“Dear…”
“Iye dear…” sahut Adriana sambil menguis sehelai dua daun kering sesat di atas kertas surat khabar yang dihampar di atas rumput hijau itu.
Dua bekas polystyrene putih dikeluarkan dari plastik merah lalu diletakkan di atas surat khabar yang terhampar. Dua botol air mineral disusun elok-elok di pangkal pokol. Biar tidak tumbang.
“You dengan Mama macam mana sekarang? Dah okay?”
Gulp! Adriana telan liur mendengar pertanyaan itu. Mesti Navin maksudkan peristiwa dia dimarahi Mama kerana bil telefon bimbitnya yang melambung itu. Sejak hari itu Adriana merajuk dengan Mama. Dengan Kak Ni juga.
Navin masih tidak lagi berkalih pandang ke arah langit yang terang benderang itu. Entah apa yang dia lihat di situ. Burung-burung pun sudah siap bersantai atas persinggahan mereka. Berteduh dari hawa panas di atas dahan celahan daun.
Kalau boleh dia tidak mahu menjawab soalan Navin. Saat itu cahaya suria yang menyilaukan pandangan menjadi bahan melepaskan diri. Apa hendak dia kata? Beritahu Navin dia masih merajuk dengan Mama dan Kak Ni? Beritahu Navin yang dia tidak mahu balik ke rumah lagi?
Alah, Adriana sudah tahu sangat reaksi pemuda itu. Tentu-tentu sahaja telinganya akan menadah ceramah dan motivasi yang ala-ala leteran panjang lebar dari Navin. Sama macam Kak Ni. Mesti Navin akan kata lagi ‘syurga kan di bawah telapak kaki Mama...’.
Adriana tidak mahu dengar frasa itu lagi. Sudah penat telinganya menadah perkataan-perkataan keramat itu. Berilah sedikit lagi kesempatan untuk dia asah akal dewasanya itu.
“You dah habis ke baca buku agama yang I bagi kat you tu?” alih-alih soalan itu pula yang dapat dia suakan sebagai jalan keluar yang selamat. Harap-harap Navin boleh dia pesongkan seketika.
Navin angguk.
Memang dia sudah habis membaca buku setebal 357 halaman itu. Buku panduan agama yang lengkap dengan segala macam isu tentang Islam itu sudah habis dibacanya. Memang sudah lama habis. Cuma dia tidak memberitahu akan hal itu kepada Adriana.
Bukan sekadar membaca. Malah dia sudah mengupas dan mendalami setiap isi bacaannya dengan abang Adam. Kalau sekadar membaca, takut lain pula tafsirannya. Zaman sekarang walaupun ada kampus yang berorientasikan maya, masih juga sesekali harus bertemu dengan pensyarah yang sebenar.
Guru itu bukankah sesuatu yang wajib ada dalam konsep menuntut ilmu? Kebetulan pula bertemu dengan lelaki itu di luar kawasan masjid yang selalu dia kunjungi. Dari sekadar berbahasa basi, mereka berkawan.
Sebelumnya, pernah sesekali Navin terasa diperhatikan setiap kali dia singgah berteleku mencari keyakinan diri di bahu jalan di depan masjid itu. Rupa-rupanya abang Adamturut terpanggil untuk dirinya. Besarnya kuasa Tuhan yang menjadikan semesta alam.
Mungkin dari rasa ingin tahu mengapa seorang pemuda India yang gelap ini sering kali memakir kereta di bahu jalan di sana. Satu panorama yang rasanya bukan luarbiasa. Hidayah yang dianugerahkan Allah kepada Adam agar memberi ihsan kepada dirinya yang sedang terkontang-kanting dalam pegangan.
Mengimbas kronologi itu, Navin terpandang suluhan cahaya keajaiban. Maha Besar Tuhan...
Dan mungkin juga sudah takdirnya bergurukan Adam yang telah biasa dia panggil abang. Dengan abang Adam, di setiap kelapangan dia belajar lebih lanjut tentang Islam. Kadang-kadang mereka minum lewat malam selepas Adam tamat shift tugasnya di hospital.
Ataupun kalau dia sendiri tidak punya shift di kilang, dia yang akan menelefon Adam. Ajak minum-minum. Kadangkala pertemuan mereka cukup sekadar di dalam kereta sahaja setiap kali Adam usai solat maghrib berjemaahnya. Dapatlah juga dia sedikit ilmu yang selama ini dia dahagakan.
Tiap kali memandang bangunan masjid yang tersergam itu, hatinya melonjak ingin menjejakkan kaki di atas lantai masjid itu. Ingin benar melihat bagaimanaAdam dan para jemaah solat bersama.
Kalau sekadar bacaan solat, dia sudah seperti hafaz di dalam hati.Sesekali bila mendengar nada Imam membaca ayat-ayat dalam solat, tubir matanya bergenang. Hatinya terusik. Sukar untuk Navin susun dalam kalimah kata. Apa yang dia boleh dia rasai adalah sejalur ketenangan yang menjalar dalam setiap urat dan saraf. Dalam setiap ruang dan rongga. Dalam setiap molekul air dan darah.
Terasa segala persoalan dan pencariannya selama usia ini hampir terungkai. Namun begitu dia masih terlalu segan untuk mengutarakan hasratnya ingin mengunjungi masjid. Bimbang dia hanya akan mencemar kesucian tempat itu.
Setiap kali dia bertanyakan pandangan Adam tentang hasrat untuk memeluk Islam, lelaki itu hanya diam. Bermenung jauh. Sepertinya hasrat yang Navin nyatakan adalah satu masalah maha besar buat lelaki itu pula. Paling-paling Adam akan beri sepatah dua nasihat agar dia berfikir masak-masak. Dalam-dalam.
Sepertinya Adam tidak mengalu-alukan hasrat murninya itu. Sebaliknya kalau diutarakan hasratnya itu di hadapan Adriana,gadis itu pasti sudah melompat setinggi langit.
Kadang-kadang dari sinar wajah dan renungan mata Adam itu, Navin terasa ada sesuatu yang disembunyikan oleh lelaki itu.Adamseolah sedang menyimpan sebuah cerita. Atau rahsia? Navin selalu ingin bertanya. Tetapi dia tahan sahaja keinginannya itu. Dia baru sahaja beberapa bulan mengenali Adam. Takut nanti lelaki itu fikir dia terlalu bersikap mengambil tahu. Busybody.
Lagi pula Adam belum tahu antara tujuan dia mempelajari Islam adalah kerana Adriana. Biarlah. Lambat laun dia mungkin harus merujuk juga kepada Adam berhubung perkara itu nanti.
Kasihan dia melihat Adriana melangut menanti kata pasti dari mulutnya. Setiap kali bertemu, persoalan itu tidak pernah ingkar diajukan. Lebih dari itu, Navin ingin membuat segala keputusan demi dirinya sendiri juga.
Tentang perguruannya dengan abang Adam juga belum dia khabarkan kepada gadis itu. Dia buat senyap sahaja. Bukankah Islam menyarankan kalau tangan kanan berbuat kebaikan, tangan kiri harus disorokkan? Betulkah penggunaan perumpamaan itu, Navin sengih sendiri.
Dia toleh mencari wajah Adriana. Keluhannya terlepas. Kalau Adriana tahu, tentu gadis itu akan terus mendesak dia untuk membuat langkah kedua. Melafazkan kalimah syahadah yang maha suci.
Secara rasmi menjadi seorang Muslim dengan identiti dan nama yang baru. Gaya dan cara hidup sebagai seorang Muslim. Pasti ada kecanggungan dan rasa kekok yang akan mengambil suatu jangka masa untuk disesuaikannya.
Bukan Navin keberatan. Bukan juga sebab dia enggan ataupun belum bersedia. Masih ada banyak faktor dan perkara yang perlu dia ambil kira. Yang perlu Navin pertimbangkan semasak-masaknya, walaupun dia seorang free-thinker, sama seperti mendiang Appa dulu.
Mungkin inilah sebabnya mengapa abang Adam selalu menenangkan gelora ghairahnya untuk memeluk Islam. Abang Adam mungkin mahu dia menyelesaikan setiap satu permasalahan dengan sebaik mungkin sebelum kakinya meniti ke dalam daerah kehidupan baru. Betul juga begitu.
Dengan Amma pun Navin belum punya peluang dan waktu yang sesuai untuk beritahu. Reaksi Amma pun belum terjangkau lagi dek fikiran Navin. Akan setujukah Amma? Kalau begitu akan lapanglah dadanya. Akan mudahlah segala urusan yang telah dia susun dan rancang untuk hidup bersama Adriana.
Tetapi bagaimana pula kalau Amma tidak setuju? Apa yang akan berlaku kalau Amma tidak izinkan dia memeluk agama itu? Ah, itu akan jadi ranjau paling berduri dalam hidupnya.
Navin hela nafasnya. Pundak kepalanya dia ramas perlahan dengan jemari. Pendapat Amma dan ahli keluarganya nanti tidak harus dia tolak mentah-mentah. Pasti ada satu kewajaran dan alasan kukuh untuk dia mempertimbangkan apa sahaja keputusan Amma nanti.
Kalau Navin kenang-kenang, selama ini memang dia yang menjadi tunjang kehidupan mereka sekeluarga. Dia adalah tulang belakang keluarganya semenjak Appa meninggal dunia. Amma dan adik-adiknya bergantung hidup dengan pendapatannya yang tidak seberapa itu.
Ada dua kemungkinan sahaja yang akan berlaku nanti. Pertama, Amma tidak akan sampai hati menolak permintaannya setelah apa yang dia korbankan buat keluarga. Bukan Navin minta bayaran untuk setiap lelah dan keringatnya, tetapi kalau Amma rasa belas untuk menghalang niatnya, itu juga suatu rahmat buat Navin.
Tetapi kemungkinan yang kedua hinggap di kepalanya saat itu buat Navin tidak senang duduk. Pun peluh yang memercik bukan sekadar dek panas suria tengah hari yang tinggi atas kepala. Tetapi memercik kerana rasa bimbang yang tidak mampu dia sangkal.
Kerana dia adalah tunggak keluarga, Amma mungkin ada sebab yang kukuh untuk menolak hasratnya. Manalah tahu kalau Amma khuatir Navin berpaling dari tanggungjawab.
Hmm... kalau itulah yang akan menjadi kebimbangan Amma, Navin akan yakinkan ibunya itu bahawa dia tetap akan memikul tanggungjawab sepanjang hidupnya. Walaupun setelah dia memeluk Islam nanti. Dia tahu akan ketetapan hatinya. Dia yakin dirinya mampu melaksanakan semua tanggungjawab yang telah diletakkan di atas pundaknya.
Memanglah suasana, budaya hidup dan agama mereka nanti akan berbeza. Tetapi Navin tahu hatinya tidak akan pernah tega menyisihkan Amma dan keluarganya walaupun setelah memilili Adriana. Mereka akan selamanya darah daging yang tidak akan pernah boleh bercerai dari hidupnya.
Walau sedalam mana sekalipun kasih dan cintanya pada Adriana, masih juga kenyataan bahawa tanpa Amma dia tidak akan wujud di bumi ini tidak mampu dia nafikan. Tanpa Amma, Adriana juga tidak akan mampu bertemankan dirinya seperti sekarang ini.
Navin dapat merasakan sejalur rasa yakin mula menempel di dinding hati. Ya, mungkin Amma akan terpujuk dengan keyakinan yang cuba dia perlihatkan kepada Amma nanti. Semoga sahaja Tuhan memudahkan saat itu nanti.
Lagipun selama ini dia tidak menganut apa-apa agama. Hatta agama yang Amma anuti dan percayai itu. Amma pasti boleh melihat rasional mengapa dia perlu untuk menganuti sebuah kepercayaan sekarang.
Takkanlah Amma keberatan kalau anaknya yang free-thinker ini memilih agama wahyu Islam sebagai kepercayaan yang hakiki. A settle-down for him. Bukankah Amma juga yang bising-bising suruh dia pelajari setiap satu agama yang diturunkan di dunia ini?
Amma kata kalau Hindu bukan pilihan hati Navin, Amma serahkan sahaja kepada kebijaksanaannya untuk menentukan mana-mana agama yang Navin rasa terbaik untuk hidupnya. Lalu pada setiap kesempatan yang ada dia pelajari tentang setiap agama yang dia tahu kewujudannya.
Bible, Al-Quran malah kitab-kitab Budha juga pernah dibacanya serba sedikit di waktu fikirannya mendesak untuk mencari sesuatu yang hakiki dalam kehidupan. Nah, sekarang bukankah dia sudah sampai ke destinasi itu? Dia sudah hampir menemui satu agama yang menyuluh kebenaran hingga sukar untuk dia menyangkal lagi?
Kalau nanti Amma debatkan tentang keikhlasannya memeluk agama ini, Navin akan bentangkan kepada Amma seribu satu sebab. Adriana dan cintanya hanyalah satu di dalam seribu itu. Tetapi dia tidak akan beritahu Amma bahawa gadis itu juga antara sebab utama mengapa mata hatinya terbuka kepada Islam. Nanti jadi panjang lebar pula ceritanya.
Dan kalau Amma tanyakan apakah pula lebihnya Islam berbanding agama lain? Kalau dilihat di zaman inipun, orang Islam sudah nampak lebih kurang sahaja dengan orang bukan Islam. Baik dari segi perbuatan mahupun perawakan. Melampau tak kalau dia kata, orang Islam sekarang hanya Islam di atas surat beranak sahaja?
Tetapi Navin segera ingat apa yang telah Adam perkatakan kepadanya. Lelaki yang berkulit putih kemerahan dan bermata sedikit sepet itu hanya tersenyum sahaja bila dia utarakan soal umat Islam zaman ini.
Kata Adam, semua agama di dunia ini menyeru kepada kebaikan. Telah Adamsuruh dia senaraikan agama-agama yang menyuruh penganutnya bermusuhan, berbunuhan dan melakukan lain-lain perbuatan keji.
Hmm... memang tiada satupun agama di dunia ini yang mendorong ke arah haluan kiri. Justeru itu dia setuju bila Adam kata penganut bukanlah lambang kepada imej sesuatu agama semata-mata.
Aduh, panjang pula capaian fikirnya. Nantilah, hal Amma akan dia hadapi nanti pada suatu hari yang paling sesuai. Ini, hal Adriana harus dia tangani sekarang juga. Kalau tidak, alamatnya picnic tengah hari buta itu akan jadi the most memorable picnic dalam hidupnya.
“Dah habis? Bagus…” Adriana terangguk-angguk. Mulutnya herot ke kiri dan ke kanan. Dahinya berkerut-kerut.
Navin tergelak kecil. Terpelanting segala monolog sepinya. Dia tahu Adriana pasti sedang memikirkan cara untuk menguji kebenaran kata-katanya tadi. Bukan dia tidak kenal siapa Syarifah Adriana Fidzriah itu.
Sekejap lagi terbitlah bintang di sisi kepalanya itu. Bintang yang mengandungi idea-idea bernas untuk dilontar dan dikemukakannya. Itulah yang selalu dikatakan oleh Adriana. Selalu berangan dirinya seolah-olah dirinya itu ada kuasa ajaib laksana si comel Doraemon.
Kadang-kala Navin tergelak sendirian. Gadis yang luarannya kelihatan agresif, berani dan serius dalam kerjayanya itu rupa-rupanya seorang gadis mulus yang mempunyai sekeping hati anak kecil. Meminati ikon kartun Doraemon. Dan lebih melucukan, Adriana sering membayangkan dirinya juga adalah Doraemon. Seorang Doraemon?
Inilah masalahnya orang yang tidak ada adik. Anak bongsu yang terlebih berangan. Navin mengutuk gadis itu di dalam hatinya. Tidak seperti dirinya yang punya adik-beradik susun paku. Hidupnya tertumpu untuk menyara keluarga. Tiada masa untuk berangan-angan.
“Ok, kalau betul dear dah habis baca, hmm… cuba buat rumusan seluruh buku tu. Rumusan untuk intipatinya sahaja. Penting tu dear…”
Hampir tersedak Navin mendengar kata-kata Adriana. Oh, itu rupanya idea yang dibawa oleh gelombang Doraemonnya.
“Lah, kenapa tak cakap awal-awal? Boleh I buat mind-map, senang sikit nak ingat. Ini pop-quiz macam ni, susah sikit nak lulus ni dear ooi…”
“Dear…” Adriana menyepetkan matanya. Bibirnya sudah herot ke kiri dan ke kanan. Mencerlung Navin dengan sorotan mata sepetnya yang tajam.
“Iyelah… hmmm…” Navin garu kepala. Adriana kalau sudah mahukan sesuatu, waktu itu juga harus diberikan. Tidak boleh nanti-nanti. Tetapi Navin sudah terbiasa dengan sikap Adriana itu.
Dikerah otaknya untuk memikirkan cara terbaik bagi merumuskan seluruh isi buku. Matanya memandang ke langit biru, menyelak kembali helaian demi helaian untuk mengingat semula isi penting buku itu.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.