Wednesday, September 14, 2011

NAK GELAK, ATAU...

Lewat pagi tadi ada majlis makan-makan meraikan persaraan Tn Hj Hanif. Majlis ini juga merangkap keraian ulang tahun kelahiran beberapa orang staff dan juga sempena Lebaran. Tn Hj Hanif merupakan antara yang paling senior dalam UiTM. Banyak pengalaman beliau yang sedikit sebanyak diceritakan merupakan sesuatu yang amat berharga. Beliau juga pegawai Pejabat Bendahari pertama yang saya berurusan ketika mendapat tawaran berkhidmat di sini dan kemudian prosedur rayuan bila saya punya banyak limitasi untuk ditempatkan di Kampus Tapah. Secara tidak sedar, beliau mungkin juga insan yang telah banyak membantu sehingga rayuan saya untuk kekal di Shah Alam diluluskan.

Letih dengan tugas harian yang tidak pernah sudah, saya rehatkan mata dengan membaca buku bertajuk Kisah-Kisah Ceria Pengasah Akhlak Mulia terbitan oleh UPENA, UiTM yang diberikan oleh Fizah (jawatan yang saya isi kini kerana beliau cuti bersalin merangkap menyambung pengajian di peringkat Sarjana). Just to share one or two lesson. Bila membacanya rasa hendak tergelak, tapi bila fikir-fikir semula... gelak-gelak juga, iktibarnya harus diutamakan.
CERITA I
Seorang pelajar berkata kepada gurunya, "Saya ingin hidup bebas dan tenang seperti seekor itik yang berenang di tasik biru."
Lalu berkatalah gurunya, "Tahukan awak itik yang nampak tenang itu hanya di permukaan, sedangkan di bawah permukaan air itu kakinya tidak berhenti-henti mendayung agar tidak tenggelam."
Hah hah, anak-anak itik dah penat berenang. Bilalah nak sampai ni mak oin penat dah kaki ni berkayuh...
Iktibar : Hmm... begitulah kehidupan, selalunya kita melihat sesuatu secara lahiriah sahaja. Sedangkan realitinya mungkin tidak seperti yang terzahir. Setiap sesuatu yang kita mahukan dalam hidup ini mahupun hidup akan datang di alam yang abadi, pastilah melibatkan usaha. Oleh itu berusahalah kita dengan jujur demi kesenangan dunia dan akhirat juga. Kalau nak masuk syurga... beramal solehlah kita. Bagi kebanyakan orang ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Hanya yang terpilih dan diberikan hidayah akan merasai nikmatnya Islam dan ajarannya.

CERITA II
Seorang wanita yang amat risau terhadap bentuk tubuhnya yang makin melebar bertekad untuk melibatkan diri dalam aktiviti renang secara serius sehingga melupakan urusan keluarga dan rumahtangga. Anaknya jadi hairan melihat si ibu yang saban hari, saban malam pergi ke kolam renang. Suatu hari si anak bertanya.

Anak : Kenapa mak sibuk sangat berenang setiap hari ni mak? Mak masuk sukan Olimpik ke?
Mak  : Hish, tak de lah. Orang kata berenang adalah cara yang terbaik untuk kuruskan badan. Sebab tu lah mak berenang. Lagi banyak berenang lagi cepatlah mak kurus.
Anak : Iye ke? Kalau berenang tu baik untuk kuruskan badan, kenapa ikan paus tu tak kurus-kurus pun?

Iktibar : Heh heh... saya ni bilalah nak jadi cantik dan molek.. ni dah gaya doraemon.  Ada sesekali kata dengan Papa Nasir, "Awak tak malu ke jalan dengan saya ni... saya ni tak macam isteri orang lain yang comel, cantik dan bergaya...?"

Papa Nasir kata, "Awak isteri Papa, Papa terima seadanya. Biar orang lain nampak macam ikan paus ke apa, tapi Papa sentiasa nampak Ummi cantik dalam hati Papa..."

Tapi saya sendiri pun bukan tidak teringin hendak jadi slim dan cantik molek, tapi... tunggulah kot bila dah sampai seru nak berusaha jadi cantik iras-iras Erra Fazira dan Karina Kapoor. Kui kui kui!
CERITA III
Ketika membuat rondaan di kilang, pengurus besar terlihat seorang pemuda berseluar jeans dan bertopi sedang bersandar di dinding dengan baju yang terkeluar. Dengan marah, dia segera menghampiri pemuda itu.

Pengurus : Berapa gaji awak sebulan?
Pemuda   : Lebih kurang RM800
Pengurus : Nah (dengan kasarnya menghulur) RM3000 gaji untuk 3 bulan dan selebihnya kira bonus awak! Saya nak awak keluar dari sini sekarang dan saya tak mahu tengok muka awak lagi!

Pemuda itu terus mengambil wang dan beredar pantas. Tindakan pengurus besar menyebabkan pekerja lain berbisik sesama sendiri. Pengurus Besar berkata tegas, "Ini peringatan untuk semua! Sesiapa yang hendak bersuka-suka di sini boleh berhenti! Saya bayar gaji awak semua supaya bekerja bukannya duduk-duduk berehat begitu!"
Pekerja2 lain senyap dan sepi dengan jerkahan itu.

Pengurus : Jamal, beritahu saya, pemuda tu tadi dari department mana?
Jamal      : Err... Pizza Hut tuan. Dia tadi datang hantar pizza yang orang order...
Pengurus :Gulpp!!!

Iktibar : Hai, memang elok sangat kalau kita semua menjadi orang besar, orang pandai dan orang penting. Tetapi dalam Islam malah dalam mana-mana budaya dan agamapun, adalah lebih elok kalau kita menjadi orang yang baik serba-serbi. Terutamanya baik hati...

Walau kita ini orang besar, orang pandai atau orang penting, tidak ada bezanya pun dengan orang lain melainkan tahap iman. Kalau jadi bos, jadilah bos yang terpuji dari segenap aspek. Lagipun setinggi mana pangkat dan darjat, kalau suatu hari roda itu berputar, bukan siapa-siapa pun kita lagi. Mungkin orang bawahan dan orang rendah darjatnya  yang pernah kita kasari itu pembantu hidup di suatu hari.

1 comment:

Note: Only a member of this blog may post a comment.

PAGEVIEWS