Wednesday, March 23, 2011

Cerpen 3 : 27 APRIL...

Sepicingpun aku tidak dapat melelapkan mata. Sejak kebelakangan ini hatiku tidak pernah tenteram. Sakit kepala yang menjadi rutin hidupku selama ini yang kian berkurangan, kini menyerang kembali. Malah aku kian hilang selera untuk menjamah makanan. Kesat rasanya di tekakku ini.

Peristiwa semalam berputar ligat di ruang mindaku. Menguatkan lagi sangka dan keyakinanku. Sewaktu berjalan keluar dari perpustakaan sekolah, aku bertembung dengan Hasnul, ketua persatuanku yang juga merupakan kawan lelaki yang paling rapat denganku.

Buku novel yang tadi ku pinjam dari perpustakaan tercampak ke lantai putih koridor. Seketika kami bertemu pandang dan seperti biasa aku suka mengukir senyum untuknya. Fikirku dia pasti akan memohon maaf dan mengambil semula buku di lantai untukku.

Sungguh sama sekali tidak aku menyangka dia tega berlalu sahaja meninggalkan diriku. Tiada ucapan maaf, tiada sapaan bahkan yang amat menggigit perasaan dia tidak lagi membalas senyumanku. Sebaliknya melontar sebuah pandangan yang mengandungi selautan benci dan dendam.

Apakah kesalahan yang telah aku lakukan?

Perubahan tingkah lakunya terhadap diriku begitu ketara. Kedinginannya itu terlalu ku rasai kerana persahabatan kami terlalu akrab dan hangat. Amat mesra, hingga menimbulkan usikan teman-teman sekolah yang lain. Biarpun aku malu tetapi aku amat menyenangi usikan itu. Mengapa? Entahlah…

Malah keluarga kami juga merestui persahabatan kami kerana kami ikhlas dan jujur dengan kepercayaan dan amanah orang tua kami. Kami sering belajar bersama tidak kira di sekolah mahupun di rumah. Selalunya dia saja yang akan ke rumahku.

Aku tidak pernah berkesempatan berkunjung melawat orang tuanya. Mungkin aku malu kerana ibubapaku selalu mengingatkan bahawa tidak manis seorang perempuan berkunjung selalu ke rumah orang lelaki. Mungkin ada benarnya teguran itu, apatah lagi dari orang tua sendiri.

Keikhlasan persahabatan kami membuatkan aku begitu memahami cara hidup dan keperitan hidup keluarganya. Kerana itulah aku amat sayang pada Hasnul. Sayang bagai saudaraku sendiri. Apa saja kesukarannya cuba ku hadapi bersama biarpun aku tahu Hasnul bukanlah seorang yang suka menerima huluran simpati. Bukan hanya dengan masa dan tenaga, malah aku sanggup berkongsi wang saku dengannya.

Justeru itu hatiku amat pedih bila dia kini seolah menjauh diri. Lebih menyakitkan bila dia memandangku persis aku ini seorang pesalah dan musuh kepadanya. Tidak lagi melayanku sebagai seorang sahabat, jauh sekali menegur sapa diri ini.

“Hasnul, awak dah siapkan kertas perancangan tu? Dah lama benar rasanya rancangan persatuan kita ni tertangguh. AJK lain pun dah merungut pada Lenny,” ujarku suatu hari sekadar ingin berkongsi kebimbangan akan kelewatan rancangan lawatan sambil belajar yang dicadangkan oleh ahli-ahli persatuan bulan lepas.

“Tahulah saya…”

“Tahu…tahu… saya tengok awak rileks je.” Protesku dalam nada gurau.

“Rileks?” nada suaranya amat sinis sambil mengerling tajam ke wajahku.

“Yalah, asyik Lenny sorang je yang beria-ia…” aku ketawa kecil dengan niat mengusiknya.

“Banyak perkara dan masalah lain yang perlu saya fikirkan lagi. Nanti-nantilah saya siapkan.”

“Masalah tu masalah juga tapi tak baik awak campurkan dengan tanggungjawab awak. Saya dah bosan…”

“Dah bosan dengan saya?” segera dia memintas sebelum aku sempat menghabiskan kata.

Terkaku aku seketika mendengar nadanya ketika itu. Bahkan pelajar-pelajar lain yang sedang lalu-lalang sesekali melirik bila mendengar suara Hasnul yang agak keras.

“Bukan begitu…”aku mula merendahkan nada.

Sebolehnya aku tidak mahu Hasnul tersinggung dengan teguranku. Jika ini merupakan salah faham maka aku harus menyelesaikannya segera. Sepuluh minit lagi loceng akan berbunyi menandakan waktu rehat hari ini akan berakhir.

“Sudahlah!” suaranya masih keras seperti tadi.

Nak cari pasal agaknya budak ni, gerutu hati kecilku. Selama ini pun kami memang tidak pernah sunyi daripada pertengkaran, bertegang urat biarpun untuk perkara yang kecil. Kadang berhari-hari aku merajuk biarpun dia berusaha memujuk. Aku tahu benar dia tidak sanggup menghadapi hari-hari dengan mukaku yang mencuka, tidak menyapanya.

“Saya tak kisah…”suaranya merendah.

Ku lihat dia merenung jauh ke perkarangan sekolah. “Selama ini segala urusan awak juga yang buat. Seorang diri kan…saya ni apa? Boneka. Kalau awak dah bosan, terus terang ajelah!”

“Hasnul!” aku mula geram dengan tingkahnya itu.

I mean nothing! I just want you to improve yourself! That’s all, why are you taking it wrongly ni? I just don’t understand you! I just can’t! Really!” Terlepas juga kata-kata yang lahir dari perasaan tidak puas hatiku ini.

Okey...okey… don’t worry Norlenny Iskandar. If you wish you can sit on my chair tomorrow. That’s what you ask for right ?”

Tersirap darahku naik ke muka. Pandangan tajamnya terasa bagai merobek tangkai hati dan itulah mulanya saat kepahitan dalam perhubungan kami. Akukah yang bersalah?

Mulanya memang aku tidak sabar juga menanti tahap marahnya mereda. Aku begitu rindu mendengar usikan dan sapaan mesranya. Aku rindu untuk mendengar ketawa rakan-rakan kami bila dia berkata, “Sorry beb, kau buat apa ni? Ni girlfriend aku. Jaga sikit lah, boyfriend dia ni masih hidup lagi tau!”

Pernah juga terlintas di fikiranku untuk menjernihkan keadaan. Setiap kali berselisih aku cuba memaksa mulut ini untuk memanggil namanya tetapi wajahnya yang begitu selamba membatalkan hasratku. Keegoaan perempuanku juga masih menebal dalam diri ini. Aku masih tidak dapat melupakan perbuatannya yang benar-benar mengguris hati dan menyebakkan dadaku.

Suatu petang ketika aku sedang berjalan dengan temanku Atiqah di bangunan akademi setelah tamat latihan sukan, Hasnul menghampiri kami. Sangkaku dia akan mengucap kata maaf. Bibirku berbunga senyum tatkala mengenangkan yang keruh kembali jernih. Atiqah, temanku melempar senyum yang penuh makna kepadaku.

“Hai Atie!”

Tersentap putus rasanya tangkai hatiku bila mendengar kalimah itu tidak bersambung namaku. Atikah memandangku dengan wajah serba-salah. Hatiku bertambah luka bila dia terus bertanya itu dan ini kepada Atikah tanpa menghiraukan kehadiranku.

“Oh ya Atie...how’s our society now? Tentu lebih aktif dengan ketua baru kan?”

Aku gigit bibir mendengar sindiran itu. Tidak mampu mengangkat wajah kerana kurasakan kolam mataku seolah memberat. Sampai hati Hasnul mengucapkan kata-kata itu. Sampai hati dia menyalahertikan keikhlasanku.

Setelah selesai pertemuan dengan guru penasihat persatuan, aku melangkah longlai dengan fikiran yang hilang, menyusur lantai koridor bangunan sekolah. Parking lot pun telah sunyi dan kosong. Suasana tidak seriuh waktu persekolahan. Kebanyakan guru-guru dan pelajar telah pulang. Yang tinggal hanyalah beberapa kelompok pelajar yang masih riuh ketawa di kantin dan di beberapa kawasan koridor. Aku menjadi cemburu dengan kegembiraan mereka. Seolah mereka mempersendakan kedukaanku.

“Aku rasa kau dengan Hasnul sekarang ni dah lain, betulkan Lenny? Kenapa...?" Azhan begitu berhati-hati ketika menuturkan pertanyaan itu. Rozana yang duduk di sebelahnya hanya berdiam diri.

Mee goreng di dalam pinggan ku kuis-kuis dengan sudu. Aku sengaja membiarkan masa melewati pertanyaan temanku itu. Aku sendiri belum pasti akan jawapan yang harus ku berikan.

“Cakaplah sesuatu Len, janganlah diam macam ni. Aku tengok kau macam makan hati je dengan si Hasnul tu. Dia selalu sangat sinis dengan kau, yang kau pulak diam je. Kalau ada masalah, kan baik kongsi. Kita kawankan?” Rozana yang masih membisu hanya mengangguk-angguk kecil mengiakan kata Azhan itu.

“Mamat tu pun satu, macam mengelak je dari kita,” ujar Rozana pula.

“Dia marahkan Lenny,” suaraku bagai tidak kedengaran namun cukup untuk meninggalkan tanda tanya di hati keduanya. Merenung wajah kedua mereka ketika itu hanya menambah kerinduanku terhadap kehadiran Hasnul.


Pagi itu Cikgu Maza, guru Biologi kami tidak masuk mengajar. Dua waktu makmal yang membosankan serta keriuhan rakan-rakan sekelas memaksa aku membawa diri ke perpustakaan. Dengan sebuah buku rujukan di tangan, aku pilih tempat yang agak tersorok di hujung sudut. Dari tempat itu aku dapat menguasai pandangan segenap pelusuk perpustakaan.

Halaman buku rujukan Biologi ku selak lambat-lambat. Mahu tak mahu saja lagakku. Aku paksa mata dan hatiku menumpukan perhatian kepada perkataan-perkataan yang terkandung di dalamnya. Ternyata paksaan bukanlah cara terbaik buatku.

Tiba-tiba aku merasakan ada air suam yang mengalir turun ke pipiku. Aku pegang pipi dan hampir ketawa dengan tingkahku yang bagai di luar sedar. Cepat-cepat aku kesat airmata, mendongak menarik nafas panjang. Aku cuba mencari kewarasan dan ketenangan yang semakin hilang.

Seketika aku terpaku dengan pemandangan di hadapanku. Selang dua meja di depan, Hasnul sedang duduk berhadapan denganku dengan kedua-dua tangannya menongkat dagu. Di sebalik kacamatanya itu aku dapat melihat renungan yang dilemparkannya padaku.

Memandangnya ketika itu, bagai mengembalikan semula kemarahan dan sekelumit benci ke dalam hati ini. Biarpun aku terlalu ingin menemuinya, namun syukur aku berjaya menundukkan hasrat itu. Aku kembali menatap buku di atas meja seolah tidak langsung menghiraukan situasi itu.. Biar dia rasakan… dia fikir dia seorang saja yang boleh jual mahal! Begitu desis hati kecilku menghasut tindakan.


Sudah seminggu lamanya Hasnul tidak ku temui di sekolah. Setiap kali melintasi kelas Hasnul, tempat duduknya masih tidak bertuan. Bukan aku tidak biasa dengan keadaan itu. Selama inipun dia memang kerap tidak hadir ke sekolah. Dan aku juga tahu ia adalah kerana masalah keluarga yang tidak boleh dielakkan. Tetapi biasanya aku akan diberitahu, tetapi kali ini?…hatiku kembali sebak.

Merenung langit petang yang pudar, aku berseorangan di bilikku melayan perasaan. Entah mengapa setelah beberapa bulan bumi daerah ini ketandusan dan kegersangan, hari ini mencurah-curah pula airmata yang dititis oleh awan hitam.

Aku hilang dalam keasyikan memerhatikan air yang bertakung di lopak jalan dan dalam parit yang sebak. Aku hilang dalam keasyikan memerhati daun-daun kering yang berguguran dan dibawa air yang mengalir laju di atas tanah.

Benar. Benar aku mencari-cari sesuatu yang hilang. Tetapi aku tidak pasti apakah kehilangan yang aku sedang cari itu. Selalunya petang-petang begini aku akan mengulangkaji bersama Hasnul. Kami akan bergaduh menegakkan pendapat masing-masing dan kemudian berebut-rebut untuk makan pisang goreng atau keropok goreng atau mee goreng yang dimasak oleh ibuku.

Ternyata aku benar-benar merindukan saat-saat bersama sahabatku itu. Tapi hari ini? Ah, sudah hampir tiga minggu dia tidak lagi mengunjungi rumahku.

“Lenny tak mahu pergi.” Lembut suaraku namun maksudnya tetap dan tegas.

“Hasnul sakit, Len. Dia sahabat kita, sahabat Lenny kan? Takkan Lenny tak mahu ziarah dia?” Azhan memujuk tanpa putus asa.

Aku pandang wajah Azhan, “Kalau saya kata tak mahu pergi tu maksudnya tak mahulah. Kenapa nak paksa? Pergilah kamu berdua. Nanti takut bertambah pula sakitnya bila memandang muka Lenny ni!” aku berkata sinis. Melepas geram.

Entah kenapa aku terasa puas bila meluahkan kata-kata itu. Cuma aku meluahkannya pada orang yang tidak berhak mendapat biasan kemarahanku. Aku tahu teman-temanku itu tidak berdosa, tetapi aku perlukan seseorang untuk menjadi tempat aku melepas segala rasa yang terbuku di lubuk hati ini.

“Lenny..” Rozana menghampiriku.

“Moga-moga dengan sakitnya tu baru dia sedar betapa sakitnya hati Lenny ni dengan sikap dan perbuatan dia pada Lenny selama ini…” airmataku menitis laju. Terasa benar hiba yang kian berkunjung ke ruang hati.

Tip…tap…bunyi titis air hujan yang menimpa bumbung rumahku bagai melagukan irama jiwaku.

“Dia sengaja elakkan Lenny, tak mahu tegur, tak mahu cakap-cakap macam dulu. Nak senyum pada Lenny pun dia tak sudi. Apa salah Lenny? Apa yang Lenny buat sampai…” aku tidak mampu mengawal sebak.

“Len, yang sudah tu sudahlah…semua orang pun buat silap. Marilah Len, kita pergi tengok dia. Dia sakit teruk Len, kasihan dia.”

I’m not going. That’s it!” Aku hempas punggung ke empuk sofa.

“Lenny, dengarlah kata kami ni. Buanglah ego kita ke tepi dulu, ini soal..” temanku itu terhenti seketika merenung wajahku yang masih mendung.

“Kami cuma tak mahu Len menyesal nanti…” Rozana berkata sambil menitiskan airmata.

Aku genggam jari-jemariku erat-erat. Aku pejam mataku rapat-rapat menahan airmata. Serta-merta kenangan 27 April tahun lalu kembali bermain di ruang mataku. Ketika kami menyertai rombongan sekolah ke Pulau Pangkor, sesuatu yang bersejarah telah berlaku dalam persahabatan kami.

Aku yang terdengar suara jeritan dari tengah laut terus terjun tanpa berfikir panjang. Yang aku pentingkan ketika itu adalah untuk menyelamatkan seorang kanak-kanak kecil yang ku lihat sedang terkapai-kapai di tengah lautan.

Berhempas pulas berenang melawan ombak sisir pantai, aku berjaya menarik kanak-kanak itu dan memautnya. Namun aku merasa sedikit sukar untuk terus berenang sambil menarik seorang kanak-kanak yang mulanya aku sangka kecil rupanya hampir sama besar denganku.

Barangkali melihat aku berusaha melawan ombak, Hasnul segera terjun ke laut, membantu memudahkan tugasku. Hasnul tarik kanak-kanak itu berenang ke pantai sedang aku berenang perlahan menyusul di belakangnya. Tiba-tiba aku merasakan pandanganku berpinar dan kakiku tidak lagi terdaya untuk berenang. Saat itu aku sedar penyakit kepalaku menyerang kembali.

Aku ingin meneriakkan nama Hasnul tetapi suaraku tidak mampu keluar. Malah Hasnul tidak lagi menoleh ke arahku. Tuhan sahaja yang tahu perasaanku tika itu. Aku tidak sedarkan diri sehinggalah aku membuka mata di hospital. Wajah pertama yang aku lihat ketika itu adalah wajah mesranya yang tersenyum padaku.

“Hai heroinku…” usiknya dengan amat perlahan. Dalam keadaan yang lemah aku masih mampu untuk ketawa.

Dan melalui kawan-kawan selepas itu aku mengetahui betapa cemasnya mereka terutama Hasnul bila aku tidak sampai ke pantai. Malah aku langsung tidak kelihatan di permukaan laut.

Tanpa mempedulikan kata rakan-rakan, Hasnul terjun sekali lagi mencari aku yang tenggelam entah di mana. Mengenangkan kejadian itu aku yang memang terhutang nyawa padanya dihimpit dilema antara benci dan budi.

Antara sedar dan tidak aku telah berada di ambang pintu rumahku disusuli pandangan kedua temanku yang masih lagi kemuraman di sofa. Memandang mereka ketika itu, aku bagai memperolehi kekuatan untuk meneruskan tindakan. Lantas ku gamit kedua sahabatku itu dengan pandangan mata.

Sampai saja di perkarangan rumah Hasnul, langkahku terhenti. Terasa berat benar kakiku untuk meneruskan langkah yang tadinya sudah begitu kuat keyakinannya. Sekali lagi aku ditarik ke dalam kenangan yang sukar dilupakan.

“Oh di sini rupanya belangkas ni…” sergah Kamal lalu diikuti kikikan ketawa Azhan dan Nurul.
“Buat apa berdua-duaan ni ha?” usik Nurul lagi sambil mencubit lenganku.

Hasnul menyandarkan badannya ke kerusi sambil menggaru-garu kepala. Bukan sekali dua diusik begitu, rasanya sudah lali benar kami melayan kerenah rakan-rakan. Kami cuma tersenyum tanpa sebarang kata. Lebih baik berdiam dari berkata sesuatu yang boleh diputar belitkan oleh rakan-rakan nakal itu.

“Kalau ya pun nak dating, buatlah cara dating, pura-pura study pulak, ni kalau cikgu disiplin nampak ni tak ke nahas?” Azhan mengenyitkan matanya padaku. Aku tahu dia hanya menyakat.

“Pandailah kau!” giat Azhan lagi sambil menumbuk belakang Hasnul perlahan.

Dan tika itulah aku merasakan kelainan pada diriku bila Hasnul yang ketawa kecil sambil menutup muka dengan telapak tangan kanannya itu merenung wajahku dengan hujung matanya. Sebuah renungan yang aku sendiri tidak pasti maksudnya tetapi aku yakin akan ertinya.



Lamunanku pantas sahaja melayang pergi tatkala kesyahduan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang bergema dari ruang tamu rumah yang julung-julung kali ku jejaki itu sayup menusuk pendengaranku. Suara-suara itu begitu sayu diselangi esak tangis yang tertahan-tahan.

Aku percepatkan langkah menaiki anak-anak tangga menuju je dalam rumah Hasnul. Keadaan dan suasana ketika itu mengundang rasa hairan di hati. Apa pula yang ditangisi oleh tetamu-tetamu yang hadir dan mengapa pula dibaca surah Yassin?

Tiada jawapan yang mampu menenangkanku apatah lagi bila memandang wajah-wajah muram dan suram di sekelilingku. Cuba ku cari Azhan dan Rozana namun mereka tidak lagi berada di sisiku. Perlahan-lahan aku mengorak langkah merapati sebuah bilik yang kelihatannya dipenuhi agak ramai orang.

Dari ambang pintu aku lihat wajah ibu Hasnul yang basah dengan airmata ditenangkan oleh beberapa orang wanita. Aku lihat adik-adiknya tekun membaca al-quran. Dan tatkala aku terpandang Azhan dan Rozana, hatiku berdetak keras.

Pandanganku terpaku pada sekujur tubuh di atas lantai yang bertutup litup. Aku semakin kebingungan. Aku ulang pandang ke wajah Rozana yang menangis dan ke wajah Azhan yang langsung tidak mampu memandangku.Tanpa sedar aku sudah berada di sisi tubuh yang terbujur itu.

Naluriku tiba-tiba bergetar apabila Azhan memandangku sambil berkata, “Kita terlewat beberapa minit sahaja Lenny.”

Itulah saat yang benar-benar meremukkan hatiku. Menyiat dan melukakan segala perasaan yang ada dalam diriku. Aduhai Tuhan, mengapa harus ini yang berlaku.

Namun saat-saat itu telah ku atasi. Telah ku lalui dengan segala kepayahan yang melukakan sekeping hatiku yang telah berkecai. Buku diari milik Hasnul yang juga merupakan hadiahku untuk ulang tahun kelahirannya yang ke-19 pada 27 April, ku genggam erat.

Kelmarin ketika aku melangkah pulang dari upacara pengebumian Hasnul, adik perempuannya menahanku dan menyerahkan diari ini sambil berkata dengan nada sayu.

“Kak Lenny... rasanya ini buku abang Long. Ina jumpa dalam kotak bawah katil dia. Sebenarnya dia ada pesan pada Ina untuk buangkan kotak ini. Tapi Ina rasa Kak Lenny berhak memilikinya kan?”

Tiada apa yang menarik kerana kebanyakan ruang masih kosong. Ternyata dia jujur kepadaku bila dia berkata, “Alah...Len, orang lelaki tak mainlah tulis-tulis diari ni. Saya ni lelaki tau!” dan bila aku tarik wajah, dia berkata lagi, “Alah...orang main-main aje. Thank you anyway. Bolehlah saya recordkan bila kita shoud go for date, right?.”

Tetapi bila mataku terhenti pada satu halaman bertarikh 27hb April 1991 ….


Lama benar rasanya aku menanti saat itu. Bilakah ia akan tiba?
Sudah tidak mampu rasanya untuk aku bertahan..
Tidak tahan lagi hidup tanpa senyuman, ketawa dan bicara Lenny.
Kenapalah aku buat begitu kepadanya? Kenapa aku tergamak menyakiti hatinya.
Tentu Lenny kecil hati dengan aku…tentu dia bersedih.
Oh tuhan…aku tidak sanggup melihat dia bersedih.
Aku cuma mahu dia membenci diriku ini. Aku cuma mahu dia
membenci dan membuang aku terus dari hidupnya.
Maafkan aku Lenny…tapi kau tak mungkin mengerti.
Biarlah segalanya ku abadikan bersama hayatku.
Benar aku merindui saat-saat bersamanya tapi
aku tidak mampu hidup lebih lama lagi untuk meneruskan saat-saat indah ini.
Dan aku tidak mahu dia merasai ketiadaanku seperti mana aku tidak boleh hidup tanpanya.
Lenny…andainya aku mampu, aku pasti telah memohon maaf padanya atas kesalahanku.
Salah kerana menyimpan perasaan yang lebih dari seorang sahabat.
Dan hanya ini sahaja yang aku boleh lakukan.
Menimbulkan kebencian di hatinya agar aku boleh menafikan perasaan dan kasih sayangku padanya.
Lenny…kau tetap sahabatku yang paling aku sayangi dunia dan akhirat.

….aku tahu dia juga jujur bila menyambung bicara “Or when I want to say something that I couldn’t say by words… ”

Dan airmataku menitis untuk kesekian kalinya. Setiap kali tarikh 27 April itu mengunjungiku, aku akan ucapkan selamat ulang tahun untuk kami… kerana 27 April adalah hari di mana kasih kami termeterai dan bersemadi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

PAGEVIEWS