Wednesday, March 23, 2011

SELAMAT TINGGAL KEKASIH GELAPKU (II)

BUZZ…

Bunyi itu menyebabkan Adriani pantas berpaling sebaik sahaja menutup pintu bilik. Kedua-dua belah tangannya pula penuh memegang dua biji gelas bulat. Satu berisi Nata deCoco untuk adik kembarnya itu. Di atas timbunan kiub-kiub itu terdapat beberapa hirisan buah honey dew. Satu lagi penuh berisi puding laici untuk dirinya sendiri. Segera dia letakkan gelas bulat berisi Nata deCoco di atas meja. Hampir dengan Adriana yang masih ralit membelek CLEO.

Hish, Adriana ni... langsung tak dipedulikannya mesej-mesej yang masuk sejak dia turun ke dapur tadi.

“Tengok tu, dah BUZZ dah…” tegur Adriani sambil mencuit bahu adiknya.

Cuitan di bahunya itu membuatkan Adriana tersentak. Tidak perasan pula dia bila si kakak kembarnya itu masuk. Itulah, berangan jer… dia ketawa sendiri dalam hati.

“Kak Ni tak bawakan Nata Dik Na ke?” lenggang lenggok Adriani ke meja komputer dipandangnya dengan rasa hairan. Keningnya bercantum.

Adriani juga kerut dahi. Sudahlah dibawakan dari dapur. Dah letak pun dekat dia, masih juga tak perasan. Adriana memang begitu. Manja benar. Cari barang selalu dengan muncung. Mana hendak nampak walau barang di depan batang hidung sekalipun.

Lalu Adriani tepuk dahinya perlahan dan sengaja berkata, “Lupalah yang…”

“Kak Ni ni…”

Adriana menarik muncung panjang setengah inci. Merajuk kerana si kakak lupa memenuhi permintaannya. Terpaksalah juga dia turun ke dapur nampak gayanya. Malasnya rasa…

Hendak dipanggilnya Bibik, rasanya sudah tidur. Tidak tega pula dia menjadi puteri raja kayangan yang segala keperluan dan kehendaknya dilakukan orang suruhan.

Adriani membaca mesej yang sudah tergantung lama tanpa balasan itu.

CcHantu: kenapa ikan parang iye, tak ada ikan lain ke?

“Kenapa tak reply mesej CcHantu ni? Nanti dia ingat Dik Na tak nak layan dia. Kan dah rugi sorang kawan?”

“Malaslah Dik Na nak layan diorang tu. Semuanya tak best...” gumamnya dengan dahi yang berkerut sejak tadi.

“Tengok abang janggut tadi tu. Orang tanya sikit je pun nak marah-marah. Ceh!” kata Adriana lagi dengan rasa bengang yang masih berbaki. Mukanya pun masih panjang.

Memang hatinya masih terasa sakit dengan reaksi salah seorang chatter yang menggunakan nama samaran Abang Janggut tadi. Garang dan sombong. Perasan dia bagus. Hati Adriana terus mencebik.

“Dahnya yang Dik Na pergi tanya kat dia, ‘abang janggut… kenapa nama abang janggut, abang janggut?”

Adriana spontan tertawa lucu dengan intonasi kakak kembarnya itu. Wajah Adriani dia kerling sekilas.

“Janggut panjang tak pernah basuh yek?” Adriani meniru lagi gaya dialog skrin komputer Adriana sambil melirik ke wajah putih bersih adiknya itu.

“Lah, tak boleh ke?” Adriana pandang kembarnya terus dengan kening yang terangkat.

“Soalan senang gila macam tu, budak tadika pun boleh jawab. Takkan itupun dia nak marah kot? Kang orang bagi soalan SPM baru tahu! Ceh!” protes Adriana dengan mulut yang sengaja diherotkannya.

“Mestilah orang marah cik adik oi!” balas Adriani sambil ketawa kecil.

“Intro kena lah sweet my dear. Kalau asyik nak pekena orang, siapa yang nak chatdengan awak?”Adriani mengusik dalam nasihatnya.

Dia geleng kepala dengan tawa yang masih bersisa. Adiknya yang menuju ke muka pintu itu dipandangnya sejenak. Hmm... masih tak nampak-nampak juga dia gelas yang berisi penuh dengan Nata deCoco atas meja itu. Ah, biarkan...

Wajah Adriana pula selamba saja. Seolah tidak ambil pusingpun apa yang dituturkan oleh kakak kembarnya itu tadi.

“Eh, nak ke mana pulak tu?” tanya Adriani. Kura-kura dalam perahu. Pura-pura tidak tahu.

“CcHantu ni macam mana? Kak Ni nak buat apa dengan dia ni?” Adriani mengadah pandang sambil menghalakan jari telunjuknya ke skrin komputer.

“Buatlah apa-apapun yang Kak Ni suka. Jangan buat bodoh dah le... kang habislah Kak Ni nye degree,” balas Adriana juga dengan selamba. Pun ada nada nakal.

Adriani tarik nafas. Geram dengan sikap acuh tak acuh kembarnya itu.

Menyedari kakaknya itu masih tidak berpuashati dengan alasannya, dia menyambung lagi, “Kak Ni yang nak layan dia sangat tadi. Hah layan je le… layan jangan tak layan, rugi. ”

Adriana mengikik lalu meneruskan langkahnya menuju ke dapur di tingkat bawah banglo yang tersergam indah di atas kawasan mewah Bukit Antarabangsa itu. Tujuannya untuk pergi mengambil lagi kiub-kiub Nata deCoco.

Dia sudah tidak mahu lagi meneruskan chit-chat malam itu. Semua kawan chatter-nya tidak serasi dengan citarasa perbualan dirinya. Biarlah Kak Ni yang teruskan kalau dia suka.

“Semuanya skima gila. Asl please? Asyik-asyik asl, boring gile,” dia mengomel sepanjang langkah menuruni anak-anak tangga yang bersalut permaidani kotak-kotak warna oren dan kuning. Citarasa Mama d’Hitler, hati Adriana mengomel.

Adriani yang termangu-mangu memandang skrin komputer dapat melihat mesej baru yang telah dihantar oleh rakan chatter baru adik kembarnya itu. Dia menoleh sekilas ke pintu bilik, namun kelibat gadis itu masih belum kelihatan.

Kepalanya yang tidak gatal itu spontan digaru-garu. Tidak tahu apa yang harus dia buat. Hendak dibiarkan, rasa kasihan. Hendak dilayan...

Takkan nak layan lagi kot…?
Kesian mamat ni kena tipu… desis hatinya.

Plingg!
CcHantu: Hi ikan parang? Awak ada lagi ke tu?

Tidak sampai hati pula dia melihat skrin komputer dan pesanan yang telah ditaip oleh CcHantu itu untuk dibiarkan sepi begitu sahaja.Jemarinya lantas meniti di atas satu persatu bebutang kekunci dengan pantas.

Ikanparang: Ops, sorry... ya masih ada.

Dia menekan kekunci Enter untuk menghantar mesej balasannya. Setelah itu dia pantas menaip semula.

Ikanparang: Sebab ikan parang banyak tulang. Kenapa nama awak cc hantu? Awak hantu apa?

Skrin memaparkan CcHantu is typing message. Dia tersenyum. Pantasnya, bisik hati Adriani. Terus datang minat untuk meneruskan chatting dengannya. Seronok pula dia terus menyamar menjadi ikan parang alias Adriana begitu.

Pintu bilik terkuak. Ikan parang sebenar yang boleh berjalan dan memakai baju malam labuh berwarna jingga lembut itu melangkah masuk bersama segelas besar Nata deCoconya. Ikan parang yang makan Nata deCoco.

Kalaulah Dik Na tahu dia samakan adiknya itu dengan ikan parang, mahu dia kena tidur di sofa bawah malam ini, detik hati Adriani.Memang betul-betul hantu Nata deCoco, hati Adriani tersenyum melihat adiknya itu.

“Nah, sambung ni. Kak Ni nak tidur,” suruhnya lagi kepada Adriana.

“Aduhlah, Kak Ni layan lagi ke mamat hantu tu?” Adriana kerut kening. Tidak faham pula mengapa kakak kembarnya itu berminat sangat dengan chatter yang menggunakan nama samaran pelik itu.

“Alah, layanlah sekejap Dik Na, kasihan member awak ni. Kak Ni nak kena tidur dah ni. Good night dear,” Adriani tidak peduli.

“Eh, tadi kata nak siapkan assignment?”

Adriani hanya tertawa kecil lalu terus melabuh badan ke atas katil. Menarik selimutnya hingga ke paras dahi. Sudah terlalu mengantuk benar. Jam di skrin komputer tadi pun sudah menunjukkan angka 00.15 pagi. Matanya juga sudah pedih amat.

“Kak Ni penat sangat ni, nak tidur sekejap. Nanti Kak Ni bangunlah. Awak tu jangan tak layan mamat hantu tu pulak,” getus Adriani sambil tertawa perlahan.

Di hujung tawanya, Adriani terus lena. Kepenatan menghadiri kuliah perubatan di UKM sepanjang hari. Juga kepenatan menolong adik kembarnya melayan rakan chatter yang bernama CcHantu itu.

Sebentar tadi Adriani sudah kunci jam loceng Strawberrynya. Dalam jam dua pagi nanti dia akan bangun semula untuk buat final touch up pada tugasannya. Waktu itu dia hanya perlu tidur seketika untuk mendapatkan sedikit tenaga.

Itupun kalau tidak terlajak sampai subuh nanti. Kalau terlajak juga, dia akan hantar apa yang dia sempat buat tadi sahajalah jawabnya. Pun Adriani tidak risau, deraf pertama tugasannya yang telah dia siapkan tadi pun memang dia sudah puas hati.

Maka tinggallah Adriana termangu-mangu dengan sudu berisi Nata deCoco di mulutnya. Dia membaca semula semua baris yang ditulis oleh kakaknya dan baris-baris jawapan dari chatter yang menggunakan nama ccHantu itu.

Kalau dia hendak meneruskan perbualan pada tahap itu, Adriana kenalah tahu apa yang telah diperbualkan sebelumnya. Nanti jadi macam sudu bercakap dengan cerek. Macam bunyi gajah menyanyi dengan beruang pulak. Seraya alis matanya menyenget seperti Ziana Zain.

Gajah menyanyi dengan beruang? Ada ke pepatah macam tu?Adriana tersengih dalam hati. Kalau setakat Tom dengan Jerry dan Snow White dengan seven dwarf tu dia tahulah.

Jarinya scroll tetikus sehingga ke message yang awal. Anak matanya yang berwarna coklat hazel itu pantas membuat speed-reading. Ala-ala persiapan terakhir lagi panik di luar dewan peperiksaan sewaktu masih di kuliah kejururawatan dulu.

Bukan sekadar waktu di kolej jururawat dulu, malah waktu di sekolah menengah pun dia memang sudah kalut malut begitu. Tapi kebiasaannya, dia tetap akan score juga. What to do, I am born genius!

Bibirnya menyungging senyum. Sempat juga menangkap beberapa patah perkataan dan baris ayat dari mesej-mesej antara Kak Ni dan ccHantu awal tadi. Lucu dengan perkataan-perkataan dan baris-baris ayat kakaknya itu.

Boleh tahan juga Kak Ni. Nampak saja nerd tapi... hatinya bersuara kelucuan. Bukan dia tidak kenal Adriani, kakak kembarnya itu seorang yang lurus dan skema. Tak sangka pula boleh keluar ayat-ayat gila seperti yang tertera di skrin itu.

Kalau setakat ayat-ayat jiwang tu, mungkin Adriana tidak hairan sangat. Kak Ni pun memang minah flora. Ayat-ayat you, jiwa... Tapi ini sudah ayat-ayat brutal. Mana pulak dia belajar benda-benda macam ni? Adriana pelik dalam lucunya.

Plingg!

CcHantu: Bukanlah hantu sebenar… ikan pula bila nak naik ke darat?

Hmm… samada mamat ni memang lahir sebagai manusia lurus bendul atau sama sepertinya juga yang gila-gila bahasa. Mama kata dia gila-gila short wire… Adriana mengikik di dalam hati.

Jarinya menari-nari di atas key-board dengan mulut yang asyik mengunyah Nata deCoco berperisa mangga itu. Saban hari dia mendengar Mamanya berleter setiap kali Bibik, pembantu rumah mereka meminta dibelikan Nata deCoco yang baru.

“Hish, satu hari sampai tiga bekas habis? Dik Na, kamu ni membesar makan nasi tau. Ni mana belajar makan Nata deCoco macam makanan ruji pulak?” Pn. Syarifah Adirahana akan berleter dengan kata-kata yang sama setiap kali.

“Alah, Mama…”

“Abang Syed, nanti awak tolong daftarkan kat ROC syarikat DIK NA & KAK NI deCOCO SDN BHD. Operasi utama memproses Nata deCoco, hah baru lah anak mama ni boleh makan Nata hari-hari,” Mamanya tertawa. Bibik pun tergelak sama.

Cuma Adriani yang muncung bila namanya dikaitkan dalam senda itu. “Apa pulak Kak Ni yang kena?” panjang leher Adriani membalas.

“Yang jadi hantu Nata tu si Dik Na. Nak bubuh nama Kak Ni kenapa pulak? Kak Ni bukan nak jadi penjual Nata deCoco. Kak Ni nak jadi doktor. Mama juga yang suruh Kak Ni jadi doktor…” Adriani mencebik manja.

“Hmm… macam ni lah anak Mama…” Pn. Syarifah Adirahana mengusik.

Pecah tawa seisi rumah itu setiap kali perihal Nata deCoco menjadi topik perbualan.

Ikanparang: Mana boleh ikan naik ke darat, nanti matilah ikan.
Hantu, hantu keje apa? Hisap darah orang yek?

CcHantu: Iyelah… kalau ikan naik ke darat mesti ikan tak boleh bernafas kan. Kalau ikan mati, kesian hantu tak ada kawan nanti. Dah mati, kalau hantu nak makan ikan pun rasa tak sanggup, banyak tulang. Pun dah jadi ikan busuk ke ikan masin? Heh heh... Tak apalah,lebih baik ikan jangan naik ke darat kan..

CcHantu: Hantu kerja biasa je.

Amboi!?Ini ikan dua alam lah... ikan duyung termodifikasi tau. Senyuman di bibir Adriana sudah mula melebar. Lain macam sahaja suhu di bibirnya terasa saat itu. Jemarinya pantas menari di atas keyboard.

Ikanparang: Apa nama u?

Adriana tahu magnet hatinya sudah mula tertarik ke arah sesuatu. Atau seseorang? Dia hendak mengenali chatternya yang seorang ini. Awal perkenalan itu, dia sudah mula mengkagumi ccHantu. Seolah chatter yang seorang ini sekepala dengannya. Mereka seperti punya persamaan.
Ada chemistry. Hmm…

CcHantu: Navin.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

PAGEVIEWS