Tuesday, February 28, 2012

Punten Mak & Daging Salai Ibu

Tahu apa itu Punten? Ia adalah sejenis makanan orang Jawa (I guess so, kerana saya kenal makanan ini sejak berkahwin dengan Papa Nasir).

Ia antara makanan yang saya teringin hendak makan ketika di DEMC. Tapi... nak masak sendiri tak tahu. Nak minta Ibu buatkan? Hish, Ibu mesti akan tanya 'apa menatang tu?'. Nak cakap dengan Mak? Hmm... tak sampai hati. Mak bukan larat sangat.

Weekend baru ini sebaik pulang dari mencari pen drive di pejabat, kami mengumpul segala botol, tin dan barang-barang yang boleh dikitar semula untuk dihimpunkan di rumah Bonda Atiqah (sebelah rumah). Ia akan dijual untuk mendapatkan sedikit dana bagi tabung wanita taman perumahan kami.

Selepas itu barulah kami bertolak pulang ke Sabak Bernam. Memang sudah lama tidak keluar dari rumah setiap weekend. Saya masih tidak larat berkuat. Pergi kerja dan keluar ke sesuatu tempat itupun terpaksa...

Abah Hussein sudah call pagi-pagi Sabtu dan bertanya, "Tak balik ke?"

Saya dan Papa Nasir berpandangan bisu. Terasa hati pula. Jahatnya kami ini... teringat kata-kata Dr Fadzilah Kamsah, "Jangan sampai ibu bapa yang rindu, dan telefon anak-anak. Takut-takut jatuh jadi anak derhaka." Aduhai...

Bukan sengaja. Ada banyak limitasi. Sejak dua bulan lepas hanya orang tua sahaja yang turun ke rumah kami. Tapi sedar itu bukan alasan. Apatah lagi bila tiba giliran kami yang mendapat 'panggilan pulau' pula. Hish, Papa Nasir disuruh pulang sendirian dulu, keberatan.

Saya ini bukan apa... walau sudah 6 tahun beribu dan berbapa mentua, masih terasa agak kekok. Sebabnya, saya ini tidak pandai memasak. Nak masak pun segan, takut tak memenuhi selera orang. Lagipun saya ini jenis orang yang lembik. Buat kerja rumah sikit, penat sikit, mulalah badan rasa semacam. Kalau di rumah mentua, kan tidak elok kalau buat perangai sendiri. Nak tak nak,  kena buat kerja juga sedikit walau mereka tidaklah menyuruh.  

Sampai di kampung, banyak yang Emak ceritakan. Macam sudah dihimpun-himpun pula ceritanya. Hish, itulah lama sangat tak balik, kan dah banyak cerita hu hu.

Sewaktu di dapur, saya lihat ada sambal bilis. Macam kenal... tapi saya diamkan je.

Emak kata, "Semalam buat Punten, tapi tak tahu kamu nak balik, mak buanglah tadi sebab tak ada sapa nak makan."

"Punten? Hmm..." saya sudah terkebil-kebil.
Papa Nasir pandang saya. Masih ingatkah dia tentang keinginan saya yang melampau hendak makan Punten?
"Ari tu teringin sangat nak makan Punten... ingat dah nak minta tolong Bik Mah buatkan. Nak suh emak buat, kesian pulak..." Ish, mulut saya ini sejak keluar hospital sudah longgar agaknya!

Emak ketawa, "La.. tak cakap nak balik..."

Malam itu saya tidur sangat lewat. Hampir 3 pagi. Satu sebabnya Papa Nasir setiap kali balik kampung mesti medang dengan kawan-kawan sampai lewat begitu. Sesekali jumpa. Yang ke-2, dok menggodek internet. Skrin manuskrip buka, tapi minize memanjang. Yang ke-3, saya memang agak susah hendak tidur kalau balik kampung. Nyamuk suka kacau saya dan suasana sejuk...

Pagi esoknya, terdengar Emak bangun. Hmm... dah nak kena bangun ke ni? Tapi mata tidak mahu terbuka. Kalau di rumah Ibu, tak kisah sangat kalau masih mahu tidur lagi... rumah mak sendiri kan... ni cakap betul, tak ada nak hipokrit. Tapi di rumah mentua, segan...

Saya bangunlah juga, walaupun lewat sedikit dari Mak hu hu... masak air (itu je lah yang saya tahu). Bila buka tudung periuk, tengok mak masak nasi. Err.. macam kenal je ni...

"Mak masak apa ni?" 
"Puntenlah..." jawab Emak dengan senyum simpulnya.

Alahai, mak masak Punten untuk saya ke? Telan liur. Kan dah susahkan orang tua itu... 

Punten ialah makanan yang dihasilkan dari nasi lembik yang ditumbuk dan diimpit jadi seperti nasi impit tu kemudian makan dengan sambal bilis. Pada saya ia sangat sedap...

Tanak nasi lembik (1 bekas beras dengan 2 bekas air - lebih kurang). Jangan terlalu lembik, nanti susah hendak padatkan ia. Bila air sudah agak kering, taburkan kelapa muda yang diparut. Bila nasi lembik sudah masak, tumbuk-tumbuk nasi itu bagi hancur.

Kemudian letakkan nasi yang sudah lumat ditumbuk itu  ke atas daun pisang (layur) di dalam bekas. Ratakan dan tekan-tekan (buat macam nasi impit manual tu). 

Sambal bilisnya macam biasalah.. tapi ia tak menggunakan cili giling merah. Ia dimasak menggunakan guna cili api dan juga udang kering yang ditumbuk bersama ikan bilis. Yang ikan kembung goreng tu tersesat pulak duduk di situ, ish...

Terima kasih ya Mak, minta maaf kerana susahkan Mak walaupun saya tahu Mak tak pernah rasa susah bila anak-anak yang meminta. Ini kali kedua minta. Dulu masa mengandungkan Babang minta Mak buatkan puding laici. Tapi sekarang dah tahu buat sendiri. Nanti bila saya dah pandai buat Punten ni, hari-hari pun saya buat sendiri juga hu hu...

Ibu pun begitu... lewat tempoh hari saya mengadu lagi teringin hendak makan masak lemak cili api daging salai. Sebenarnya saya sudah mengidamkannya sejak mengandung Didik, tapi belum pernah dapat. 

Baru-baru ini Ibu telefon beritahu dia sudah beli tempat untuk salai daging. Dan-dan tu suruh saya balik makan masak lemak cili api daging salai, dia hendak masak katanya. Ish, Ibu ni... biar betul... nanti Along balik ya... terima kasih Ibu...

Begitulah hati wanita-wanita yang pernah mengandung dan melahirkan insan ke dunia kan...? Oh ya, ini bukan bermakna saya sedang mengandung ya... saja mengada hendak mengidam...

Ni Papa Nasir kalau sedang baca perkongsian ini, percayalah dia sedang mengesat airmatanya... dia memang alah hal-hal mak dan ibu segala ni... semoga anak-anakku mewarisi sikap Papa mereka ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

PAGEVIEWS