Wednesday, March 23, 2011

YOU'RE MEANT FOR ME (i)

BAB SATU


Wajahnya yang basah dek peluh, dia lap dengan tuala biru yang tadi dia letak di atas palang besi. Dia melepas nafas saat terduduk di atas simen padang futsal. Kakinya dia lunjurkan dengan kedua-dua tapak tangan menupang di belakang.

Gelagat kawan-kawannya yang masih ligat mengejar dan merebut bola di tengah padang dia perhati sahaja. Peluh yang masih berjejeran di wajah sesekali dia seka lagi. Man Blonde dan Ipin nampaknya sedang berebut bola. Dia gelak sahaja bila mendengar mereka menjerit, mengarah itu dan ini sesama sendiri.

“Nash! Cepatlah!” laung Man Blonde sambil melambainya.

Dia hanya sengih. Geleng kepala. Botol mineral yang terbaring di tepi beg dia capai. Airnya hanya tinggal suku botol sahaja. Cukuplah. Dengan lafaz bismillah dalam hatinya mulutnya terus menggogok air. Terasa nyaman di kerongkongnya yang kering.

“Weh, mainlah!” Man Blond sudah membongkok di depannya. Termengah-mengah.

Dalam usia yang makin menghampiri gerbang empat puluhan ini, kesemua mereka nampak cepat pancit. Tidak lagi seperti waktu remaja dulu ketika di Victoria Institution. Dia pun yang dulunya memang kaki bola, hanya boleh bertahan dalam dua game. Sekarang dia surrender sementara melepaskan lelah.

“Nash!” panggil Man Blonde lagi yang perutnya agak barai itu.

Dia gelak lagi. Tangannya dilambaikan tanda belum mahu menyambung permainan kerana mulutnya masih menghabiskan sisa-sisa air mineral yang ada.

“Mainlah dulu. Aku rehat kejap,” ujarnya saat melempar botol mineral yang sudah kosong itu ke dalam mulut tong sampah yang terbuka lima enam kaki dari tempat dia duduk.

Tepat masuk ke dalamnya. Memamng dia tidak pernah miss. Bukankah dia pemain rugby dan soccer yang tidak pernah menghampakan team mereka dulu. Selalu menugguli kejuaraan.

“Alah, tak rugged lah macam ni,” Man Blonde pula melabuh punggung di sebelahnya. Memangku lutut lalu dipeluk dengan kedua tangan juga.

“Dah tua-tua ni nak rugged apa nye?”

Man Blonde tergelak.

“Eh Nash… jangan macam tu. Sapa kata kita dah tua?”

Nazrul Amin turut gelak dengan soalan temannya itu. Namun dia tidak menjawab. Matanya terus dibuang ke tengah gelanggang. Melihat gelagat Ipin cuba tackle bola dari kaki Mursyid.

“Kita baru nak masuk angka tiga lapan. Sweet lagi tu. Lagipun apa nak risau. Bukan orang putih kata, life begins at fourty ke? Hah, ada dua tahun lagi to start our real life kan?”

“Banyaklah kau!”

Nafas mengahnya sudah hampir tenang. T-Shirtnya yang melekit di badan dek peluh itu dia tanggalkan lalu di letak ke tepi. Tuala tadi dia lapkan pula ke seluruh badannya yang kurus itu. Beg kecil yang tadi terdampar di tepi dinding dia capai. Lalu sehelai T-Shirt pagoda yang putih bersih dia keluarkan seraya disarung ke tubuhnya.

“Eh, takkan nak balik kot?” soal Man Blonde tatkala melihat Nazrul seperti mengemaskan barang-barangnya.

“Relakslah dulu. Kita pekena teh tarik lepas ni ke?”

Nazrul mengeluarkan telefon bimbit dari kocek track bottom. Dia tekan butang untuk menyalakan screen telefon bimbit yang sudah hitam.

“Lewat sangat lah,” dalihnya. Pun memang hari sudah terlalu lewat. Sudah hampir 12 tengah malam.

“Aik, takkan dah rindu kat bini kot?” Ipin menghampiri dengan ketawa.

Wajah Ipin yang bulat kemerahan itu dia pandang sahaja. Ipin duduk mencangkung di depannya dan Man Blonde. Dihukurkan tangannya untuk meminta botol minuman di tangan Man Blonde.

“Dah tu, kalau aku tak rindu kat bini aku, nak rindu kat sapa pulak? Kang aku rindu kat bini kau, hah mahu ada yang kena penggal,” Nazrul membalas selamba.

Mereka terkekeh lagi. Biasalah. Gurau-gurau lelaki. Tak membawa ke mana pun. Lagi pula mereka bukan baru sehari dua berkawan. Sejak umur tiga belas tahun lagi. Sejak dari asrama yayasan sampai ke Victoria Institution. Pun sampai ke ITM dulu.

Pendek kata mereka sudah seperti isi dengan kuku. Usik-usik bahasa mereka sudah lali benar.
“Aku chow dulu lah,” dia sudah mula bingkas.

“Lusa, badminton nak?” saran Ipin sambil turut bangun.

Nazrul tepuk punggungnya dari habuk simen lantai. Beg di lantai dia capai lalu di galas ke belakang bahu. Sambil meraup rambutnya, dia berfikir. Lusa, hari Khamis. Cuba berfikir-fikir aktiviti yang seharusnya dia tangani di rumah.

“Tengoklah dulu. Aku confirm nanti.” Itu sahaja balasannya untuk menyenangkan hati kawan-kawannya itu.

“Alah, jadilah. Tak bestlah kalau kau tak ada,” Man Blonde tepuk bahunya perlahan.

Nazrul sengih saja. Langkahnya diatur pergi.





Garaj rumahnya masih kosong. Dia toleh memandang jam di dashboard kereta. Sudah 1.15 pagi. Belum balik lagi nampaknya perempuan itu. Nazrul hanya mengeluh lalu memarkir kereta di tepi pohon mangga puteri di luar pagar rumah teres dua tingkatnya itu.

Lampu-lampu rumahnya sudah gelap. Pasti Mega sudah tidur dengan budak-budak. Enjin kereta masih belum dia matikan. Belakangnya dia sandarkan ke kusyen pemandu dahulu. Hatinya sedikit ralat. Pagi tadi dia sudah tinggalkan nota di atas meja solek Efa. Dia sudah tinggalkan pesan kepada Efa. Dia mahu Efa ada di rumah seleewat-lewatnya jam lapan malam.

Tetapi seperti selalu, kata-katanya tidak pernah membawa sebarang erti pun kepada Efa. Seperti mana dirinya yang tidak pernah mendapat tempat sewajarnya sebagai khalifah di dalam rumah itu. Nazrul mendengus berat.

Dia matikan enjin kereta Toyota merah itu lalu keluar dari perutnya. Pohon mangga puteri yang setingginya berdiri itu sedang berbuah lebat. Nampaknya baja yang diberikan oleh Shidah sebulan lepas benar-benar mujarab.

Dia perhati satu persatu balutan buah mangga itu. Takut-takut ada yang sudah tertanggal. Matanya terpandang dua tiga biji buah mangga puteri yang sebesar tapak tangan Fifi itu terdampar di atas tanah.

Nazrul mencangkung lalu mengutipnya. Pasti angkara sepakan bola anak-anak jiran lagi. Bukan dia tidak mahu menegur. Namun malas untuk mengyinggung perasaan orang lain. Sepatutnya sebagai warga taman perumahan itu, masing-masing harus peka terhadap sensitivity kejiranan.

Takkanlah tega dibiarkan sahaja anak-anak bermain, menyepak bola sampai pecah pasu bungan jiran. Sampai buah-buah mangganya yang baru hendak masak itu tergolek di tanah. Pun si Lani, isteri jiran di depan rumahnya yang memang terkenal dengan mulut lepas itu pun sudah pernah bersuara.

Habis pasu-pasunya sumbing. Paling teruk minggu lepas, badan Perdana yang dia parkir di luar pagar rumah kemek gara-gara ditebas raket badminton anak jiran. Kalau ibu bapa budak-budak itu sendiri yang masih tidak mahu ambil pusing, apa lagi yang dia harus buat. Dia bukan jenis orang yang suka menyinggung hati kawan-kawan mahupun jiran.

Nazrul berdiri lalu menyalakan rokok. Bersinar cahaya api di mulut rokok dalam kegelapan malam yang hanya bersuluh bulan, bintang dan lampu jalan yang tinggi. Suasana sudah sunyi benar. Pasti jiran-jirannya semua sedang lena diulit mimpi. Pun besok hari Rabu. Hari bekerja. Hari sekolah. Masing-masing harus bangun awal.

Dan dia? Dia masih berdiri di luar rumah. Memandang rumahnya yang dua tingkat itu dengan hati yang sayu. Memikirkan kehidupannya yang tidak pernah indah seperti kehidupan lelaki lain.

Saban malam beginilah dia. Kalau tidak bermain futsal, dia akan ke gelanggang badminton dengan bosnya. Tetapi malam Khamis dan Jumaat biasanya dia akan ikut kelas al-quran dan fardhu ain di masjid.

Hujung minggu pula, kalau bosan sudah melebihi tahap melampau dia akan turun ke kolam. Mengubat hati dengan bicara ikan-ikan jenahak, siakal dan bawal yang selalu jinak di mata kailnya.

Keluhannya terlepas saat rokok nan sebatang itu sudah hampir sampai di penghujungnya. Berat benar hatinya untuk masuk ke dalam. Pasti Fifi dan Nana sudah lena dalam dakapan Mega. Terbit keharuan dan penyesalan dalam hatinya mengenangkan zuriatnya yang dua orang itu. Kasihan Fifi dan Nana. Hidup tidak seperti anak-anak orang lain yang bahagia dalam dakapan ibu dan ayah mereka.

Fifi, anak perempuannya yang sulung itu akan mencecah usia lima tahun dua tiga bulan lagi. Nana pula sudah genap usianya tiga tahun bulan April lepas. Kedua-dua anaknya itu kini lebih banyak dia lepaskan kepada Mega. Pembantu rumah berbangsa Indonesia yang sudah hampir dua tiga tahun bekerja dengan mereka.

Efa tidak pernah menghiraukan mereka. Kalau sekadar dirinya sebagai suami yang tidak dihiraukan, mungkin dia boleh bertoleransi. Memang dia sentiasa memaafkan. Kalau tidak masakan sudah enam tahun lebih mereka berumah tangga.

Nazrul bukan lelaki kejam yang sewenangnya menjatuhkan hukuman. Bukan suami yang cerewet dan minta perhatian yang macam-macam. Tetapi perlakuan Efa sudah melebihi tahap sabarnya.

Efa langsung tidak pernah berminat untuk menjadi isteri dan ibu yang mithali. Kalau hendak dikatakan itu memang gaya hidup wanita berkarier, Nazrul seolah tidak mampu menerimanya. Rasanya semua isteri-isteri di taman perumahan mereka itu pun wanita berkarier. Bukan calang-calang karier.

Guru, pensyarah, pengurus, malah tauke butik pun ada, Tetapi tidaklah sampai jadi seperti Efa yang tidak pernah nampak batang hidungnya di rumah. Yang tidak kenal siang dan malam. Yang sudah tidak tahu hukum dan hakam.

Tidakkah Efa sedar Fifi dan Nana masih kecil. Di usia beginilah mereka harus dididik dan dibentuk agar terpelihara sahsiah yang murni. Kalau sekadar makan pakai mereka Mega yang uruskan, mungkin dia masih boleh lelapkan mata.

Tetapi kalau setiap masa Efa tidak pernah ada waktu yang terluang untuk dirinya dan anak-anak, bagaimana dia harus kuat untuk bersabar. Sekarang ini pun, keluarganya sudah mula bersuara. Emak juga sudah mula bersuara. Itu yang Nazrin tidak boleh tahan.

Efa harus dia betulkan. Efa harus dia sedarkan. Letak duduk Efa adalah sebagai seorang ibu. Seorang isteri. Tempat Efa seharusnya lebih banyak di rumah. Di sisinya. Di samping anak-anak.

Keluhannya dilepas berat.






No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

PAGEVIEWS