Wednesday, November 23, 2011

Selamat Tinggal Kekasih Gelapku (14)

“Firas!”

Terdengar namanya dilaungkan oleh seseorang. Cepat-cepat dia menghulurkan beberapa keping wang biru kertas kepada gadis di kaunter. Bayaran untuk sepinggan bihun goreng dengan segelas besar air nescafe panas.

Sambil itu dia menjengah pandang. Tertoleh-toleh, mencari si pemanggil. Pencariannya menyeluruhi segenap ruang kafe.

“Eh, Wan!” laungnya kembali ketika menyambut huluran wang baki dari casher.

“Tea time?” tapi dia kerut kening melihat hidangan di dalam tray yang dipegang oleh Firas.

“Not exactly… tak sempat lunch tadi. Ada emergency case. Sekarang perut dah tak boleh tahan beb. Lapar gila. Join me?” pelawanya kepada Irwan sambil mengunjukkan sebuah meja yang kosong.

Dr. Irwan mengekorinya dengan tawa pendek, “Aku baru je sudah. Ingat nak balik tadi, tapi nampak kau tengah bayar makanan.”

“Temankanlah aku makan kejap. Boringlah makan tak ada kawan,” pinta Firas lagi sambil meniup asap dari minumannya yang masih panas.

“Sebab tu aku suruh kau cari seorang girlfriend. Kalau female doctor kau tak boleh tolerate, nurse kat sini pun not bad apa… lawa-lawa. Pick one. Seorang je tau, kalau lebih aku takut tak tertanggung dek badan kau tu.”

Tawa Irwan terhambur bila melihat Firas spontan tersedak. Dia buang pandang ke sekeliling kafe. Seperti biasa penuh dengan keramaian. Kakitangan dan juga orang ramai yang datang ke hospital.

“Kau ingat anak ayam ke bunga melur kat gerai India tu yang boleh nak di pick one. Sedap mulut je engkau cakap heh?” Firas memprotes teman baiknya sejak dari universiti itu.

“Eh betullah. Kau ingat kau muda lagi ke? Aku, anak pun dah nak masuk empat orang. Ke engkau ni ada problem tu… tu…?” Irwan tersengih dengan sebelah kening terangkat-angkat. Menyakat.

“Amboi, mulut kau betul tak gosok gigi pagi tadi nih. Aku normallah,” tukas Firas sambil mengerling temannya itu. Kepalanya tergeleng sekali dua dengan senum tipis di bibir.

Seteguk air nescafe yang dihirup memanaskan tekaknya yang sejak tadi kesejukan dalam penghawa dingin hospital. Terasa segar sedikit tekak dan perutnya yang sejak tadi minta diisi.

“Serious?”

“Wan!?”

“Okay!” Irwan angkat tangan. Tanda meminta maaf. Tahu jenaka dan usikannya menyentuh sensitiviti mana-mana lelaki, hatta dirinya sekalipun.

“Oh ya, apa jadi dengan engkau punya plan semalam. Jadi? Dah declare?”

Masih lagi Irwan ingat bagaimana beria temannya itu berlatih gaya seperti hendak berbicara sesuatu yang serius di depan seseorang semalam. Pelik juga dia melihat lelaki itu. Tidak ada angin, tidak ada ribut tiba-tiba seketul logam besi jadi ranting bonsai.

Seingatnya sejak mengenali Firas di kampus perubatan dulu, hingga melanjutkan pengajian ke luar negara lelaki itu seorang yang anti perempuan. Sejauh yang mindanya boleh ingat, ini kali pertama Firas melakukan stunt pelik begini.

Berlatih membaca skrip ala-ala permohonan maaf. Tetapi kenapa dan siapa, Irwan tidak tahu pula. Rahsia, kata Firas. Firas cuma mahu dia mengadili skrip itu. Walhal dalam hatinya Irwan sudah gelak separuh mati.

Tetapi menyedari Firas tidak pernah mempercayai manusia lain seperti dirinya, dia jadi kasihan pula. Mahu tidak mahu dia terus tercongong di bilik Firas mendengar latihan skrip pelik itu.

Firas hanya menggeleng. Wajahnya merona. Mungkin segan bila isu itu dibincangkan. Bihun goreng yang belum diusik itu direnung sahaja. Seleranya terbantut pula. Cuma air nescafe di dalam gelasnya sudah luak satu pertiga diminum.

“So, menjadi tak?”

Heh, menjadi apanya… dengus Firas dalam hati.

Memang patutlah temannya itu bertanyapun. Semalam sebelum balik ke rumah bukan main beria dia berlatih di depan cermin di biliknya. Tidak sedar telatahnya sedang diperhatikan oleh Irwan.

Mahu tidak mahu dan untuk cover rasa malu, dia suruh Irwan duduk beberapa minit untuk jadi hakim. Menilai prestasinya membaca skrip. Tidak semena-mena dia harus berkongsi sedikit rahsia hatinya itu.

“Apasal?” Irwan bagai memahami kemelut yang sedang dialami oleh temannya itu.



Nama Firas memang sudah gah dalam dunia perubatan. Sejak dari zaman pengajian, Firas memang seorang pelajar genius yang sentiasa lulus setiap subjek dengan cemerlang.

Penglibatannya dalam kajian dan penyelidikan di dalam serta di luar negara begitu komited. Firas adalah seorang doktor muda yang berwibawa. Kerana kecemerlangan dan dedikasinya di dalam bidang ini telah melayakkan Firas ke tahap Registrar kini.

Tetapi di sebalik karismanya itu, Firas punya kepincangan dalam hidupnya. Rupanya sahaja yang tampan. Dengarnya sahaja diminati ramai wanita. Tetapi Irwan tahu lelaki itu masih terlalu sukar mencari seorang teman hidup. Lagi-lagi belum ada yang sesuai katanya.

Entah kriteria apa yang dicaripun Irwan tidak mampu untuk mengerti. Dipendekkan kata dan cerita, untuk tidak pening-pening kepala memikirkan faktor penyebab sikap dan sifat itu, Irwan selalu merujuk temannya itu bersikap terlalu memilih. Cerewet dalam mencari pasangan hidup.

Fussy!

Entah bagaimana spesifikasinya pun Irwan sukar menduga. Bukan tidak ada gadis yang tergila-gilakannya. Dari zaman belajar sehingga ke hari ini ada sahaja lamaran kasih untuk Firas.

Bukan hendak kata perigi cari timba.Tetapi pada zaman Nabi dahulupun Siti Khadijah yang melamar Rasulullah. Hai, gadis-gadis kini sudah mula ikut Sunnah. Tetapi ramai yang menyarung baju tidak cukup ela. Pakai baju terlupa seluar dan sebagainya.

“Kau tak berani ye?” duganya lagi bila Firas terus mendiamkan diri.

“Apalah kau ni Firas. Be gentleman lah. Eh, malulah jadi lelaki kalau tak ada keberanian. Kes kacang macam tu, takkan itupun kau tak berani? Aduhlah, kasihannya kawan aku sorang ni…” sinis bidasan Irwan meski dalam nada leluconnya.

“Kau ni pun Wan, pada-padalah. Condemn aku takat jerung pun boleh bunuh diri…”

Terhambur tawa Irwan dengan kata-kata Firas itu.

“Oklah, make it short and easy. Kau bagi tau je kat aku siapa perempuan tu, biar aku settledengan dia. Kalau kau nak, aku boleh tolong pinangkan terus. Amacam?”

Irwan membetulkan duduk saat serius menuturkan usul itu. Dia sendiri memang sudah tahap gembira gila melihat tanda-tanda perubahan sikap Firas. Kali ini kalau Firas sudah benar-benar ada hasrat untuk menamatkan zaman bujang dan anti-perempuannya, Irwan bersungguh niat mahu membantu.

“Kalau tak nak, aku pinang untuk diri aku sendiri je lah jawabnya…”

Malangnya usul Irwan hanya menyebabkan Firas tersedak kuat. Spontan. Suapan pertama bihun goreng ke dalam mulutnya itu hampir tersembur keluar bila sahaja mendengar kata-kata si teman.

Biar betul!

“Apasal?”

“Biar betul?!” Firas mencerun pandang sambil memegang halkum. Terasa pedih di hidung dan di tekak kerana tersedak gaya begitu.

“Kau tengok muka aku ni,” Irwan arahkan jari telunjuk ke pipinya.

“Ada macam orang tak betul?” Irwan jegilkan mata. Wajah kacak Firas yang berdarah kacukan Melayu dan China itu dia pandang sejenak dengan dahi berkerut.

“Selama ni semua calon kau kata tak sesuailah, tak serasilah. Gemuklah, tembamlah. Kering, bulat, petak, oblong siap semua kau komen. Otak udang siap dengan kaki ketam lagi,” bidas Irwan.

“Kalau dah tak suka pun janganlah kutuk tahap planet Musytari. Banyak sangat spesifikasi pulak. Datang Melayu kau nak mixed-blood. Datang yang mixed-blood kau nak Jawa pulak. Macam-macam lah kau…”

Mengah Irwan menyudahkan kritikannya. Biar Firas sedar diri sikit. Punyalah memilih, tahap anak raja pun boleh kalah. Kadang-kadang mahu sahaja dia tanya samada Firas itu gay atau tidak.

Tapi tidak tergamak pula dia. Geli urat tengkuknya bila menghubungkan Firas dengan perkataan gay. Apapun dia memang tidak perlu bertanya. Tidak ada satupun sikap Firas sejak dia kenal lelaki itu yang boleh menyamakannya dengan golongan gay.

Masya-Allah... Nauzubillah.

Irwan kemudian hanya menggelengkan kepala. Menghirup sedikit air minumannya. Pun bibirnya terus melebar sengih.

“Eh mestilah! Aku kan jejaka idaman Malaya. Alah, kau masa mencari dulu pun lebih kurang jugak kan. Kalau tak mana datangnya mem kat rumah kau tu? Complete satu pakej kan?” Firas membalas kutukan terhormat temannya itu.

Irwan hanya sengih. “Yelah, aku tahulah kau tu JIM. Tapi obvious lah! Kali ni kau punya preparation sikit punya dahsyat. This girl really superb kan?”

Bihun goreng dari suapan kedua ke dalam mulutnya terus ditelan. Kunyahannya hanya sekali dua lalu bihun itu terus ditolak memasuki saluran esofagus menuju ke perutnya yang kosong.

Terkelip-kelip matanya menentang pandangan serius Irwan. Betul ke apa yang Irwan cakap tu? Syariah Adriani Fidzriah gadis yang superb?

Dia rasa hendak ketuk kepalanya sendiri. Ini bukan soal superb atau apa perkara sekalipun. Apa yang dia lakukan itu hanyalah kerana keinginan dan naluri untuk mengorak langkah pertama. Menjernihkan semua kekeruhan perhubungan dalam profesion antara dia dan Adriana.

Konflik peribadi di antara mereka tidak seharusnya terbawa-bawa sehingga waktu kerja. Itu pasti akan menjejaskan mutu perkhidmatan mereka. Sudahlah profesion mereka ini berhubung rapat dengan nyawa manusia.

Kalau sudah doktor dan jururawat sibuk bertelagah, pesakit bukan sahaja boleh mati kerana penyakit. Tetapi dapat sakit jantung dan strok apabila melihat betapa tidak profesionalnya doktor dan jururawat mereka.

Pun biar betul Mamat sorang ni? Nak tolong aku? Isk, biar betul? Takkan aku harus beritahu Irwan siapa perempuan yang sedang aku tackle tu? Malu… malu… tak cukup benua nak menyorok nanti!

Dia buat muka sepuluh sen, “Hmm… nanti dululah Wan. Let me go slow dulu OK?”

“Nak go slow ke, tak sanggup nak buang ego kau yang dah nak berkarat tu?”

Firas tersedak. Keras. Terbatuk-batuk sambil memegang dada. Aduh! Irwan ni pun mulut memang tak ada remote control.

“Sudah-sudahlahtu Firas. Bawa-bawalah bertaubat sikit,” Irwan tergelak sendiri.

Masih juga Firas membatukan diri. Sedaknya sudah mereda. Cuma dadanya masih terasa sakit. Agaknya bihun yang tidak sempat dikunyahnya tadi itu sudah melompat masuk ke saluran esofagus dan bersepah di sana-sini.

If you go slow this time, I bet you’ll get nowhere.”

Sekali lagi Firas tersedak apabila dihentak Irwan dengan kata-kata itu. Mahu pitam dia asyik tersedak sahaja dikerjakan dek temannya itu. Belakangnya kemudian ditepuk kuat oleh Irwan sebelum beredar.

Menyesal pula dia meminta lelaki itu menemankan dia. Heh!

No comments:

Post a Comment

PAGEVIEWS