“What?!”
Aduhai!
Berdesing setiap dedaun telinga yang mendengarnya. Bergema perkataan itu melantun dari dinding ke dinding. Dari siling ke lantai. Dari pintu ke tingkap. Dari satu pasu ke satu pasu bunga yang lain. Kelopak-kelopak bunga yang sedang mekar di laman cepat-cepat menguncupkan diri.
Kalaulah cat yang mewarnai segenap dinding itu bisa mencair dek tempikan itu, pasti sudah penuh lantai rumah itu dengan cat berwarna hijau muda pucuk pisang. Itu belum lagi dengan cat di sekeliling dinding luar banglo.Heh, mahu pengsan si Bibik yang sudah separuh abad usianya itu membersihkan sekitar kediaman mewah itu.
“Jangan nak buat gila Syarifah Adriana Fidzriah!” tempik Syarifah Adirahana.
Serentak si ibu anggun itu berdiri mencekak pinggangnya yang masih ramping walau diri sudah dipanjat usia tinggi. Kulit mukanya jelas berbara dek rasa terkejut yang bukan kepalang. Suaranya bergetar. Entah berapa kali suhunya naik kebelakangan ini hanya disebabkan oleh anak kembar bongsunya itu. Silap haribulan mahu cecah tahap maksima nantii darah tingginya.
Dulu dia ambil juga kursus kejururawatan walaupun surat tawaran dari universiti U.S. sudah ada dalam genggaman. Kemudian tidak pernah-pernah bil telefon bimbitnya mencecah satu ribu, kebelakangan ini sudah makin galak pula. Apa yang dibuat dek Adriana? Takkan buat business kapal kot? Ini mesti ada yang tidak kena dengan anak kembar bongsunya itu! Itulah yang meresahkan Syarifah Adirahana.
Dan kini? Sudah pandai bercinta pulak! Kalau bukan dia suruh setiausahanya di pejabat menyelidik nombor yang selalu Adriana dail, pasti dia tidak tahu rahsia besar yang disembunyikan oleh anak-anaknya itu. Kakak dan adik sama sahaja! Berkomplot di belakang ibubapa.
“Budak India? Kerja kilang?”
Syarifah Adirahana menyebut perkataan-perkataan itu dengan rasa tidak percaya. Dipekupkan tangan ke dahinya yang membahang itu. Kalau diukur suhunya pasti ada yang mencair atau rentung.
Mama sedang mengalami perubahan suhu mendadak nampaknya. Demam panas. Terperanjat dengan satu lagi perbuatan si anak yang bernama Sharifah Adriana Fidzriah itu.
Kak Ni ketap bibir dengan getar. Kasihan pada adik kembarnya itu. Dan kasihan juga melihat Mama yang tidak pernah usai dengan masalah anak-anaknya. Sudahlah sekali dulu Mama lalui saat-saat begini kerana abang Feysal.Dan sekarang Dik Na pulak. Aduhlah... apa nak jadi dengan keluarga aku ni, desah hati Adriani.
“Kamu ni dah hilang akal ke apa? Apa dah tak laku sangat ke kamu ni? Atau dah gatal sangat nak menikah!? Entah kutu mana yang kamu jumpa, terus nak buat suami? Atau kamu ni dah bunting?” bertubi-tubi kata soal yang memedihkan hati Adriana itu keluar dari mulut Mamanya.
“Ma…” pintas Adriana. Tahu benar akan pelbagai teori bersifat tohmah dan tahyul semata-mata yang terlintas di minda Mamanya itu.
“Kamu ni betul-betul dah melampau Adriana. Ada-ada saja masalah yang kamu bawa! Kamu sedar ke tidak dia tu bukan orang Islam!? Apa yang dah merasuk fikiran kamu ni!?”
Pandai pula Mama bercakap tentang Islam. Kalau tidak diikutkan hukum kurang ajar ke atas dirinya, mahu sahaja dia tanyakan pada Mamanya masih Islamkah dia.
“Mama, apa salahnya? Kahwin dengan mualaf bukan dilarangpun kan dalam Islam...?”
Konflik saat dia memberitahu Mama tentang cita-citanya hendak menjadi seorang jurururawat dulu berulang lagi. Kali ini dia dan Mama harus pula memperdebatkan tentang hasrat Adriana untuk merealisasikan hubungannya dengan Navin.
“Sekurang-kurangnya Dik Na dapat juga membantu seorang insan memeluk agama kita ni Ma. Navin dah setuju nak convert Ma.”
“Eh, boleh tak berhenti angan-angan nak jadi rescuer, hero-heroin ni hah!?” Mama pantas membidas. Terjegil matanya memandang wajah Adriana yang polos tetapi degil itu.
“Ini bukan cerita kartun Wonderpet atau cerita Tamil awak tau!” jerkah Mama.
“Tu yang budak India tu, convert semata-mata nak kahwin dengan kamu?” Mama terjegil terus. Bisa tersembul kalau lama-lama begitu.
“Eh, Adriana! Kamu ni kenapa cetek akal sangat? Kamu ingat nak tambah umat ni Islam macam nak tambah downline dalam MLM ke? Senang sangat mulut tu bercakap!”
Bibir Adriana terherot sedikit. Mama ni, dalam diskusi kehidupan yang serius macam ni pun boleh juga dikaitkan dengan business,getus hatinya. Namun segera pula getusan hatinya itu terpanting ke sana-sini bila Mama bertempik lagi. Kali ini Mama sudah hampir di hadapannya. Uh, terbit gerun pula Adriana lihat Mama begitu.
“Adriana! Kamu dengar tak apa Mama cakap ni? Ni, kepala ni...” Mama menujah-nujah geram kepalanya. Sampai tertolak-tolak kepala Adriana ke belakang, ke kiri dan ke kanan sesekali.
“Mana perginya akal fikiran kamu ni hah? Ni mata ni!” Mama kuis-kuis biji mata Adriana.
“Dah buta ye? Dah tak nampak apa yang baik, apa yang tidak? Kamu ni dah kena guna-guna kuil budak gelap tu ke apa?”.
“Mama…?”
Adriana cuba memprotes. Tidak suka dengan penghinaan Mama yang begitu kejam dirasakannya. Takut nanti lama-lama Mama terbuat fitnah pula. Hah, hukum fitnah bukankah...? Adriana pejam mata. Ngeri.
“Apa nak jadi dengan kamu ni hah, Adriana? Macam mana kamu boleh terjebak dalam perkara macam ni? Kamu ni ada otak ke tidak!?”
Syarifah Adirahana mundar-mandir di ruang tamu. Laju sekali. Boleh diibaratkan seperti Monorail yang sedang bergerak di landasan. Selaju fikirannya yang sesak dek karenah si anak gadis.
“Ya Allah, apa nak jadi dengan rumah ni? ” kedua-dua belah tangannya meraup muka. Kemudian jemarinya yang dia kepal dihantukkan ke dahinya berulang kali. Kesal benar nampaknya Mama.
“Feysal dulu pun sama. Tak mahu nak mendengar kata mak bapak. Kahwin juga dengan perempuan entah dari mana asal-usul tu. Sekarang ni kamu pulak nak mengikut jejak langkah abang kamu tu ke?” jerkah Syarifah Adirahana.
Kata-kata Mamanya buat Adriana sengih dalam hati. Mama panggil Syed Arman Feysal abangnya? Maknanya abang masih anak Mamalah juga. Maknanya lagi selama ini Mama tidak pernah pun membuang abang. Cuma luahan sakit hati seorang ibu sahaja gayanya.
“Abang Syed, tengoklah ni! Tengok apa dah jadi dengan anak awak yang seorang ni,” laung Syarifah Adirahana pada suaminya yang seperti biasa membisu seribu bahasa.
“Bila saya marah sikit, bila saya strict, awak kritik saya. Awak kata nanti anak memberontaklah, itulah, inilah. Sekarang ni nak jadi apa ni abang Syed? Nak jadi apa? Mana nak letak muka kita ni?” tangan Syarifah Adirahana terkapai-kapai mengikut rentak suaranya.
“Saya malu abang Syed. Hal Feysal pun orang masih kata lagi sampai ke hari ni. Ni nak tambah lagi satu masalah? Ya Allah, abang Syed… nanti orang kata kita tak pandai didik anak…! Malu saya!”
Adriana toleh memandang Adriani yang duduk di atas anak tangga ketiga dari lantai. Kakak kembarnya itu hanya membisu. Membisu seperti selalu bila Mama mereka naik hantu. Bibik pun sama, menyorok di balik langsir jingga di pintu tengah, antara dapur dan ruang makan. Mesti sedang menangis melihat dirinya dimarahi begitu oleh Mama. Bibik kan sayangkan dia.
“Adriani!” bergegar seluruh ruang dengan tempikan itu.
Terkejut bukan kepalang Adriani bila Mama meneriakkan namanya dengan volum paling maksimum. Rasa-rasa hendak luruh jantung dari tangkainya. Tempikan itu menggegarkan gegendangnya, gegendang Adriana, Papanya dan juga Bibik.
“Ya-ya Ma…” sahutnya sambil menghampiri dengan takut-takut.
“Selama ni kamu tak tahu ke Adriana main gila, bercinta dengan lelaki India tu? Macam mana boleh jadi macam ni Adriani!?”
Aduh, Adriani terasa tekaknya panas. Dadanya dup dap dup dap. Dia kerling wajah Adriana dengan ekor mata. Adik kembarnya itu hanya duduk dengan wajah yang menunduk di sofa. Sedang menyembunyikan sedu sedannya sendiri.
“Kenapa kamu tak pernah nak beritahu dengan Mama, hah!?” tengking Mama sambil mencekak pinggang memandang Adriani yang tunduk hampir 180 darjah itu. Lemah tengkuknya.
“Yang kamu ni pun satu. Adik seorang pun tak boleh nak tolong tengok-tengokkan? Takkanlah kamu tak boleh fikir baik buruk benda macam ni?” sergah Mama dengan suaranya yang berdentum
“Mama tak percaya Dik Na tak bagitau awak pasal hal ni! Sampai bila awak nak sembunyikan dari Mama? Sampai bila awak nak bela adik awak tu? Kalau dia buat benda baik, tak apa... ini dah melibatkan maruah dan agama Adriani!?”
Turun naik ombak dada Mama menahan nafasnya. Marah betul Mama nampaknya sampai muka Kak Ni dah pucat lesi. Bibir Kak Ni nampak menggigil berhadapan dengan Mama yang bengis mencekak pinggangnya begitu.
“Kenapa senyap? Dah sampai jadi tahap ni pun kamu nak buat senyap je?” Mama meletuskan kata-katanya yang berapi di depan muka Adriani pula.
Sekarang Adriani tahu dirinya akan lebih dipersalahkan oleh Mama. Bukankah sejak abang disingkir, Mama memundakkan semua tanggungjawab sebagai seorang kakak dan abang ke atas dirinya?
Tetapi bagaimana harus dia beritahu Mama kalau tanggungjawab ini terlalu besar buat dirinya? Adriani sudah tidak termampu lagi untuk terus menanggung beban dan tanggungjawab ini. Berat benar. Sedang hati dan perasaannya sendiri pun masih berperang.
Buat beberapa detik lidahnya kelu. Adriani cari kekuatan dalam wajah kembarnya itu. Hatinya terhiris juga saat Adriana diherdik dan ditengking sedemikian rupa. Cubit paha kiri, paha kanan bukankah akan turut terasa? Dia tidak tega menyalahkan Adriana semata-mata. Kasihan Dik Na.
Mungkin inilah yang seharusnya terjadi untuk memberitahu Papa dan Mama bahawa mereka sedang membesar dan hidup dalam kegersangan kasih. Ketandusan perhatian dan sayang.
Atau mungkin ini yang terbaik untuk memberitahu Papa, terutamanya Mama bahawa harta melimpah ruah yang ditimbunkan ke atas hati mereka tiga beradik itu tidak pernah memberatkan jiwa mereka untuk mencari kasih sayang yang luhur.
Biarpun kasih sayang itu datang dalam pelbagai bentuk dan cara. Dari acuan hidup yang berbeza. Jauh berbeza dari acuan Mama dan Papa. Dan mereka terpaksa mengharungi kesukaran untuk menggenggam kasih sayang yang luhur itu.
Abang Feysal sudah membina hidupnya sendiri. Jauh daripada belenggu Mama. Jauh dari kebisuan Papa. Kasihan abang, terpaksa memilih untuk menjadi anak yang disingkirkan semata-mata ingin membina kehidupan yang lebih bermakna.
Dan sekarang? Dik Na juga sedang menuju ke destinasi yang sama. Sama seperti abang Feysal, Dik Na juga sedang mencari kehidupan yang luhur dan kasih yang suci. Tetapi jalan yang terbentang di depan Adriana akan menjadi lebih berduri dari jejak abang.
Kini Mama punya sejuta alasan untuk tidak menerima Navin dalam keluarga mereka. Bukan sekadar jurang kedudukan dan harta. Ini tentang kesucian sebuah agama yang mereka anuti.
Tetapi Islam tidak mengharamkan perkahwinan campur. Asal sahaja mereka memeluk dan menganut agama ini dengan hati yang tulus ikhlas. Adriana bukan sahaja mencari cinta dan kehidupan. Tetapi juga berdakwah, menyebarkan Islam yang syumul ini.
Cuma masalahnya, dia sendiri kurang yakin dengan pilihan adik kembarnya itu. Bukan dia tidak fikir. Mama juga pasti tidak tahu bagaimana susah hatinya memikirkan hari ini yang bakal terjadi.
Tetapi apa yang mampu dia lakukan? Hati Adriana itu sudah sempurna bulat. Sudah tekad. Orang kalau dilamun cinta, begitulah adanya. Hitam nampak putih, bulat dilihat lonjong. Semuanya baik belaka. Cinta itu memang buta! Warna pun sudah tidak membawa beda.
Kalau benar pilihan Adriana ini yang terbaik dan kekal sempurna hingga ke akhirnya, Adriani adalah manusia pertama yang paling gembira. Bukan sekadar gembira kerana kembarnya yang juga sudah seperti separuh dirinya sendiri itu bahagia.
Tetapi kerana Adriana akan mewakili hasratnya untuk memberitahu Mama bahawa mereka perlu memilih jalan hidup yang lebih sempurna. Dia mahu Mama tahu gaya hidup yang sedang Mama jalani ini dan yang sedang Mama bentukkan ke atas mereka tidak mungkin memberikan hasil yang terbaik.
Sudah dia berikan seluruh keakurannya sebagai anak kepada Mama. Kalaulah boleh dia minta balasan untuk itu, Adriani akan minta Mama restukan sahaja hasrat Adriana yang satu ini.
Biarlah dia berkorban. Dia sudahpun memilih untuk membahagiakan mama berbanding pilihan dan kebahagiaan hatinya sendiri. Ya, biarlah dia yang memainkan peranan untuk sebuah perdamaian kerana Adriana tidak mungkin boleh jadi lembut seperti dirinya. Adriana seorang yang tegas dalam keputusannya.
Mahu saja Adriani beritahu Mama, betapa mereka tidak perlukan limpahan harta. Mereka tidak pernah memandang status yang Mama tawarkan dalam perhubungan dan perkahwinan rekaan Mama. Mereka mahu beritahu Mama bahawa semua ini di tangan Tuhan. Qada’ dan qadar yang telah tersurat.
“Syarifah Adriani Fidzriah!?”
Aduhai, Mama sudah bertempik lagi. Kali ini memanggil penuh namanya. Adriani kecut perut. Tadi bukan main lagi dia bermonolog dalam diri. Mahu protes Mama. Tetapi betul jugalah kata Dik Na, dia hanya lambang sebuah keakuran yang tiada asas. Dia memang seorang yang lembik seperti puding Adriana yang tidak jadi dulu!
“Adriani!?”
Nak cakap apa ni? Ya Allah apa yang harus aku lakukan? Adriani cuba mengerah akal dan minda. Kalau dia bercakap sejujurnya, pasti mati Adriana dikerjakan Mama.
Mungkin dengan dia-dia sekali kena ganyang dek Mama nanti. Haruskah aku berbohong? Kalau tidak, tentu Mama akan bunuh aku, hatinya berbisik. Gentar. Langsung tidak berani mengangkat wajahnya menentang pandangan Mama yang menyinga itu.
Dikerlingnya sekali lagi wajah Adriana. Mengharap sedikit reaksi dari adik kembarnya itu. Haruskah dia mempertahankan dirinya sendiri atau membantu kembarnya itu?
Perasaan bersalah mahu tidak mahu menyelinap juga ke dalam sekujur tubuhnya. Hakikatnya memang dia yang menjadi titi perkenalan Adriana dan Navin dulu. Dialah yang telah memulakan segala kemelut itu. Sibuk-sibuk sangat melayan chatter yang menggunakan nama samaran ccHantu itu.
Kerana dia, Adriana dan Navin berkenalan. Kemudian mereka berdua saling jatuh hati. Kemudian… sekarang… semua masalah ini, dia yang menjadi puncanya.
Aduh, kenapalah aku harus melalui semua ini? Apa yang harus aku buat sekarang? Adriani berkira-kira di dalam hati. Serba salah menjadi sempadan. Dilema memilih di antara adik dan ibu.
“Eh, kamu dengar takapa yang Mama tanya ni? Sejak bila jadi tak tahu nak bercakap?” sergah Mama separuh menjerit.
“Err... kkk… Kkak..”
“Yang tergagap-gagap ni apahal?!” tengking Syarifah Adirahana.
“Kak Ni tak tahu Ma,” Adriani pejam mata.
Aduh, sejak bila aku pandai berbohong dengan Mama ni? Ya Allah ampunilah aku. Dik Na, tolong…!
“Takkan tak tahu? Mustahil! Mama tak percaya! Kamu jangan berbohong Adriani! Mama tak pernah ajar anak-anak bercakap bohong tau!” herdik Mama.
Terus pemandangannya menjadi kelam dengan tiba-tiba. Ulas bibirnya seraya terasa dingin membeku. Seperti tidak berdarah. Sekujur tubuhnya seraya menggeletar. Adriana pegang dahi. Dunianya terasa berputar-putar.
Mama... panggilnya.
Papa...
Abang.... Dik Na....
Maaf.... ampun....
Syarifah Adriani Fidzriah rebah. Lagi.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.