Thursday, September 29, 2011

KT01

ALLAH IS CALLING... but I am yet to be the one who being called...

Musim Haji tiba lagi. Kalau membaca blog-blog dari Makkah dan Madinah yang memperlihatkan suasana yang masih tenang sebelum ini, bermula hari ini Tanah Suci Allah akan meriah untuk kesekian kalinya. Tetamu Allah dari segenap pelusuk bumi Tuhan ini akan menghitung debar dan kegembiraan untuk tiba di destinasi di mana setiap insan itu sama sahaja meskipun nyata berbeza negara, keturunan, bangsa, bahasa,warna, saiz, fahaman, pendirian, mazhab dan pelbagai lagi perbezaan unik yang Tuhan ciptakan untuk setiap hamba-Nya.

Malam tadi juga penerbangan pertama yang membawa Jemaah Haji dari Malaysia akan berangkat pergi. Sebaik melangkah masuk ke perkarangan Kompleks Haji dan melihat betapa ramainya orang yang menghantar dan mengiringi ibu bapa, sanak saudara, handai taulan dan sebagainya, hati saya terus sebak.

 

Kami ke sana untuk bertemu saudara sepupu saya iaitu abang Aziz dan kak Ramnah yang akan bertolak ke Tanah Suci bersama penerbangan KT01. Saat bersalaman dan berpelukan dengan isteri abang Aziz itu, airmata saya sudah berderai-derai.

Abang Aziz merupakan sepupu sebelah bapa saya yang kini menetap di Sg Besar, Selangor. Kami bertemu buat pertama kali ketika kami menyinggah di rumah beliau sekeluarga untuk bersiap sewaktu hendak ke Sabak Bernam bagi majlis perkahwinan saya dan Papa Nasir di sebelah lelaki pula.

Tidak seperti kerabat di sebelah Papa Nasir, keluarga di sebelah saya saling tidak mengenali. Maklumlah dudukpun berjauhan negeri, masa juga amat terbatas untuk bertemu. Hubungan kami dengan abang Aziz ini pun masih kekal kerana Papa Nasir yang memang suka meluaskan ukhwah.

Mengenali abang Aziz yang lebih mirip paras kepada ibunya yang saya panggil Mak Tam, adalah seorang guru yang sangat lembut kata-kata dan budi bahasa. Meskipun jarang bertemu tetapi kemesraan itu sepertinya sudah terjalin erat. Betullah orang kata, keikhlasan dalam ukhwah itu datang dari hati. Kalau tidak, susah rasanya hendak merasakan kasih dan mesra seseorang.

"Abang tolong doakan kami ya, kami pun ingin ke sana," pinta saya.
"Tolong sampaikan salam kami kepada Rasulullah," mohon Papa pula.
"Insya-Allah, nanti saya jamakkan semuanya di sana. Doakan kami sihat dan selamat ya..." balas abang Aziz.

Insya-Allah, hasrat dalam hati memang telah lebih menggebu untuk ke Tanah Suci terutama bila sudah membaca buku tulisan Noor Suraya yang bertajuk Din & Jaja serta Langsir Biji Remia. Apatah lagi bila mengikuti beberapa blog dari sana yang menambahkan lagi kepingin dan rindu. Tetapi bila ditimbang-tara, saya ini hamba-Nya yang jahat, yang selalu lalai dan berbuat dosa.

Papa kata, "Awak ingat yang pergi tu semua baik-baik ke? Kita pergi ke sana jadi tetamu Allah, yang penting mesti ada kesedaran dan rasa insaf dalam hati. Baik atau buruknya kita, itu Allah yang memandang. Terpulanglah bagaimana Allah hendak terima kita di sana, lalu pintu depan ke pintu tepi ke..."

Hmm... nantilah, saya masih perlu himpun simpanan dulu untuk ke sana. Bukan boleh ikut hati, hendak pergi, pergi sahaja. Mahu dibayar dengan apa... apa yang penting, rasa dan keinginan itu jika ada, Alhamdulillah. Kiranya Allah masih menyayangi. Sebelum tiba waktunya, saya mahu bayar segala apa yang telah saya tinggal atau lalaikan samada sengaja atau tidak. Semoga bila tiba masanya tapak kaki memijak pasir bumi itu, Allah akan tersenyum memandang dan menerima saya melalui pintu depan-Nya. Insya-Allah.. Amin.

Untuk Abang Aziz dan Kak Ramnah, semoga selamat pergi dan selamat kembali. Semoga diberi rahmat dan restu Illahi untuk kuat dan sihat sejahtera menunaikan ibadat Haji, dan semoga dikurniakan haji yang mabrur. Kalau ada kesempatan, doa-doakanlah kami semua di sini...

1 comment:

  1. semoga mereka semua mendapat haji yang mabrur..

    yus pun amat ingin jejak kaki ke sana. Terasa diri masih insan kerdil, doa-doakan yus juga ya..

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.

PAGEVIEWS