinding. Seraya dia membetulkan tudungnya yang senget dek kerana terhumban ke dinding.

Nazrin hanya tersengih mempamer barisan giginya yang putih bersih tersusun, menyerlahkan ketampanan wajah anak muda berusia 19 tahun itu. Pantas Nazrin memberi isyarat tangan memohon maaf. Sedang dia jalan mengundur itu, sekali lagi dia dikejutkan oleh satu jeritan kecil di belakangnya. Pantas Nazri berpaling ke depan.

“Hei Nazrin, kau dah tak ada kerja lain ke? Gatal betul…” jerkah seorang pelajar perempuan yang gempal sambil bercekak pinggang memandangnya dengan sepasang mata terbeliak. Geram dengan perlakuan Nazrin yang bergesel pinggul dengannya.

Nazrin telan liur dengan payah. Matilah aku…getus hati kecilnya.

Sorry Shelly…aku tak sengaja, betul. Sumpah!” Pantas dia mengangkat tangan seolah upacara bacaan ikrar setiap pagi Isnin yang diketuainya.

Bukan dia tidak kenal akan Shelly. Malah seluruh warga SMKT amat kenal dengan pelajar perempuan tingkatan enam sains yang kecoh itu. Kerana perkara kecil pun, Shelly sanggup memanjang-manjang waktu.

“Sorry Shelly…aku…” Nazrin teragak-agak di depan Shelly.

Dia mahu segera beredar tetapi saiz tubuh temannya itu dua kali setengah lebih besar dari saiznya sendiri, menghalang ruang laluannya.

“Yang engkau ni macam orang kena kejar Cik Ponti, kenapa?” bebel Shelly lagi. Nazrin undur setapak ke belakang, mengelak tempias.

Pelajar-pelajar lain yang berpusu-pusu keluar kelas ketawa kecil dan tersenyum geli hati menyaksikan kejadian lucu itu. Ketua Pengawas SMKT buli Shelly, ketua mafia-girl SMKT…ke Ketua Pengawas SMKT dibuli Shelly?Pastinya akan tersebar luas menjadi bahan ketawa warga SMKT. Merah padam muka Nazrin menahan segan.

“Habislah kau…” cuit Zairul, rakan sekelasnya sambil berbisik perlahan ketika melintas di sisinya. Zairul menahan geli hati melihat airmuka Nazrin yang memandangnya minta dibantu. Minta dikasihani…

“Tak dapek den nak nolong eh tu doh…” Zairul cuit temannya itu lagi lantas berlalu pergi dengan senyuman yang tidak lekang di wajah.

Nazrin garu kepala sambil tersenyih memandang Shelly yang masih menghalang laluannya. “Shelly, aku dah lambat ni…” dia pandang jam di tangan yang sudahpun menunjukkan waktu 1.45.

“Yelah... kau nak pergi mana? Hal ni macam mana nih? Ni dah kira sexual-harrasment tau!” Shelly masih bercekak pinggang.

Nazrin tepuk dahi, things getting serious pulak dah…

“Alah, sexual harrassment apa pulak ni Shel, aku tak sengaja lah… aku nak cepat ni. Sorrylah…kita kira kemudianlah…bagilah aku lalu.”

Shelly tersengih, “Lalulah…”

Nazrin telan liur, “Tepilah sikit, tak muat ni…”

Shelly membeliakkan mata, “Woi, lasernya mamat ni! Nah, lalu cepat. Ingat ah…kita kira kemudian!”

“Yelah…yelah…” Nazrin angkat tangannya lalu pantas meninggalkan Shelly. Dalam hatinya tak habis-habis dia menyalahkan Shelly yang membantutkan rancangannya. Gara-gara engkaulah aku terlambat ni…

Nazrin berlari pantas sehabis dayanya keluar dari perkarangan SMKT menuju ke perhentian bas di seberang jalan. Termengah-mengah dia ketika menjejak kaki ke perhentian itu. Beberapa orang pelajar yang sedang menanti bas memandangnya penuh hairan. Nazrin tidak kisah.

Dia pandang kiri. Pandang kanan. Pandang depan. Toleh belakang.

Mencari-cari di antara keramaian pelajar di situ. Tak ada pun… Nazrin pegang kepalanya yang hangat di bakar terik mentari. Jari-jemarinya melurut rambut yang kemas berpotong pendek ke belakang tengkuk. Dia melihat lagi jam di tangannya.

Patutlah… dah pukul dua sepuluh minit pun…ni semua Shelly punya pasal tau! Gerutu hatinya lagi.

“Ops!”

Dia panik seketika bila buku-buku yang dipegangnya jatuh bertaburan di atas lantai perhentian bas. Dia mendengus memarahi dirinya yang gopoh.

Pelajar-pelajar yang berada di perhentian bas itu tersenyum-senyum melihat gelagat Nazrin yang kelam kabut mengutip buku-bukunya. Sedang dia tergopoh-gapah menyusun buku, seorang gadis beruniform coklat muda menghulurkan bantuannya.

Nazrin terpempan seketika. Dia panggung kepala mengamati wajah di depannya itu. Dia mengerling tag nama di dada uniform. Dia membaca Khairul Azieana SMKT(P) tertulis pada tag nama itu. Nazri angkat kening.

Selesai saja buku-buku itu dikutip semula, mereka berdiri serentak. Nazrin tersipu-sipu bertentang mata dengan gadis pujaan hatinya itu. Namun merah di wajah tidak mampu disembunyikan.

“Terima kasih…” seperti ada suatu getaran pada nada suaranya bila buku di tangan si gadis manis itu berpindah milik ke tangannya.

Gadis itu sekadar tersenyum sebagai memulangkan ucapan terima kasih yang diberikan Nazrin sebentar tadi.

“Lain kali hati-hati, tak baik baca buku sambil berjalan. Merbahaya…” usik gadis itu pula. Nakal.

“Ha? Ya…ya…” dia malu sendiri mendengarkan teguran yang berbaur usikan nakal gadis tinggi lampai yang berambut separas bahu itu.

Helaan nafas gemuruh Nazrin kedengaran jelas di telinganya sendiri tatkala gadis itu melangkah perlahan, berdiri di sisi tiang perhentian yang bercat hitam dan kuning itu. Dia pantas beredar menurut langkah si gadis. Tubuh kurusnya disandarkan ke tiang bersebelahan sambil kakinya sedikit disilangkan. Jari-jemarinya kembali menyelak helaian buku bacaan sekadar menyembunyikan gementar yang mula mengintai hati lelakinya.

Perasaannya mula serba tidak kena. Dia tahu panasnya cuaca tengah hari itu bukanlah penyebab utama. Namun dia juga tahu ada sesuatu yang tidak kena pada dirinya. Peluh di dahi dan di batang hidung mancungnya diseka perlahan dengan sapu tangan yang ditarik keluar dari poket seluar panjangnya.

Terasa bagai dirinya sedang diawasi, diperhatikan oleh sepasang mata. Nazrin ikut gerak hatinya lantas perlahan menoleh ke kirinya. Dan di sana penglihatannya terhenti. Terpaku pandanganya tepat singgah pada wajah gadis manis itu yang sedang tersenyum memandangnya. Nazrin masih tersenyum bila gadis itu melarikan pandangan dengan kerlingan manja di hujung matanya yang redup.

Tin!

Lamunannya yang terbang di awan waktu pertama pertemuannya dengan Khairul Azieana dua minggu lalu terhenyak ke bumi.

Ceh, memeranjatkan orang je… bentak hatinya dengan bunyi hon yang begitu kuat.

Sesungguhnya hati remajanya tidak pernah dapat melpakan detik-detik pertemuan yang merakamkan sebuah sejarah manis dalam episod kehidupan remajanya. Sebuah pertemuan yang sering menjadikan dia rindu. Rindu kepada pertemuan seperti itu untuk kali-kali seterusnya.

Melalui adik perempuannya, Khairul Azieana atau dipanggilnya Kayzee itu seolayang dikenali dari jauh terasa begitu dekat di dalam hatinya. Duduk paling dekat di tangkai jantung merahnya. Aduh…Dia tahu sesuatu yang luarbiasa telah menakhluki jiwanya. Apa sahaja yang dilakukan, wajah itu sering bermain di ruang mata. Menemani tidurnya yang lena, mengiringi susunan langkahnya walau ke mana dan di mana jua.

Diam-diam…namun dia tahu dia rindu akan gadis itu. Semakin hari semakin memberontak rasa di dalam hati untuk mendekati dan mendampingi si pujaan hati. Si dia yang seolah-olah menjadi peransang pembelajarannya. Acap kali huruf-huruf di dalam buku yang dibacanya menari-nari membentuk senyuman Kayzee. Gila. Tapi begitu menenangkan jiwa.

Saat berganti saat. Minit berganti minit. Setiap jam digantikan hari. Dan hari-hari yang dilalui begitu sukar menahan keinginan yang teramat untuk berbicara biarpun sepatah dua, bertentang mata. Aduh…betapalah masa itu terlalu lama untuk sampai ke penghujungnya…Nazri menanti tamatnya waktu persekolahan. Wajah yang sering mengisi mindanya menggamit dan melambainya untuk segera menuju ke perhentian bas di hadapan SMKT(P), di seberang jalan SMKT.

“Hei, apa lagi tu… nak balik ke tidak?” laung abangnya dari dalam kereta biru yang telah berhenti di hadapannya sejak tadi tanpa disedarinya. Laungan itu mencantas keghairahan jiwa mudanya. Mengeluh kecil, ditariknya beg galas yang diletak kemas di atas bangku batu perhentian lantas bergegas memasuki perut kereta biru itu.

Hari itu cuaca mendung. Awan hitam seolah-olah enggan berganjak dari terus menyelimuti ruang langit yang terbentang menaungi alam. Selalunya langit itu biru bersama sinar menatri yang megah menyinar bumi, meraikan perasaanya yang berbunga kasih. Nazri pandang langit itu dari tempat duduknya di tepi tingkap kelasnya.

Fikirannya menerawang jauh. Tidak lagi berminat mengikuti celoteh si guru yang sibuk menerang dan menulis di papan hitam. Masih juga dia membuang pandang ke luar tingkap, memerhati langit.

Resahnya dia hanya Tuhan yang tahu. Gelisah menantikan waktu yang terlalu lambat berlalu. Pena di ajri dipusing-pusing, menari dan meniti di atas jarinya.

“Nazri!”

Tersentak dia demi mendengarkan namanya di panggil sebegitu lantang. Kembali berpijak di bumi nyata, dia pusing kepala ke kiri, kanan, dank e hadapan. Berpuluh pasang mata memandang ke wajahnya yang kemerahan.

Cikgu Hasyimah tersenyum. “Selamat datang ke planet Bumi.” Usiknya.

Nazri tercengang-cengang, malu yang teramat. Tawa rakan-rakan sekelas terus menerjah gegendang telinganya yang tipis.

Kringg!

Bunyi loceng berbunyi lagi. Setiap waktu dan setiap hari. Bunyi yang dinanti-nanti itu disambut dengan lapang dada. Senang hatinya, serasa lepas seksa penantian yang tidak tertanggung untuk hari itu.

Nazri bulatkan kata di dalam hatinya. Tekad untuk menguatkan semangatnya yang selama ini berkobar-kobar di dalam sekeping hati yang hidup di sebalik uniform sekolahnya yang membaluti kulit tubuhnya.Ya, hari ini dia pasti akan berani untuk memula kata menyapa gadis idaman kalbunya. Daiam-diam dia panjatkan doa di dalam hati moga Allah merestui.

Dari pintu pagar sekolahnya, dia dapat melihat pelajar-pelajar SMKT(P) keluar beramai-ramai ke perkarangan sekolah bagai segerombolan itik pulang petang. Berebut-rebut menaiki bas untuk pulang ke rumah masing-masing.

Tin! Tin!

Setiap pasang masa memandang cemas ke arah Nazri yang berpeluh, terperanjat. Puh! Nasib baik aku masih panjang umur, hatinya mengucap syukur kerana terselamat dari dirempuh sebuah van yang menderu laju.

Dalam getar cemasnya, hati Nazri perlahan menggapai tenang. Kembang di dadanya sekembang mawar merah di taman tatkala melihat gadis kesayangannya itu telah berada di perhentian bas itu seperti selalu.

Nazri tidak sabar –sabar lagi. Dia toleh ke kiri dan kanan jalan. Kali ini dia perlu lebih berhati-hati. Enggan kejadian tadi yang hampir meragut nyawanya berulang lagi. Malu kalau dilihat Kayzee. Tentu gadis itu akan mentertawakan kecuaiannya lagi. Oh tidak…dia tidak mahu memperlihatkan kelemahannya di hadapan Kayzee.

Nazri melangkah dengan hati-hati melintasi jalanraya yang basah disirami air hujan. Semakin langkahnya menghampiri perhentian bas, semakin kencang degup jantungnya. Malah bertambah kencang demi sahaja menerima lemparan senyuman Kayzee, seolah menyambut kehadirannya menumpang teduh dari rintik hujan di perhentian yang sama.

Dia ingin sekali mentari menyerlahkan wajah cerianya, bersama dirinya. Namun hari yang masih diselubungi kemuraman itu tidak sedikitpun mematah dan memadamkan semangat serta keinginannya untuk meneruskan hasrat yang sekian lama terbuku di dalam hati.

Tidak senang dia berdiri tika itu. Seperti selalu, segalanya serba tidak kena. Sekejap dia berdiri begitu, sebentar pula berdiri begini. Gelisah yang sejak tadi mengintai ruang kini menyusup ke dalam kamar dingin hatinya. Sesekali ditariknya hidung mancung. Ragu-ragu mula mengunjungi hasrat.

Lambat-lambat Nazri melangkah ke arah tiang berhampiran Kayzee. Debar kian kenacng bila dia benar-benar telah menghentikan langkah di sebelah gadis itu. Kayzee hanya menundukkan wajahnya bila menyedari dirinya dihampiri.

Lama benar kesunyian mengambil ruang. Nazri masih mencari-cari semangatnya yang entah ke mana menghilang. Buku yang dipegang dibelek-belek tanpa tujuan.

“Hai…” nadanya seakan tidak kedengaran. Sebahagian tersekat di halkumnya.

Lambat Kayzee panggung kepalanya memandang Nazri yang sedikit tinggi daripadanya. “Hai…” balasnya.

Aduh…terasa bagai dunia miliknya seorang bila suara Kayzee yang lembut itu membalas tegurannya.

“Balik?....” Nazri tersengih sendiri. Apa punya soalanlah…gerutu hati di dalam.

Kayzee tersenyum, terasa lucu dengan soalan si pemuda. Namun sekadar berbahasa, Kayzee menganggukkan kepalanya. Seketika mereka bertemu wajah dan pandangan keduanya terkunci di atas wajah masing-masing.

Baru sahaja Nazri akan mengeluarkan kata-kata yang telah tersusun kemas dalam kotak bahasanya apabila sebuah Vios berwarna metalik kelabu berhenti di hadapan kedua mereka. Kayzee memandangnya mesra. Lalu perlahan dia mengorak langkah meninggalkan Nazri, menuju ke arah kereta yang dipandu oleh seorang wanita muda. Mungkin ibunya, atau mungkin kakaknya…bisik hatinya.

Kehampaan mengunjung diri. Terkilan tidak dapat berlama masa, menyemai mesra.Cuaca yang muram semakin mendung. Aduhai…

Dia baru sahaja mengemaskan beg yang digalas di bahu dan hampir berpaling pergi meninggalkan perhentian apabila jelas di pendengarannya bunyi dentuman kenderaan yang saling berlanggaran serta jeritan nyaring orang ramai.

Nazri terpaku. Tidak memahami situasi. Tidak menyedari keadaan. Dia beku. Sekujur tubuhnya kedinginan. Sedingin hari yang disirami hujan. Dia masih dapat mengingati senyuman mesra dan lambaian mesra yang diberikan Kayzee dari dalam kereta yang dinaikinya tadi. Kereta itu mula meluncur kemas di atas jalanraya… oh, Nazri tidak sanggup mengingatinya. Lori itu tidak sepatutnya memecut di kawasan sekolah.

Sehingga beberapa buah kereta polis dan ambulans sampai untuk mengendalikan dan menenangkan keadaan, Nazri masih tidak berdaya menggerakkan hatta sebatang jari kakinya pun.

Betapa kejamnya hari itu yang mempersembahkan di hadapan matanya sekujur tubuh yang masih disaluti uniform yang berganti warna merah diusung oleh beberapa lelaki berpakaian putih. Dia tidak nampak lagi lain-lain mangsa yang turut sama dianduh ke dalam ambulans.

Airmatanya menitis lambat-lambat. Berjuang dengan keengganan mempercayai tragedi yang benar-benar meragut semangat dan jiwanya. Airmata itu tetap mengalir jua, tanpa rela menuruni liku-liku wajahnya yang pucat bila mana seorang lelaki menutupi dengan sehelai kain putih ke atas sekujur tubuh yang masih tidak lepas dari genggaman pandangannya itu.

Ya Allah… Ya Allah…Ya Allah…

Sekembalinya dari menyempurnakan cita-cita di luar negara selama hampir lima tahun lamanya, tempat pertama yang dikunjungi Nazri ialah sebuah pusara kenangan berhampiran sebuah perhentian bas yang masih begitu juga berdirinya. Teguh dan segar bersama kenangannya bersama Khairul Azieana.

Kayzee…demi Allah yang Maha Besar, sesungguhnya ku dambakan kasih sayang kita yang baru berputik itu kekal ke akhir waktu, tapi apalah daya, tiada kudrat di dalam genggamanku. Kayzee, tunggu…aku datang mengambil kembali luhurnya kenangan ini yang kau tinggalkan buatku….

Padamu, ku alunkan rinduku, sayang jadi sendu, tinggalkan lara putus cintaku,
Di akhir kali pertemuan itu, ku tahu kau menginggalkan ku,
Ku relakan rasa suci ini pergi……”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

PAGEVIEWS