Wednesday, March 23, 2011

Cerpen 4 : Isteriku, Seorang Wanita

“Abang ni tak fahamlah…”

Entah untuk keberapa juta kali kalimah itu juga yang dilafazkan olehnya setiap kali ku ajukan resah dan bimbangku tentang keasyikannya dalam dunia penulisannya itu.

“Abang tak faham hati Atie...” ujarnya lagi.

Masih dalam nada suara yang perlahan yang selalu membuat aku kalah lalu mengalah. Kerana itulah persoalan yang sering bermain-main di kotak fikiranku sejak lebih setahun perkahwinan kami ini masih belum terungkai dan terlerai.

“Abang faham…” suaraku dalam.

“Tak, abang tak pernah faham. Bukankah dari dulu lagi Atie dah beritahu, inilah dunia Atie,” pintasnya. Masih lagi dia mengungkapkan kata-kata yang sama seperti hari semalam, kelmarin dan dulunya.

Dahiku yang sedikit jendul, ku urut perlahan. Bukan pening kepala, tetapi sakit jiwa dengan telatah isteri kesayanganku ini. “Yelah, abang tahu... tapi takkan langsung tak pedulikan abang ni…” getusku sedikit kesal.

Haryatie membungkam. Namun begitu aku tahu apa yang bermain di minda perempuannya itu. “Abang ingat tak masa kita mula-mula kahwin dulu? Atie ada tanyakan apa nanti abang tidak kesal berkahwin dengan Atie? Kan Atie ada kata Atie belum sedia untuk committed pada perkahwinan sebab Atie ada cita-cita sendiri yang belum Atie capai sepenuhnya?”

Bicara itu hakikatnya tidaklah sepanjang dan selebar landasan komuter yang terletak setengah jam perjalanan dari kediamanku. Namun sedikit sebanyak bicara yang tidak sepanjang dan selebar mana itu tak ubah seperti dialog-dialog di dalam cerpen dan novel tulisannya. Lemah semangatku mendepani perempuan yang seorang ini.

“Apa jawapan abang? Abang kata tak kisah, abang memahami sepenuhnya diri Atie, ingat tak lagi?”

Aduh isteriku…mengapa persoalan itu juga yang perlu kau bangkitkan. Aku semakin resah tika dia semakin giat menyelak tirai kenangan. Masihkah kau ingat…tiba-tiba sebaris lirik lagu itu menyapa ruang fikiran.

Oh, Haryatie…bagaimana harus aku akan terangkan kepadamu. Suamimu ini hanya memohon sedikit perhatian dan kasih sayangmu.

Tahun ini adalah tahun ketiga perkahwinan setelah tujuh tahun mengenalinya. Namun aku merasakan dia masih seorang teman berbanding isteri. Ya, sama seperti hubungan kami ketika di kampus dulu. Kami berkawan, tidak bercinta biarpun aku amat percaya di antara kami ada sesuatu yang tersembunyi di dalam hati masing-masing. Namun aku tidak pernah memiliki kekuatan untuk meluahkan perasaan kepadanya dan dia.

Dia pula tetap dengan dunianya, tenggelam dalam bait-bait kata dan dialog-dialog penulisannya untuk memenuhi jadual penerbitan bukunya. Sering saja dia hilang dalam tugasnya menyiapkan skrip untuk persembahan teater kumpulannya. Paling tidak dia akan sibuk dengan tugas mengedit majalah kampus. Namun dalam keseriusannya berkarya aku masih dapat melihat hati seorang gadis remaja tiap kali kami bertentang mata. Cuma yang aku kagumi dia terlalu bijak menyembunyikan perasaan.

Dia isteri pilihanku. Isteri yang aku kasihi dan cintai. Aku tahu dia juga begitu. Cuma dia tidak pernah menunjukkannya. Hakikatnya, itulah yang terlalu aku dambakan darinya sejak mula hingga ke hari ini.

“Abang kan tahu novel ni mesti terbit pada masa yang ditetapkan. Abang tahu tak, untuk mendapatkan hasil karya yang berkualiti, penulis harus memberi jiwa dan perasaan pada karyanya. Memberi jiwa dan perasaan itu maksudnya menghayati setiap hasil kerjanya. Honestly, I don’t bother much about the royalty, abang kan ada... abang kan selalu bagi Atie duit…but I wish my writings to be in the heart and soul of every reader,” ujarnya lagi sambil memintal-mintal hujung baju tidurnya yang labuh dengan gaya keanakan.

Ayunya dia begitu. Jarang sekali kami dapat berbual-bual begini di malam hari. Selalunya dia akan terperuk di dalam perpustakaan mininya sambil mengadap komputer. Novelis. Entah apa-apa saja yang ditaipnya pun, tidak aku mengerti. Sudahnya aku terbujur sendiri akibat keletihan kerja seharian di pejabat sambil ditemani bantal panjang milikku dan bantal kecil isteriku yang dikatakan bantal busuk oleh ibu mertuaku, ku tekap ke muka.

Sejak di kampus lagi aku sudah mengkaguminya. Aku suka cara dan peribadinya. Sikapnya yang bersahaja itulah yang sering mencabar aku untuk terus mendekati dan memilikinya. Teman-temanku yang kini sudah berumahtangga, hampir kesemuanya merupakan kesinambungan kisah cinta sewaktu di kampus. Bukan lagi kejutan. Tetapi perkahwinanku?

Ada di antara teman-temanku terjatuh dari kerusi, hampir accident, terpecah kristal paling berharga dalam hidup mereka malah ada yang hampir mendapat serangan jantung bila berita perkahwinan kami disebarkan. Begitulah sukarnya mereka untuk mempercayai kesudahan perhubungan kami. Aku sendiri tidak menyangka bertemu jodoh dengan Haryatie.

“Abang tolonglah faham sikit… takkanlah Atie nak jaga abang, tatang abang dua puluh empat jam. Macam baby pulak… abang kan dah besar, pandai-pandailah jaga diri sendiri. Tengah Atie sibuk janganlah kacau. Nanti… bila Atie ada masa barulah Atie kawan dengan abang,” isteriku itu mengomel lagi.

“Tengok Atie… Atie mana ada selalu kacau abang. Pun jarang susahkan abang. Atie tahu abang sibuk dengan business abang tu. Mana-mana Atie nak pergi, Atie pergi sendiri. Apa yang Atie nak, Atie cari sendiri… abang, abang tahu tak Atie ni baik tau. Kalau wife orang lain kan, ke mana pergi berhantar dan berjemput. Berteman ke sana sini… hah… tak ke teruk abang kalau Atie pun perangai macam tu.”

Dah... dia dah mula dah, bisik hati kecilku.

So, abang pun kenalah juga sesekali bagi Atie privacy.

“Abang nak buat apa, nak pergi mana, dengan siapa, Atie tak pernah larang kan… tahu kenapa? Sebab Atie percaya pada abang, hidup dan mati, dunia sampai akhirat. Kalau orang lain kan bang…”

Aku pejam mata. Dah…dia dah mula lagi buat perbandingan dirinya dengan perempuan-perempuan lain pula. “…nak pergi mana, buat apa, dengan siapa mesti isteri dia tanya,” aku pantas mencantas kata-katanya. Sudah masak benar dengan kata-kata itu. Sudah terakam kemas dalam kotak hati dan minda. Haryatie menjeling kepadaku.

Selalu saja dia membanggakan sikapnya yang dikatakannya tidak seperti perempuan lain. Katanya dia bukan perempuan tipikal. Apa tu?

“Tahupun… suami isteri ni kena saling mempercayai, jujur dalam perhubungan. Prinsip Atie…”

“Kalau ada tak ke mana.” Aku pantas memintas kata seperi selalu. Aku garu kepala, pun macam selalu.



Sudah hampir dua puluh lima minit aku termangu seorang diri di dalam restoran McDonald, menanti Ruaida. Tadi melalui telefon bimbitnya, beria-ia benar gadis yang baru kelmarin tiba dari London itu mengatakan akan sampai dalam masa sepuluh minit. Ini dah hampir setengah jam… gerutu hatiku.

“Lama abang tunggu?” sapa satu suara tiba-tiba.

Aku panggung kepala ke sisi, menemui seraut wajah putih kuning milik Ruaida, “Lagi sikit genaplah tujuh tahun setengah pertapaan abang kat sini," ujarku sambil menyandar belakang yang lenguh ke kerusi.

“Hai, marah bunyinye?”

“Apa taknya, berjam tunggu…nasib baik dia tak turun lagi tu. Kalau tak, kan rosak program? Spoil lah Ru…”

“Alah traffic jam lah tadi, pun Ru tak biasa jalan kat Malaysia ni, dah lupa…”

“Eleh, macam bertahun benar kau kat London tu. Dah tau jam, dah tau tak tahu jalan, keluarlah awal. Nilah perempuan, kalau bersolek berjam-jam…”

“Eh, mana Ru tau jalan tu nak jam, ni… abang ni asyik berleter je, kalah perempuan lah pulak… program kita macam mana?” Ruaida mengesat setitis peluh di dahi dengan tisu putih yang ditarik keluar dari beg tangannya.

Aku angkat kepala memandang kedai buku yang terletak di tingkat dua. “Itulah lotih den menunggu nih… tunggu ekau satu kojo, tunggu orang rumah den satu kojo,” aku pandang wajah Ruaida, “Ru… anyway terima kasih ye…”

Gadis itu senyum dan menganggukkan kepalanya. Seketika suasana bisu menyelubungi waktu. Kepala kembali mengenangkan Haryatie, seorang wanita yang ku nikahi namun kini aku seakan-akan tidak mengenalinya lagi. Siapakah sebenarnya wnaita yang menjadi isteriku ini?

Apa jua yang aku lakukan tidak pernah diendahkan. Ke mana aku pergi tidak pernah menjadi tanda tanya kepadanya. Panggilan dari teman-teman wanita di pejabat tidak pernah mencuit cemburunya. Begitu terbukakah sikap wanita yang ku kahwini itu? Ingin benar aku merasa dicemburui isteri. Bukankah cemburu itu tandanya sayang? Atau apakah Haryatie tidak pernah mempunyai perasaan sayang kepadaku?

“Abang, Kak Atie dah turun tu,” Ruaida menyentak lamunanku.

Kalut aku dibuatnya, “Mana?” Ops! Hampir saja aku tertangkup ke dada meja bila Ruaida merentap dan memeluk tangan kiriku. Aku panik bila Ruaida merapatkan dirinya ke bahuku sambil meleretkan senyum di bibir.




Malam itu, dia menghampiriku dengan membawa segelas susu. Aku berpura-pura tidak mengendahkannya sambil mataku tekun merenung kaca televisyen. Namun dari kerlingan hujung mata, aku lihat isteriku itu menggelisah di hujung katil. Dahiku tanpa sengaja, berkerut sedikit.

“Abang…”

“Hmm..”

Dia membisu seketika. Aku alihkan perhatianku, “Ada apa sayang?”

“Tak ada apa-apalah… itu susu untuk abang ye…”

Sambil memegang daun pintu, Haryatie menoleh semula ke arahku. Seketika pandangan kami bertembung. Dan isteriku itu lalu menghilang di sebalik daun pintu bilik yang kini telah tertutup rapat.

Arggh! Batinku menempik hampa.

Hari-hari seterusnya hidupku kembali seperti sedia kala. Putus sudah harapanku untuk memenangi perhatiannya. Biarlah Haryatie dengan sikapnya itu. Pun apalah yang hendak aku bimbangkan, dia tetap isteriku. Anugerah Allah buatku, amanah yang dipertanggungjawabkan ke atasku.

Hari Ahad itu, ketika aku sedang membasuh motokarku di halaman, sebuah Proton Wira membelok perlahan dan berhenti di sisi Honda milik isteriku.

“Eh, Ru?”

“Abang… dah lama abang tak jumpa Ru… I miss you…” suara Ruaida ku kira boleh didengar sehingga ke belakang rumahku.

“Eh, kenapa ni Ru?” aku pula yang gementar dengan aksi kucing Parsi sepupuku itu. Aku sedar Haryatie menjenguk dari jendela atas. Berderau darahku melihat renungan sepasang mata isteriku itu. Seketika kemudian kelibatnya hilang.

“Macam pernah nampak ye awak ni?”

Aku terkedu mendengar suara itu di belakangku.

“Kalau ye pun, masuklah ke dalam dulu. Tak manis begini…” begitu mesra isteriku itu menarik tangan Ruaida yang melekat di badanku. Sempat juga aku menangkap kerlingan tajam yang dihadiahkan oleh Haryatie kepadaku.

“Eh, tak apalah, saya saja singgah sekejap nak tengok Abang Wan. Okay Abang Wan, nanti kita jumpa ye…” Ruaida makin melenggok-lenggokkan bahasa dan gaya.

Haryatie masih juga tersenyum. Manis pada pandangan orang lain tetapi kelat pada tafsiran hati seorang suami seperti aku. Dan senyuman itu pantas pudar sebaik sahaja Proton Wira itu menderum pergi.

“Abang Wan…?” Haryatie memanggilku manja. Sebijik intonasi Ruaida tadi. Satu sindiran paling sinis pernah aku terima.

“Nak ke mana ni ?” ada sedikit debar di dalam hatiku tatkala melihat Haryatie menyusun pakaiannya ke dalam beg.

Sedikitpun dia tidak mengendahkan pertanyaan, sebaliknya terus menarik baju-baju yang bergantung di dalam almari lalu dicampak ke atas katil.

“Kenapa ni sayang?”

“Tak ada apa… agaknya jodoh kita sampai di sini.”

Jantungku berhenti berdegup, “ Kenapa ni?”

“Awak kan ada date sat lagi dengan perempuan tu? Kenapa tak siap lagi?”

Hah, sudah! “Apa kena pulak dengan awak ni sayang? Cakap yang bukan-bukan”

Dia menghampiriku lantas menunjukkan jari telunjuknya yang kurus runcing ke dadaku, “Jangan tanya saya, tanya diri awak.”

“Saya beri awak more privacy, tapi awak khianati saya… sampai hati awak tunjuk teman wanita awak depan saya, di rumah kita?”

Many calls from ladies, saya cuba elak dari berfikiran negatif. Tapi awak tergamak melukakan hati saya…”

Aku telan liur. Adakah ini Haryatie, isteriku yang sedang berdiri di hadapanku? Inilah pertama kali dalam hidupku, dalam perkahwinanku aku dibentak dan dicemburui. Beginikah perasaan setiap suami bila dileteri isteri. Seronok juga…hati lelakiku mengusik.

Yeah, aku suka begini!



“Awak nak ke mana tu bang?”

Aku baru sahaja menyandang beg golf ke bahu kiri bila Haryati menjengah di ambang pintu dapur. "Hari Ahad ni kan sayang… main golf la…”

“Golf?”

Aku hanya menganggukkan kepala.

“Dengan siapa?”

“Dengan siapa apa pulaknya? Dengan Dato’lah.”

“Dato’? Siapa lagi yang ikut?”

“Manalah saya tahu Dato’ panggil siapa lagi…”

Ku lihat dia mengangguk kecil. Haryatie lantas memerhati jam yang tergantung di dinding.

“Pukul berapa habis mainnya?”

Aku letakkan beg golf di tepi pintu utama. Haryati kini telah berdiri di belakangku dengan sebatang senduk gulai yang masih dipegang kemas di tangan kanannya. “Tak tahulah lagi… Dato’ tu bukan boleh nak kata…” Aku menyarung kasut ke kaki kanan.

“Abang pergi main golf je kan? Lepas tu pergi mana?”

Seketika aku terdiam sebelum memberikan jawapan, “Pergi mana pulaknya, balik rumahlah sayang ooi…”

“Betul? Abang tak tipu? Abang janji tak pi mana-mana?” Beria-ia benar dia meminta kepastianku.

Soalan-soalannya hanya ku jawab dengan sebuah kucupan di dahinya.

“Janji ya bang..?”

Aku tekuni raut wajah isteriku yang sedang memandangku dengan sepasang mata beningnya. Aku tekuni hati perempuan yang sedang berdiri di hadapanku ini. Hati lelakiku tersentuh dengan sikapnya kebelakangan ini.

Sesungguhnya aku sedar tiada seorangpun perempuan di dunia ini yang rela berkongsi kasih dan aku bersyukur kerana isteriku ternyata mengasihi diriku. Aku bersyukur kerana isteriku seorang wanita. Dan hatinya juga selembut hati seorang wanita bernama isteri.
Alhamdulillah….

2 comments:

  1. bila diberi privesi, kata diri x diendahkan, bila banyak soal, kata merimaskan, banyak bebel...hmm
    -che`leen-

    ReplyDelete
  2. Hi che'leen, terima kasih baca IKSW ini...

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.

PAGEVIEWS