Wednesday, March 23, 2011

SELAMAT TINGGAL KEKASIH GELAPKU (9)

“Kenapa?”Adriana pantas bertanya.

“Kenapa Mama dan Papa tak suka kasi Dik Na jadi jururawat? Kenapa Dik Na tak boleh jadi jururawat, Mama?”

Adriana terhenyak di dalam empuk sofa mewah di ruang tamu. Bola matanya besar. Bantahan Mama terlalu mengecewakan Adriana. Mama langsung tidak pernah sudi mendengar hujah bela diri dia.

Mama selalu jadi pendakwaraya merangkap hakim yang membuat keputusan. Tidak pernah mahu memberi peluang untuk dia melakukan sesuatu dengan mudah. Dengan berkat dan restu.

Memang selalu begitu. No is no, and green will never be yellow. Itulah prinsip diktator Mama yang sering sahaja diprotes oleh Adriana. Mama tidak pernah memberi peluang untuk anak-anak meluahkan apa yang mereka fikir dan rasa.

Apa yang Mama tahu dia sudah merancang itu-ini dan begitu-begini untuk anak-anak gadis kembarnya. Paling tragis ialah bila Mama merasakansetiap perancangan dan pilihannya adalah yang terbaik untuk kesemua anak-anaknya tanpa memikirkan perasaan mereka.

Oh Mama, fahamilah hati dan perasaan kami…

“Apa salahnya Dik Na bercita-cita nak jadi jururawat? Kenapa Mama marah sangat Dik Na nak jadi jururawat? Itukan pekerjaan yang mulia juga?”

“Mama nak kamu jadi Doktor! Doktor Dik Na, doktor! Kamu faham bahasa ke tidak?” tempikan Syarifah Adirahana bergema.

“Mama, apa bezanya doktor dan jururawat? Kan sama-sama dalam bidang perubatan? Pun kerjanya sama, merawat dan menyembuhkan orang? Apa bezanya Ma?” Adriana masih degil untuk mempertahankan kemahuan dan cita-citanya.

“Apa bezanya?”

Syarifah Adirahana berdiri mendepani anak perempuan bongsunya itu dengan wajahnya yang merah. Mengulang pertanyaan sang anak dengan nada yang terlalu sinis.

“Eh Adriana!” mata mata sudah merah menyala dengan api marahnya.

“Tak pernah ada dalam keturunan kita yang menjadi jururawat tau. Lihat sepupu-sepupu kamu semua tu! Doktor, lawyer, engineer, lecturer, semuanya professional. Paling tidak businessman, kamu tahu?”

Hish, inilah yang dinamakan sejarah berulang agaknya. Tak pun filem Ibu Mertuaku sedang ditayangkan semula dalam versi teater moden. Adriana tidak mampu membayangkan watak Ibu Mertuaku yang kejam itu dilakonkan semula oleh Mama. Tetapi ini memang bukan lakonan semula.

This is real!

“Ma, itu rezeki masing-masing. Cita-cita dan minat setiap orang kan tak sama Ma? I just wanted to be a nurse. You know I always wanted to be one. Even doctors could not work alone without nurse Ma, Pa…”

Papanya, Tuan Syed Al-Malik Faizal hanya duduk di hujung sofa. Membisu seribu bahasa. Seperti selalu enggan masuk campur dalam perang periuk belanga seperti itu. Itu yang amat mengecewakan Adriana.

Namun begitu Adriana tidak tega juga untuk menyalahkan Papa. Seperti juga Papa, mereka sudah masak benar dengan perangai Puan Syarifah Adirahana itu. Sudah lebih dua puluh lima tahun tidur sekatil, makan semeja bersama.

Biarpun pada namanya mereka bersuami-isteri, namun status yang termeteri itu hanya terletak di atas sehelai sijil nikah sahaja. Status yang tidak pernah memberikan sebarang hak kepadanya secara realiti.

Tidak pernah ada permuafakatan atau persepakatan antara mereka seperti yang sepatutnya bagi sepasang teman hidup. Kalau putih pada Syarifah Adirahana, putihlah segalanya. Tidak akan ada yang hitam walau setitik warna. Kalau pun dah nyata memang hitam, akan ada sahaja yang dinafikan oleh perempuan itu.

Logika isterinya susah untuk didebatkan. Biarpun dia ikut campur, belum tentu pendapatnya akan diiktiraf oleh si isteri. Pun Tuan Syed malas untuk bertekak suami isteri di hadapan anak-anak.

Biarlah dia dikatakan tidak mahu masuk campur daripada diherdik dan dilawan isteri. Dia masih punya baki ego sebagai seorang lelaki, suami dan bapa. Dia enggan anak-anak melihat bagaimana sikap Mama mereka terhadapnya.

Adriani juga hanya mematung. Tidak berani menyebelahi sesiapa, tidak Mamanya dan tidak juga Adriana. Tidak punya kekuatan itu untuk menyokong adik kembarnya. Biarpun hatinya memberontak untuk membela.

“Ma, nak jadi nurse pun bukan senang…”

Suaranya, Adriana perlahankan. Sedar Mamanya sedang menduduki tahap maksima kerusi keberangan. Yang panas bisa meletup jika bertemu dengan api. Mungkin sedikit pendekatan psikologi boleh melembutkan hati Mama.

“Kalau orang lain belajar, Dik Na pun kena belajar juga,” katanya sambil merenung lurus wajah Mama yang tegang.

“I have to struggle for two years plus with those very thick books, medical books. It won’t be that easy to be a nurse. A professional nurse Ma. I need to pass with flying colours all the examination papers to get my diploma. Ini tentang hidup mati orang, bukan boleh tangkap muat je belajar...” Wajah Mama yang kemerahan dia tenung dengan riak memohon pengertian.

“Nowadays, nursing is not the same. Please Ma, kalau orang lain ada typical mind on this profession Dik Na tak kisah. But you are my mother. My very educated mother,”dia telan liur bila riak wajah Mama masih tegang.

“How could you be the same?” tanyanya dalam nada bisikan yang kecewa.

“Adriana!” Mama memang tidak pernah mahu memanggilnya dengan lembut. Buat jantung semua orang mahu luruh saja dengan jerkahannya itu.

“Don’t you ever dare to say those words to my face!Apa kamu ingat Mama tak tahu semua tu?” herdik Syarifah Adirahana dengan mata yang membulat.

“Ma, tolonglah… Dik Na tak nak jadi doktor. Kak Ni nanti pun akan jadi doktor juga. Biarlah Dik Na nak jadi jururawat. Restuilah cita-cita Dik Na, Mama…” dia sudah mula menangis.

Bingkas dia bangkit dari duduk. Melangkah setapak dua lalu jatuh melutut di hujung kaki Mamanya. Berdoa dan mengharap permintaannya itu diperkenankan dan direstui.

Namun Syarifah Adirahana hanya berdiri dengan tangan bersilang di dada yang berombak keras. Turun naik dengan begitu laju, menahan geram dan marah pada Adriana. Anak kembarnya yang seorang ini memang jauh berbeza dari saudara kembarnya Adriani.

Sejak kecil lagi perbezaan itu sudah terlihat. Si kakak lebih lembut berbanding si adik yang lebih agresif. Adriani lebih mudah mendengar dan menurut kata. Namun seorang lagi yang bernama Adriana itu, sering sahaja mempertikaikan sesuatu perkara.

Namun perbezaan itulah yang menjadikan mereka kembar seiras yang paling memahami. Mereka saling memberi dan menerima. Sekeras-keras Adriana, dia tetap beralah dan berlembut dengan airmata si kakak kembarnya.

“Mama, tak ada salahnya menjadi jururawat Ma. Jururawat pun kerja halal juga , membantu dan merawat orang yang perlukan bantuan kan Ma…”

“Iye, membasuh sisa najis dan kekotoran orang…” sinis Pn. Syarifah Adirahana mencebik.

“Ma…”

“Sudah!” tempikan Syarifah Adirahana memancung usaha Adriana untuk terus menitikkan air ke hati Mamanya yang sekeras batu gunung itu.

“Dengar sini Adriana. Kalau kamu berkeras juga nak jadi jururawat, ikut kamu sajalah. Terpulang! Tapi ingat, apa-apa hal berlaku jangan cari Mama.”

Mata Syarifah Adirahana kemerahan memandang tajam wajah anaknya itu. Diketap bibirnya menahan amarah. Geram sungguh hatia dengan kedegilan anak yang seorang ini. Dari kecil, orang kata A dia kata B. Orang kata putih, dia kata hitam. Orang kata betul, dia kata salah.

Namun sebagai seorang ibu, Syarifah Adirahana tidak menafikan anaknya itu mewarisi sifatnya. Bersungguh apabila menginginkan sesuatu. Yang salah padanya tetap salah biarpun orang sekeliling mengatakannya betul.

Memang Adriana teguh pendiriannya. Keras bertempat, lembut bermasa. Sensitifnya kadang-kadang bagai terlindung dek kesungguhannya. Si kakak lebih cenderung bersikap seperti Papanya, Syed Al-Malik Faizal.

Sebagaimana sikap dan sifat suaminya itu, Syarifah Adirahana tahu Adriani lebih lembut hati, menurut apa yang ditetapkan tanpa sedikitpun ada rasa untuk memprotes atau membantah.

Namun jauh di sudut hati keibuannya itu, dia sedar kembar itu adalah anak-anaknya. Darah dagingnya. Yang dibawa ke sana ke mari di dalam rahimnya selama sembilan bulan sepuluh hari.

Biarpun pedih hatinya dengan kedegilan Adriana, namun diri sendiri turut terhiris luka dengan perkataan yang dilafazkan terhadap anaknya itu.


Malamnya, rajuk Adriani masih panjang kerana dimarahi Mama petang tadi. Hatinya masih pedih mengenangkan setiap patah kata dan bait ayat Mama. Airmatanya masih tidak sudi untuk berhenti dari mengalir di pipi. Suam yang menambahkan kehangatan dalam hatinya yang sedang panas itu.

“Tapi ingat, apa-apa hal jangan cari mama.”

Amaran Mama masih terngiang-ngiang di daun telinganya. Berulang kali bergema dalam pendengaran. Sampai hati Mama berkata seperti itu. Betapa tega Mama memutuskan untuk tidak lagi mahu membantu dan mengambil berat tentang dirinya lagi.

Hatinya membantah sendiri. Memang selama ini dia tidak pernah mengadu apa-apa kepada Mama. Sejak kecil, keperluannya hanya diuruskan oleh pembantu rumah. Makan, minum, pakai hatta perkara menandatangani kad laporan kemajuan sekolah pun dilakukan oleh pembantu rumah.

Dulu, semasa abang sulungnya masih ada dapatlah juga dia menumpang kasih dan manja. Mengadu segala macam hal, itu dan ini. Namun apabila abangnya menyambung pengajian di luar negara, dia kembali berdikari. Si Bibik itulah yang menenaminya dari kecil hingga dewasa.

Rasanya Bibik sudah bersama mereka hampir seusia dirinya. Bibik hanya pulang ke Sumatera dua tahun sekali. Usia Bibik sekarang rasanya sudah menjangkau empat puluh tahun. Mungkin lebih.

Biarpun Mama seorang wanita yang terlalu cerewet namun Bibik masih mampu bertahan bekerja dengan keluarga mereka. Bibik merupakan pembantu rumah Mama yang ketujuh dan kekal hingga ke hari ini. Syukur.

Bintang-bintang yang bertaburan di dada langit malam dipandang tembus oleh Adriana. Teringat kepada Yoo Jin dalam cerita Korea, Winter Sonata. Cerita kegemarannya itu sewaktu dia kecil dulu. Sudah tidak terkira banyak kalinya dia mengulang tonton VCD cerita itu.

Dan bintang Polaris… hanya menambah rindunya pada Navin.

“Dik Na…”

Segera dia berpaling. Wajah Papanya mengisi ruang penglihatan. Tuan Syed Al-Malik Faizal naik ke atas buaian lalu duduk di besi buai berhadapan dengan anaknya itu.

“Pa…” suara Adriana tenggelam dalam sebak. Wajahnya menunduk.

Tuan Syed Al-Malik Faizal mengerti akan kesuraman yang memendungi hati anak gadisnya itu. "Papa faham...”

“Papa faham?” hati Adriana berbunga. Seolah ada putik-putik harapan yang bakal berbunga.

Papanya tunduk dan berkata. “Tapi Mama kan tak setuju…”

“Papa tolonglah pujuk Mama. Please Pa…”

Geleng kepala walau tanpa relanya.Keluhan Syed Al-Malik Faizal kedengaran panjang dan berat. Dengan reaksi begitu sahaja sudah cukup untuk buat Adriana mengerti. Tidak perlu dijelaskan dengan baris-baris perkataan. Dia sudah amat mengerti dan memahami. Tiada harapan lagi untuknya meraih restu Mama terhadap cita-cita dan minatnya itu.

Persoalan demi persoalan bermain di benak. Apakah dia harus melupakan sahaja hasratnya itu? Melupakan saja minatnya untuk menjadi seorang jururawat? Lalu menuruti sahaja jalan yang telah dibentangkan oleh kedua orang tuanya itu Jalan yang ditunjukkan oleh Mama.

“Mama hanya nak yang terbaik untuk kamu.”

Adriana menelan airmatanya mendengar pembelaan Papa. Bukan dia tidak tahu selama ini hanya Mama yang membuat keputusan di dalam keluarga. Menentukan dari A sehingga ke Z. Papa selalunya hanya menurut. Macam Kak Ni juga.

Bukan dia tidak tahu bahawa mematuhi kata ibubapa adalah wajib bagi setiap anak. Bak kata Kak Ni, menderhaka kepada dua orang tua itu berdosa. Jatuh dalam kategori dosa-dosa besar.

Tetapi apakah dia berdosa dan menjadi anak yang derhaka kiranya dia hanya mempertahan dan memperjuangkan hasrat dan cita-citanya untuk menjadi seorang jururawat? Bukannya dia bercita-cita hendak menjadi kepala Komander Israel pun!

“Mama dan Papa sayang pada kamu semua...” perlahan sahaja bicara Papa.

Bunyi tarikan nafas Papa menambah keharuan di hati Adriana. Betapa beratnya sebuah rasa yang Papa pendam selama ini.

“Papa cuma minta Dik Na fikirkan semula. Kalau boleh Papa tak mahu keluarga kita ni berpecah belah lagi. Bergaduh sini sana lagi. Cukuplah apa yang dah terjadi. Kita hanya ada sesama kita, keluarga kita pun bukannya besar mana.”

Nada suara Papa begitu menyebakkan dada. Demi Tuhan, dia tidak pernahterniat untuk melukakan hati Mama dan Papa dengan ketegasannya itu.

Selama inipun dia memang selalu harus memilih jalannya sendiri. Sejak kecil dia telah pun membuat setiap pilihannya sendiri. Mama dan Papa terlalu sibuk untuk sama-sama membantu serta berkongsi pendapat mahupun pilihan dalam hidupnya dulu.

Tetapi kenapa pula kini, setelah dia terbiasa membuat keputusan untuk diri sendiri, Mama harus turut campur tangan untuk memutuskan jalan yang harus dia lalui?

Bukan dia mahu menafikan hak Mama sebagai ibu kandung ke atas dirinya. Namun dia juga tidak mampu menghindar rasa terkilan dengan sikap keras ibu kandungnya itu. Mama langsung tidak memberi peluang untuk dia membuktikan keupayaannya.

Tetapi apa lagi yang harus dan mampu dia lakukan saat itu? Hanyalah sekadar sebuah anggukan sebagai jawapan kepada bicara Papa itu. Meskipun dia sendiri meragui keikhlasannya, namun cukuplah jika ia mampu melegakan hati orang tua itu.

Walaupun Papa tidak pernah berdiri atas kakinya sebagai khalifah di dalam keluarga, Adriana masih tetap memperuntukkan rasa hormat itu buat Papa. Tidak pernah ada pengurangan sedikitpun di dalam peruntukannya itu. Papa adalah orang kedua yang wajib dia hormati, tiga kali selepas Mama. Sungguh dia tahu itu.

Bintang yang bersinar begitu tinggi itu terus direnung sayu dan pilu biarpun Papanya sudah lama masuk ke dalam perut banglo yang tersergam itu. Hatinya yang di dalam berkira-kira. Apakah nanti dia akan memperolehi kebahagian dan kejayaan dalam bidang yang diceburinya itu biarpun tanpa restu daripada kedua orang tuanya?

Apakah Allah akan merestui hasrat di hatinya itu? Bukankah redha dan restu Allah itu bergantung kepada redha dan restu orang tua? Kalau Mamanya sudah marah, apakah mungkin Allah juga akan murka dengannya?

Airmatanya menitis di sebuah persimpangan perasaan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

PAGEVIEWS