Wednesday, November 23, 2011

Selamat Tinggal Kekasih Gelapku (16)

Penyata-penyata bil Maxis tercampak ke atas meja kaca di tengah-tengah ruang tamu. Ke depan batang hidungnya yang mancung. Namun sedikit tersasar ke hujung meja. Hampir sahaja jatuh ke atas permaidani yang terhampar.

Tangan kurus Adriana perlahan-lahan mengambil bil-bil itu yang sudah terdampar itu. Cuba dibacanya angka-angka di kotak ‘amount due’. RM834.50, RM907.80, 955.32… eh, menggeletar juga jemarinya. Bentuk graf yang meningkat.

Tidak sanggup melihat bil-bil yang seterusnya kerana dia sudah dapat mengagak angkanya. Dalam beraninya, Adriana masih akan ketar jika berbuat kesalahan. Dan Adriana akui, dia memang bersalah dalam hal ini.
Benarlah kata pepatah, berani kerana benar, takut kerana salah…

“Awak cuba bagi Mama lima alasan kenapa bil telefon Adriana ni banyak macam ni?” Syarifah Adirahana tidak memandang Adriana. Sebaliknya dia memerangkap Adriani. Anaknya yang seorang ini mudah dilentur.

Hah! Lima? Berkerut dahi Adriani yang sudah mula merenik peluh halus itu saat mendengar guruh di dalam suara Mama. Banyak tu... bolehkah dia menjawabnya?

“Kak Ni… Kak Ni...” tergagap-gagap Adriani bila disoal seperti itu. Wajahnya sahaja sudah memutih. Pucat disergah Mama.

“Kak Ni apa?!” herdik Mama.

“Kak Ni tak tahu?” Syarifah Adirahana meledak bagai gunung berapi yang meletuskan larva sulung.

“Macam mana Kak Ni boleh tak tahu? Atau Kak Ni pura-pura tak tahu?” gertak Syarifah Adirahana dengan suara sedikit keras.

Adriani tertunduk memandang hujung jemari kakinya yang juga sudah dijangkiti putih pucat dek ketakutan. Adriana perasan akan keadaan itu. Terbit pula rasa kasihan di dalam hatinya melihat Adriani. Memang kakaknya itu terlalu tunduk dan takut dengan Mama mereka.

Dulu Abang pun begitu. Tetapi akhirnya dalam diam-diam, berani juga kahwin dengan gadis pilihan hatinya. Nekad dengan pilihannya itu biarpun Mama bertempik laksana guruh di musim tengkujuh.

Abang sulungnya itu, Syed Arman Feysal rela dan redha dibuang dari keluarga dan keturunan Syed Syarifah sekaliannya. Sanggup bersusah di atas dua belah kakinya sendiri. Tidak terkilan biarpun Mama dengan serta-merta menggugurkan namanya dari wasiat pengagihan hartanya yang melaut, menggunung dan berkepuk itu. Marah betul Mama!

Abang teguh dengan pendiriannya. Sekalipun, Siti Sarah bukan pilihan Mama. Biarpun Siti Sarah adalah pilihannya yang tidak direstui oleh keluarga Syed Syarifahnya, abang tetap nekad dengan kepercayaan dan keyakinan yang kental di dalam jiwanya.

Hanya dia yang hadir di majlis pernikahan serba sederhana abang sulungnya itu dulu. Kak Ni tidak ikut walaupun Adriana tahu Kak Ni menangis dalam hati. Dia takut dan bimbang untuk mengikut Adriana ke majlis Abang Feysal.

Kalau Mama tahu habislah… katanya dulu. Tapi Adriana tidak peduli. Hatinya sama keras atau kurang sedikit kerasnya berbanding hati abangnya, Syed Arman Feysal.


“Sampai hati Mama dan Papa tak mahu datang. Adriani pun…” luah Feysal perlahan usai majlis pernikahan malam itu di rumah keluarga kak Siti Sarah.

Hati Adriana sayu. Namun dia tidak mahu menunjukkan kesayuan itu kepada Abang. Lantas dia mempamer wajah cerianya sambil mereka alasan bagi pihak kembarnya.

“Kak Ni nak ikut tapi Mama dan Papa ada di rumah. Dia tak dapat cari alasan. Dik Na memang dari hostel, tak kisahlah kalau Mama bagi ke tak..”

Feysal cuma mengangguk lesu. Nafasnya ditarik panjang. Pandangan matanya menembusi dinding rumah. Mungkin merenung masa depan yang bakal dilaluinya mulai detik itu.

Setelah bergelar suami, kini abang akan memikul tanggungjawab yang lebih berat. Tidak lagi sekadar menjadi khalifah kepada dirinya sendiri. Tetapi juga menjadi khalifah kepada isteri tercinta serta bakal keluarga yang akan dibinanya.

Abang harus berdikari kerana tidak akan ada satu sen pun bantuan yang akan dihulurkan oleh Mama dan Papa lagi. Itulah natijahnya jika ingkar dengan kehendak dan kemahuan Syarifah Adirahana.

“Sekarang abang dah tak ada sesiapa. Abang sekarang hidup sebatang kara…” luah Feysal perlahan. Sayu.
“Abang kan dah ada Kak Sarah sekarang, Dik Na pun kan ada?” nadanya ceria sekadar menggembirakan hati abangnya itu.

Kakak iparnya, Siti Sarah yang setia di sisi abangnya itu kelihatan manis dan jelita bertudung serta berbaju kurung warna peach. Sedondon dengan suaminya. Dalam hatinya, Adriana berkata-kata sendiri.

Apalah salahnya dengan Kak Siti Sarah ini? Orangnya malah cantik juga. Pada pandangan mata hati Adriana, Kak Siti Sarah lebih cantik dari Syarifah Alis Aneesa, anak Mak cik Syarifah Amnah, yang menjadi pilihan hati Mama untuk abang dulu.

Namun dia tahu rupa paras bukanlah ukuran sebenar yang membuatkan hati abang terpaut pada wanita itu. Pastinya ada lebih banyak perkara yang baik lagi indah pada Kak Siti Sarah yang telah mencuri hati abangnya itu.

Lagipun orang kata kecantikan itu adalah isu yang subjektif. The beauty is in the eyes of the beholder kan? Suka hati dialah...

Pun rasanya kalau that beauty is in the eyes of abangnya itu, dia setuju jugalah. Samalah juga dengan ‘the beauty in her eyes’ juga. Adriana renung Siti Sarah. Riak wajah kakak iparnya itu lebih tenang dan lembut. Selembut tutur dan tingkahnya.

Hendak dikatakan tidak punya kelulusan, Kak Siti Sarah ada PhD dalam Business Admin. Kalau hendak dipersoalkan kerjayanya, Kak Siti Sarah merupakan seorang pensyarah di UiTM. Di kampus induk di Shah Alam. Sama seperti abang Feysal juga. Eloklah dari kerjayanya sebagai jururawat yang selalu Mama pandang rendah sangat-sangat itu.

Hendak dipersoalkan asal usulnya?Keluarga Kak Siti Sarah tidak dinafikan memang orang-orang yang berperibadi semuanya. Seharusnya Mama dan Papa yang merasa segan kalau peribadi mereka yang dijadikan ukuran.

Kita hidup di muka bumi Tuhan ini seharusnya sentiasa bersikap hamba. Merendah diri. Tapi baginya Mama sudah menjadi manusia yang taksub dengan duniawi. Dan Papa... Papa masih belum punya kekuatan seorang khalifah untuk membimbing keluarga mereka.

Adriana jadi malu tiba-tiba. Siapalah Mama dan Papa mereka kalau dibandingkan dengan orang tua kak Siti Sarah itu. Ayahnya merupakan Imam di kawasan tempat tinggalnya. Seorang yang berilmu agama dan selayaknya dihormati.

Ibunya pula seorang bekas guru agama. Kini ibu mertua abang itu mengajar tajwid dan taranum kepada budak-budak dan orang dewasa di kawasan itu. Ibu bapanya orang baik-baik. Kak Siti Sarah juga merupakan anak perempuan tunggal. Yang bongsu. Satu-satu saudara lelakinya, adalah Koordinator Pelajar yang kini sedang berada di UAE.

Jadi, Adriana tidak mampu untuk mencari dan mencerna apa lagi salah atau kurangnya Kak Siti Sarah untuk menjadi menantu keluarga mereka di mata Mama? Mungkin salahnya, Kak Siti Sarah adalah Siti Sarah. Bukannya Syarifah Siti Sarah.

Yang paling Adriana kesali adalah sikap berkecuali Papa yang tidak pernah berubah. Papa pun tidak pernah mahu bersuara dalam hal ini. Malah semuanya Papa serahkan pada keputusan Mama.

Papa diam sahaja saat Mama membuang anak sulungnya itu. Namun masih juga Adriana tahu Papa menangis dalam hati lelakinya. Kasihan Papa...

“Apa dah jadi dengan kamu ni, Adriana?!”

Hush semangat! Adriana urut dada. Serta-merta wajah Abang Fesal, Kak Siti Sarah dan majlis nikah terpelanting keluar dari ruang matanya.

Tempikan lantang Mama bergemuruh dalam dada Adriana. Wajah Mamanya juga sudah berona kemerahan. Tetapi semakin Mama panas, semakin pula Adriana terbakar.

Adriana sudah tidak gentar lagi. Cuma dia tidak rasa hendak melayan Mamanya tika itu. Tanpa kata, dia hanya melangkah pantas menaiki anak-anak tangga menuju ke biliknya.

Jeritan Mamanya semakin hilang dari pendengaran. Pun memang dia tidak mahu ambil peduli. Apa nak jadi, jadilah. Mama marahpun, takkan sampai tergamak menyakitinya? Membunuhnya.

Aku kan anak dia? Lagipun takkanlah Mama sanggup nak bunuh anak dia ni? Mama pasti takut dengan penjara...

Ah Mama... mana bisa hidup susah rasanya.



“Itulah Dik Na...”

Mulut Adriana sudah mula muncung saat mendengar ulang kata-kata itu.

“Kan Kak Ni dah pesan banyak kali jangan bergayut lama-lama sangat. Tengok tu bil telefon dah melambung, tengok pulak macam mana Mama melenting tadi,” leter kembarnya itu sewaktu mereka berbaring di atas katil masing-masing.

“Tak nak percaya tau cakap orang...”

Mata Kak Ni masih merah. Bekas menangis tadi. Sedu dari esakannya pun masih kedengaran sekali sekala. Adriana muncung. Leteran Mama tadi masih berbekas di cupingnya.

Adriana buat pekak sahaja. Bukan dia tidak mahu dengar. Tetapi dia sudah bosan mendengarnya. Tidak perlu lagi Kak Ni ulang. Setiap patah perkataan yang terbit dari mulut Mamanya yang laksana bertih digoreng itu memang sudah sebati melekat dalam ruang kokleanya.

”Itupun nasib baik mama belum tahu pasal si Navin tu... kalau tidak tak tahulah apa nak jadi dengan dunia ni... tolonglah Dik Na...”

Muncung lagi. Malas hendak dia layan ratapan dan rintihan kembarnya itu. Kak Ni pun sama macam Mama juga, tidak pernah mahu faham akan hati dan perasaannya!

“Lagipun apa bendalah yang awak bualkan dengan si Navin tu sampai berjam-jam? Tak ingat ke awak tu nak bekerja ke nak rehat ke nak buat apa-apa benda lain ke?”

Masih juga Adriana senyapkan dirinya. Langsung tidak ada hati hendak bertikam lidah dengan Kak Ni. Penat menelan butir-butir leteran Mamanya tadi pun masih belum reda. Takkanlah hendak tambah lagi sebakul bebelan Kak Ni pula? Aduh, antara siksaan-siksaan dunia yang buat dia sengsara.

Kadang-kadang Adriana rasa kembarnya sedikit sebanyak mewarisi mulut becok Mamanya. Eloklah tu, esok-esok di hari tuanya ada juga orang yang boleh jadi ‘Mama’ kepadanya bila Mama sudah tidak ada lagi.
Ish! Adriana? Apa pula sampai ke situ fikirnya... getus hatinya sendiri.

“Dik Na! Dengar tak apa Kak Ni kata ni?” Adriani menggoncang bahunya. Tapi Adriana tetap mahu membatukan diri.

“Dengar…” lambat kemudian dia membalas juga. Sepatah. Lalu menarik selimut menutupi tubuhnya hingga separas dada.

Adriana toleh ke penghawa dingin. “Sejuknya, Kak Ni pasang suhu berapa ni?” dia mengomel.

Adriani geleng kepala lalu melangkah mendapatkan remote penghawa dingin yang dilekatkan ke dinding. Dia mengurangkan suhu penghawa dingin itu. Rasa hairan terbit di hatinya.

Tidak pernah-pernah pula manusia itu mengadu sejuk. Biasanya suhu takat beku kutubpun dia masih boleh berpeluh-peluh. Waktu tengah dinasihatkan itu pulalah datang angin sejuknya.

Sengajalah tu, macamlah kita ni tak faham dengan perangai dia… Adriani mengomel di dalam hati.

“Lagi satu yang Kak Ni hairan. Asyik awak je yang telefon dia, si Navin tu tak ada handphone ke?”

“Ada…” jawabnya. Sepatah juga.

“Dah tu, kenapa dia tak nak pakai handphone dia untuk telefon awak?”

“Dia guna prepaid. Kesianlah kat dia kalau nak suruh dia yang telefon selalu…”

Adriana baring mengiring di atas katil. Sengaja. Supaya dia dapat membelakangi kembarnya yang masih berminat untuk berleter itu. Kalau boleh dia tidak mahu memandang muka Kak Ni. Takut kak Ni korek semua rahsianya. Tak macholah kalau Kak Ni tahu semua rahsianya itu.

“Tahu kasihan kat orang lain? Habis, kat keluarga sendiri tak kesian?” tempelak Adriani.

Navin bukan orang lainlah... protes Adriana dalam hati. Kan dia akan jadi adik ipar Kak Ni. Akan jadi menantu Mama dan Papa? Akan juga menjadi sebahagian daripada keluarga ini.

“Kak Ni pun sama macam Mama, kedekut…”

“Eh, bukan kedekut tau… berjimat. Tahu ke tidak yang membazir tu pekerjaan syaitan?”

“Membazir apa pulaknya?” protes Adriana sambil mengerling wajah Adriani dengan hujung matanya.

“Dik Na cuma call Navin, borak-borak. Kak Ni tau tak kerja Dik Na ni penat sangat, sakit tau otak ni. Bila dapat berbual dengan dia hilanglah sikit sengsara Dik Na ni…”

“Macam tak ada orang lain yang awak boleh berbual dalam dunia ni. Macamlah awak tu tak ada keluarga?” tukas Adriani.

Tergelak kecil dalam selimut. Sinis bunyinya, “Keluarga?”

“Siapa?” soalnya lagi.

Lalu Adriana bingkas bangun. Pandang muka Kak Ni sedikit waktu. Hatinya sudah mula terbakar. Sikit lagi kalau Kak Ni masih mahu meneruskan provokasi ini, pasti hatinya akan rentung. Tengoklah kalau tak percaya...

“Cuba Kak Ni bagi tau kat Dik Na sikit. Manusia mana dalam rumah ni yang ada masa nak entertain Dik Na ni?”

Kembarnya itu seraya terdiam mendengar semburannya.

“Mama?” Adriana dekatkan wajahnya ke wajah Adriani yang terkedu.“Papa?” dia tarik kembali wajahnya lalu duduk tegak.

“Heh, lebih baik diorang duduk dengan Tun Tan Sri, Datuk Nenek, Toh Moh Meh ntah apa-apa, Tuan Syed Syarifah diorang tu. Ada gak faedahnya kan…” Adriana terus mengomel.

“Bibik?” lehernya dia panjangkan seolah Bibik ada di ambang pintu bilik mereka.

“Daripada dia melayan Dik Na, baiklah dia masak ke, mengemas ke, membasuh ke, menyiram pokok bunga ke. Petik buah limau kasturi kat belakang tu ke buat sambal belacan. Kalau tak nanti dikatakan dia makan gaji buta pulak,” kata Adriana panjang dan sinis.

“Kak Ni?” Dia tenung muka kakak kembarnya dalam-dalam. Kembang-kempis hidungnya menahan geram dengan sikap lurus bendul perempuan yang serupa wajah dengannya itu.

“Lagilah… Kak Ni lebih suka tengok buku-buku Kak Ni tu daripada tengok muka Dik Na ni hah. Pun nak tengok buat apa, ye tak? Sebijik macam rupa Kak Ni juga. Tak ada maknanya…” Dia dengar Adriani tertawa perlahan.

“Orang cakap betul-betul, dia ketawa…” Adriana kerling tajam.

Terpaksa Adriani hentikan tawa, “Tak adalah, Dik Na ni kalau bercakap macam M16.”

“Sekarang orang dah tak pakai M16 lah Kak Ni. Ada banyak lagi senjata canggih dalam dunia ni. Senjata yang tak berupa senjata pun dah banyak. Tak ada M16-M16 lagi dah tau!” wajah Adriani dia kerling.

“Itulah, baca jelah buku-buku perubatan awak tu. Sampai apa jadi kat dunia pun tak tau…” kata Adriana dengan geram.

“Dah, melalut pula dia. Kak Ni nak pesan ni, awak tu perempuan. Janganlah asyik awak je yang memberi. Esok kalau dia dah terbiasa menerima je, payah…”

Adriani menghela nafas. Demi Tuhan dia tidak berniat untuk menghalang perhubungan adiknya dengan pemuda India yang bernama Navin itu. Cuma perasaannya menjadi tidak enak tiap kali memikirkan bahana jika Mama dapat menghidu percintaan dua dunia itu.

“Dia kan lelaki… kalau nak seribu daya. Kalau dia rindu kat Dik Na, biarlah dia yang telefon. Masa ni lah pun nak tengok keikhlasan hati orang lelaki. Jangan sebab dia tahu Dik Na ni anak orang berada, dia nak ambil kesempatan pula…”

Adriana tarik selimut, kali ini terus melepasi hujung kepalanya. Enggan mendengar Kak Ni berceloteh yang bukan-bukan tentang kekasih hatinya itu. Bukanlah dia hendak mendabik dada. Tetapi sehingga saat itu dia lebih tahu hati budi Navin.

Lagipun bukan salah Kak Ni kalau prejudisnya itu mengambil sedikit ruang. Kak Ni pun belum lagi mengenali Navin sepenuhnya. Oleh itu apa sahaja dakwaan dan prasangka Kak Ni terhadap Navin adalah tidak relevan sama sekali.

Apapun, Adriana masih rasional. Tidak ada gunanya dia bertegang urat semata-mata untuk mempertahankan perkara yang dia sendiri tahu tidak akan memberi apa-apa makna kepada ahli keluarganya itu.

Pucuk pangkalnya setiap ahli keluarganya itu pastinya tidak akan rela dan tidak pernah akan mengizinkan perhubungannya dengan Navin. Adriana tahu sangat patah-patah kata yang akan diungkapkan oleh Mamanya.

Tidak. Titik. Fullstop! No! Never! Jangan harap!

Matanya sudah separuh terpejam. Dia tidak sabar menanti suria esok. Dia berdoa agar mentari bersinar dan memutar hari dengan cepat. Tidak sabar untuk ketemu lagi kekasih hati yang dirindui.

Selamat Tinggal Kekasih Gelapku (15)

Navin memberhentikan Wiranya di bahu jalan. Di bawah pohon ceri liar yang tinggi. Rerantingnya yang berdaun hijau merendang begitu pemurah meredup dan meneduhi pinggir jalan. Pun buah-buah ceri yang kecil itu sudah ada yang meranum. Teringat Adriana yang memang pantang jumpa pokok ceri liar. Habis dikutipnya buah ceri kecil yang sudah kuning atau merah itu lalu dimakannya.

Enjin keretanya tidak dia matikan. Sengaja dia biarkan terus hidup. Hanya radio yang bernyanyi sejak tadi dia perlahankan segera. Jam di dashboard dia kerling sekilas. 7.29pm. Dia tahu sebentar lagi azan pasti akan berkumandang.

Cermin kereta dia turunkan sedikit. Mahu mendengar laungan seruan azan itu sejelas-jelasnya. Sambil menunggu, matanya tidak lepas memerhati ke arah masjid yang begitu indah tersergam itu. Jemaah yang lengkap berpakaian baju melayu dan bertelekung putih kelihatan bergegas melangkah masuk ke dalam masjid. Begitu indah dan damainya panorama itu pada pandangan seorang Navin.

Akhirnya azan maghrib yang dia tunggu-tunggu itupun kedengaran seketika kemudian. Berkumandang lantang dan jelas di telinganya. Nafasnya dia hela dengan sepenuh rasa takjub dalam diri.

Begitulah dia kebelakangan ini. Setiap kali shift petangnya habis, seboleh mungkin dia akan cuba singgah di sini. Berhenti di tepi jalan masjid ini.Saban hari dia ingin mendengar kalimah azan itu. Hingga Navin sudah tahu makna setiap kalimahnya.

Buku-buku agama pemberian Adriana pun banyak membantunya mengenali Islam. Dia senyum tipis bila Adriana melayang ke dalam ingatannya.

Ah Adriana... beria-ia benar menyuruhnya mempelajari Islam. Tetapi gadis itu sendiri belum cukup Islam. Navin selalu sindir Adriana tentang hal itu. Tetapi jawapan Adriana buat dia berfikir.

“Kalau you rasa I ni belum cukup Islam dear... cepat-cepatlah you masuk Islam. Nanti sebagai suami, you yang kena bimbing I juga.”

Navin selalu berfikir peranannya nanti sebagai suami, dan perkara membimbing gadis itu. Bukan dia takut untuk memikul tanggungjawab itu. Adriana pun bukan sukar dilentur. Cuma nampak seperti dia harus sentiasa diperingatkan sahaja.

Bukan juga kerana memperkecilkan permintaan Adriana yang kelihatan sedikit janggal. Dia seorang yang tidak percaya pada setiap agama diminta untuk membimbing seorang Islam? Dirinya itu?

She must be out or her mind...

Di sebalik semua kebimbangan itu, sebagai seorang manusia Navin rasa dia belum pernah gentar memikul tanggungjawab. Pun sebagai seorang lelaki, dia memang harus memikul semua tanggungjawab di pundaknya. Kalaupun Adriana bukanlah perempuan yang hendak dia kahwini, tetap juga dia punya tanggungjawab untuk menjaga isteri dan keluarga. Biarpun nanti yang dia kahwini itu gadis China atau India atau orang putih sekalipun.

Cuma bezanya adakah insan yang akan dia kahwini itu membenarkan dia membuktikan keupayaannya untuk menjalankan tanggungjawab? Sedangkan Navin begitu sedar akan kedudukan dan limitasi dirinya.

Kadang-kadang Navin cuba bertanya dengan diri sendiri. Kenapa sukar benar semua ini menjadi pasti untuknya. Dia menyayangi gadis Islam itu. Kebanyakan detik dan saat dalam hidupnya, Navin memang pasti akan itu. Adriana seperti degupan jantungnya. Adriana seperti hembusan nafasnya.

Semangatnya membara setiap kali mendengar suara gadis itu. Kesakitannya menjadi tawar setiap kali melihat sinar dalam senyuman di wajah Adriana. Gelisah rasanya selalu hilang bila Adriana memujuk dan menasihatinya.

Tetapi bila setiap kemungkinan itu dia tekuni, Navin jadi takut dengan perasaan kasihnya itu terhadap Adriana. Bukan setakat memikirkan betapa dia dengan Adriana seperti pipit dan enggang. Jurang kedudukan dan harta, berlainan bangsa dan agama. Warna usah kata lagilah...

Penerimaan masyarakat? Penerimaan keluarga yang paling penting. Malah yang kritikal sekarang adalah penerimaan dirinya sendiri. Apakah dia sanggup menukar pendiriannya hanya kerana mencintai Adriana yang beragama Islam?

Berkahwin selalunya tidak semudah menjalani proses bercinta, walaupun pada dasarnya tidak mudah juga untuk melalui episod cinta itu sendiri. Perkahwinan itu sendiri nanti bukanlah seindah percintaan dan impian. Apatah lagi kalau perkahwinan itu perkahwinan campur.

Mix-marriage.

Selama ini dia cuba untuk mencari satu titik dalam hatinya. Selalu mencari titik itu. Fikirnya, kalau dia ketemu titik itu mungkin dia sudah mampu memberikan jawapan kepada persoalan yang sering berlegar dalam benaknya sendiri.

Rasa kepinginnya untuk bercerita kepada seseorang selalu melonjak dalam dada. Dia perlu untuk meluahkan apa yang terbuku di dalam dada ini. Dia perlu mendengar seseorang memberikan dia beberapa pilihan. Seseorang yang menunjukkan jalan untuk dia tuju dalam kemelut yang melingkari dirinya.

Dia mahu mencari seseorang yang bukan sekadar memahami tetapi juga jujur mengungkapkan kata. Navin tidak hanya mahu disuap dengan indahnya impian tanpa diyakinkan bahawa mencapai impian itu kadangkala boleh menjadi terlalu sukar. Kadang juga mustahil.

Semustahil menggapai bintang di dada malam?

Life is just not a bed of roses...



Adam selesai memberi salam terakhir dalam jemaah mengikut Imam. Suara lantang Imam yang mengalunkan puji-pujian terhadap Allah yang Maha Besar dia hayati dengan penuh dalam.

Astaghfirullah Rabbal Baroya, Astaghfirullah Minal Khatoya,
Rabbi zidni ‘ilman naa fi’a, Wawa fiqni ‘amalan maqbula,
Wawahabli rizqan waa si’a, Watub ‘alaiya taubatan nausuha,
Watub ‘alaiya taubatan nasuha

Betapa kesedaran itu menusuk tangkai hatinya. Dalam usia begini dia sudah dapat merasakan kematangan diri semakin meranum. Tidak lagi seperti zaman remaja bila darah muda menggelegak dalam jiwa. Nafsu dan nafsi membuak tidak mampu dibendung.

Adam membetulkan sila. Meraup wajah yang masih lembab dek wudhu’. Mulutnya kumat kamit menyebut zikir dan tahmid. Subhanallah, Walhamdulillah, Laillahaillallah, Allahuakbar!

Imam mula memanjatkan doa. Para jemaah mengangkat kedua belah tangan masing-masing. Dia tidak akan pernah mahu ketinggalan. Dalam mengaminkan doa yang dibacakan oleh Imam, dia turut memanjatkan doa untuk kedua ibubapanya. Ibubapa yang membesarkan dia dan ibubapa lain itu yang telah melahirkan dia tanpa pernah dia tahu siapa sejak kecilnya.

Alhamdulillah Ya Rahman Ya Rahim. Sekali lagi dia berkesempatan untuk bersama-sama dalam solat berjemaah Maghrib itu. Sebentar nanti ada majlis bacaan Yassin beramai-ramai. Itu yang diberitahu oleh seorang rakan makmumnya tadi sewaktu bersedia di dalam barisan jemaah.

Ya lah, malam ini kan malam Jumaat. Esok penghulu segala hari itu akan menjelang lagi seperti minggu-minggu yang sudah. Setiap waktunya hadir tanpa kegagalan. Dan tengah harinya nanti akan bergegas pula dia untuk menunaikan solat Jumaat. Kewajiban yang selalu dia tunggu-tunggu untuk ditunaikan.

Tentang majlis bacaan yassin itu pula, memang hatinya selalu kepingin untuk turut serta. Tetapi dia sudah dijadualkan untuk menjalankan satu pembedahan di hospital nanti. Pembedahan untuk mengeluarkan tumor otak seorang pesakit wanita yang berusia lewat tiga puluhan.

Pembedahan itu nanti memang sudah dirancang dari minggu lepas. Pesakitpun sudah berpuasa sepanjang petang tadi. Semoga Allah mengampuni ketidak-mampuannya itu. Tuntutan tugasnya seringkali membuat dia tidak berdaya untuk melakukan apa yang ingin dia laksanakan.

Selesai mengaminkan doa, dia bersalaman dengan beberapa orang jemaah. Kemudian dengan berat hati meninggalkan heningnya majlis bacaan Yassin yang baru hendak bermula itu.

Di atas anak tangga yang terakhir, dia duduk menyarungkan stoking dan kasut. Sambil itu matanya menyeluruhi kawasan perkarangan masjid yang dipenuhi kenderaan. Gelap malam yang semakin menjelang itu diterangi oleh lampu-lampu jalan yang tinggi.

Matanya kemudian terpandang sebuah kereta Proton Wira berwarna hitam. Kalau tidak silap ingatannya, telah dua tiga kali juga dia terpandang kereta itu. Setiap kali itu juga kereta itu terparkir di tepi jalan sana. Di hadapan masjid ini.

Atau apakah itu cuma perasaannya sahaja? Bukan ada satu sahaja Proton Wira berwarna hitam dalam Malaysia ni, fikir Adam lagi. Lalu cepat-cepat dia sudahkan menyarung kasut.

Adam melangkah perlahan ke arah keretanya. Kunci sudah siap dipegang. Namun anak matanya masih tidak lepas memerhatikan Wira hitam itu. Entah mengapa hatinya seperti merasakan sesuatu. Macam detektif penyiasatanlah pula, fikirnya.

Saat alarm button kereta dia tekan, Adam masih keberatan melepas pandang. Dia masih berdiri di sisi pintu keretanya. Jarak dirinya dengan Wira hitam itu tidaklah begitu jauh. Plat nombor kenderaan itu pun dia boleh nampak dari tempatnya berdiri.

Masih juga hatinya berbisik yakin, ia nombor plat yang sama pernah dia lihat sewaktu memandu keluar dari kawasan masjid setiap usai solat maghrib. Hatinya begitu terdorong untuk mengetahui. Pelik...

Dia tekan alarm sekali lagi untuk kembali mengunci kereta. Dalam hatinya ada rasa was-was. Tetapi langkahnya tanpa disuruh-suruh terus sahaja dipandu hati berjalan perlahan keluar dari kawasan masjid. Menuju ke arah Wira hitam itu.

Dari seberang jalan, jelas pada penglihatannya seorang pemandu sedang duduk termenung di dalam kereta itu. Termenung begitu jauh nampaknya, bisik hati Adam. Tekun berteleku.

Namun tatkala pemandu itu berkalih pandang, hati Adam berdetak. Pemandu yang berkulit gelap itu tersenyum memandangnya. Dan Adam juga menghulur senyum sebagai bahasa hormat.
Orang India... getus hatinya.

Dengan itu dia memusingkan langkahnya kembali ke dalam perkarangan masjid. Melangkah agak pantas berbanding tadi menghampiri keretanya. Orang India rupanya pemandu kereta itu. Mungkin rakan atau pemandu kepada salah seorang jemaah yang sedang mengikuti kuliah masjid agaknya, bisik hati Adam. Dia sudah masuk ke dalam perut keretanya. Dengan senyum yang masih tersungging di bibirnya dia menghidupkan enjin kereta.

Namun saat dia memandu keluar dari perkarangan masjid, matanya bertemu pandang dengan pemandu Wira hitam itu lagi. Entah mengapa hatinya masih berasa akan sesuatu. Ada detak dalam hatinya yang sukar dia tafsirkan.

Ya Allah, apakah yang sebenarnya berlaku dalam hatiku ini? Firasat apakah yang sedang Engkau tanamkan ke dalam hati hamba-Mu ini Ya Allah...

Kaki kanannya tenang menekan pedal minyak. Dan matanya masih memandang Wira hitam itu melalui cermin pandang belakangnya.

Selamat Tinggal Kekasih Gelapku (14)

“Firas!”

Terdengar namanya dilaungkan oleh seseorang. Cepat-cepat dia menghulurkan beberapa keping wang biru kertas kepada gadis di kaunter. Bayaran untuk sepinggan bihun goreng dengan segelas besar air nescafe panas.

Sambil itu dia menjengah pandang. Tertoleh-toleh, mencari si pemanggil. Pencariannya menyeluruhi segenap ruang kafe.

“Eh, Wan!” laungnya kembali ketika menyambut huluran wang baki dari casher.

“Tea time?” tapi dia kerut kening melihat hidangan di dalam tray yang dipegang oleh Firas.

“Not exactly… tak sempat lunch tadi. Ada emergency case. Sekarang perut dah tak boleh tahan beb. Lapar gila. Join me?” pelawanya kepada Irwan sambil mengunjukkan sebuah meja yang kosong.

Dr. Irwan mengekorinya dengan tawa pendek, “Aku baru je sudah. Ingat nak balik tadi, tapi nampak kau tengah bayar makanan.”

“Temankanlah aku makan kejap. Boringlah makan tak ada kawan,” pinta Firas lagi sambil meniup asap dari minumannya yang masih panas.

“Sebab tu aku suruh kau cari seorang girlfriend. Kalau female doctor kau tak boleh tolerate, nurse kat sini pun not bad apa… lawa-lawa. Pick one. Seorang je tau, kalau lebih aku takut tak tertanggung dek badan kau tu.”

Tawa Irwan terhambur bila melihat Firas spontan tersedak. Dia buang pandang ke sekeliling kafe. Seperti biasa penuh dengan keramaian. Kakitangan dan juga orang ramai yang datang ke hospital.

“Kau ingat anak ayam ke bunga melur kat gerai India tu yang boleh nak di pick one. Sedap mulut je engkau cakap heh?” Firas memprotes teman baiknya sejak dari universiti itu.

“Eh betullah. Kau ingat kau muda lagi ke? Aku, anak pun dah nak masuk empat orang. Ke engkau ni ada problem tu… tu…?” Irwan tersengih dengan sebelah kening terangkat-angkat. Menyakat.

“Amboi, mulut kau betul tak gosok gigi pagi tadi nih. Aku normallah,” tukas Firas sambil mengerling temannya itu. Kepalanya tergeleng sekali dua dengan senum tipis di bibir.

Seteguk air nescafe yang dihirup memanaskan tekaknya yang sejak tadi kesejukan dalam penghawa dingin hospital. Terasa segar sedikit tekak dan perutnya yang sejak tadi minta diisi.

“Serious?”

“Wan!?”

“Okay!” Irwan angkat tangan. Tanda meminta maaf. Tahu jenaka dan usikannya menyentuh sensitiviti mana-mana lelaki, hatta dirinya sekalipun.

“Oh ya, apa jadi dengan engkau punya plan semalam. Jadi? Dah declare?”

Masih lagi Irwan ingat bagaimana beria temannya itu berlatih gaya seperti hendak berbicara sesuatu yang serius di depan seseorang semalam. Pelik juga dia melihat lelaki itu. Tidak ada angin, tidak ada ribut tiba-tiba seketul logam besi jadi ranting bonsai.

Seingatnya sejak mengenali Firas di kampus perubatan dulu, hingga melanjutkan pengajian ke luar negara lelaki itu seorang yang anti perempuan. Sejauh yang mindanya boleh ingat, ini kali pertama Firas melakukan stunt pelik begini.

Berlatih membaca skrip ala-ala permohonan maaf. Tetapi kenapa dan siapa, Irwan tidak tahu pula. Rahsia, kata Firas. Firas cuma mahu dia mengadili skrip itu. Walhal dalam hatinya Irwan sudah gelak separuh mati.

Tetapi menyedari Firas tidak pernah mempercayai manusia lain seperti dirinya, dia jadi kasihan pula. Mahu tidak mahu dia terus tercongong di bilik Firas mendengar latihan skrip pelik itu.

Firas hanya menggeleng. Wajahnya merona. Mungkin segan bila isu itu dibincangkan. Bihun goreng yang belum diusik itu direnung sahaja. Seleranya terbantut pula. Cuma air nescafe di dalam gelasnya sudah luak satu pertiga diminum.

“So, menjadi tak?”

Heh, menjadi apanya… dengus Firas dalam hati.

Memang patutlah temannya itu bertanyapun. Semalam sebelum balik ke rumah bukan main beria dia berlatih di depan cermin di biliknya. Tidak sedar telatahnya sedang diperhatikan oleh Irwan.

Mahu tidak mahu dan untuk cover rasa malu, dia suruh Irwan duduk beberapa minit untuk jadi hakim. Menilai prestasinya membaca skrip. Tidak semena-mena dia harus berkongsi sedikit rahsia hatinya itu.

“Apasal?” Irwan bagai memahami kemelut yang sedang dialami oleh temannya itu.



Nama Firas memang sudah gah dalam dunia perubatan. Sejak dari zaman pengajian, Firas memang seorang pelajar genius yang sentiasa lulus setiap subjek dengan cemerlang.

Penglibatannya dalam kajian dan penyelidikan di dalam serta di luar negara begitu komited. Firas adalah seorang doktor muda yang berwibawa. Kerana kecemerlangan dan dedikasinya di dalam bidang ini telah melayakkan Firas ke tahap Registrar kini.

Tetapi di sebalik karismanya itu, Firas punya kepincangan dalam hidupnya. Rupanya sahaja yang tampan. Dengarnya sahaja diminati ramai wanita. Tetapi Irwan tahu lelaki itu masih terlalu sukar mencari seorang teman hidup. Lagi-lagi belum ada yang sesuai katanya.

Entah kriteria apa yang dicaripun Irwan tidak mampu untuk mengerti. Dipendekkan kata dan cerita, untuk tidak pening-pening kepala memikirkan faktor penyebab sikap dan sifat itu, Irwan selalu merujuk temannya itu bersikap terlalu memilih. Cerewet dalam mencari pasangan hidup.

Fussy!

Entah bagaimana spesifikasinya pun Irwan sukar menduga. Bukan tidak ada gadis yang tergila-gilakannya. Dari zaman belajar sehingga ke hari ini ada sahaja lamaran kasih untuk Firas.

Bukan hendak kata perigi cari timba.Tetapi pada zaman Nabi dahulupun Siti Khadijah yang melamar Rasulullah. Hai, gadis-gadis kini sudah mula ikut Sunnah. Tetapi ramai yang menyarung baju tidak cukup ela. Pakai baju terlupa seluar dan sebagainya.

“Kau tak berani ye?” duganya lagi bila Firas terus mendiamkan diri.

“Apalah kau ni Firas. Be gentleman lah. Eh, malulah jadi lelaki kalau tak ada keberanian. Kes kacang macam tu, takkan itupun kau tak berani? Aduhlah, kasihannya kawan aku sorang ni…” sinis bidasan Irwan meski dalam nada leluconnya.

“Kau ni pun Wan, pada-padalah. Condemn aku takat jerung pun boleh bunuh diri…”

Terhambur tawa Irwan dengan kata-kata Firas itu.

“Oklah, make it short and easy. Kau bagi tau je kat aku siapa perempuan tu, biar aku settledengan dia. Kalau kau nak, aku boleh tolong pinangkan terus. Amacam?”

Irwan membetulkan duduk saat serius menuturkan usul itu. Dia sendiri memang sudah tahap gembira gila melihat tanda-tanda perubahan sikap Firas. Kali ini kalau Firas sudah benar-benar ada hasrat untuk menamatkan zaman bujang dan anti-perempuannya, Irwan bersungguh niat mahu membantu.

“Kalau tak nak, aku pinang untuk diri aku sendiri je lah jawabnya…”

Malangnya usul Irwan hanya menyebabkan Firas tersedak kuat. Spontan. Suapan pertama bihun goreng ke dalam mulutnya itu hampir tersembur keluar bila sahaja mendengar kata-kata si teman.

Biar betul!

“Apasal?”

“Biar betul?!” Firas mencerun pandang sambil memegang halkum. Terasa pedih di hidung dan di tekak kerana tersedak gaya begitu.

“Kau tengok muka aku ni,” Irwan arahkan jari telunjuk ke pipinya.

“Ada macam orang tak betul?” Irwan jegilkan mata. Wajah kacak Firas yang berdarah kacukan Melayu dan China itu dia pandang sejenak dengan dahi berkerut.

“Selama ni semua calon kau kata tak sesuailah, tak serasilah. Gemuklah, tembamlah. Kering, bulat, petak, oblong siap semua kau komen. Otak udang siap dengan kaki ketam lagi,” bidas Irwan.

“Kalau dah tak suka pun janganlah kutuk tahap planet Musytari. Banyak sangat spesifikasi pulak. Datang Melayu kau nak mixed-blood. Datang yang mixed-blood kau nak Jawa pulak. Macam-macam lah kau…”

Mengah Irwan menyudahkan kritikannya. Biar Firas sedar diri sikit. Punyalah memilih, tahap anak raja pun boleh kalah. Kadang-kadang mahu sahaja dia tanya samada Firas itu gay atau tidak.

Tapi tidak tergamak pula dia. Geli urat tengkuknya bila menghubungkan Firas dengan perkataan gay. Apapun dia memang tidak perlu bertanya. Tidak ada satupun sikap Firas sejak dia kenal lelaki itu yang boleh menyamakannya dengan golongan gay.

Masya-Allah... Nauzubillah.

Irwan kemudian hanya menggelengkan kepala. Menghirup sedikit air minumannya. Pun bibirnya terus melebar sengih.

“Eh mestilah! Aku kan jejaka idaman Malaya. Alah, kau masa mencari dulu pun lebih kurang jugak kan. Kalau tak mana datangnya mem kat rumah kau tu? Complete satu pakej kan?” Firas membalas kutukan terhormat temannya itu.

Irwan hanya sengih. “Yelah, aku tahulah kau tu JIM. Tapi obvious lah! Kali ni kau punya preparation sikit punya dahsyat. This girl really superb kan?”

Bihun goreng dari suapan kedua ke dalam mulutnya terus ditelan. Kunyahannya hanya sekali dua lalu bihun itu terus ditolak memasuki saluran esofagus menuju ke perutnya yang kosong.

Terkelip-kelip matanya menentang pandangan serius Irwan. Betul ke apa yang Irwan cakap tu? Syariah Adriani Fidzriah gadis yang superb?

Dia rasa hendak ketuk kepalanya sendiri. Ini bukan soal superb atau apa perkara sekalipun. Apa yang dia lakukan itu hanyalah kerana keinginan dan naluri untuk mengorak langkah pertama. Menjernihkan semua kekeruhan perhubungan dalam profesion antara dia dan Adriana.

Konflik peribadi di antara mereka tidak seharusnya terbawa-bawa sehingga waktu kerja. Itu pasti akan menjejaskan mutu perkhidmatan mereka. Sudahlah profesion mereka ini berhubung rapat dengan nyawa manusia.

Kalau sudah doktor dan jururawat sibuk bertelagah, pesakit bukan sahaja boleh mati kerana penyakit. Tetapi dapat sakit jantung dan strok apabila melihat betapa tidak profesionalnya doktor dan jururawat mereka.

Pun biar betul Mamat sorang ni? Nak tolong aku? Isk, biar betul? Takkan aku harus beritahu Irwan siapa perempuan yang sedang aku tackle tu? Malu… malu… tak cukup benua nak menyorok nanti!

Dia buat muka sepuluh sen, “Hmm… nanti dululah Wan. Let me go slow dulu OK?”

“Nak go slow ke, tak sanggup nak buang ego kau yang dah nak berkarat tu?”

Firas tersedak. Keras. Terbatuk-batuk sambil memegang dada. Aduh! Irwan ni pun mulut memang tak ada remote control.

“Sudah-sudahlahtu Firas. Bawa-bawalah bertaubat sikit,” Irwan tergelak sendiri.

Masih juga Firas membatukan diri. Sedaknya sudah mereda. Cuma dadanya masih terasa sakit. Agaknya bihun yang tidak sempat dikunyahnya tadi itu sudah melompat masuk ke saluran esofagus dan bersepah di sana-sini.

If you go slow this time, I bet you’ll get nowhere.”

Sekali lagi Firas tersedak apabila dihentak Irwan dengan kata-kata itu. Mahu pitam dia asyik tersedak sahaja dikerjakan dek temannya itu. Belakangnya kemudian ditepuk kuat oleh Irwan sebelum beredar.

Menyesal pula dia meminta lelaki itu menemankan dia. Heh!

Selamat Tinggal Kekasih Gelapku (13)

Maka benarlah seperti apa yang telah abah perkatakan kepadanya tentang suatu perkara itu yang merimaskan dirinya selama ini. Perkara yang melemaskan sanubari dalam seluruh usianya ini. Betullah seperti apa yang dikatakan oleh abah. Selagi dia tidak berubah, dia akan terus hidup terhukum begini.

Ya, Firas tidak akan kenal erti kehidupan sebenar selagi dia tidak belajar untuk hidup dengan sekeping hati yang normal. Dengan hati yang redha. Bertawakal dan berserah. Ah, semua istilah sudah dia ajarkan ke dalam sekeping hati itu.

Tetapi masih belum membibitkan kelembutan. Masih juga dia berperang antara hati dan rasa. Antara yang patut dan tidak. Antara wajar dan bukan. Persoalan siapa yang bersalah dan berhak ke atas sebuah hukuman masih juga Firas cuba bangkitkan dalam hati dan dirinya.

Mengapa dia pula yang harus merasa terhukum? Yang berdosa itu bukan dirinya! Dia adalah mangsa. Orang yang menzalimi dirinya itulah seharusnya merasa terhukum dan dihukum.

Abah juga adalah seorang mangsa. Tetapi mengapa abah begitu mudah bersikap redha di atas segalanya yang telah berlaku itu? Seolah abah sudah penat untuk mengharungi peperangan perasaan ini. Berat keluhnya untuk mengakui bahawa dirinya juga sejujurnya begitu. Cuma rasa itu telah dia benamkan dalam-dalam dalam lubuk penafian.

Sekuat manapun Firas memberitahu diri bahawa dia hidup seadanya begitu. Bahagia seadanya begitu. Hanya berdua, dia dan abah. Lelaki-lelaki tabah yang mengharungi ranjau serba mencabar.

Kasihan abah. Bertahun bergelut dengan perasaan. Bukan sekadar perasaan tetapi juga keyakinan. Alhamdulillah, abah masih kekal dengan pegangan dan keyakinannya. Biarpun telah kehilangan cinta seorang wanita yang bergelar isteri, abah masih yakin pada cinta Allah. Maha Pencipta. Abadi.

Seketika rasa sayu menyayat kalbu. Syukur abah kuat. Kalau tidak hari ini dia mungkin bukan lelaki yang bernama Muhd Firas Adam Bin Hanafiah Tan. Entah apa akan terjadi dengan dirinya saat ini kalau tidak kerana ketabahan abah mengharungi detik-detik itu dulu.

Jiwanya sejenak rusuh. Cuba memberi ruang kepada sebuah pertimbangan yang dewasa. Penafian yang telah dilapikkan sebagai lantai hidupnya selama ini rupanya terlalu menyeksakan.

Dahulu, setiap kali dirinya menjadi tumpuan, Firas akan pamerkan segala kelebihannya. Dia tersenyum puas bila dirinya dikejar begitu ramai gadis yang terpesona dengan karismanya. Lalu bila setiap hati itu dia patahkan dengan begitu mudah, bangganya akan menduduki tahap tertinggi dalam diri lelakinya. Seolah dia telah membalas setiap perbuatan perempuan yang seorang itu.

Dan dalam setiap ketika, dia hujankan berulang-kali kata-kata benci terhadap perempuan itu. Sudah acap kali Firas tujahkan kata bahawa dia tidak perlu wanita untuk tegak berdiri dan berbahagia di dalam kehidupan. Dia sudah punya segala-galanya yang dia mahu dalam kehidupannya ini.

Tetapi masih juga dia digores oleh tajamnya sebuah perasaan. Tajamnya belati rindu. Setiap kali dia melukakan, akan ada sejalur perit yang mengiringi kebanggaannya. Setiap kali dia tersenyum puas setelah mematahkan hati-hati wanita itu, akan bergalurlah rasa rindu yang menyayat.

Mengapa walaupun setelah begitu banyak keping hati yang dia lukakan,masih tidak mampu membunuh kepedihan akibat dilukakan oleh wanita yang seorang itu? Masih belum mampu menghapuskan rasa rindu yang mendalam di hatinya untuk dibelai dan dikucup seorang wanita yang seharusnya dia panggil ibu itu?

Mengapa semua kepuasan yang dia peroleh dari melukakan hati-hati wanita lain itu tidak pernah memberikannya sebuah ketenangan yang hakiki? Semakin dia melukakan hati-hati itu, semakin pula hatinya menjadi tidak tenteram.

Semakin dia melukakan, semakin itu pula hatinya berdarah. Tidak pernah puas. Pun tidak pernah tenang. Sehingga kemuncaknya bila dia terlalu membenci seorang perempuan lagi di saat ini.

Ya, dia bencikan perempuan itu! Perempuan yang bernama Syarifah Adriana Fidzriah. Tidak tahu kenapa biarpun motifnya sudah terlalu jelas warnanya. Pun Firas tidak ingat akan kewajaran yang memberi izin untuk hatinya membenci ciptaan Allah yang lain.

Apakah mungkin kerana wajahnya? Rasanya tidak. Apakah kerana kelebihan dan kebolehannya? Pun Firas rasa tidak. Firas tidak pernah ada sifat cemburi, dengki mahupun iri. Tetapi mengapa dengan gadis yang seorang itu hatinya jadi begitu panas?

Mengapa dalam hatinya yang ada cuma rasa marah, benci dan sebagainya yang Firas sendiri tidak mampu tafsir. Apatah lagi untuk dia luahkan. Atau mungkinkah kerana nama keluarganya yang telah menjadi pencetus kepada amarah dan rasa benci Firas?

Syarifah. Biarpun dia ingat-ingat lupa akan rupa ibunya dulu tetapi namanya masih kekal dalam ingatan. Kerana nama itu yang selalu dia nampak pada sijil kelahirannya. Yang selalu dia tuliskan dengan tangan berat pada borang-borang yang pernah dia isi.

Di sebalik kebenciannya yang meluap terhadap Adriana, Firas sedar dia tidak menjadi dirinya yang sebenar di hadapan gadis itu. Di hadapan Adriana, perasaannya berperang. Antara lelaki sejati dan lelaki pendendam.
Adriana umpama lambang penentangan seorang perempuan terhadap kuasa lelakinya. Di dalam diri gadis itu, dia melihat kelopak egonya luruh satu demi satu. Firas telah menjadi seorang lelaki yang sering gagal di hadapan mata Adriana.Semua yang dia lakukan serba tidak kena. Entah mengapa?

Namun setelah apa yang diperkatakan oleh abah sedikit sebanyak telah membuat mata hatinya seperti terbuka luas. Mahu tidak mahu, minda sedarnya mahu dia akur pada sebuah rasa. Ya, dia mempunyai suatu rasa pada gadis itu. Walaupun dia belum pasti adakah ianya pesona mata atau panahan hati. Atau sebuah sumpahan?!

Abah kata manusia tidak boleh hidup seorang diri selamanya. Manusia memerlukan teman. Seperti sirahnya Adam yang memerlukan Hawa. Dihukum Tuhan pun mereka redha. Dan terus bersama hingga ke generasinya kini. Generasi manusia.

Apakah mungkin segala sesak dan lemas di dalam dada ini akan menghurai bila dia akur pada ketentuan itu? Firas masih keliru. Dia belum sampai kepada sebuah jawapan penentuan yang pasti.

Dan hujan itu masih berirama. Memberi suatu alunan melodi yang mengiringi sebuah pertimbangan seorang insan.


Dua tiga hari lamanya dia menganalis kata-kata abah. Dia bandingkan kata-kata abah yang banyak mengandungi maksud tersirat dengan segala teori berkenaan dirinya sendiri.

Abah tahu pembawaan dan sikapnya. Abah betul-betul prihatin biarpun tidak pernah meluahkan dengan kata atau tindakan selama ini. Abah takut anaknya ini hidup dengan sekeping hati yang beku. Jiwa pendendam. Betulah tu… dan hakikatnya dia sendiri tidak pernah sanggup untuk berterusan menjadi manusia begitu. Tanpa sedar hatinya meronta untuk hidup seperti manusia biasa. Lelaki yang normal.

Malam tadi pun hujan turun. Sama seperti malam kelmarin ketika abah datang ke biliknya membawa dua mug kopi-o panas. Malam di mana abah secara halus menegur peribadinya. Secara simbolik menyedarkan dia bahawa hidup ini tidak ada makna tanpa kasih. Tanpa sayang. Tanpa cinta. Dan tanpa teman. Semua itu membuatkan dia teringatkan hanya kepada seorang gadis itu. Adriana.

Mengapa pula mesti gadis itu yang hadir di kotak minda? Sudah acap kali Firas mengajukan soalan itu kepada dirinya sendiri. Mengapa tidak ada nama lain? Mengapa tiada wajah yang lain?

Namun pada setiap kali dia memerah hati dan rasa, Firas sedar bahawa memang tidak pernah ada nama dan wajah lain dalam hidupnya melainkan yang satu itu. Yang ada cuma ada satu nama. Satu wajah. Yang sebenarnya memang sudah sempurna melantai dan melangit hidupnya. Yang telah wujud dalam setiap detik nafas dan degupan jantungnya.

Sejak pertama kali dia memulakan tugas di pusat perubatan itu. Pertama kali membaca tag nama gadis itu. Pertama kali menerima laporan pesakit dari gadis itu. Semuanya pertama kali buat Firas. Pertama kali yang juga merupakan saat di mana dia telah memaksa hati dan jiwa menyenarai hitam Syarifah Adriana Fidzriah dalam kamus hidupnya. Firas ajar hati untuk membenci gadis itu. Firas ajar lidah biar hanya kata-kata keras dan kasar yang terlafaz. Suatu jalan penafian yang paling selamat.

Ketika dia melangkah keluar dari rumahnya awal pagi tadipun, hujan masih lagi menitis dari hujung dedaun pohon. Membasahi kelopak-kelopak dan kuntum-kuntum bebunga abah yang berbaris kemas di halaman. Menenggelamkan rumput-rumpuk renek di lantai bumi perkarangan halamannya yang tidak seluas mana itu.

Kini di perkarangan hospital, dia masih dapat melihat rintik-rintik hujan. Menenggelamkan riuh rendah suara orang ramai yang memenuhi ruang lobi. Juga menenggelamkan tangisan insan yang sedang menanggung derita perasaan.

Dia masih mahu menunggu gadis itu di situ. Biarpun dia tidak pasti jadual shift Adriana untuk hari ini. Untuk bertanyakan kepada jururawat lain, terasa segan pula. Takut akan timbul gosip-gosip liar pula nanti. Bukan Firas tidak tahu perihal konflik antara dirinya dan jururawat yang popular itu sudah menjadi seakan gossip selebriti di PPRM.

Persoalan semalam yang menghuni minda kelirunya sudah terhurai biarpun tidak semuanya. Kesannya pagi itu dia menurut sahaja arahan hati tanpa dipengaruhi oleh minda. Dia hanya mendengar kata hatinya. Apa-apapun langkah kakinya telah membawa dia ke suatu tempat. Dan di situlah dia berdiri saat ini. Hatinya berkata kalau dia mahu berubah, ini adalah langkah pertama yang harus dia orak.

Dan dia sedang membawa dirinya untuk untuk berhadapan dengan Adriana. Malah di benaknya juga sudah terangka kemas bicara untuk memohon kemaafan yang akan diungkapkan kepada gadis itu.

“Syarifah Adriana Fidzriah….” dia menyebut nama itu dalam hati yang sarat memberat.

Firas tidak tahu ekspresi apa yang sedang terlukis di wajahnya. Apakah pada wajahnya terlukis perasaannya yang keliru dan celaru itu? Walaupun hakikat yang sebenar adalah kehendak hatinya untuk memperbaiki semua kepincangan ini lebih kuat dari segala rasa negatif yang tidak pernah jemu menghasut.

Sudah terlalu banyak salah dan silapnya terhadap Adriana. Setiap bicara yang keluar dari mulutnya terhadap gadis itu terlalu tidak wajar. Apatah lagi dengan sikap kasarnya terhadap Adriana.

Sesalan-sesalan itulah yang telah menggugat ketenangannya. Yang menyebabkan lenanya entah ke mana semalaman kelmarin walaupun didodoi melodi hujan. Kata-kata abah telah sedikit-sebanyak membuka hati dan minda.

Sudoku perasaannya pada Adriana telah dia cuba untuk selesaikan. Biarpun Sudoku itu mampu dihuraikannya, namun ia sekadar nombor yang boleh diatur dengan pengetahuan dan strategi. Atau firasat? Firasat.

Ya, kerana firasatlah dia telah dengan rela mengenepikan ego lelakinya saat . Wah, selama ini bukan main gahnya dia. Sesuka hatinya menempelak dan memarahi gadis itu. Ada saja yang tidak kena di matanya. Biarpun pada setiap kali, kesalahan itu memang mutlak haknya.

Gadis pintar.Selayaknya Adriana menjadi seorang pakar, bukan sekadar menjadi tenaga yang menyokong pakar perubatan. Diakuinya gadis itu memang bijak. Malah Firas turut mengakui kebenaran pada kata-kata setiap pakar perubatan yang selalu memberikan kredit kepada gadis itu.

Tetapi entah mengapa antara dirinya dan Adriana, seolah tiada keserasian antara mereka. No chemistry, kata orang Inggeris. Biarpun dia tahu orang lain memandang serong penilaian dan tingkahnya terhadap gadis itu. Namun apalah dayanya bila hati lebih kuat ingin melakukan semua itu sebagai penzahiran palsu demi melindungi sebuah perasaan.

Tetapi penzahiran perasaannya itu satu penjajahan maha kejam lagi tidak bertamadun. Melampiaskan dendam terhadap orang lain kepada seorang manusia lain yang tidak pernah ada kesalahan dan dosa terhadapnya.


Dari tempat dia berdiri, Firas dapat melihat gadis itu sedang berjalan menghampiri mesin ATM BSN. Seketika kemudian sudah berdiri tegak di hadapan mesin pengeluar wang itu.

Sekadar berpakaian biasa, dengan T-Shirt berwarna ungu muda yang dipadankan dengan jean Denim. Mungkin Adriana tidak bekerja hari ini. Sama seperti dirinya juga. Day-off.

Firas mengucapkan syukur di dalam hati kecilnya. Terus mengorak langkah melewati beberapa orang yang sedang menuju ke klinik rawatan am. Keramaian manusia di situ tidak langsung disedarinya. Hanya Adriana yang terlihat di ruang mata.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam.”

Gadis itu berpaling memandangnya. Lalu mereka bertemu pandang untuk seketika. Aduh, lidahnya tiba-tiba menjadi kelu. Renungan sepasang mata Adriana benar-benar menyebabkan mindanya kosong seketika. Hati jadi berdebar-debar. Entah mengapa. Gadis itu masih memandangnya dengan sekeping kad di tangan. Kelihatan seperti hendak mengeluarkan wang dari mesin ATM.

“Yes, anything doc?”

Sapaan Adriana berkumandang di pendengarannya. Buat pertama kali dia merasakan Adriana bersuara kepadanya dengan nada yang lembut. Bebas dari ketegangan tugas di hospital.

Salah tu Firas! Bukannya Adriana yang baru pertama kali bersuara dengan lembut. Tetapi kau yang selalu membuat provokasi tidak bertamadun! Teguran hatinya kedengaran di gegendang telinga.

Terkedu. Lidah kelu.

“Doc?”

“Hah? Hmm…” Firas telan liur.

“Withdrawing your pay?” hish, soalan apa yang dia ajukan?

Adriana sekadar mengangguk sedikit kehairanan. Pastinya Firas tidak dapat melihat perasaan geram dan menyampah yang menggigit tangkai hati Adriana tika itu.

“I pun,” cepat-cepat Firas menyambung katanya biarpun dia sedar Adriana tidak memerlukan maklumat itu.Ingin sahaja ditepuk dahinya tika itu bila Adriana kembali mendepani mesin ATM itu. Membelakanginya.

“Come on man…” bisiknya kepada dirinya sendiri.

Jari-jemarinya yang terasa lembab dek peluh digenggam erat-erat. Bibirnya bergerak-gerak mengungkapkan baris-baris kata yang telah direkanya semalaman.

“Okay, I can do this…” dia pasti sudah memperolehi keyakinannya kembali. Malah dia sudah hafal akan baris kata-kata itu.

“Adriana…” panggilnya dengan nada sedikit kuat. Dia berdehem sekali sekadar menghindarkan gemuruh yang melanda tebing dada.

Adriana berpaling sambil menyimpan beberapa helai wang lima puluh dan kad bank ke dalam beg sandang berwarna merah yang biasa di bawanya ke mana-mana itu. Kemudian dia memandang wajah Firas yang masih tercegat merenungnya itu.

“Ya doc?”

“Err…”

Renungan sepasang mata Adriana sekali lagi memadamkan baris-baris kata yang telah dihafalnya itu.Argh! Not again…

“Hmm… dah ke?”

“Hah? Yeah, I am done. Your turn. Sorry…”

Adriana melangkah sedikit ke sisi Firas. Kemudian berpaling untuk pergi. Tidak sanggup berlama-lamaan di situ. Hairan dengan sikap doktor lelaki itu yang berbeza benar kelihatannya saat itu.

Buang tabiat apa, tak pernah-pernah menyapa aku. Gaya baik lagi… bisik hati kecil Adriana. Dia terus melangkah pergi. Laju meninggalkan Firas yang sedang termangu memerhatikan lantai putih yang basah dek tempias rintik-rintik hujan.

Mission accomplished. Unfortunately it was not very successful.

Monday, November 21, 2011

Anak harimau dah sunat!?

Babang Sofi akan genap berusia 5 tahun 3hb Disember ini. Hmm... kalau nak diikutkan sudah boleh sangat dikhatankan. Hari itu pun Mummy Sehanya ada bertanya bila hendak khatankan budak itu. Agaknya dia juga ada plan hendak khatankan si Danish.

Sewaktu mandikan dia hari Sabtu lepas...

Saya     : Babang, sunat nak?
Babang : Sunat? Tak nak lah...
Saya     : Babang tahu ke sunat tu apa?
Babang : Tahu... potong 'toy'.

Saya sengih.

Saya   : Sunatlah ye... kalau Babang sunat, nanti Ummi minta Papa belikan Babang kereta kawalan jauh   yang besar tu, nak tak? 

Babang termenung seketika sambil mengelap kepala. Seolah berfikir.

Babang : Abang nak kereta kawalan jauh tu je, tapi abang tak nak sunat.

Saya     : Alah, bolehlah bang sunat. Sunat sekali dengan Danish nak? Babang pergi telefon Danish sekarang ajak dia pergi sunat, nak?

Babang : Tak nak lah...
Saya     : Kenapa...
Babang : Abang takut nanti doktor tu guna pisau besar!
Saya     : Pisau besar? Mana abang tahu ni?
Babang : Tengok kat Upin Upin.

Cit!

Saya     : Tapi bang, orang lelaki kena sunat juga...
Babang : Okay lah... abang sunat...

Hooray!

Babang : Tapi biar abang yang buatkan sendiri ya?

Heh?

Sambil berlari keluar dari bilik air, dia buat a kind of sound. Then dia kata sambil ketawa, "Okay, abang dah sunat dah! Hah, tengok ni..."

????????  This is not a joke okay, abang!

********************************

Hukum, mengapa berkhatan dan kelebihannya sudah sedia kita maklum. Tetapi yang menjadi kemusykilan saya dari dulu sampai sekarang ialah apa bezanya alat kelamin yang dikhatankan itu dengan yang tidak dikhatankan (saya memang old fashion sikit dan penyegan banyak, sebab tu tak jadi doktor hu hu). Kalau nak details silalah click  1001 Cerita Tentang Berkhatan.

Sebenarnya ada pelbagai cara untuk berkhatan. Berkhatan menggunakan Smart Clamp lebih cepat (lebih kurang 15 minit) dan hanya perlu rehat dalam masa 24 jam paling lama sebelum boleh bergerak aktif seperti biasa.Tak adalah nanti susah sangat nak menjaganya kan...

Babang, sunatlah cepat. Nanti boleh Papa train untuk jadi educated and talented footballer. Pelapis anak Harimau Malaya ke kan? Who knows berkat berkhatan hah hah!


ALLAHUAKBAR!!!! 
That's really the greatest effort my heroes!
Yeah! ITU DIA HARIMAU MALAYA KU MENGAUM 
meng HUSH kan Garuda yang patah hatinya. 
Yeah, kita menang bola sepak lagi di SEA Games 2011. The 59th!
Mr. Ong Kim Swee, it's worth a world 
even you've been hushed to the reserved seat kan... 
doesn't matter... I WON!

Babang tanya, "Ummi kita menang ye?
Nanti abang pun nak pergi sana, nak sepak kuat-kuat!"
Hah, itu dia, kalau nak sepak kuat-kuat mesti kena SUNAT!
Cepat Babang pergi SUNAT!!!
Jadi Anak Harimau yang mengaum. Ngaum!!!!

Nota : Confirm jantung saya dah kuat ni, esok mesti Dr Noraziah senyum. I always have d'miracle.

PAGEVIEWS